saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 28/11/2005

Persaingan 3 penjuru -- Keputusan di Pengkalan Pasir bakal tentukan masa depan Kelantan


CALON Barisan Nasional (BN), Hanafi Mamat (tengah) diiringi Najib Tun Razak, Annuar Musa dan Radzi Sheikh Ahmad ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim (1), Pasir Mas, Kelantan, semalam.



PASIR MAS 27 Nov. - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir 6 Disember ini menyaksikan pertandingan sengit tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Hanafi Mamat, calon Pas, Hanifa Ahmad dan calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali.

Keputusannya kelak akan mencerminkan masa depan politik Kelantan.

Mengapa sengit? Ketiga-tiga calon itu ialah anak tempatan yang cuba sedaya upaya mendapatkan sokongan masing-masing. Ibrahim dikatakan calon `kacau daun' yang boleh memecahkan undi BN dan Pas.

Menurut pemerhati politik, perkembangan ini amat menarik untuk disaksikan kerana ia bakal menentukan corak politik Kelantan seterusnya. Ini memandangkan kedudukan Pas dan BN hampir terikat di Dewan Undangan Negeri (DUN). Pas kini mempunyai 23 kerusi, manakala BN 21 kerusi.

Sekiranya BN menang, kedudukan kerusi DUN Pas akan semakin mengecil yang memaksa isu pembubaran Dewan Undangan itu terus dibangkitkan bagi mewujudkan kekuatan dan kestabilan politik dalam kerajaan negeri.

Mengikut Daftar Pemilih yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 15 Ogos 2005, seramai 18,411 termasuk 195 pengundi pos layak mengundi melibatkan 10 daerah mengundi iaitu Banggol Chicha, Kubang Badak, Kubang Bemban, Kampung Bharu, Kampung Dangar, Pengkalan Pasir, Jalan Pasir Pekan, Slow Machang, Kasa dan Sakar.

Ketika penamaan ditutup pukul 11 pagi, tiga nama itu disahkan akan bertanding walaupun ada bantahan terhadap pencalonan Hanafi yang dikatakan sedang melanjutkan pelajaran.

Bagaimanapun, bantahan itu ditolak oleh SPR.

Nama ketiga-tiga calon yang bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir, Abdul Halim Ahmad di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim (I) di sini kira-kira pukul 11.16 pagi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari Pas, Allahyarham Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu. Allahyarham Wan Abdul Aziz memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan Hanafi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas dengan majoriti 56 undi.

Hanafi, 51, mengemukakan kertas pencalonan kira-kira pukul 9.22 pagi dengan dicadangkan oleh Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan disokong oleh Che Harun Che Ngah.

Hanifa, 59, pula mengemukakan kertas pencalonan pada 9.13 pagi dengan Hussein Ahmad menjadi penyandang dan Hashim Omar sebagai penyokong manakala Ibrahim mengemukakan kertas pencalonan pada 9.20 pagi dengan dicadang oleh Ismail Chik dan disokong oleh Muhamad Sayuti Ismail.

Menurut Abdul Halim, beliau menerima satu bantahan untuk pencalonan. Bagaimanapun, ia ditolak.

Sementara itu, Hanafi tiba di pusat penamaan calon di sekolah berkenaan kira-kira pukul 9.16 pagi dengan diiringi oleh hampir 10,000 penyokong BN yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut mengiringi Hanafi yang bertanding buat kali ketiga dalam pilihan raya itu ialah Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Timbalan Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Sebelum ini, selain kerusi DUN Pengkalan Pasir, Hanafi pernah bertanding pada pilihan raya umum 1990 bagi merebut kerusi Parlimen Pasir Mas, tetapi beliau tewas kepada Ibrahim yang ketika itu bertanding atas tiket parti Semangat 46 (S46).

Hanifa pula yang merupakan calon paling awal tiba kira-kira pukul 9 pagi sebaik sahaja pusat pencalonan dibuka diiringi lebih 5,000 penyokong Pas yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) pernah menjadi wakil rakyat kawasan Meranti selama sepenggal iaitu dari tahun 1978 hingga 1982.

Hanifa yang mendapat pendidikan tinggi di Universiti Malaya, pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dari tahun 1969 hingga 1975.

Beliau kini ialah Anggota Jawatankuasa Pas Kawasan Pasir Mas.

Ibrahim pula merupakan bekas ahli Parlimen Pasir Mas ketika berada dalam S46 dan digugurkan secara automatik sebagai ahli UMNO selepas mengambil tindakan bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, bantahan yang ditolak itu dibuat oleh Pas ketika tempoh bantahan dibuka selama sejam mulai 10 pagi.

Menurut Abdul Rashid, bantahan itu dilakukan kerana Pas menganggap Hanafi tidak layak bertanding kerana masih belajar di peringkat doktor falsafah.

``Memang calon BN sedang belajar, tapi tidak sepenuh masa. Beliau kini sedang menyiapkan tesis ijazah Ph.D. (doktor falsafah), ia tidak menjadi kesalahan,'' katanya.

Hanafi kini sedang menyiapkan tesis bagi ijazah Ph.D. (Pentadbiran Tanah dan Pembangunan) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ditanya adakah tindakan Hanafi itu berkaitan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti, Abdul Rashid berkata, undang-undang berkenaan berbeza dengan undang-undang pilihan raya.

``Kalau mereka hendak mengambil tindakan selepas ini berikutan penolakan bantahan tersebut, itu soal lain, apa yang kita faham semua orang berhak untuk bertanding,'' katanya.

Abdul Rashid berkata, SPR juga menolak permohonan pencalonan daripada dua lagi individu yang ingin bertanding sebagai calon Bebas iaitu Fauziah Ghani dan Mohd. Sujie @ Ahmad Awang kerana gagal menyediakan pembayaran deposit dalam bentuk wang tunai.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:01
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.