saya nak baca ..

POLIS & TENTERA


ARKIB : 03/11/2005

Ibu mengamuk anak dirogol bapa sendiri

"Sabar makcik.. sabar. "Letakkan parang tu.. banyakkan bersabar dan mengucap,'' seru Cif Inspektor Salmiah Ahmad mententeramkan seorang ibu yang mengamuk apabila mengetahui anaknya dirogol suami sendiri.

"Saya tidak percaya!

"Ini semua tidak betul,'' teriak ibu berusia 40-an itu sambil menghayun sebilah parang di tangannya.

Salimiah dan dua anggota polis lain terpaksa mengelak dan berundur. Beberapa batang pokok termasuk pokok pisang tumbang ekoran serangan wanita itu.

Perasaan kecewa, marah dan kesal menyelubungi jiwa, menyebabkan wanita tersebut hilang pertimbangan.

Dalam tempoh 15 minit, ibu kepada mangsa berusia 13 tahun itu menghayun parang menghalau sesiapa sahaja yang cuba mendekati kawasan mayat bayi ditanam.

"Melihatkan pokok-pokok pisang yang putus dicantas, tiada sesiapa berani dekati kawasan tersebut,'' jelas Salmiah yang baru melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1986.

Keadaan kembali reda apabila ibu malang itu keletihan dan rebah di atas tanah.

Dengan berbaju kurung, Salmiah, para anggota dan pegawai bertugas bergegas memegang ibu mangsa dan merampas senjata miliknya.

Perasaan sebak menguasai jiwa Salmiah apabila melihat mayat reput anak kecil tidak berdosa dibungkus dan ditanam oleh wanita itu dan suaminya.

Lazimnya, kes tersebut berpunca daripada perbuatan tidak berperikemanusiaan bapa tiri mangsa.

Mangsa yang berasal dari keluarga miskin di Kuala Krai, Kelantan dipercayai dirogol bapa tiri apabila ibunya keluar menoreh getah dan mencuci baju di sungai.

"Ibu mangsa yang beranggapan anaknya menghidap penyakit kembung perut telah dibawa berubat dengan bomoh kampung sepanjang tempoh sembilan bulan mengandung.

"Tanpa diduga, mangsa secara tiba-tiba mengerang kesakitan untuk bersalin,'' kata Salmiah.

Disebabkan mengalami pendarahan secara keterlaluan selepas bersalin, mangsa telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan manakala mayat bayi dilahirkan dibungkus dan ditanam di kawasan berhampiran rumah.

Ketika membuat pendaftaran di hospital, ibu dan bapa tiri mangsa tidak memaklumkan bahawa mangsa baru melahirkan anak.

Bagaimanapun, doktor yang menjalankan rawatan mengesahkan punca kejadian dan melaporkannya kepada polis.

"Setelah disoal siasat beberapa kali, bapa tiri mangsa berusia 50-an akhirnya mengakui perbuatan kejinya.

"Ketika itu, ibu mangsa yang tidak dapat menerima kenyataan telah mengamuk dan hilang kawalan,'' ujar Salmiah.

Salmiah yang dipertanggungjawab menjalankan siasatan kes-kes seksual di sembilan daerah di negeri Cik Siti Wan Kembang itu berasa sebak apabila melihat keadaan gadis-gadis bawah umur yang menjadi mangsa rogol.

Mangsa kebanyakannya berasal dari keluarga miskin sering menjadi tempat memuaskan nafsu bapa tiri, abang kandung atau keluarga terdekat.

Selain ugutan yang diterima, mangsa terpaksa mendiamkan diri dan berkorban demi menjaga maruah keluarga.

"Setiap kali menjalankan siasatan dan membuat laporan kes rogol, saya akan menangis.

"Mereka (mangsa) kelihatan begitu lemah, tidak bermaya dan tiada keupayaan melawan tragedi menimpa,'' jelasnya.

Dalam siasatan kes di Semanggol, Perak pada tahun 1990, Salmiah begitu tersentuh dengan pengorbanan seorang mangsa yang turut dirogol bapa tirinya.

Mangsa menjadi sasaran bapa tiri apabila ibunya mengambil air sembahyang di telaga di luar rumah.

Disebabkan perasaan sayang pada ibunya, mangsa telah menyerahkan bayi yang dilahirkan kepada keluarga angkat dan kemudian membawa diri entah ke mana.

Selain kehilangan kasih ibu kandung, mangsa turut kehilangan anak yang dikandungnya selama sembilan bulan.

Penglibatan Salmiah, 47, dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada mulanya mendapat tentangan daripada ibunya.

"Kenapa nak masuk polis. Siang malam hanya angkat tangan di tengah-tengah jalan,'' tegur ibunya, Brahmah Abd. Kadir, 73, satu-satunya wanita yang meninggal dalam bencana tsunami di Langkawi pada 26 Disember tahun lalu.

Mayat ibunya ditemui tersangkut pada pagar setelah dibawa arus.

"Tambah menyedihkan apabila saya menemui tongkat yang dihadiahkan kepadanya pada jarak 20 meter daripada mayat arwah,'' kata Salmiah yang merupakan anak kelima daripada 10 beradik.

Apabila menerima tawaran mengikuti Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 1 Mei 1977, semua tambang dan urusan diuruskan ibu angkatnya.

Selepas tamat latihan, Salmiah telah ditukarkan ke IPD Kuala Terengganu.

Disebabkan jauh dan tidak mampu, Salmiah hanya berutus surat dan menghantar gambar untuk tatapan ibunya di Langkawi, Kedah.

Hasil berkat usaha sendiri, Salmiah lulus dalam Ujian Undang-Undang Khas untuk bergelar pegawai pada tahun 1985.

Sebelum bergelar Pegawai Hal Ehwal Awam IPD Kuala Kangsar, Salmiah pernah menabur khidmat di IPD Besut, IPD Kota Bharu dan Bagan Serai sebagai Pegawai Penyiasat (IO) Bahagian Jenayah Narkotik.

Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Seperti sudah ditakdirkan, hasil perkahwinan dengan Koperal Abd. Rahman Jasin, 50, Salmiah kini dikurniakan enam cahaya mata berusia enam hingga 24 tahun.

Salmiah tidak menafikan ramai yang memandang serong dan membandingkan jawatan beliau dengan suaminya yang lebih rendah.

Bagaimanapun, sebagai pasangan suami isteri, kedua-dua mereka berbincang secara terbuka.

"Suami saya yang kini bertugas di Cawangan Khas IPD Kuala Kangsar bertoleransi dan memahami situasi berkenaan,'' kata Salmiah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:20
Asar 4:36
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.