saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 03/07/2005

Fazura - Nyalakan cinta Laila


Fazura.



KORBAN cinta seorang gadis bernama Laila dalam filem Qaisy dan Laila sangat tragis. Laila, gadis Melayu hidup dalam kecelaruan menemui cinta jauh di padang pasir yang berdebu dan kotor. Laila menemui cintanya dalam diri seorang jejaka Pakistan, yang hidup dalam seribu kedaifan.

Kerana Qaisy dan Laila juga, pelakon utamanya Norfazura Sharifuddin mengenali erti cinta yang membara. Cinta yang tidak mungkin mampu dibeli dengan ringgit, jauh sekali dalam keterpaksaan.

Cinta hadir tanpa dipaksa dan sebagai Laila dalam filem itu, Fazura merasai apa yang dinamakan cinta sejati.

``Akhirnya saya menemui apa itu cinta melalui Laila,'' katanya kepada Pancaindera. Cinta yang sejati bagi Fazura adalah apabila kedua-dua hati sanggup berkorban apa saja demi hidup bersama.

``Cinta Qaisy dan Laila bersatu di dalam hati, tetapi cinta tidak semestinya bererti memiliki,'' kata si manis, 22 tahun ini.

* Laila yang istimewa

Sebagai pelakon utama filem itu, kata Fazura sesuatu yang paling manis ialah apabila dia meletakkan diri dalam watak Laila selama lebih enam bulan.

``Hingga saat ini saya sangat rindu untuk kembali menjadi Laila sekali lagi,'' katanya.

Bukan hanya kerana lakonan filem berkenaan membawa dia ke Pakistan, sebaliknya keistimewaan watak itu sendiri. Bagi Fazura, perasaan menjadi seorang Laila dalam filem arahan Raja Ahmad Alauddin ini sangat berbeza dan istimewa.

Satu perasaan yang tidak mungkin ditemui dalam mana-mana watak pada waktu terdekat ini.

``Bila Kak Chah (penerbit Habsah Hassan) cakap fasal watak, saya terus mencipta sendiri dalam kepala bagaimana seharusnya seorang Laila.

``Saya cari dan gali. Bila penggambaran filem ini tertangguh lebih enam bulan, saya suka sebab boleh buat kajian lebih banyak.

``Sebab itu bila di lokasi, saya terus meresapkan semangat Laila dalam diri, buat habis baik yang saya mampu untuk jadi benar-benar hidup sebagai Laila.

``Saya pun ada juga tukar skrip sendiri di lokasi bila dapat idea baru dan pengarah terima. Mudah-mudahan filem ini boleh pergi jauh,'' doanya.

* Air mata yang berderai

Qaisy dan Laila adalah filem keduanya selepas Bicara Hati. Fazura meminta supaya Qaisy dan Laila tidak dilabelkan sebagai filem berat. Filem ini mempunyai nilai komersial yang hebat, cuma isu yang diketengahkan berbeza daripada filem popular lain.

Sesuatu yang menarik juga kerana ia berlandaskan kepada kisah cinta yang diadaptasi dengan saluran berbeza.

``Buka minda tengok filem ini. Bila tengok poster, penggambaran di Pakistan mungkin orang anggap banyak kena fikir bila tengok filem ini.

``Ini sebuah filem yang sangat simple, tak payah fikir panjang-panjang tetapi anda akan dapat rasa watak-wataknya sangat dekat dengan anda, penonton akan rasa apa yang Laila rasa, perasaan Qaisy juga.''

Fazura juga menjelaskan sudah tujuh kali dia menyaksikan filem berkenaan. Percaya ataupun tidak, tujuh kali jugalah air mata Fazura gugur berderai.

``Syahdu sangat sebab watak Laila memang penuh dengan kedukaan hanya semata-mata kerana mahu mencari cinta sejati,'' katanya yang juga menganggap kenangan diraba sekumpulan kanak-kanak di Pakistan ketika penggambaran filem itu sebagai peristiwa pahit yang kekal dalam ingatannya sampai ke hari ini.

Qaisy dan Laila kini sedang menerima sambutan hangat penonton di pawagam tempatan.

* Jangan mudah menghukum!

Kes mahkamah yang dibawa oleh seorang wanita yang membabitkan Fazura masih lagi di peringkat perbicaraan. Kata Fazura, demi menghormati undang-undang dia memberikan kerjasama yang sangat baik kepada kes berkenaan. Tetapi ini tidak sama sekali menjejaskan perhatian orang kepada filem barunya di pawagam.

Percaya kepada kematangan peminat filem Melayu yang semakin tinggi cita rasanya, Fazura percaya penonton tidak akan mudah menghukumnya kerana isu berkenaan.

``Saya percaya kes itu tidak akan jejas perhatian orang. Kesnya bukan sebesar mana pun, cuma keluar akhbar jadi orang cakap jugalah. Apa pun juga keadaannya saya serahkan kepada Allah untuk menentukannya. Cakap banyak pun benda sudah jadi, tetapi saya harap penonton matang. Ini bukan filem saya sahaja, filem Jehan, Umie Aida, Habsah Hassan, Kak Ani (penerbit Ruhani Nizarman) dan Raja Alauddin sebagai pengarah. Filem kami bersama.

``Tak adil kalau mereka tak mahu ke panggung hanya semata-mata kerana saya ada hal yang sedang dibicarakan di mahkamah,'' kata Fazura.

Selain berserah nasibnya kepada Allah, Fazura percaya ada hikmah setiap apa di sebalik kejadian yang berlaku kepada dirinya.

``Orang selalu kata berani kerana benar, takut kerana salah. Sebab itu saya tak risau apa-apa dan berserah saja.

``Publisiti sudut baik atau buruk, ia tetap publisiti bagi saya. Tetapi jangan pula anggap saya suka bila dapat publisiti macam ini ya,'' pintanya.

* Persepsi lama tidak berakhir

Memerhati liku-liku perjalanan hidup Fazura dalam dunia seni suara, terdetik rasa kasihan. Tidak sudah-sudah dia dihadapkan dengan pelbagai kontroversi, satu demi satu sehingga ke hari ini.

Keadaan ini menyebabkan tidak banyak orang membicarakan tentang kuasa lakonannya yang bukan calang-calang, tetapi banyak hal yang terlalu peribadi `ditelanjangkan'.

Awal kemunculannya Fazura ditujah sebagai personaliti yang sombong dan bongkak kemudian tidak habis-habis dengan isu lelaki, gosip dan kontroversi.

Terbaru, gambar peribadinya dipaparkan di Internet dengan berleluasa termasuk dihantar ke media `menghasut' supaya disiarkan.

Pancaindera turut menerima lebih lima gambar peribadi Fazura, tetapi tidak minat melanggar hak asasi Fazura sebagai manusia biasa, kami masuk dalam tong sampah. Tapi ada juga pihak yang siar. Tidak mengapa, kita sama tapi tidak serupa.

Ketika perkara itu dibicarakan, Fazura mengakui sukar untuk menangkis tanggapan buruk itu.

``Persepsi lama masih ada dan saya anggap ia takkan pernah berakhir. Tak apalah. Mungkin salah saya juga. Muka susah senyum jadi orang kata sombong,'' ujarnya.

Apa pun Fazura meminta supaya hak peribadinya dihormati oleh semua pihak. Walaupun dia artis, ada sempadan yang menjadi garis pemisah di antara dirinya dan masyarakat.

``Bila orang banyak sangat dedah hal peribadi, saya rasa hak peribadi dicerobohi. Kisah peribadi saya memang tak suka cerita kepada orang. Sampai bila-bila pun saya akan pegang prinsip ini.

``Bila kahwin saya akan perkenalkan semua orang dengan suami saya, tetapi kalau setakat teman lelaki, saya tak akan melayan soalan orang.

``Segala-galanya tentang saya sudah dibicarakan dalam akhbar jadi biarlah ada benda yang menjadi rahsia kehidupan saya sendiri dan keluarga sahaja. Hormatilah,'' pintanya.

Kata Fazura, dia akan menghormati orang berkali ganda kalau individu berkenaan menghormati dirinya.

``Kalau orang tak hormat saya, saya tak akan pandang langsung. Kalau saya tak suka, saya akan jauhkan diri terus. Kadang-kadang saya hairan kenapa ada orang yang tak boleh tunjuk budi bahasa dengan orang lain,'' katanya panjang lebar.

Penting bagi Fazura untuk menjadi dirinya yang sejati, tanpa hipokrasi dan menipu orang lain. Tidak suka, tetapi buat-buat suka.

``Hidup macam tertipu bila buat benda yang kita tak suka. Lagipun saya rasa hidup saya tak berkat kalau saya asyik hipokrit, tipu orang dan buat-buat macam saya ni suka kepada seseorang hakikatnya saya tak suka langsung,'' ujarnya yang tidak mahu membiarkan kehidupan dirinya dipengaruhi oleh pihak lain.

``Kalau kita senang pun orang tak suka, kalau susah pun tak ada orang yang akan tolong. Jadi, sendiri pandai bawa dirilah selagi kita rasa kita di landasan yang betul,'' kata Fazura lagi, sekali gus mengharapkan semua pihak menghormati privacy dirinya.

* Payahnya mencari cinta

Berpaling daripada kisah filemnya, mahu juga mencungkil sedikit rahsia mengenai dirinya yang sebenar. Seperti Laila, apakah cita rasa Fazura juga lebih terarah kepada lelaki berlainan bangsa?

``Saya mencari lelaki Melayu yang sejati,'' katanya tulus. Kalau boleh dia tidak mahu bertemu jodoh dengan lelaki yang terlalu asyik dengan dunia hiburan yang melekakan.

``Tetapi itulah masalahnya. Banyak lelaki sekarang suka mabuk-mabuk, setiap minggu mahu pergi disko, saya bosan.

``Sejujurnya lelaki yang macam ini mudah dicari, tetapi bukan untuk dijadikan sebagai suami,'' katanya.

Walaupun usianya baru saja menjangkau 22 tahun, kata Fazura, dia sebenarnya sudah bersedia untuk memikirkan tentang seorang lelaki yang bernama suami.

Mengakui usianya masih muda, tetapi positif kalau ditakdirkan jodoh datang dalam waktu setahun dua lagi, dia akan menerima.

``Saya suka kepada lelaki yang ada hobi. Lelaki yang kuat baca buku dan menyayangi keluarga mereka. Orang macam ini mampu menjadi suami yang baik sebab dia tahu tanggungjawab,'' katanya mengharap.

Apa pun keadaannya, kata Fazura ketika ini dia masih mencari cinta sejati. Meskipun pelbagai gosip yang mengaitkannya dengan lelaki itu dan ini ia tidak lebih hanya sekadar berita kosong yang tidak berasas sama sekali.

``Pertama kalinya saya beritahu Pancaindera, bahawa semua kisah yang mengatakan saya bercinta dengan si anu, si anu adalah tidak benar.

``Sehingga ke hari ini saya belum temui seorang lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami,'' katanya. Ciri-ciri lelaki idaman sudah tentu yang boleh dibawa ke tengah dan ke tepi.

``Saya tak mahu yang kampung sangat, yang bandar sangat pun tak mahu juga. Biar sederhana dan ada ciri-ciri lelaki Melayu sejati,'' ujarnya. Demikian harapan Fazura yang terluah, lewat pertemuan kami sebelum dia menoktahkan bicara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.