saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 24/07/2005

Kecoh hukum makan katak


JAWAPAN penulis kepada soalan yang dikemukakan oleh Azmi F. mengenai hukum makan katak sebagai harus seperti disiarkan dalam ruangan E-Pembaca pada 10 Julai lalu nampaknya perlu kepada penjelasan tambahan. Ini kerana terdapat ramai pembaca mengirim e-mel menyoalkan tentang sumber nas hukum berkenaan, apakah ia daripada al-Quran atau hadis atau pandangan ulama? Ada juga yang menyoal bagaimana katak harus dimakan, sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri melarang membunuhnya?

Dalam al-Quran disebut hanya babi sahaja yang haram dimakan. Sedangkan semua haiwan lain halal dimakan belaka kecuali jika merupakan

1. Bangkai

2. Darah yang mengalir

3. Binatang yang disembelih bukan kerana Allah

4. Binatang yang mati kerana dicekik atau tercekik

5. Binatang yang mati kerana dipukul

6. Binatang yang mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi

7. Binatang yang mati kerana ditanduk ketika berlaga dan

8. Binatang yang mati dimakan binatang buas.

Semua hukum tersebut disebut dengan jelas dalam dua ayat ini. Dalam ayat pertama Allah berfirman: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 173)

Dalam ayat kedua pula Allah berfirman: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.

Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku.

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Maidah: 3)

Semua hukum yang disebut dalam dua ayat al-Quran di atas tidak disebut bahawa katak haram dimakan.

Jika meneliti nas dan dalil daripada hadis pula tentang hukum makan katak didapati bahawa Rasulullah tidak pernah memperuntukkan hukum yang jelas tentangnya. Sebaliknya yang ada ialah hadis yang memperuntukkan hukum larangan membunuh katak.

Dalam salah sebuah hadis itu disebutkan: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basysyar dan Abdur Rahman bin Abdul Wahhab, mereka berdua telah berkata telah memberitahu kepada kami Abu Aamir al-Aqdi telah memberitahu kepada kami Ibrahim bin al-Faqhl daripada Said bin al-Maqburi daripada Abu Hurairah katanya bahawa Rasulullah telah menegah daripada membunuh surah (sejenis burung), katak, semut dan pelatuk. (Riwayat Ibn Majah)

Dalam hadis yang lain disebutkan: Telah berkata telah memberitahu kepada kami daripada Ibn Abu Zib dan Yazid telah berkata telah memberitahu kepada kami Ibn Abu Zib daripada Said bin al-Musaiyyib daripada Abdul Rahman bin Uthman telah berkata telah menyebut seorang ahli perubatan berada di sisi Rasulullah dan dia telah menyebut katak akan dijadikan ubat, maka Rasulullah melarang membunuhnya. (Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis lagi disebutkan: Telah memberitahu kepada kami Ubaidullah bin Abdul Majid telah memberitahu kepada kami Ibn Abu Zib daripada Said bin Khali dal-Qarizi daripada Said bin al-Musaiyyib daripada Abdul Rahman bin Uthman bahawa Rasulullah telah melarang membunuh katak. (Riwayat an-Nasai)

Ada juga beberapa hadis yang menyebut bahawa suara katak pada musim hujan merupakan tasbih kepada Allah.

Berdasarkan hadis-hadis itu menyebabkan sesetengah ulama termasuk Imam asy-Syafie berijtihad dan menganggap bahawa kerana Rasulullah melarang membunuh katak, maka hukum makannya pun dianggap haram.

Bagaimanapun, ketiga-tiga hadis melarang membunuh katak serta beberapa hadis yang menyebut bahawa katak itu sebagai tasbih kepada Allah adalah hadis yang lemah disebabkan terdapat perawi-perawinya yang lemah dan tidak boleh dipercayai. Dalam hadis pertama sebagai contoh terdapat Ibrahim bin al-Fadhl yang disifat oleh Ibn Hanbal sebagai daif dan an-Nasai pula menganggap perawi itu bukan thiqah (tidak boleh dipercayai).

Dalam kedua-dua hadis berikutnya terdapat pula Said bin Khalid yang disifat oleh an-Nasai sebagai daif.

Apa yang boleh disimpulkan daripada semua hadis berkenaan ialah selain ia tidak menyebut hukum pengharaman makan katak secara terang-terang, ia juga tergolong daripada hadis yang lemah atau daif.

Pandangan ulama:

Ada sesetengah ulama mengkategorikan katak seperti ikan dan haiwan-haiwan yang tinggal dalam air.

Mengenai kategori ini ada nas yang umum daripada ayat al-Quran dan hadis dihurai dan ditafsirkan (bukan secara terang-terang dan muktamad) bahawa semua haiwan yang tinggal dalam air adalah harus dimakan.

Nas yang umum daripada al-Quran itu bermaksud: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, yang kepada-Nya kamu akan dihimpunkan. (Al-Maidah: 96)

Nas yang umum daripada hadis pula seperti hadis riwayat Imam Ahmad, At-Tarmizi, Imam Malik, ad-Darimi dan lain-lain yang bermaksud: Ia (laut) bersih airnya dan halal bangkainya.

Berdasarkan nas daripada al-Quran dan hadis yang umum ini serta hukum yang diambil daripada kaedah syariah asal setiap sesuatu itu harus, maka dapat dikatakan semua haiwan yang tinggal dalam air harus dimakan termasuk katak. Bagaimanapun, hukum halal ijtihad seperti ini adalah terserah kepada adat dan pertimbangan kita masing-masing. Jika ada orang tergamak, bukan saja katak tetapi buaya pun boleh dia makan.

Sementara itu ada sesetengah ulama mengkategorikan katak dari golongan haiwan dua alam yang dipanggil dalam bahasa Arab, barmai (darat air). Haiwan jenis dua alam ini dianggap haram dimakan oleh sesetengah ulama dan hukum ijtihad ini jika dilaksanakan sepenuhnya, maka beberapa jenis ketam, siput dan kerang tidak boleh dimakan.

Dalam penelitian penulis didapati hukum haram dimakan haiwan dua alam tidak ada dalam al-Quran dan hadis, tetapi ia merupakan hukum ijtihad sesetengah ulama berdasarkan adat tempat dan persekitaran yang mereka tinggal.

Secara umumnya majoriti (jumhur) ulama menganggap semua haiwan laut (air), sama ada ikan dan binatang-binatang lain harus dimakan. Hukum majoriti ulama ini berdasarkan ayat 96 daripada surah al-Maidah dan hadis yang menyebut bahawa bangkai laut adalah halal seperti tersebut di atas.

Bagaimanapun, sesetengah mazhab seperti mazhab Syafie dan mazhab Hambali berbeza dengan majoriti ulama kerana mereka menganggap katak haram dimakan disebabkan ada hadis-hadis yang melarang membunuhnya.

Tetapi seperti telah disebut di atas bahawa kedudukan semua hadis yang melarang membunuh katak itu adalah tidak kuat belaka.

Agak perlu disebut juga nukilan Imam al-Bukhari berhubung hukum makan katak ini. Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya ketika menghurai ayat 96 daripada surah al-Maidah itu menyebut bahawa asy-Syabi (Aamir bin Syarahil) berkata: Jika ahli keluargaku makan katak, nescaya aku memberi mereka makannya. Pada waktu yang sama al-Bukhari juga menyebut bahawa al-Hassan (al-Hassan bin Abi al-Hassan Yassar al-Basri) menganggap tidak mengapa jika ada orang mahu makan kura-kura.

Berikut secara ringkasnya disebut pandangan pelbagai mazhab mengenai hukum makan katak ini.

1. Mazhab Syafie:

Ulama-ulama mazhab Syafie berpendapat katak tidak harus dimakan kerana selain berdasarkan hadis-hadis yang disebut di atas, katak juga tergolong kategori khaba'ith, iaitu binatang yang kotor, keji, buruk dan tidak baik. Pendapat mazhab Syafie ini memang selari dengan adat ramai bangsa di dunia ini termasuk orang Melayu yang penulis percaya jarang ada yang tergamak untuk makan katak terutama katak puru.

2. Mazhab Hanafi:

Mazhab Hanafi berpendapat hanya ikan sahaja yang halal dimakan daripada semua jenis haiwan yang tinggal dalam air. Katak, kura-kura, anjing laut, buaya dan sebagainya haram dimakan.

3. Mazhab Maliki:

Mazhab Maliki berpendapat bahawa katak sama seperti udang, ketam, kura-kura dan sebagainya boleh dimakan. Mereka berpendapat begitu kerana tidak ada nas dan dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis yang mengharamkan makan katak.

Perlu diterangkan bahawa setahu penulis tidak ada orang bermazhab Maliki yang makan katak, kura-kura dan sebagainya. Penulis sangat lama bergaul dengan orang bermazhab Maliki di Maghribi, Tunisia, Algeria dan Mesir tidak pernah melihat atau terdengar pun ada orang bermazhab Maliki makan haiwan-haiwan itu.

Sebenarnya penduduk negara-negara Arab berkenaan lebih suka makan daging terutama biri-biri. Sedangkan ikan, udang, ketam dan sebagainya bukan menjadi makanan utama mereka kecuali yang tinggal di tepi laut. Malah penulis mendapati juga penduduk Arab yang tinggal jauh dari pantai benci pun kepada ikan, udang, ketam dan suku-sakatnya dan di pasar mereka jarang ada kedai menjualnya.

3. Mazhab Hambali:

Para ulama mazhab Hambali pula berpendapat bahawa katak dan semua haiwan yang hidup di dua alam tidak halal dimakan kecuali jika ada jalan sembelihannya.

Bagaimanapun, dikecualikan jika haiwan yang hidup di dua alam itu tidak berdarah seperti ketam dan sesetengah serangga. Tetapi katak dan kura-kura yang tergolong daripada haiwan yang hidup di dua alam yang berdarah, macam mana boleh disembelih? Katak yang tidak mempunyai leher dan kura-kura pula menyembunyikan lehernya dalam perisainya menyusahkan untuk disembelih. Apakah itu menjadi antara punca menyebabkan katak haram dimakan? Penulis tidak pasti.

Haiwan yang hidup di dua alam yang lain seperti udang, ketam dan sebagainya walaupun tidak disembelih tetapi halal dimakan pada mazhab Hambali kerana tidak berdarah.

Begitulah kedudukan hukum makan katak dalam al-Quran, hadis dan fikah (ijtihad) para ulama pelbagai mazhab.

Tetapi seperti penulis menjawab soalan Azmi F. pada 10 Julai lalu, iaitu hukum makan katak itu terserah kepada pertimbangan masing-masing dan adat kebiasaan yang diamal dalam masyarakat. Jika ada yang berselera dan adat kebiasaan masyarakatnya pula tidak menganggap menjadi jelik dan keji, maka dianggap boleh makan.

Jika sebaliknya, maka dianggap tidak boleh makan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.