saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/08/2005

Anugerah Skrin 2005 - Pertama kali tanpa hadiah wang tunai


PARA pemenang bersama trofi masing-masing selepas berakhirnya Anugerah Skrin 2005 di PWTC, Kuala Lumpur Jumaat lalu.



ANUGERAH Skrin 2005 yang berlangsung Jumaat lalu menyaksikan buat pertama kalinya pemenang bagi kategori Filem Terbaik dan Cerekarama Terbaik tidak mendapat imbuhan wang tunai.

Sebelum ini, pemenang dua kategori itu masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan para pemenang kategori lain pula menerima sebuah trofi.

Dua tahun lalu, Anugerah Skrin 2003 menyaksikan filem Embun dan drama Aduhai Esah muncul pemenangnya dan masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

Bagaimanapun, anugerah dwi tahunan kali ke-7 anjuran Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) itu pada tahun ini hanya menyediakan trofi untuk 23 kategori yang dipertandingkan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Skrin 2005, Anthony Firdauz Bujang, sebagai gantinya TV3 menyediakan hadiah berupa satu pakej percutian kepada para pemenang ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun depan.

``Para pemenang akan dibawa untuk mengikuti satu pakej yang diberi nama Warner Brothers Studio VIP Tour di Hollywood, Los Angeles, AS.

``Pakej selama beberapa hari itu meliputi tiket penerbangan pergi balik, hotel penginapan dan makan minum.

``Keseluruhan pakej untuk menaja percutian para pemenang itu dianggarkan berjumlah lebih RM100,000,'' katanya sewaktu ditemui selepas anugerah itu berakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam Jumaat lalu.

Jelas Anthony, pihaknya berharap agar hadiah berupa pakej pelancongan seperti itu boleh memberi pengalaman berguna kepada para pemenang terbabit.

``Kami harap hadiah seperti itu lebih bermakna dan boleh membantu dalam usaha untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam bidang yang mereka ceburi.

``Ini kerana, sewaktu berada di Studio Warner Bros nanti, para pemenang akan diberi pendedahan tentang dunia perfileman dan lakonan yang ada di studio tersebut.

``Selain itu, para pemenang juga berpeluang untuk mendapat slot siaran dan juga berlakon menerusi program-program terbitan TV3,'' ujarnya.

Anugerah Skrin 2005 mempertandingkan 32 filem serta 14 drama yang ditayangkan pada tahun 2003 dan 2004.

Komen para pemenang

Afdlin Shauki

(Pengarah Terbaik & Lakon Layar Terbaik ):

``Saya tidak jangka kemenangan ini. Sedangkan sewaktu FFM18 (Festival Filem ke-18) yang lepas saya jangkakan Buli akan menang anugerah tetapi ia sebaliknya (tidak menang Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik).

``Kalaulah saya tidak menang anugerah pada malam ini, saya tidak rasa malu kerana saingan saya semuanya hebat-hebat belaka.

``Saya minta maaf kerana sampai selepas majlis ini berakhir. Saya lewat kerana ketika itu kebetulan saya berada di Hotel Shangri-La kerana menjadi pengacara persembahan Inul di situ''.

Nasha Aziz

(Pelakon Wanita Terbaik Filem):

``Saya memang sengaja tidak mahu naik ke pentas untuk mengambil trofi kemenangan saya pada malam ini kerana `rahsia wanita'.

``Perkara itu tidak dirancang. Ini kali ketiga saya tidak muncul di pentas untuk mengambil anugerah.

``Saya berbuat begitu kerana saya lihat filem-filem yang dicalonkan tidak tulis pun nama aktresnya. Saya tidak jangka menang.

``Kemenangan ini membuktikan lakonan saya dalam filem horror seperti Trauma juga boleh diterima penonton tempatan''.

Nasir Bilal Khan

(Pelakon Lelaki Terbaik Drama):

``Saya tidak pernah jangka akan menang anugerah ini melalui drama Cinta Si Penggali Kubur. Bagi saya, pelakon seperti Jalil Hamid dan M. Rajoli juga hebat.

``Saya takut terima anugerah ini kerana ia akan memerlukan saya berlakon dengan lebih baik di masa depan supaya kerja saya tidak dipertikaikan oleh masyarakat.

``Bagi saya, apa juga yang dilakukan biarlah ada kejujuran kerana kejujuran lebih kuat daripada wang ringgit.

``Saya bersyukur kerana ini adalah anugerah ke-5 saya sejak terbabit dalam bidang lakonan''.

Rosyam Nor

(Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama):

``Saya memang letak harapan yang besar untuk drama Sekeras Kerikil kerana ia adalah arahan terbaik Rashid Sibir.

``Watak lakonan saya dalam drama ini dekat dengan jiwa manusia. Ia sebuah kisah benar yang menguji kesabaran manusia.''

Lis Dawati

(Pelakon Wanita Terbaik Drama):

``Saya bersyukur mungkin kerana ini adalah rezeki saya. Saingan saya semuanya hebat. Bayangkan saya bersaing dengan pelakon lain yang lebih senior.

``Sewaktu dalam perjalanan ke anugerah ini saya terjatuh hingga kaki saya berdarah. Ketika itu saya di Kajang, Selangor kerana baru habis shooting drama, saya pecut bawa kereta dan sampai dalam masa setengah jam.

``Watak lakonan saya dalam Miftahul Jamilah memang mencabar. Saya melakonkan watak seorang isteri yang tidak dilayan dan teringin belaian suami.''

Adman Salleh

(Pengarah filem Paloh):

``Bagi saya, filem yang dibuat dengan jujur akan membawa satu suara dan visi. Saya yakin para juri berkenan dengan isu yang dibawa menerusi Paloh.

``Kekuatan Paloh kerana ia sebuah filem sejarah tetapi ia tidak seperti sejarah yang dibukukan. Saya anggap Paloh sebagai filem sejarah daripada kacamata orang bawahan.

``Bagaimanapun, saya kecewa apabila Janet Khoo tidak menang anugerah menerusi lakonannya dalam Paloh.

``Saya lihat Janet melakonkan wataknya dalam Paloh dengan teliti. Selain itu saya melihat saingan terdekat Janet ialah Tiara Jacquelina (Puteri Gunung Ledang)''.

Sarimah Ibrahim

(Penyampai Rancangan Hiburan/Sukan Terbaik TV3):

``Saya harap kemenangan ini akan membuka laluan kepada saya untuk aktif dalam dunia pengacaraan.

``Bagi saya kemenangan ini hasil kerjasama saya dengan Aznil Nawawi sewaktu menjayakan Anugerah Juara Lagu ke-18 (AJL18).

``Walaupun AJL18 penuh kontroversi tetapi feed back yang saya terima daripada program itu memang bagus''.

Karam Singh Walia

(Wartawan Terbaik TV3):

``Ini adalah anugerah kedua saya terima bagi kategori ini. Pertama pada 1998. Kemenangan ini saya tujukan kepada isteri saya, Bhagwant Kaur dan anak-anak saya yang banyak berkorban masa untuk saya.

``Saya banyak habiskan masa ke luar negara untuk belajar dan membuat liputan. Ini adalah anugerah ke-25 yang saya terima sepanjang tujuh tahun menjadi wartawan penyiaran''.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.