saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 10/07/2005

Aleya bintang semakin berkilau


SHARIFAH ALEYA SYED ZAINAL RASHID.


SHARIFAH Aleya Syed Zainal Rashid yang lebih dikenali sebagai Aleya adalah celebrity kanak-kanak. Aleya sudah membuat penampilan di layar perak sejak berusia 18 bulan.

Pada usia itu dia tampil sebagai model dalam beberapa iklan televisyen. Ketika remaja Aleya kemudian banyak mengacara program kanak-kanak di kaca televisyen termasuk Golden Teen Stuff dan KFC's Chicky Hour.

Kini pada usia semuda 22 tahun dan dengan pengalaman lapan tahun dalam dunia filem, televisyen dan lakonan pentas, Aleya boleh diandaikan matang.

Dia sudah berlakon dalam lima buah filem dan dua daripadanya melayakkan Aleya menjulang dua trofi.

Pada majlis Festival Filem Malaysia Ke-17 tahun lepas, pelakon itu berjaya merangkul anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Wanita kerana lakonannya dalam filem Trauma.

Dia pernah meraih kategori Pelakon Harapan pada Anugerah Skrin beberapa tahun lepas sebagai bukti lakonan menariknya dalam filem Idola.

Sebelum ini Aleya turut muncul dalam Diari Romeo, Pontianak Harum Sundal Malam dan Mimpi Moon. Di sebalik bakat dalam dunia lakonan itu, nama Aleya tidak pernah terpinggir daripada dunia pengacaraan.

Pada tahun lepas ketika Aleya muncul sebagai hos bersama dalam program realiti televisyen Malaysian Idol dan namanya terus meniti daripada bibir ke bibir sejak saat itu.

Ia menjadi platform terbaik Aleya untuk memperkemaskan kedudukannya sebagai celebrity. Namun untuk mereka yang mengikuti Malaysian Idol musim kedua, tiada kelibat Aleya kerana tempatnya digantikan oleh pengacara Cheryl Samad.

Terkilan kerana terpinggir daripada program popular dan melonjak namanya itu? Aleya mengakui hal tersebut terutama ketika dimaklumkan tentang khidmatnya yang tidak diperlukan lagi.

Desas-desus mengatakan bahawa pihak penerbit kurang berpuas hati dengan cara Aleya menjadi hos yang sedikit kebudak-budakan.

Di sebalik penyingkiran tersebut, Aleya optimis, ``Saya menganggap rezeki saya tiada di situ. Tetapi saya selalu percaya satu pintu tertutup pintu lain akan terbuka.''

Sememangnya untuk wanita muda yang bersemangat tinggi sepertinya peluang akan sentiasa ada selagi dia mencuba. Sebagai contoh hatinya terubat pada ketika terpilih sebagai jurucakap produk kosmetik Silkygirl di samping celebrity terkenal dan jelita Paula Malai Ali.

Untuk Aleya, Malaysian Idol memang sudah jadi sejarah dan tidak membiarkan kekecewaan berlanjutan.

``Oleh kerana saya tidak terpilih bagi musim kedua tidak bererti semuanya akan berakhir. Banyak lagi peluang baru yang saya percaya akan datang selagi saya membuka mata tentangnya.

``Saya percaya sikap saya yang tidak suka berfikir banyak tentang sesuatu terutama rencana yang tidak membantu,'' luah Aleya.

Sekali-sekala, Aleya mengakui bahawa dia merindui suasana Malaysian Idol.

``Apa yang paling saya rindui adalah krew yang terbabit tetapi sehingga kini saya masih berpeluang berhubungan dengan mereka di luar lokasi,'' jelasnya.

Selain itu kini Aleya turut menjadi hos bagi program interaktif permainan video Mango TV yang juga ke udara di 8TV setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 9.30 pagi hingga 11 pagi.

Menurut Aleya, adalah di luar jangkaannya apabila mendapat tahu terpilih menjadi jurucakap produk kosmetik Silkygirl.

Secara peribadi, Aleya menganggap dirinya remaja biasa yang tidak pandai berhias apatah lagi beraksi sebagai model.

``Saya lebih selesa di hadapan kamera sebagai pelakon atau hos tetapi suruh saya bergaya seperti Paula Malai Ali ia menjadikan saya gementar,'' komen Aleya.

Namun ia tidak menghalang niatnya untuk menerima lamaran Silkygirl. Apa yang membanggakan Aleya alasan yang diberikan pihak kosmetik di sebalik pemilihannya itu adalah personaliti bukan semata-mata rupa paras.

``Kami memilih Aleya kerana kebolehannya untuk berdikari dan menyerlah pada usia muda. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk memilih jurucakap di kalangan orang Melayu yang dapat mewakili masyarakat Malaysia. Aleya adalah calon yang sesuai,'' komen Pengarah Urusan Alliance Cosmetic, Tan Thiam Hock.

Pihak Silkygirl juga menganggap Aleya adalah calon terbaik mereka dengan imej periang dan ceria yang dimilikinya.

``Mr. Tan sendiri pernah memberitahu saya ciri utama dia memilih saya adalah kerana pada pandangannya bahawa saya seorang yang bersemangat tinggi dan berani.

``Itu dapat saya terima kerana secara peribadi saya tidak cantik pun,'' katanya rendah diri.

Menjadi jurucakap apatah lagi untuk jenama kosmetik seperti Silkygirl itu tentu sesuatu yang baru untuk Aleya tetapi dia mempunyai impian tersendiri untuk menjiwai komitmen terbaru itu.

``Saya tidak menganggap ia batu loncatan untuk menjadi lebih glamor tetapi sekadar memperbaiki keyakinan diri.

``Mereka yang mengenali saya akan tahu bagaimana perwatakan saya sebenarnya. Saya bukan seorang yang suka melawa tetapi Silkygirl kini memberi peluang seperti itu kepada saya. Iaitu menyerlahkan diri sendiri,'' katanya.

Dengan peluang tersebut Aleya juga mempercayai bahawa skilnya dalam bidang modelling akan bertambah.

``Saya tidak risau lagi untuk mengakui bahawa saya sebenarnya berbakat dalam bidang itu di samping hos terkenal seperti Paula,'' tambah Aleya yang berketurunan Melayu, Cina, Arab dan Bengali itu.

Selain daripada Aleya, adiknya, Sharifah Amani juga akan terpilih sebagai jurucakap bagi salah satu daripada produk Silkygirl yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Poster dan iklan kempen baru Aleya kini sudah terpampang di mana-mana termasuk kaca televisyen. Bersama Paula, Aleya akan terbabit dalam rangka promosi Silkygirl yang baru saja melancarkan koleksi kosmetik terbaru yang kini sudah berada di pasaran.

Nama Aleya sebenarnya tidak akan terpinggir dari layar perak.

Pada hari raya yang mendatang, kelibat Aleya akan muncul dalam filem terbaru Mamat Khalid iaitu Man Laksa.

Man Laksa - Temasya di Kampung Talang itu menyaksikan Aleya buat pertama kali memegang watak komedi. Dia juga memegang watak heroin dan sebagai wanita kampung.

``Rupa saya memang tidak kampung sangat tetapi ia memberi cabaran baru untuk saya. Saya tidak pernah mengatakan diri saya sebagai seorang yang kelakar cuma ada kalanya orang ketawa dengan saya kerana lawak bodoh yang disalahtafsirkan,'' tambah Aleya.

Untuk Man Laksa, Aleya bergandingan dengan pelakon komedi lain seperti Yasin Senario, M. Rajoli dan Halim Salim Bachik. Turut tampil adalah Hani Mohsin dan Aqasha.

Walaupun dengan dua trofi yang berjaya diraih dalam dunia lakonan namun Aleya masih menganggap dirinya harus sentiasa berdisiplin untuk belajar.

Aleya memberitahu jiwanya sentiasa dalam dunia pengacaraan kerana ia lebih memberi kepuasan berbanding dengan bidang lain.

``Saya suka ketika menjadi hos kerana ketika itu saya boleh menjadi diri saya dan berkomunikasi dengan orang lain.

``Berlakon? Saya harus berada di tempat orang lain dan menjiwainya,'' kata Aleya.

Walaupun pada sesi fotografi dengan Pancaindera baru-baru ini buah hatinya turut menemani namun Aleya enggan memberi komen.

Untuk Aleya adalah sesuatu yang tabu untuknya mengulas lanjut tentang teman istimewa itu.

``Saya mempunyai pengalaman yang kurang baik kerana sebaik saja berita saya dan si dia tersebar di akhbar hubungan kami putus.

``Dulu pun macam itu. Jadi sekarang saya tidak mahu berkata apa-apa lagi. Saya ingin diam saja sehingga semuanya pasti,'' kata Aleya.

Walau bagaimanapun pada usia semuda itu adalah terlalu awal baginya untuk memikirkan soal perkahwinan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.