saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 15/09/2005

LY - Sudah cipta 450 lagu

``Rozman Shafie? Siapa tu?'' Begitu tanya beberapa teman bila nama itu saya sebutkan. Memang ramai yang tidak mengenali nama itu.

Tapi kalau nama itu ditanyakan kepada para pelajar sekolah menengah di sekitar Johor, pasti ramai yang akan menjawab, ``Itu cikgu kami.''

Rozman di kalangan peminat seni dan penyanyi, sebenarnya lebih dikenali dengan nama LY, seorang pencipta lagu.

Antara 450 buah lagu ciptaannya yang terus mendapat tempat di hati pendengar ialah Mengapa (Nicky Astria), Satukan Hati Kami (Poppy Mercury), Aku Cinta Padamu (Siti Nurhaliza), Bourgenvilla (Spring), Bayangan Gurauan (Mega), Rahsia Pohon Cemara (Exists), Syurga Di Hati Kita (Ziana Zain) dan banyak lagi.

Lagu pertama ciptaan LY ialah 1511 berentak rock untuk kumpulan Bumiputera Rockers (BPR) yang dimuatkan dalam album Bisa pada 1987.

``Bagi saya mencipta lagu adalah satu eskapisme bila penat. Bayangkan setiap hari saya perlu berhadapan dengan 40 orang murid dalam satu kelas. Kalau mengajar tiga kelas, sudah tentu saya perlu menghadapi gelagat 120 murid.

``Sebagai guru, saya perlu cari satu kaedah memotivasikan diri dan sekali gus memberi semangat kepada pelajar. Jadi hanya muzik yang dapat memberi pendorong kepada saya,'' jelasnya yang menjadikan muzik untuk atasi masalah kerja.

LY mula mencipta lagu ketika mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Majidee Baru, Johor Bahru setelah berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Seni Halus di Maktab Perguruan Sultan Idris (1982-84).

Pada 1993, LY mengambil keputusan melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Seni Halus di Institut Teknologi Mara (kini UiTM), Shah Alam.

``Waktu itu saya memang parah sebab gaji dapat separuh. Habis kuliah saya pergi studio. Namun saya bernasib baik sebab lagu Bayangan Gurauan berjaya menjadi juara Pujaan 10 Nescafe.

``Dari situ ramai yang mula minta lagu daripada saya. Saya bernasib baik kerana tahun berikutnya lagu Bourgenvilla, dendangan Spring pula berjaya masuk separuh akhir Muzik Muzik,'' ceritanya.

Dia yang kini akan mengakhiri pengajian hujung tahun ini di peringkat Master In Art Therapy di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), mencipta lagu dengan ingatan.

Kata LY, dia ingat semua melodi lagu-lagu ciptaannya dulu biarpun tidak dirakam seperti yang dilakukan oleh pencipta lain setiap kali mendapat idea baru.

``Mula-mula dulu saya tidak tahu main piano langsung. Saya cipta lagu cara `ham' dan ingat dalam kepala. Bila ada yang minta, saya akan nyanyikan lagu tersebut secara spontan. Orang lain mungkin akan tekan alat perakam untuk perdengarkan lagu ciptaan mereka, tapi saya pula akan menyanyikannya,'' jelas LY.

Mungkin cara itu nampak ortodoks. Tapi LY ada alasan tersendiri.

Katanya, ``Setiap lagu yang dicipta, lahir daripada naluri pencipta dan di situlah terletaknya keunikan melodi lagu. Naluri itu biasanya spontan dan ia akan datang pada bila-bila masa. Sebab itu, kalau sekali dia datang, saya terus `rakamkannya' dalam kepala.''

Sering kita lihat, kebanyakan lagu ciptaan LY, liriknya dihasilkan oleh isterinya yang menggunakan nama Baiduri.

Kata LY, ``Saya senang bekerjasama dengan Baiduri. Dia tahu apa kehendak saya. Biarpun sekadar lirik, namun saya sentiasa mahu lirik yang kemas, ada wacana, penggunaan tata bahasa yang betul, ada konsep dan jalan cerita untuk disampaikan kepada pendengar. Saya amat menitik beratkan semua ini kerana saya mahu karya saya menjadi khazanah yang boleh menjadi rujukan kepada anak cucu kelak,'' katanya penuh semangat.

Banyak nama pena

Ayah kepada lima orang anak itu berkata, pembabitannya dalam bidang penciptaan lagu bermula ketika usianya 28 tahun.

Lagu Mengapa dendangan Nicky Astria (1995) merupakan sajak yang diciptanya pada 1978.

``Di kalangan adik beradik, semua tahu saya suka menyanyikan lagu yang tidak pernah disiarkan di corong radio. Masa kecil, kami lima beradik sering membantu ibu membuang ekor taugeh. Sambil itu kami menyanyi.

``Hari-hari buat kerja yang sama dan hari-hari kami menyanyi. Lama-lama, semua lagu kami sudah nyanyikan. Itu yang menjadikan akhirnya saya suka-suka cipta lagu sendiri. Kakak-kakak saya selalu kata, lagu yang saya cipta itu sedap didengar. Kata-kata mereka itu telah mendorong saya bergiat dalam bidang penciptaan lagu,'' imbas LY.

Untuk pengetahuan peminat seni, LY bukan sekadar mencipta lagu berentak balada malah dia juga menghasilkan lagu irama rock.

Jelasnya, untuk lagu-lagu irama rock, dia lebih senang menggunakan nama pena Django, gelaran untuk abangnya, A.Rashid.

Kalau anda ternampak nama Amin Abdullah itu pun merupakan salah satu nama penanya.

``LY, Django atau Amin Abdullah adalah orang yang sama iaitu Rozman. Saya perlu menggunakan pelbagai nama pena untuk menampakkan kemeriahan pada syarikat saya, Kelarai Sakti yang selama ini dianggotai oleh saya dan isteri sahaja,'' katanya membuka rahsia.

Kini anak sulungnya, Mohd. Ifwat, 19, yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) turut mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni sebagai penulis lirik.

Cipta lagu untuk sekolah

Kedudukannya sebagai guru yang merangkap komposer terkenal sering menjadikan LY sebagai sasaran untuk mencipta lagu bagi sekolah-sekolah di tanah air.

Kata LY, sebagai guru, dia tahu keperitan yang sering dihadapi oleh pihak sekolah bila ingin menghasilkan lagu tema dengan bajet yang terhad.

``Saya tidak menolak jika diminta mencipta lagu untuk mana-mana sekolah terutama sekolah luar bandar sebab saya tahu masalah mereka. Selalunya saya cipta lagu dan Baiduri buat lirik. Kalau tidak berkesempatan, saya hanya cipta lagu dan lirik minta pihak sekolah buatkan. Semua yang saya lakukan itu adalah sebagai sumbangan saya kepada masyarakat,'' katanya yang turut mempunyai syarikat pengiklanan Kelarai Sakti Advertising di Johor Bahru.

Selain cipta lagu untuk sekolah, LY turut menghasilkan lagu tema untuk Festival Layang-Layang, Pasir Gudang dan lain-lain festival.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.