saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 23/09/2005

Daripada-nya kita datang kepada-nya kita kembali!

INSAF, sedih pilu menyelubungi perasaan saya kala membaca berita mengenai pelbagai tragedi ngeri yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Nyawa menjadi begitu murah bagaikan tidak berharga. Jalan raya menjadi litar berlumba yang tidak menjanjikan apa-apa melainkan kematian jika salah diguna.

Pada hari yang mulia ini, Jumaat, penghulu segala hari, marilah kita sama-sama bertafakur dan bersedekah fatihah kepada mangsa-mangsa pelbagai kejadian ngeri yang mengorbankan nyawa kebelakangan ini.

Lalu teringat saya kepada kisah sedih yang menimpa sahabat lama saya Rosli Ismail dan isterinya Zarina yang kehilangan anak kedua mereka Hasanin Rosli, 21, dalam satu nahas jalan raya di Kuala Lumpur.

Biarpun sudah hampir sebulan kejadian sedih itu berlaku, saya percaya mereka masih tidak dapat melupakan peristiwa itu dan kesedihan yang ditanggung.

Saya dan Rosli sama-sama mengharungi cabaran untuk mencipta nama sebagai wartawan lebih 24 tahun lalu bermula di Pulau Pinang. Berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan cabaran kerjaya, kami berjiran pula selama hampir 20 tahun dan tinggal di satu kawasan perumahan dan melihat anak-anak sama-sama membesar di depan mata.

Dua anak lelaki Rosli, menjadi kawan baik kepada dua anak lelaki saya. Sama-sama bersekolah, bermain bola sepak, berbasikal sehingga mereka menjadi dewasa dan telah bekerja. Anak-anak menjadi penyambung hubungan persahabatan dan keluarga yang terjalin antara kami, biarpun masing-masing telah berpindah daripada kawasan asal tempat kami memulakan kehidupan di Kuala Lumpur ini.

Allahyarham Hasanin kerap berkunjung ke rumah bersama anak kedua saya yang juga menjadi teman baiknya. Pada saya arwah Hasanin bagaikan anak sendiri. Anak muda yang tidak banyak cakap tetapi sentiasa tersenyum dan hormatkan orang tua ini disenangi ramai.

Saya kagum melihat ketabahan mereka suami isteri menghadapi kematian tersebut biarpun sesekali nampak mereka mengawal sebak yang bersarang di dada.

Pada hari kejadian arwah menelefon ibunya memaklumkan yang dia akan pulang ke rumah, namun dua jam kemudian berita kematiannya yang diterima.

Sampai saat ini, masih terbayang di mata saya detik pilu itu terutama ketika jenazah Hasanin dikerumuni hampir 50 kawan-kawan yang kebanyakannya menitiskan air mata semasa jenazah dikapankan. Mereka tidak berganjak untuk menatap wajahnya buat kali terakhir dan kemudian beramai-ramai

mengiringi jenazah sehingga ke liang lahad.

Sampai hari ini, kedua-dua anak lelaki saya masih tersasul menyebut nama arwah setiap kali berbual tentangnya. Sebagai ibu saya faham, mereka juga turut merindui arwah. Kepada mereka saya berpesan kalau sayangkan orang yang telah tiada lagi di dunia ini, sedekahkan fatihah dan berdoalah untuk kesejahteraan mereka di alam baqa!

Selasa lalu, hati saya tersentuh lagi apabila menatap berita muka satu akhbar kesayangan saya ini. Menjadi semula jadi bagi saya cepat terguris dengan kesedihan terutama membabitkan wanita dan kanak-kanak.

Wajah pilu tiga beradik Nurasiati Amira Baharuddin, 16, Mohd. Fadhlin Amir,10, dan Mohd. Faizul Azri enam tahun menghadap jenazah ibu mereka Zarina Deraman dan bapa tiri mereka Che Sukarnor Ibrahim pastinya mengundang kesedihan yang bukan sedikit di hati mereka yang menatapnya.

Bayangkan dua jenazah orang yang disayangi terbujur di depan mata. Ketiga-tiga beradik itu turut kehilangan adik mereka yang masih dalam kandungan. Hajat arwah Zarina bertemu tiga orang anaknya yang tinggal bersama nenek mereka Rahmah Awang, 57, di Kampung Larak, Kota Bharu, Kelantan juga tidak kesampaian.

Siapa yang tidak sedih, ibu yang ditunggu sebaliknya jenazah yang tiba. Lalu tertanya-tanya saya, bagaimana masa depan anak-anak ini?

Pada 18 September 2005, seluruh negara dikejutkan dengan tragedi ngeri kereta terbabas dan merempuh sekatan polis di Lebuh raya Jelutong Pulau Pinang mengorbankan tujuh orang termasuk tiga anggota polis.

Saya tersentak lagi. Bertambah lagi wanita yang menjadi balu dan anak-anak yatim. Dalam sekelip mata kasih sayang terurai. Tanpa kata, tanpa pesan dan tanpa sepatah pun ucapan selamat tinggal.

Ibu salah seorang mangsa, Saudah Md. Zain terpaksa menerima hakikat kehilangan anak buat kali kedua dalam nahas jalan raya. Anaknya, Mohamad Izwan Badri menjadi mangsa kejadian itu ketika berhenti untuk pemeriksaan polis. Bagaimanapun, teman wanitanya Rofisah Ahmad, 21, terselamat. Malangnya dia mengalami trauma.

Kesedihan keluarga Saudah semakin terasa kerana pada hari kejadian, mereka sepatutnya menyambut kedatangan bakal mentua anak sulungnya, Husna, 21. Kenduri untuk majlis gembira itu terpaksa ditukar kepada kenduri arwah.

Begitu juga pengalaman sedih yang dilalui isteri allahyarham Konstabel Sukarelawan Polis Shamsuri Mohamed, 30, Norazlina Pakarudin, 25, yang lalu di tempat kejadian tetapi tidak menduga suaminya terbabit dalam kejadian itu.

Sehari selepas kejadian, akhbar ini keluaran Isnin 19 September 2005, mencatatkan pengakuan Norazlina yang menganggap kata-kata terakhir yang dikirimkan suaminya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) berbunyi, I Love You. I miss you so much (Saya cintakan, saya terlalu rindukan awak) sebagai kata-kata terakhir yang akan menjadi kenangan sepanjang hayatnya.

Yang membuatkan saya semakin sedih, pengakuan Norazlina yang dia dan arwah Shamsuri sedang dalam proses perceraian. Bayangkan perasaan Norazlina saat ini. Perpisahan di dunia yang diminta, tetapi perpisahan buat selamanya yang diterima. Begitulah kehendak Tuhan!.

Kisah Tong Fui Fui yang kehilangan suaminya sukarelawan, Lok Wan Loo, 35, turut menjerat perasaan. Gambar dia sedang memujuk anaknya Lok Wan Loo yang menangis membuktikan ketabahannya menerima berita sedih kematian suami tersayang.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sesedih mana sekalipun di hati kita mereka yang menanggung akan lebih terasa bebannya. Benar kata pepatah malang tidak berbau, namun manusia boleh berusaha dan mengelak daripada berlakunya segala kejadian yang tidak diingini.

Jalan raya sebenarnya medan pertempuran. Salah strategi, salah pergerakan, pasti kecundang. Berhati-hati dan hormatkan orang lain menjadi kunci jalan raya boleh menjadi tempat selamat untuk semua penguna.

Namun ada kala kita berhati-hati orang lain pula yang cuai, begitulah sebaliknya. Apapun kita perlu mengambil iktibar atas segala kejadian yang berlaku ini. Jangan ambil mudah apabila berada di jalan raya. Tersilap langkah ia boleh memutuskan hubungan kasih, sayang dan cinta sesama insan. Paling ketara hubungan kasih seorang isteri dan ibu!

Pesanan saya, berhati-hati dan patuh kepada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan semasa berada di jalan raya.

Sesungguhnya jodoh, pertemuan dan maut di tangan Tuhan. Takdir juga menjadi penentu kepada susur atur kehidupan seorang manusia. Hidup ini adalah satu persinggahan sementara mati adalah satu pengabdian yang abadi!

Kepada semua keluarga mangsa, sabar dan tabah menghadapi dugaan. Sama-samalah kita berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama ahli-sunnah waljamaah.

Sesungguhnya kematian adalah satu perjanjian yang tidak pernah mungkir. Sampai masa dan tikanya ia akan datang tanpa amaran. Tidak cepat seminit, tidak juga lewat sesaat. Daripada-Nya kita datang kepada-Nya kita kembali.

Salam takziah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.