saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 16/10/2005

Masa depan ahli politik Muslim Thai hancur

KEKACAUAN di selatan Thai berhenti apabila Perdana Menteri Thaksin Shinawatra berada di luar negara. Ganjil nampaknya. Tetapi begitulah hakikat yang berlaku. Kekacauan sedikit reda selepas Thaksin mengadakan lawatan rasminya ke beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Britain dan Rusia mulai 9 Oktober dan tamat hari ini.

Mungkinkah apa yang berlaku itu merupakan satu kebetulan? Penulis kurang pasti tentang kaitan Thaksin berada di luar negara dengan keredaan kekacauan itu.

Bagaimanapun, amat jelas bahawa suasana selatan Thai menjadi semakin buruk dalam penggal kedua pemerintahan Thaksin kini. Dalam pemerintahan penggal pertama dulu kekacauan hanya berlaku beberapa bulan sebelum pilihan raya umum Februari 2004, tetapi itu pun ada juga waktu rehat atau ada hari-hari yang tidak ada kejadian pembunuhan. Sebaliknya dalam pemerintah penggal kedua Thaksin kini pembunuhan semakin menjadi-jadi. Cuma dikecualikan sahaja lapan hari ketika Thaksin berada di luar negara.

Dalam sebuah kajian yang dibuat oleh Dr. Sisomphop Jitphiromsi dari Universiti Songkhla Nakharin, Pattani disiarkan kelmarin di laman web Pusat Isra, Persatuan Wartawan Akhbar Thai (TJA) didapati kemungkinan sebanyak 17 daripada 1,217 kejadian yang berlaku sejak tahun 2004 sehingga pertengahan tahun ini (2005) dilakukan oleh pegawai kerajaan (polis atau tentera).

Pendekatan yang digunakan oleh Dr. Sisomphop dalam membuat kajian itu ialah dengan mengumpul maklumat daripada masyarakat dan mereka yang berada berhampiran kejadian atau ahli keluarga mangsa. Semua maklumat itu dihantar ke universiti berkenaan untuk dinilai oleh para pengkaji dengan membuat perbandingan dengan maklumat yang didapati dari sumber-sumber lain seperti laporan polis dan berita yang disiarkan dalam pelbagai akhbar Thai.

Menurutnya jika ada maklumat penduduk kampung membuktikan mereka percaya kejadian tertentu dilakukan oleh pegawai kerajaan (polis atau tentera), pihaknya tidak akan menyoal siasat mereka secara langsung, tetapi beliau akan menggunakan jaringan hubungan yang ada seperti sanak saudara, sahabat handai dan mereka yang ada hubungan sosial sebagai jambatan menyambungkan maklumat itu menerusi beberapa tahap bagi membolehkan mereka mendedahkan maklumat lanjut.

Ini kerana setiap kes yang terjadi mesti ada punca menyebabkan mereka tidak berani bercakap seperti dalam kes yang dipercayai dilakukan oleh pegawai kerajaan.

Sebenarnya ada penduduk yang mengetahui siapa pelakunya, tetapi mereka tidak berani bercakap.

Dr. Sisomphop menjelaskan dalam kebanyakan kes pembunuhan orang Melayu Thai, penjenayah biasanya akan menghantar isyarat maut sebelum melakukan pembunuhan terhadap mereka seperti meletakkan pasir, beras, kain kapan dan telur ayam di depan rumah orang yang akan dibunuh. Beberapa hari selepas itu orang yang diberi isyarat maut itu akan ditembak. Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pembunuhan seperti itu adalah orang bekerja untuk kerajaan (tali barut).

Kini pembunuhan terhadap orang Melayu Thai semakin meningkat. Malah di wilayah Pattani lebih ramai orang Melayu Thai dibunuh berbanding orang Thai beragama Buddha dalam masa setengah tahun lalu, iaitu dengan kadar 106:100.

Apa yang dapat disimpulkan daripada kajian Dr. Sisomphop di atas ialah banyak pihak yang terlibat dalam meletuskan kekacauan yang membunuh lebih 1,000 orang dalam masa 21 bulan itu.

Seperkara terakhir mahu disentuh di sini, iaitu kekacauan di selatan Thai kini turut dijadikan gelanggang untuk memusnahkan kuasa politik orang Melayu Thai di Thailand melalui tindakan merosakkan kredibiliti dan imej barisan pemimpin politik terkenal mereka.

Pada masa lalu para cerdik pandai Thai di Bangkok menyifatkan orang Melayu Thai di selatan Thai mempunyai kesedaran politik yang tinggi hampir sama dengan penduduk Bangkok kerana pergolakan politik terus-menerus di kawasan mereka menyebabkan tercetus kesedaran politik yang mendalam di kalangan mereka.

Kerana ada kesedaran politik seperti itu menyebabkan mereka dapat melahirkan kuasa politik yang agak berwibawa dan mampu melakukan tawar-menawar politik yang berpatutan dalam sebarang pembentukan kerajaan di Bangkok. Dengan cara ini beberapa pemimpin politik mereka dalam Kumpulan Wahdah berjaya dilantik dalam beberapa jawatan menteri dan timbalan menteri. Sebagai contoh Wan Mohammad Nor Matha pernah dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri, Menteri Pengangkutan dan Komunikasi dan Menteri Pertanian. Sementara dua lagi pemimpin politik Melayu Thai berwibawa Senator Den Tohmeena dan Areepin Utarasin masing-masing pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pelajaran.

Bagaimanapun, kini masa depan para pemimpin politik Muslim dalam Wahdah gelap sekalipun tidak sampai ke peringkat hancur dan musnah. Ada yang berhenti dari politik, ada yang mahu berniaga, ada yang mahu pindah parti dan macam-macam.

Semua itu berlaku selepas pilihan raya umum Februari lalu di mana Wahdah yang bergabung dalam Parti Thai Rak Thai (TRT) pimpinan Thaksin ditolak oleh penduduk Melayu Thai dan tiada seorang pun calonnya menang dalam pilihan raya itu. Wan Mohammad Nor dan Areepin Utrasin yang kini merupakan dua wakil rakyat Wahdah yang berjaya masuk Parlimen adalah kerana mereka merupakan calon senarai parti (party list). Senarai parti bermaksud sebuah sistem yang berbeza dengan sistem perwakilan biasa. Ini kerana semua parti yang bertanding mengikut sistem senarai parti akan menyenaraikan nama calon dalam parti masing-masing yang akan dipamerkan dalam kertas undi.

Sewaktu pilihan raya, para pengundi akan memilih parti dan bukannya calon individu.

Jadi kerana sistem senarai parti inilah menyebabkan Wan Mohammad Nor dan Areepin selamat, dapat berada dalam parlimen dan tidak menjadi mangsa kemarahan penduduk Melayu Thai. Sedangkan calon-calon Wahdah yang lain melayang belaka. Secara umumnya kekalahan Wahdah dalam pilihan raya Februari lalu kerana mereka dilihat tidak dapat melakukan apa-apa untuk menyelesaikan kekacauan di selatan Thai. Pada waktu yang sama TRT yang mereka bernaung di bawahnya pula dilihat oleh penduduk Melayu Thai sebagai memusuhi mereka. Dengan itu penduduk Melayu Thai terpaksa menolak TRT dan Wahdah sekali gus.

Bagaimanapun, Wahdah menganggap Thaksin sendiri yang menjadi punca kekalahan semua calon kumpulan Muslim itu seperti dijelaskan bekas wakil rakyat TRT Burahanudin Useng ketika diisytihar keputusan pilihan raya Februari lalu. Ini kerana Thaksin menggunakan kekerasan untuk bertindak dengan penduduk Melayu Thai yang tidak berdosa menyebabkan mereka menentang TRT. (The Nation 11 Februari 2005).

Dalam kenyataan terbaru Burahanudin menurut akhbar Thai Post 12 Oktober lalu, beliau menggambarkan kemungkinan Wahdah akan meninggalkan TRT, tetapi belum ada keputusan muktamad kerana masing-masing sedang memikirkan tentang rancangan masa depan mereka.

Bagaimanapun, beliau sendiri tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang kerana mahu berhenti dari politik buat sementara waktu. Sebaliknya beliau akan menceburkan diri dalam perniagaan.

Hubungan antara Wahdah dan TRT semakin tidak menentu kini. Selain Thaksin tidak pernah peduli kepada mereka, beberapa bekas wakil rakyatnya juga dituduh menjadi dalang kekacauan di selatan Thai, terlibat dalam merompak senjata dari kem tentera di Chok Airong, Narathiwat, melakukan pembunuhan dan lain-lain.

Salah seorang anggota Wahdah yang juga bekas wakil rakyat TRT, Najmuddin Uma dituduh terlibat dalam merompak senjata dari kem tentera di Chok Airong itu. Beliau yang kini diadili di mahkamah mengaku tidak bersalah dan baru-baru ini Wan Mohammad Nor juga muncul sebagai saksi menafikan Najmuddin terlibat dalam rompakan senjata di kem tentera di Chok Airong itu.

Sebenarnya tuduhan seperti itu dianggap perkara biasa berlaku ke atas ahli-ahli politik Melayu Thai terutama dalam kumpulan Wahdah. Sebelum Najmuddin, Senator Den Tohmeena yang nama Islamnya Zainul Abidin Haji Sulong merupakan antara orang terawal dituduh menjadi dalang kekacauan di selatan Thai serta terlibat dalam merompak senjata di kem tentera Chok Airong. Tetapi entah apa sebab hanya Najmuddin saja yang dihadapkan ke mahkamah. Sebaliknya Den tidak diheret ke mahkamah dan tuduhan terhadapnya disenyapkan buat seketika.

Den adalah anak kepada seorang pejuang Islam selatan Thai yang terkenal, Tuan Guru Haji Sulong Tohmeena yang dibunuh oleh polis Thai dengan dicampak ke laut beberapa dekad yang lalu.

Den dalam banyak kenyataan disiarkan dalam beberapa akhbar Thai menganggap tuduhan terhadap beliau itu sebagai usaha pihak tertentu untuk menjatuhkannya. Tetapi usaha pihak musuh ini sebenarnya dilakukan berterusan sejak beliau mula terlibat dalam politik lagi.

Ketika Wahdah di bawah pimpinan Den dulu, Wahdah pernah mendapat kemenangan yang besar dalam pilihan raya dan sebagai hasilnya beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri. Tetapi selatan Thai pula terbakar ketika itu disebabkan ada pihak bertindak membakar berpuluh-puluh sekolah. Pada waktu yang sama serangan bersenjata dan sabotaj kerap berlaku di merata wilayah majoriti Muslim.

Bagaimanapun, selepas Den hilang kuasa, selatan Thai pun menjadi reda.

Penulis pernah mendengar Den menjelaskan dalam ceramah bahawa beliau terlibat dalam politik kerana ingin mendapat perlindungan disebabkan keselamatan pemimpin Islam seperti beliau tidak terjamin jika tidak ada tempat bergantung politik. Dengan itu walaupun Den kini bukan lagi wakil rakyat, tetapi beliau seorang senator.

Areepin Utarasin tidak kurang masalahnya kerana salah seorang saudaranya diburu oleh Thaksin kerana dituduh sebagai pemberontak yang berjuang untuk membebaskan selatan Thai dari Thailand.

Hanya Wan Muhammad Nor seorang sahajalah pemimpin Wahdah yang belum tercela pada pandangan kerajaan Thai atau Thaksin. Bagaimanapun, Wan Mohammad Nor juga menghadapi masa depan yang gelap kerana tidak diterima oleh penduduk Melayu Thai kini.

Dulu Wan Mohammad Nor merupakan ahli politik Melayu Thai yang bukan saja diterima dan disanjung oleh orang Muslim, tetapi beliau diterima dan disanjung oleh orang Buddha. Suatu ketika dulu beliau pernah dicadang oleh golongan cerdik pandai Buddha menjadi Perdana Menteri kerana ketika itu beliau dilihat sangat bersih. Tetapi kini beliau tidak dilihat begitu lagi.

Dalam kerajaan Thaksin, Wan Mohammad turut menjadi mangsa pendekatan kekerasan yang digunakan oleh Thaksin untuk menyelesaikan kekacauan di wilayah majoriti Muslim itu.

Mengenai tindakan penduduk Melayu Thai tidak menerima Thaksin ini, Dr. Chidchanok Rahimula dari Universiti Songkhla Nakharin, Pattani berpendapat bahawa Wan Mohammad Nor Matha tidak lagi seperti dulu dan dengan itu kehadirannya di majlis berbuka puasa bersama pemimpin negara yang dijadualkan di Terengganu esok dianggap baik tetapi tidak akan menghasilkan apa-apa.

``Berhubung Wan Mohammad Nor Matha, penasihat Perdana Menteri, disebabkan beliau merupakan wakil rakyat senarai parti yang merupakan orang tempatan dan pernah berada dalam kerajaan, beliau memahami permasalahan dengan baik. Beliau boleh menjadi jambatan untuk mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan kerajaan Malaysia dan mampu melahirkan persefahaman terhadap permasalahan yang ada. Tetapi perlu mengakui bahawa beliau tidak sama dengan masa lalu. Ini disebabkan beliau tidak pernah dilihat terlibat dalam usaha untuk mengurangkan kekerasan yang berlaku.

``Bermula dengan isu Masjid Krisik dan seterusnya tunjuk perasaan Tak Bai. Ditambah pula TRT ditolak oleh penduduk tempatan dan para wakil rakyat Muslim dilihat tidak lagi boleh menjadi tempat mereka bergantung. Semua itu tidak dapat dielak lagi dan mesti mencetuskan kekecewaan mereka. Jika ada mana-mana sahsiah mengadakan kunjungan ke Malaysia untuk meminta kerjasama bagi menyelesaikan apa jua perselisihan yang berlaku mestilah merupakan sahsiah yang diakui oleh kedua-dua belah pihak (Thailand dan Malaysia),'' katanya.

Apa yang dimaksudkan oleh Dr. Chidchanok selain Wan Mohammad Nor tidak diiktiraf oleh penduduk Melayu Thai, beliau juga tidak ada kuasa dalam kerajaan.

Dengan itu lawatannya ke Terengganu untuk berbuka puasa dengan Perdana Menteri tidak akan menghasilkan apa-apa.

Dr. Chidchanok lebih mengharapkan supaya kerajaan Thai atau Thaksin mengutuskan mereka yang betul-betul bertanggungjawab dan ada kuasa dalam kerajaan untuk berunding dengan pihak Malaysia.

Bagaimanapun, penulis berharap Wan Mohammad Nor dapat menjelaskan kepada Abdullah dengan sejelas-jelasnya tentang punca serta mereka yang berada di sebalik kekacauan di selatan Thai itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:10
Asar 4:32
Maghrib 7:06
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.