saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 19/10/2005

Sentuhan Sidek lahir 5 jaguh dunia

SUMBANGAN Datuk Sidek Abdullah Kamar terhadap pembangunan badminton tanah air tidak pernah terpadam walaupun beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Oktober lalu.

Sentuhan Allahyarham tetap dirasai selagi anak-anaknya, Misbun, Rashid, Jalani serta Rahman masih menghiasi persada badminton negara sebagai jurulatih.

Misbun dan Rashid kini menyumbang tenaga sebagai jurulatih kebangsaan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), manakala Jalani adalah pemilik kelab Nusa Mahsuri, di mana Rahman merupakan jurulatihnya.

Kemunculan Sidek Bersaudara sekitar awal 1980-an telah menggegarkan badminton antarabangsa dengan pelbagai ko-leksi kejayaan dipungut dari Piala Tho-mas, pingat gangsa Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Seluruh England hingga Kejohanan Dunia.

Deretan kejayaan tersebut cukup untuk membuktikan kegigihan serta wawasan besar Sidek, anak jati Banting, Selangor sejak 1960-an.

Sikap garangnya menjayakannya membentuk mereka sebagai jaguh dunia sekali gus membaharui sejarah sukan badminton. Ini termasuk mengurung ke reban ayam yang boleh diimbas semula kisah itu melalui siri komik Anak-anak Sidek dan siri animasi televisyen yang diterbitkan sekitar 1990-an.

Allahyarham turut mencetuskan idea Servis S (Sidek) - penangan unik dalam memukul bulu tangkis bersama sentuhan raket yang menggentarkan musuh seluruh dunia biarpun akhirnya servis itu diharamkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).

Sebuah tugu berbentuk raket dan bulu tangkis yang berdiri megah di depan rumahnya di Kampung Kanchong Darat, Banting selain sebuah gelanggang badminton, telah didirikan secara simbolik yang menyimpan memori perit jerih Allahyarham ketika melatih Sidek Bersaudara.

Tugu itu terhasil daripada titisan keringat dan kerahan kudrat seorang bapa yang mulanya cuma mahu menyaksikan anak-anaknya menjadi anggota masyarakat yang berguna, membuang segala sikap nakal mereka dan menjauhi apa juga gejala sosial yang bakal merugikan mereka dan keluarga.

Allahyarham yang dilahirkan pada 19 Januari 1936 di Banting dan bersekolah agama di Pulau Pinang, tidak kurang hebatnya sebagai pemain ketika zaman mudanya sehingga merangkul kejuaraan peringkat daerah Kuala Langat tiga kali berturut-turut selain Juara Melayu Selangor pada 1964.

Beliau mengambil masa dua dekad untuk menyaksikan puteranya, Misbun bukan sahaja mengikut jejaknya malah memperbaiki pencapaian itu dengan menguasai peringkat kebangsaan dari 1981 hingga 1986, naib juara di tiga kejohanan iaitu Piala Dunia 1982, Seluruh England 1986 dan Grand Prix Dunia 1988.

Razif-Jalani pula membentuk pasangan beregu paling mantap sebagai juara Seluruh England 1982, meraih pingat emas Sukan Komanwel Brisbane dan muncul atlet pertama Malaysia memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Rashid turut membantu negara memenangi Piala Thomas 1992, selain pingat emas Sukan Komanwel Auckland 1990, Victoria 1994 dan gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996. Di samping itu, Rahman turut menjadi salah seorang anggota barisan juara Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur dengan menundukkan musuh ketat, Indonesia 3-2.

Malah anak bongsu Allahyarham, Mohd. Shahrizan kini meneruskan kesinambungan Sidek Bersaudara di gelanggang dan mula mencipta nama di beberapa sirkit remaja kebangsaan selain versi baru Sidek Bersaudara menjelma dalam keluarga Hashim yang menyaksikan kemunculan Roslin, Muhammad Hafiz dan dua lagi adik mereka.

Ketika Hafiz, juara Seluruh England 2003 melawat di hospital, Allahyarham sempat bertanya selepas terlantar kira-kira sebulan lalu, ``Tidak pergi Terbuka Indonesiakah?'' Dan secara kebetulan, pemain itu bergelar juara Terbuka Belanda, tiga jam sebelum kematiannya.

Sejarah kehebatan keluarga Haji Sidek pernah mendorong sebuah keluarga di Selangor, Saha Sanusi mendidik anak-anaknya seperti Davincy, Fredyno, Hartiny dan Geevien menceburi badminton sejak kecil biarpun pencapaian mereka terkandas di tengah jalan ekoran pelbagai masalah peribadi.

Razif yang mengimbas semula kenangan keluarga, berkata, beliau tidak dapat melupakan peristiwa dipinjamkan raket oleh bapanya ketika mewakili Selangor dalam acara perseorangan dan beregu bawah 12 tahun di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia.

``Saya cuma ada satu raket ketika itu dan arwah yang sering menemani kami adik-beradik bila bertanding, meminjamkan saya raketnya. Terasa cukup istimewa bila saya bermain menggunakannya. Ada macam satu kelainan pada talinya dan bila digenggam,'' kata Razif yang kini menguruskan sebuah perniagaan kereta.

Menurut Razif, bekas ketua jurulatih negara pada 1994-96, bapanya merupakan pengkritik setia mereka adik-beradik selain para peminat dan media. Tidak kira sama ada apabila mereka menang atau kalah dalam sebarang kejohanan tetapi semuanya itu dianggap sebagai cabaran dalam mematangkan permainan mereka.

``Kritikannya banyak berkisar tentang kecergasan kami dan mengapa pukulan sering keluar gelanggang. Namun yang lebih penting, kehadirannya dalam setiap kejohanan dalam negara yang kami sertai seperti satu semangat baru di gelanggang,'' kata beliau.

Allahyarham kehilangan isteri tersayang, Datin Rukinah Sulaiman pada Mac 2003, sebelum mengahwini Bangaton Rasman, balunya yang ditinggalkan bersama lapan anak termasuk anak perempuan, Rozita dan Zamaliah yang pernah membantu skuad negara meraih pingat perak Sukan Komanwel 1994.

Keluarga Sidek juga mempunyai ikatan yang amat istimewa dengan penaung BAM, yang juga dikenali sebagai peminat sukan nombor satu Malaysia, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Bagi Tun Siti Hasmah, keakrabannya dan keluarga Sidek semakin erat selepas Malaysia berjaya merampas Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur.

``Saya amat mengagumi Allahyarham kerana beliau tidak pernah memerlukan sebuah dewan tertutup dan berhawa dingin untuk melahirkan jaguh-jaguh dunia,'' katanya.

``Pada zaman sekarang, kita mungkin tidak terlintas bagaimana seorang jaguh dunia boleh dilahirkan hanya di atas sebuah gelanggang kampung yang terdedah kepada angin dan cahaya terik matahari.

``Sumbangan beliau menerusi anak-anaknya tidak pernah berakhir walaupun beliau sudah tiada lagi. Selagi Misbun dan Rashid masih menjadi jurulatih, selagi Jalani dan Rahman masih memiliki Nusa Mahsuri, selagi itu Allahyarham masih menyumbang.''

Menurut Tun Siti Hasmah, beliau masih ingat ketika Malaysia merampas Piala Thomas 1992. ``Sebelum perlawanan bermula, saya telah berpesan kepada ketiga-tiga beradik, Razif, Jalani dan Rashid kalau Malaysia menang, orang pertama yang harus mereka jumpa adalah bapa dan ibu mereka, bukan saya.''

Allahyarham Sidek menyahut panggilan Ilahi pada jam 2.25 pagi 13 Ramadan lalu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, selepas hampir dua bulan bertarung dengan pelbagai penyakit seperti kegagalan buah pinggang berfungsi, kencing manis, radang paru-paru dan darah tinggi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.