saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 23/08/2005

Dakwah Orang Asli - Kenali pantang larangnya

Rencana AZMI ABDUL MALEK
TUGAS berdakwah di kalangan masyarakat Orang Asli di negeri Perak bukan mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan tolak ansur.

Sebelum menjalankan kegiatan dakwah di perkampungan Orang Asli, setiap pendakwah mesti memahami adat resam dan budaya masyarakat mereka terlebih dahulu.

Selain itu, pendakwah mesti mengetahui pantang larang dan sifat-sifat yang tidak digemari masyarakat berkenaan. Ia mesti pandai bergaul dengan mereka supaya hajat boleh tercapai dengan mudah.

Hal ini amat difahami Penolong Pengarah Ukhuwah 1, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Mustapa Jaafar yang pernah bertugas di kawasan pedalaman Orang Asli di sekitar negeri Perak.

Beliau berkata, banyak pengalaman berguna tersemat di hati sejak menjalankan kegiatan dakwah di kalangan penduduk Orang Asli di negeri ini.

Di antaranya, beliau dan pegawai JAIP yang lain terpaksa berdepan dengan beberapa masalah besar yang sukar diatasi, termasuk yang mengancam keselamatan diri sendiri.

Bagaimanapun, beliau dan rakan-rakan menggunakan pendekatan berhemah untuk menarik minat mereka memeluk Islam.

Mustafa berkata, selain pegawai JAIP, ada beberapa pengembang agama lain berulang-alik ke tempat yang sama.

``Sesetengah mereka sanggup tinggal beberapa bulan dengan masyarakat Orang Asli semata-mata mahu memenangi hati mereka,'' jelasnya.

Mengimbas kembali pengalamannya, kenderaan mereka pernah diterbalikkan sebagai mensabotaj kegiatan dakwah yang dijalankan.

Namun, beliau dan rakan-rakannya tetap tabah menunaikan tanggungjawab mengembangkan syiar Islam di kalangan masyarakat Orang Asli.

Cabaran paling getir terpaksa dilaluinya ialah sikap masyarakat berkenaan yang agak sukar menerima perubahan.

Mereka sudah selesa dengan cara kehidupan dan adat resam yang diwarisi turun-temurun daripada nenek-moyang mereka.

Golongan Orang Asli yang kebanyakannya daripada suku kaum Temiar, lebih selesa mengamalkan fahaman dan kepercayaan tradisi.

Kedudukan ekonomi, pendidikan dan nilai pengorbanan serta sosio-budaya yang berbeza, menyebabkan mereka sukar menerima perubahan.

Bagaimanapun berkat kesabaran dan sokongan masyarakat Islam berjiran, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, peruntukan infrastruktur dan tenaga pendakwah berkaliber serta peruntukan kewangan, semua masalah dapat diatasi dengan mudah.

``Sesekali kami mengadakan projek gotong-royong untuk menunjukkan bahawa Islam menganjurkan semangat kerjasama dan perpaduan ummah,'' katanya.

Penerangan

Menurut Mustapa, pendakwah JAIP kerap memberikan penerangan secara individu mengenai prinsip dan ajaran Islam kepada Orang Asli.

Setakat ini hampir 9,000 Orang Asli di negeri ini yang kebanyakannya suku kaum Temiar tinggal di Tapah, Grik dan Kuala Kangsar memeluk Islam. Menurutnya, sebelum menjalankan tugas beliau harus mengkaji sejarah dan budaya masyarakat Orang Asli bagi memudahkan pergaulan dengan mereka.

Beliau berkata, Orang Asli merupakan istilah yang digunakan ke atas sekumpulan masyarakat pribumi di Semenanjung Malaysia, yang dikenali dengan panggilan lain seperti Sakai, Pagan dan Orang Darat.

Katanya, mengikut Akta 134 - Akta Orang Asli 1954 (Disemak tahun 1974), orang Asli merujuk kepada individu seperti ibu-bapanya Orang Asli, ibunya Orang Asli, bapanya Orang Asli dan individu yang dipelihara sebagai anak angkat oleh Orang Asli semenjak kecil, di samping individu-individu berkenaan masih mengamalkan cara hidup, kepercayaan, adat istiadat dan berbahasa Orang Asli.

Berdasarkan kajiannya, Orang Asli dipercayai berasal dari utara Asia (Yunan dan Indocina). Penghijrahan ke negara ini berlaku secara berperingkat di Negrito, 25,000 tahun lampau, Senoi, 5,000 tahun lampau dan Melayu Proto, 4,000 tahun lampau.

Mereka merupakan masyarakat yang tidak homogenous dan berasaskan dialek bahasa dan ciri-ciri fizikal, mereka boleh dibahagikan kepada tiga kaum iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto.

Kaum

Setiap kaum boleh dipecahkan kepada enam suku kaum Negrito iaitu Kintak, Kensiu, Jahai, Mendrik, Batek dan Lanoh.

Manakala Senoi terdiri daripada suku Temiar, Semai, Che Wong, Jah Het, Semaq Beri dan Mah Beri.

Melayu Proto pula terdiri daripada suku kaum Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanak, Orang Seletar dan Orang Kuala.

Banci Penduduk Orang Asli tahun 2000 mencatatkan jumlah keseluruhan mereka seramai 138,882 dengan pecahan Negrito - 4,150 orang, Senoi - 72,871 orang dan Melayu Proto - 55,860 orang.

``Penempatan Masyarakat Orang Asli terdapat di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia, kecuali Pulau Pinang dan Perlis,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ipoh baru-baru ini.

Mustapa berkata, penempatan mereka tertumpu di kawasan pedalaman, iaitu 45.6 peratus daripada 840 buah perkampungan di seluruh negara, manakala 53.3% tinggal di pinggir bandar dan 1.1% di bandar.

Kepercayaan

Sebahagian besar Orang Asli mengamalkan kepercayaan animisma dan selebihnya menganut pelbagai agama, iaitu Islam 22,428 orang (16.9%), Kristian (9,765 orang-7.3%), Hindu (383 orang - 0.3%), Buddha/Confusious (254 orang -0.19%), lain-lain Agama Cina (268 orang-0.2%), Animisma (71,098 orang - 53.5%), Lain-lain (4,051 orang - 3.0%), Tiada Agama ( 23,272 orang-17.5%) dan tidak diketahui (339 orang -0.3%).

Menurut Mustapa, Orang Asli juga mempunyai adat dan kepercayaannya tersendiri dan sebahagian besar mereka mengikuti sistem kepercayaan kepada `roh' atau animisma.

Bagi masyarakat Orang Asli, sistem kepercayaan yang ada dalam masyarakat merupakan satu alat untuk mengawal masyarakat dan menghukumnya.

``Walaupun sebahagian besar masyarakat Orang Asli menganut fahaman animisma, namun cara hidup dan amalan harian mereka sudah mempunyai nilai-nilai Islam.

``Dengan demikian, usaha-usaha memperkenalkan kesempurnaan dan mudahnya Islam itu kepada masyarakat Orang Asli, perlu mengambil perhatian penting terhadap beberapa etika berdasarkan adat dan pantang larang mereka, ``jelasnya.

Beliau berkata, antara pantang larangnya ialah seseorang pengunjung atau tetamu yang berkunjung ke rumah Orang Asli, hendaklah menghormati adat-adat seperti tidak boleh naik sebelum dipelawa dan dilarang mengunjungi atau memanggil nama tuan rumah yang mempunyai daun-daun yang bergantung di hadapan pintu.

Tradisional

Menurutnya, gantungan daun tersebut menandakan orang sakit atau sedang berubat secara tradisional di dalam rumah tersebut.

Beliau berkata, mereka tidak boleh memuji kecantikan seorang kanak-kanak dengan pujian nama comel, gemuk, putih, gebu dan sebagainya.

Pengunjung juga tidak boleh menghampiri kanak-kanak kecil kerana tindakan itu boleh menghilangkan semangat mereka dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

Tetamu juga tidak boleh membuat sebarang janji yang dirasakan mungkin kita tidak boleh menunaikannya.

``Menurut kepercayaan mereka, orang yang menunggu janji yang tidak ditunaikan akan ditimpa kemalangan atau sakit.

``Di samping itu, tidak boleh memberi hadiah secara terus kepada seseorang wanita Orang Asli yang tidak dikenali dan hanya boleh diberikan melalui orang ketiga, iaitu batin, penghulu, bapa atau abang,'' katanya.

Menurut Mustapa, pengunjung juga tidak boleh menunjukkan atau bersikap sebagai pegawai, tidak boleh mengambil balik lebihan makanan yang disediakan di kampung tersebut, tidak boleh meludah di sebarangan tempat, tidak boleh mengintip atau mengintai-intai rumah, tidak boleh berdebat atau berbahas sesuatu masalah dan tidak menggunakan istilah yang menyinggung perasaan seperti `sakai'.

Pengunjung juga dilarang membuat perbandingan antara satu kampung dengan satu kampung yang lain dan tidak boleh memetik buah-buahan mereka secara sesuka hati seperti memetik sebiji rambutan, jambu dan lain-lain untuk dimakan sebagai percubaan.

Penerangan

Sikap dan perkara yang perlu diambil perhatian apabila berada di perkampungan Orang Asli, ialah memberitahu terlebih dahulu akan kehadiran pelawat melalui orang tengah, meminta izin sebelum naik ke rumah jika dipelawa naik, meminta izin penghulu atau batin untuk membuat sesuatu kegiatan yang melibatkannya, menerima dan menghargai pemberian walaupun pada hemat pelawat pemberian itu tidak perlu, tidak mengkritik atau mentertawakan sebarang adat atau kebiasaan yang mereka lakukan, berusaha menguasai bahasa mereka, menyertai kegiatan masyarakat yang diadakan dan berusaha memberi sebarang pertolongan yang diperlukan.

Pengunjung hendaklah menerima makanan dan minuman yang disediakan dan jika terpaksa menolak disebabkan tidak halal dan sebagainya, boleh menolak dengan istilah yang halus seperti `pantang' dan sebagainya.

``Jangan berbincang atau berbual mengenai perkara yang menimbulkan ketegangan dan sensitif, terutama berkaitan dengan adat dan kepercayaan, bersabar atas sebarang tingkah laku yang aneh di kalangan masyarakat Orang Asli, cuba memahami maksud kata-kata yang disuarakan penduduk kampung, terutama Penghulu atau Batin yang mengandungi ancaman dan sebagainya serta berlemah lembut dalam menghadapi kumpulan sasar,'' ujarnya lagi.

Dengan cara itu kegiatan dakwah akan lebih berkesan dan mudah diterima tanpa menimbulkan pelbagai masalah rumit.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.