saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 20/07/2005

Jadi Melayu Glokal - Najib -- `Akar berpaksi di kota dan desa namun akal menerjah serata dunia'


NAJIB Tun Abdul Razak diberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja selesai merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO secara serentak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur malam tadi.



KUALA LUMPUR 19 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru orang Melayu menjadi Melayu Glokal iaitu bersikap global tetapi bertunjangkan budaya Melayu dan Islam dalam menghadapai cabaran globalisiasi dan liberalisasi.

Sambil menjelaskan, istilah `glokal' sebagai gabungan antara global dan lokal, Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan, Melayu Glokal yang diimpi dan dihasratkan ialah Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional.

``Maksudnya, di samping kita hebat dalam negara, kita juga berperanan di arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita menerjah ke serata dunia.

``Melayu Glokal bertunjangkan budaya Melayu dan ajaran agama Islam yang suci, pada ketika yang sama berani meneroka dunia yang penuh pancaroba ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertema `Menjana Melayu Glokal' semasa perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2005, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Najib berkata, dimensi baru kini menuntut orang Melayu melonjak ke hadapan dengan memperkukuhkan daya saing bangsa untuk berlumba menjadi antara yang terbaik di pentas dunia.

``Oleh itu, sudah tiba masanya kita berubah menjadi Melayu Glokal. Ini bukan lagi mustahil kerana Malaysia sekarang sudah pun mula diiktiraf sebagai negara Islam contoh.

``Kita sederhana lagi progresif dan harmoni dalam kemajmukan. Kita semakin bersinar dalam dunia yang serba mencabar. Kita inginkan Malaysia sebagai negara Islam contoh, menjadi jenama antarabangsa. Kejayaan inilah menjadi asas untuk menjana Melayu Glokal seterusnya,'' katanya.

Berucap di hadapan lebih 2,500 perwakilan, Timbalan Presiden UMNO itu turut menggariskan lima tindakan untuk dilaksanakan sebagai persiapan menjana Melayu Glokal.

Ia adalah Menjana Melayu Glokal melalui ilmu dan pendidikan; menjana ekonomi untuk pembangunan Melayu Glokal; Melayu Glokal berpaksikan penghayatan agama; memperkuatkan jati diri Melayu Glokal melalui transformasi budaya dan memperkasakan politik Melayu Glokal berteraskan idealisme perjuangan.

Najib berkata, bagi menjana Melayu Glokal melalui ilmu dan pendidikan, tindakan untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti, komited dan berdedikasi hendaklah diteruskan, di samping tetap menjaga hal ehwal kebajikan mereka.

Tegasnya, Melayu Glokal yang ingin dilahirkan wajar mengamalkan pendidikan sepanjang hayat, menguasai lebih daripada satu bahasa dan berbudaya ilmu yang tinggi.

Tindakan kedua iaitu Menjana ekonomi untuk pembangunan Melayu Glokal, menurut Najib ialah mengubah sikap usahawan Bumiputera.

``Kita menghadapi masalah sikap mahu cepat kaya, tetapi tidak mahu berusaha. Peluang yang diberikan kerajaan dijual dengan begitu mudah dan murah, untuk mendapat hasil yang cepat walaupun sedikit.

``Istilah biasa sikap ini dipanggil Ali - Baba. Mereka yang memajak lesen perikanan laut dalam kepada orang Thailand boleh digelar Ali-Siam.

``Istilah ilmu ekonomi dipanggil `rentier class'. Saya menggunakan istilah ekonomi supaya tiada yang berkecil hati. Istilah mudah yang ramai orang faham ialah broker. Hentikanlah sikap ini,'' tegasnya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, penanda aras kepada dasar ekonomi yang dirancang seharusnya berupa pembinaan kekayaan bagi rakyat dan kejayaan di kalangan kumpulan Melayu yang layak.

Najib berkata, dalam usaha itu juga, UMNO mahu melihat pihak swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) meningkatkan peranan mereka membantu khasnya dalam penyusunan semula guna tenaga dan menyediakan peluang untuk Bumiputera.

``Kita amat berharap agar ketua-ketua pegawai eksekutif GLC betul-betul serius dan benar-benar komited dalam menjayakan agenda Melayu,'' ujarnya.

Bagi tindakan mewujudkan Melayu Glokal Berpaksikan penghayatan agama, Najib berkata, pendekatan Islam Hadhari perlu menjadi nadi dan penggerak, kepada penjanaan Melayu Glokal yang berhadapan dengan pelbagai cabaran.

``Pendekatan Islam Hadhari dirintis bersesuaian dengan penggalakkan kaedah ijtihad, agar umat Islam terus berkembang dan mampu menghadapi semua keadaan dan cabaran semasa,'' katanya.

Ketika menggariskan tindakan keempat iaitu memperkuatkan jati diri Melayu Glokal melalui transformasi budaya, Najib mengingatkan proses merubah sikap dan nilai bangsa adalah satu kerja besar yang tidak dapat tidak, mesti diteruskan.

``Dengan kata lain, perubahan paradigma Melayu adalah satu transformasi budaya untuk lebih memantapkan jati diri bangsa, bersiap menghadapi cabaran akan datang,'' katanya.

Najib juga mengingatkan, Melayu Glokal adalah mereka yang mesti juga cintakan parti, faham perjuangan, bersatu padu, mengikut peraturan, bersiap sedia dan sentiasa berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.

Katanya, ini adalah tindakan kelima iaitu memperkasakan politik Melayu Glokal berteraskan idealisme perjuangan.

Beliau berkata, ahli-ahli UMNO perlu sentiasa menyemarakkan api idealisme perjuangan mendokong amanah dengan penuh semangat patriotisme kerana mereka adalah pembawa obor perjuangan yang telah diwariskan demi agama, bangsa dan negara.

``Sekiranya matlamat perjuangan kita difahami dan dihayati dengan jelas, maka peraturan dan perlembagaan parti hanya sekadar menjadi pelengkap untuk memandu perjuangan.

``Masalahnya, apabila perjuangan sudah dikaburi oleh wang ringgit, kedudukan, pangkat dan kuasa semata-mata, peraturan dan perjalanan parti akan terganggu dan integriti kita pasti dipersoalkan. Inilah yang mustahak untuk diperbetulkan,'' katanya.

Sehubungan itu, Najib menegaskan UMNO akan terus memerangi rasuah politik tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.