saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/09/2005

Cicakman - Masih banyak yang belum boleh didedahkan


Aznil Nawawi (kanan) sebagai Profesor Klon yang obses dengan imej dan penampilannya bersama Jalalluddin Hassan sebagai presiden bandaraya yang dihuni Cicakman.



BANYAK perkara yang tidak boleh didedahkan kepada khalayak tentang Cicakman, filem sulung arahan Yusry Abdul Halim yang diterbitkan oleh KRU Films Sdn. Bhd., buat masa ini.

Itu perkara pertama yang disuarakan Yusry ketika ditemui Mega sewaktu pengarah muda itu mengadakan latihan membaca skrip (script reading) filem tersebut di Wisma KRU, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Yusry tidak pula menolak untuk bercerita tentang filem debut arahannya itu walaupun ada beberapa perkara (banyak sebenarnya) yang tidak boleh ditulis, seperti yang diminta Yusry.

Walau Yusry menunjukkan gambar still watak superhero tempatan itu, wajah bandaraya yang akan menjadi lokasi Cicakman dan kereta polis yang diimiginasikannya menerusi komputer riba, tetapi semua itu belum boleh dituliskan atau dipaparkan untuk umum.

``Bukan mahu berahsia sangat tentang Cicakman ini tetapi kita perlu mencipta hype,'' jelas Yusry.

Apalagi kerana filem tersebut hanya akan ditayangkan kepada umum pada tahun depan; berkemungkinan besar selepas demam Piala Dunia 2006 selesai.

``Masih jauh lagi `perjalanan' Cicakman. Takut nanti, jika `diberikan' terlalu banyak, orang ramai bosan pula.

``Lebih baik kita `simpan' sedikit untuk memberi keterujaan kepada khalayak,'' ujar Yusry tentang filem aksi komedi superhero versi tempatan ini.

Tambahan pula, katanya, banyak perancangan yang bakal dilakukan untuk menjadikan Cicakman sebagai satu ikon masyarakat Malaysia.

Malah tegas Yusry, pihaknya mahu menjadikan Cicakman sebagai tanda aras kepada pembikinan filem-filem begini di masa akan datang.

``Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa cicak? Jawapannya mudah, binatang itu `dekat' dengan masyarakat kita,'' kata Yusry.

Superhero tempatan

SEBAGAI sebuah filem superhero tempatan yang pertama seumpamanya, Cicakman akan menampilkan banyak penggunaan kesan khas dan Computer Generated Imagery (CGI).

Menurut Yusry, 70 peratus pembikinan filem tersebut akan menampilkan elemen CGI dengan separuh daripada penggambarannya akan dibuat di dalam studio.

Terdapat lima set yang berbeza dan direka oleh Azhar Sulaiman akan dijadikan lokasi bagi penggambaran Green Screen bagi proses chroma key, dibina dalam sebuah gudang yang terletak di Batu Caves, Selangor.

Sementara 30 peratus lagi penggambaran akan dijalankan di sekitar Lembah Kelang termasuk di Putrajaya, Cyberjaya dan Taman Teknologi Malaysia (TPM).

``Setiap watak superhero akan ada bandarayanya sendiri. Begitu juga dengan Cicakman.

``Walaupun bandarayanya menggambarkan sebuah negara sejuk tetapi tiada penggambaran di luar negara.

``Semua elemen tentang bandaraya itu akan dilakukan menggunakan kaedah CGI,'' kata Yusry yang turut menulis lakon layar filem tersebut sementara skrip dihasilkan Meor Shariman.

Yusry juga kelihatan yakin dan begitu optimis terhadap filem tersebut biarpun Cicakman merupakan arahan pertamanya.

``Saya telah banyak menghasilkan iklan dan klip video dengan kaedah begini umpamanya iklan Samsung yang disiarkan di saluran MTV dan Chanel V serta klip video sejak Jangan Lafazkannya sehinggalah yang terbaru, Tak Tahu oleh Adam AF2.

``Saya tidak nafikan lebih senang mengarah filem dengan kaedah begini kerana saya arif tentangnya.

``Lagipun semuanya saya buat sendiri; dari idea hinggalah kepada story boardnya. Jadi saya tahu apa hala tujunya.

``Apa yang boleh saya katakan, saya mengambil berat setiap aspek untuk filem ini. Selain kaedah CGI, kostum elemen penting dalam filem ini.

``Bukan sahaja untuk watak Cicakman tetapi juga Profesor Klon yang obses dengan imej dan penampilannya serta mutan Profesor Klon lakonan AC Mizal dan Adlin Aman Ramlie.

``Sehinggakan kita mencipta sendiri kereta polis dan seragamnya malah kostum untuk pelakon tambahannya juga kita ambil berat,'' kata Yusry yang menyerahkan tanggungjawab untuk mereka kostum kepada Izatt Artistic Team.

Yusry yang telah memulakan kerja-kerja pra-produksinya sejak Mac lalu akan menjalani penggambarannya hari ini (5 September).

Penggambaran Cicakman yang menelan kos sebanyak RM2 juta termasuk promosi akan memakan masa selama 30 hari ke 35 hari, selain tiga bulan pasca-produksi dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.

``Hari ini, saya hanya menerangkan kepada mereka tentang watak-watak yang bakal mereka bawakan selain untuk mengkordinasikan adegan-adegan pertarungan,'' beritahunya.

Watak

DILAKONKAN oleh Saiful Apek sebagai [email protected], watak jahat dijayakan oleh Aznil Nawawi sebagai Profesor Klon dengan anak-anak buah mutannya; AC Mizal dan Adlin Aman Ramlie.

Yusry sendiri turut berlakon dalam filem tersebut sebagai Danny, kawan baik kepada Hairi.

Sementara watak heroin bernama Tania yang diminati Cicakman didukung oleh Fasha Sandha.

Turut berlakon ialah Yasmin Hani Richardson sebagai Nadia dan aktor Jalaluddin Hassan pula membawa watak presiden bandaraya yang dihuni Cicakman.

``Cicakman bekerja di makmal Profesor Klon dan satu hari terjadi satu kemalangan yang tak disengajakan yang membuatkan dia memiliki kuasa cicak yang boleh melekat di dinding, menggunakan lidah seperti lidah cicak dan jika luka, lukanya cepat sembuh.

``Tetapi seperti superhero lain, dia juga mempunyai kelemahan dan seperti cicak, dia lemah dengan gelang getah,'' cerita Yusry mengenai filem tersebut.

Ditanya mengapa isterinya, Erra Fazira tidak terlibat dalam pembikinan filem sulungnya itu, jelas Yusry:

``Semasa saya menghasilkan ideanya, semua watak-wataknya sudah saya bayangkan siapa pendukungnya.

``[email protected] memang untuk Apek dan Tania memang saya bayangkan Fasha Sandha.

``Tetapi tidak ada bayangan Erra. Bagaimanapun, saya ada bertanya kepadanya dan dia kata, dia tak mahu watak-watak gadis lembut seperti Tania. Lainlah kalau ada watak Cicakwoman.''

Pada petang latihan bacaan skrip itu, Mega turut berkesempatan merakamkan wajah-wajah Profesor Klon dan Presiden yang telah disolek untuk tujuan fotografi di belakang tabir filem itu.

Sementara itu Norman Abdul Halim pada sidang akhbar di majlis doa selamat filem tersebut baru-baru ini memberitahu, seperti kisah superhero yang lain, Cicakman akan muncul dengan pelbagai koleksi barangannya termasuk novel dan komik.

``Cuma kalau watak superhero Barat muncul dengan komik sebelum dijadikan filem, kita pula sebaliknya,'' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.