saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 21/07/2005

Kembalikan semangat DEB -- UMNO perlu guna kuasa politik tangani soal kepentingan Melayu terhakis


HISHAMMUDDIN Tun Hussein menjulang Keris Panca Warisan menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan selepas menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO 2005 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. - Gambar ASWAD YAHYA.



KUALA LUMPUR 20 Julai - UMNO didesak menggunakan kuasa politik yang ada padanya bagi menyuntik semula semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam usaha menangani soal kehakisan kepentingan Melayu termasuk isu siswazah menganggur dan pelajar tercicir.

Ketiga-tiga sayap parti itu - Pemuda, Wanita dan Puteri yang membuat desakan tersebut pada perhimpunan agung tahunan masing-masing hari ini mahu dasar pembangunan negara itu dipacu semula bagi memastikan kepentingan tersebut terus terpelihara.

Pemuda UMNO, setakat ini sudah sepakat untuk membawa agenda itu ke Perhimpunan Agung UMNO esok. Ia akan dibawa oleh Naib Ketua, Khairy Jamaluddin, mewakili pergerakan itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang banyak menyentuh soal itu dalam ucapan dasarnya pagi ini berkata, kuasa politik dan kelebihan suasana politik semasa mesti digunakan memandangkan pencapaian orang Melayu dalam pendidikan menjadi asas untuk menentukan kedudukan mereka pada tahun 2020.

``Justeru tempoh 15 tahun ini amat penting bagi kita melaksanakan sebaik-baiknya agenda pendidikan Melayu. Pembangunan modal insan yang terancang dan usaha untuk meningkatkan bina upaya orang Melayu amat penting bagi memastikan guna tenaga yang terbaik, terlatih, sepadan dan mencukupi untuk mengisi kemajuan negara pada tahun 2020.

``Istilah DEB sendiri perlu kembali diguna pakai sebagai dasar pembangunan negara supaya orang Melayu dapat diperkasa daripada terus terpinggir mulai sekarang hingga 2020,'' katanya.

Pada waktu yang sama, kata beliau, bantuan dan sokongan perlu terus diberikan agar anak-anak Melayu yang terpinggir dapat dikeluarkan daripada kitaran ganas kemiskinan.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sistem sokongan yang diadakan mesti berupaya untuk menghalang keciciran anak Melayu dari mana-mana peringkat pendidikan.

``Jaringan keselamatan atau peluang kedua pendidikan wajar diperluaskan supaya anak Melayu tercicir dapat mengisi peluang pekerjaan dan melanjutkan pelajaran.

``Di peringkat pengajian tinggi, jumlah anak Melayu dalam kursus-kursus kritikal mesti diseimbangkan dengan jumlah bukan Melayu agar ia lebih menggambarkan komposisi rakyat Malaysia,'' katanya.

DEB pernah menjadi dasar negara bermula tahun 1970 untuk meningkatkan ekuiti dan keupayaan Melayu dengan sekurang-kurangnya memegang 30 peratus dalam ekonomi negara sebelum digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara.

DEB bagaimanapun tidak mencapai sasaran apabila pegangan ekuiti Melayu sehingga ini hanya sekitar 18 peratus sahaja.

Khairy pula semasa menggulung perhimpunan agung pergerakannya menegaskan, Pemuda mahu DEB dikembalikan dan menjadi teras dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang sedang digubal dan akan dibentangkan oleh kerajaan pada tahun hadapan.

Beliau menegaskan, DEB bukan lagi satu agenda yang tersirat atau perkara yang hanya ada `semangat dan roh' sahaja tetapi tanpa segan dan silu perlu diletakkan sebagai teras perancangan ekonomi negara dalam RMK-9 akan datang.

Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir yang berucap mewakili barisan exco di perhimpunan agung pergerakan itu berkata, DEB telah berjaya meletakkan usahawan Melayu setanding kaum lain.

Selain itu, ujarnya, DEB juga telah berjaya melonjakkan tahap sosio-ekonomi orang Melayu ke tahap yang lebih tinggi.

``Kita mesti menyelami semangat DEB dan menjadi ia batu loncatan memajukan penguasaan orang Melayu dalam sektor ekonomi bukan sahaja di dalam negara tetapi diluar.

``Marilah kita memberi sokongan supaya DEB terus menjadi teras dasar pembangunan negara kerana DEB memungkinkan kejayaan kita,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, walaupun terdapat pelbagai sebab yang membolehkan siswazah tidak diterima pasaran, jalan penyelesaian harus dicari.

Katanya, pengangguran yang berlaku adalah satu kerugian kepada masyarakat dan negara kerana setelah sekian lama belajar dan mendapat ijazah, siswazah masih lagi menganggur.

``Telah banyak juga persoalan-persoalan yang ditimbulkan, ada yang menyoal kesesuaian kursus-kursus yang disediakan, institusi pengajian tinggi.

``Ada yang membangkitkan masalah siswazah yang tiada atau kurang kemahiran lain seperti berkomunikasi dan ada pula yang menunjukkan bukti, tentang siswazah yang semata-mata tertumpu kepada apa yang telah dipelajari tanpa mempunyai pendedahan kepada persekitaran di luar bilik darjah,'' katanya.

Isu siswazah menganggur terutamanya di kalangan bumiputera sekali lagi menjadi perhatian apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed pada 19 Februari lalu mendedahkan sehingga September tahun lalu jumlahnya telah mencecah 80,000 orang.

Bagaimanapun pada 19 Mac lalu, Mustapa membuat pembetulan dengan menyatakan angka siswazah menganggur sebenarnya 18,070 orang bagi tempoh suku ke empat tahun lalu.

Ketua Puteri UMNO, Noraini Ahmad pula berkata, kejayaan cemerlang yang dicapai oleh pelajar Melayu dalam pelajaran bukan jaminan kejayaan kerjaya dalam hidup.

Oleh itu kata beliau, pergerakan itu mendesak agar lebih banyak tempat diberikan kepada pelajar Melayu dalam pelaksanaan Skim Latihan Graduan (SLG) memandangkan 89.3 peratus atau 32,669 graduan menganggur adalah graduan Melayu.

``Selain itu, saya menggesa kerajaan agar suatu kajian menyeluruh dijalankan supaya ia dapat ditangani secara lebih holistik dan berkesan.Kita perlu ambil semua pandangan dan merancang lima hingga 10 tahun akan datang,'' katanya.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:18
Asar 4:44
Maghrib 7:27
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.