saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 18/10/2005

Siti Nurhaliza berdoa dapat jodoh di Jabal Rahmah


SITI NURHALIZA.


SEBAGAI penyanyi nombor satu tempatan, Siti Nurhaliza menjadi tumpuan para peminat walau di mana juga beliau berada. Malah, para peminat juga akan mengikuti setiap perkembangan terbaru membabitkan penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini. Justeru, tidak hairanlah biar cerita apa sekalipun yang timbul tentang Siti, para peminat tetap akan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.

Sepanjang 10 tahun bergelar penyanyi, gadis berusia 26 tahun ini telah mengharungi pelbagai pengalaman pahit dan manis.

Namun, pengalaman itu ternyata sedikit sebanyak telah mendewasakan dirinya untuk mengharungi hari-hari mendatang dengan penuh yakin.

Siti dilihat semakin bijak menangani pelbagai dugaan yang mendatang termasuk gosip hubungannya dengan Datuk 'K' yang heboh diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Perkara itu dapat dilihat apabila beliau kelihatan tenang dan berhati-hati menyusun kata-kata sewaktu para wartawan mengajukan pelbagai pertanyaan sensasi tentang dirinya.

Mega sempat bertemu Siti selepas pelancaran cakera padat video (VCD), Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London dan rakaman program mengaji untuk siaran TV1 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sewaktu pertemuan itu, pelbagai soalan turut diajukan di mana Siti begitu petah dan menjawabnya dengan hati yang tenang.

Adakah Siti rasa kemunculan VCD Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall tepat pada masanya?

SITI NURHALIZA: Siti harap-harap begitulah. Lagipun sekarang ini sudah dekat raya (Aidilfitri). Jadi, Siti harap peminat juga akan beli VCD ini.

Apakah perasaan Siti apabila menerima satu lagi anugerah iaitu sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Artis Malaysia Pertama Mengadakan Konsert Solo di Royal Albert Hall, London?

SITI NURHALIZA: Ini adalah anugerah Siti yang ke-120 lebih yang diterima setakat ini. Siti rasa gembira kerana impian Siti itu akhirnya tercapai juga. Ini satu penghargaan yang besar buat Siti. Melalui konsert itu, secara tidak langsung Siti sudahpun cuba buka peluang kepada artis kita yang lain untuk mencuba nasib di sana (London).

Selepas Royal Albert Hall, adakah Siti akan mengadakan konsert lain di luar negara?

SITI NURHALIZA: Siti tidak akan lepaskan peluang jika ada sebarang tawaran untuk mengadakan konsert di luar negara. Selepas konsert di Royal Albert Hall, Siti juga mengadakan satu lagi konsert yang besar juga di Singapura baru-baru ini. Selain itu, Siti telahpun dapat tawaran mengadakan satu konsert di Sarajevo tetapi dibatalkan kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Selain menyanyi, bagaimana pula dengan tawaran berlakon filem Tiga Dara yang Siti terima daripada Christine Hakim (dari Indonesia) tidak lama dulu?

SITI NURHALIZA: Buat masa ini Siti belum ada apa-apa rancangan untuk mencuba nasib sebagai pelakon. Siti mahu tumpu pada bidang nyanyian dulu.

Dengar kata tahun ini Siti sekali lagi akan mengerjakan umrah, betul ke?

SITI NURHALIZA: Insya-Allah Siti akan berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan umrah bersama lima lagi anggota keluarga terdekat Siti pada minggu ini. Antaranya abang dan emak Siti iaitu Siti Salmah. Siti akan berada di sana selama dua minggu dan akan pulang ke Kuala Lipis, Pahang sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti. Ini adalah kali ketiga Siti mengerjakan umrah.

Apakah aktiviti Siti sewaktu berada di Mekah nanti?

SITI NURHALIZA: Semasa di sana nanti Siti mahu beri tumpuan kepada beramal. Siti mahu tenangkan hati.

Sebelum ini, sewaktu mengerjakan umrah Siti khabarnya sempat mengunjungi Jabal Rahmah di Mekah. Apa niat dan doa Siti sewaktu berada di sana?

SITI NURHALIZA: Memang betul. Siti sudah dua kali pergi ke Jabal Rahmah sewaktu mengerjakan umrah. Sewaktu di sana Siti berdoa supaya cepat dapat jodoh (sambil ketawa kecil).

Cara Siti menghadapi gosip kononnya Siti akan berkahwin dalam waktu terdekat ini?

SITI NURHALIZA: Siti tidak mahu kata apa-apa. Bagi Siti, selagi Siti tidak kahwin orang akan terus memperkatakan tentang gosip itu.

Umrah sudah, bila lagi Siti hendak menunaikan fardu haji?

SITI NURHALIZA: Insya-Allah, Siti pun sudah ada kemampuan. Sebenarnya, Siti memang ada niat mahu mengerjakan fardu haji di masa depan. Kalau dapat pergi (tunaikan) haji Siti akan cuba pergi lebih awal. Tengoklah macam mana nanti.

Ada perancangan untuk berduet dengan Mawi (Akademi Fantasia 3)?

SITI NURHALIZA: Siti tidak ada masalah untuk bekerjasama atau berduet dengan mana-mana penyanyi termasuk Mawi. Siti serahkan perkara itu kepada company (Siti Nurhaliza Production). Bagaimanapun setakat ini Siti tidak ada rancangan berduet dengan Mawi dalam album solo terbaru Siti yang kini sedang dalam proses untuk diterbitkan.

Ceritakan sikit tentang album terbaru Siti yang akan dirakamkan nanti?

SITI NURHALIZA: Siti terima banyak lagu daripada ramai komposer tetapi biarlah Siti pilih dan buat keputusan selepas balik dari umrah nanti. Siti tidak mahu cakap lagu komposer mana yang Siti sudah pilih, nanti ada yang kecil hati pula. Tetapi selepas Siti pilih sesebuah lagu itu nanti, Siti mahu komposer lagu itu sendiri yang terbitkan lagu tersebut.

Komen Siti apabila diberi peluang berduet lagu Million Miles dengan kumpulan hip hop seperti Too Phat?

SITI NURHALIZA: Kebetulan semasa diundang berduet dengan Too Phat itu Siti belum ada album baru lagi. Lagipun apa salahnya. Mereka (Too Phat) pun mahu cuba masuk ke pasaran Asia Pasifik juga. Ini satu peluang yang bagus. Walaupun Siti berduet dengan mereka tetapi, Siti tidaklah menyanyi gaya rap. Kalau adapun gaya rap Siti sopanlah sedikit (ketawa).

Bagaimana pula persiapan Siti sempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri kali ini?

SITI NURHALIZA: Siti sudahpun buat persiapan antaranya tempah kuih raya lebih awal untuk dibawa balik ke kampung. Baju raya juga Siti sudah ada tiga pasang yang disiapkan oleh designer Siti. Seperti biasa raya tahun ini Siti lebih kepada anak-anak saudara. Siti juga sudah siapkan duit raya sekitar RM5,000 pada tahun ini.

Akhir sekali, selain konsert di London pada 1 April lalu, konsert bagaimanakah yang Siti ingin adakan di masa depan?

SITI NURHALIZA: Siti teringin mahu mengadakan konsert solo yang berkonsepkan tradisional. Konsert seperti ini sudah lama Siti idamkan dan ia sesuai dengan kebanyakkan lagu-lagu yang Siti pernah nyanyikan sebelum ini. Lagipun Siti memang tidak pernah menjayakan konsert yang berkonsepkan tradisional.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.