saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 29/07/2005

Satu mangsa dikesan selamat -- Laungan minta tolong 3 lagi penumpang nahas helikopter turut didengar


SEORANG mangsa nahas helikopter Bell 206 Jet Ranger milik Hornbill Skyways (dalam bulatan) melambai kepada pasukan penyelamat yang menjalankan gerakan mencari di kawasan Ulu Baleh, Kapit, semalam. - Gambar ihsan Unit Udara PDRM.



BELAGA 28 Julai - Selepas empat hari usaha mencari dan menyelamat mangsa helikopter Bell 206 Jet Ranger dijalankan, akhirnya pagi ini pasukan menyelamat berjaya mengesan seorang mangsa yang terselamat sedang berdiri dan melambai-lambai ke arah mereka menggunakan sehelai baju berwarna merah.

Pada masa sama, suara laungan meminta tolong turut kedengaran dan dipercayai dari tiga penumpang lain.

Mangsa pertama dikesan pukul 9 pagi ketika operasi menurunkan pasukan mencari dan menyelamat menggunakan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia dilakukan di lokasi kejadian di Bukit Batu Tiban, di Ulu Baleh, Kapit dekat sini.

Bagaimanapun identiti mangsa yang melambai-lambai itu belum diketahui.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Talib Jamal dalam sidang akhbar kira-kira pukul 8 malam ini memberitahu, usaha membawa keluar mangsa dipercayai dapat dilakukan esok.

Pesawat malang yang dipandu Kapten Razali Sani, 48, itu turut membawa dua juruukur Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Razali Hasan, 48; Ramli Jamal, 35, dan Koperal Empeni Karong, 33, anggota tentera bertugas di 9 Briged Infantri Kem Oya, Sibu.

Menurut seorang anggota penyelamat, ketika pasukannya melakukan penerbangan rendah berhampiran tempat kejadian, mereka dapat mendengar laungan meminta tolong dari kawasan nahas.

``Kami lihat seorang mangsa menggunakan sehelai baju merah sedang melambai-lambai dari kawasan berkenaan dan dia dalam keadaan baik.

``Suara laungan meminta tolong turut kedengaran dan pasukan penyelamat yakin ia laungan tiga lagi mangsa yang cedera dan mungkin berlindung dalam bangkai helikopter,'' katanya.

Menurutnya, penerbangan itu dilakukan bagi menurunkan empat anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) menggunakan tali ke atas sebatang pokok berhampiran tempat kejadian.

Beliau memberitahu, pasukan pertama itu turut membawa bekalan makanan, perubatan serta alat komunikasi.

Bagaimanapun katanya, alat komunikasi tersebut gagal berfungsi kerana kedudukan bangkai pesawat berada di celah lereng bukit curam.

Kemudian, tiga lagi anggota bomba diturunkan di kawasan sama sejam kemudian dan turut membawa beberapa keperluan bagi merawat mangsa.

``Pasukan penyelamat berjaya diturunkan kerana keadaan cuaca agak baik hari ini berbanding semalam,'' katanya.

Sementara itu, Talib memberitahu, semalam pasukan penyelamat turut berjaya merakamkan gambar seorang mangsa memakai baju biru melambai dari kawasan nahas.

``Mangsa dipercayai selamat dan mungkin ada yang tercedera dan pasukan penyelamat sedang berusaha sebaik mungkin untuk sampai di lokasi nahas secepat mungkin.

Namun katanya, apa yang menyukarkan ialah kedudukan bangkai pesawat yang berada di cerun dengan kecuraman hampir 90 darjah dan tersangkut di atas sebatang pokok.

``Keadaan ini memerlukan pasukan penyelamat menggunakan tali untuk turun sejauh 200 kaki bagi sampai kepada mangsa. Memang sukar untuk sampai ke sana melalui jalan udara,'' katanya.

Menurutnya, setakat ini dua pad pendaratan helikopter dibina bagi memudahkan pasukan mencari dan menyelamat diturunkan.

Beliau memberitahu, 19 anggota penyelamat diturunkan di kawasan itu terdiri daripada enam pasukan bomba dan penyelamat, empat Pasukan Khas Udara, dua petugas Jupem, enam PGA dan satu tentera dari pasukan 3 Ranger Diraja.

Isnin lalu, sebuah helikopter Bell 206 Jet Ranger milik Hornbill Skyways Sdn. Bhd. (Hornbill Skyways) dilaporkan hilang dari radar di kawasan Ulu Baleh, Kapit berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, Indonesia.

Ketika kejadian, juruterbang helikopter berkenaan dipercayai sedang mencari tempat mendarat sementara bagi mengelak dari cuaca buruk ketika itu.

Insiden Isnin lalu, merupakan kejadian ketiga membabitkan helikopter Hornbill Skyways dalam tempoh setahun bermula 12 Julai tahun lepas.

Pada tarikh tersebut, helikopter syarikat berkenaan yang membawa Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Dr. Judson Sakai Tagal terhempas di Pa'Lungan berhampiran Bario dan mengorbankan kesemua tujuh penumpang termasuk juruterbang.

Seterusnya, pada 3 September 2004 empat lagi terkorban apabila helikopter Bell 206 Jet Ranger milik syarikat yang sama terhempas di hutan paya di Asajaya kira-kira 70 Kilometer dari Kuching.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.