saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/11/2005

Rahimah Rahim - Kembali dengan fesyen dari Afrika

RAHIMAH Rahim dikenali ramai dalam dunia hiburan tempatan bukan sahaja kerana bakat nyanyian dan lakonan yang dimilikinya semata-mata.Sebaliknya, anak seni berusia 49 tahun ini juga menarik perhatian ramai dengan fesyen pakaiannya yang unik setiap kali tampil di khalayak.

Ini kerana, sepanjang mencipta nama dalam bidang nyanyian pada tahun 1970-an dan 1980-an, Rahimah selalu tampil dengan pelbagai fesyen pakaian yang tersendiri.

Terbaru anak kelahiran Bishan, Singapura ini tampil dengan fesyen dari Afrika yang kelihatan ringkas tetapi sopan dan unik.

Penampilan Rahimah dengan fesyen terbarunya itu secara tidak langsung memberi isyarat bahawa dia kini kembali aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan.

Mega sempat bertemu Rahimah pada majlis tamat penggambaran filem terbaru lakonannya berjudul Cinta Terakhir di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem arahan Along Kamaludin itu adalah lakonan terbarunya yang akan meneruskan kesinambungannya dalam dunia lakonan tempatan.

Selain itu, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Gadis Dan Bunga ini juga sudah lama tidak merakamkan album baru.

Kali terakhir Rahimah tampil dengan album kompilasi berjudul Suatu Memori yang diterbitkan oleh Life Records pada 2002.

Selepas hampir lima tahun menyepi daripada bidang seni, nenek kepada dua cucu ini tampil semula meneruskan bakat nyanyian dan lakonan yang dimilikinya itu.

Pada pertemuan itu, Rahimah sempat berbicara tentang fesyen terbarunya itu selain aktiviti seninya. Ikuti temubual Mega dengan Rahimah Rahim.

Boleh jelaskan tentang fesyen terbaru anda ini?

RAHIMAH: Fesyen pakaian dan lilit kepala yang saya pakai ini datangnya dari Afrika. Wanita-wanita di Kenya misalnya ramai yang memakai fesyen seperti ini. Trend fesyen lilit kepala ini saya mulakan di Singapura pada awal tahun ini iaitu sewaktu saya menjadi juri tetap pertandingan realiti televisyen Anugerah 2005 yang lebih kurang macam Malaysian Idol.

Mengapa anda memilih fesyen ini?

RAHIMAH: Saya pilih fesyen ini kerana kebetulan saya pakai tudung. Sebagai juri tetap Anugerah 2005 yang memberi komen-komen agresif kepada para pesertanya, saya rasa kurang sesuai kalau bertudung labuh. Jadi saya pilih fesyen ini yang juga menutup kepala. Bagi saya fesyen ini dapat memberikan imej yang lebih selesa untuk diri saya dan bersesuaian dengan penonton Melayu dan bukan Melayu yang menonton program itu.

Daripada mana anda belajar melilit kain pada kepala dan adakah ia satu fesyen yang sukar untuk digayakan?

RAHIMAH: Saya belajar melilit kain di kepala untuk fesyen ini daripada orang Bangla (Bangladesh) yang saya kenali. Pada mulanya agak sukar juga untuk melilit kain di kepala untuk menjadi fesyen seperti ini. Ini kerana, saya memerlukan kain sepanjang tiga meter untuk mereka fesyen seperti ini. Tetapi lama kelamaan ia menjadi mudah. Sekarang saya hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk menyiapkan lilitan di kepala sebelum keluar rumah.

Adakah anda fikir fesyen ini bakal menjadi ikutan para peminat anda yang bertudung?

RAHIMAH: Itu terpulanglah pada citarasa masing-masing. Tetapi kalau di Singapura memang ramai orang yang bertanya saya bagaimana cara untuk melilit kain di kepala seperti yang saya pakai ini. Saya kata mudah sahaja dan kepala pun tidak rasa pening.

Apa komen apabila anda dikatakan salah seorang ikon dalam dunia fesyen tempatan?

RAHIMAH: Saya rasa itu dulu. Semasa muda dulu saya memang suka berfesyen terutamanya yang gila-gila. Contohnya saya pernah mewarnakan rambut saya warna hijau selama lima tahun. Tetapi sekarang saya berfesyen ada hadnya dan ia pula mesti bersesuaian dengan umur dan status saya. Maklumlah sekarang ini saya sudahpun menjadi nenek kepada dua orang cucu. Jadi biarlah fesyen yang saya kenakan itu sesuai dan tidak melampaui batas.

Antara menyanyi dan berlakon, mana satu yang anda paling suka?

RAHIMAH: Saya lebih senang menyanyi daripada berlakon. Menyanyi hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Sedangkan berlakon memerlukan komitmen yang tinggi seperti menghafal skrip dan menghayati sesuatu watak yang diberi.

Adakah itu bermaksud anda kurang minat berlakon?

RAHIMAH: Saya masih minat berlakon. Saya mula terbabit dalam bidang seni pun sebagai pelakon. Saya mula berlakon semasa berusia enam tahun dalam filem Korban Kasih, Kasih Ibu dan Masuk Angin Keluar Asap. Selain itu saya juga pernah berlakon dalam sitkom televisyen di Singapura berjudul Pak Awang Temberang pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Bagaimana anda melihat kemunculan semula anda dalam bidang lakonan?

RAHIMAH: Saya semakin aktif berlakon sejak kebelakangan ini apabila ada orang yang berminat dan menawarkan saya berlakon. Antaranya saya turut berlakon dalam filem Qaisy & Laila dan Cinta Tsunami. Mungkin orang kurang perasaan kemunculan saya kerana saya cuma melakonkan watak-watak sampingan sahaja. Selain filem saya juga berlakon dalam telemovie dan yang terakhir berjudul Primadona yang diterbitkan lima tahun lalu.

Tidakkah anda mempunyai rancangan untuk muncul dengan album baru?

RAHIMAH: Buat masa ini saya masih dalam perbincangan dengan beberapa syarikat rakaman yang berminat untuk merakamkan album terbaru saya. Saya akan umumkan kalau perbincangan itu membuahkan hasil. Buat masa ini saya isi masa dengan berlakon sementara menantikan rakaman album baru.

Selain menyanyi dan berlakon apa aktiviti anda?

RAHIMAH: Sebelum ini saya mengusahakan butik pakaian pengantin iaitu Rahimah Rahim Bridal di Singapura. Tetapi saya sudah berhenti mengusahakannya dan menyerahkannya kepada orang lain untuk menguruskannya.

Tidakkah anda rasa penat kerana sering berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur (KL) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seni anda?

RAHIMAH: Walaupun saudara-mara saya masih ramai di Singapura tetapi saya kini menetap di Johor Bahru (JB) kerana saya sudah mendapat taraf penduduk tetap Malaysia sejak 20 tahun lalu. Jadi saya rasa tidak jauh berulang-alik dari JB ke KL.

Akhir sekali, apa harapan anda dengan kemunculan semula anda dalam bidang seni?

RAHIMAH: Saya harap para peminat masih ingat dengan saya dan menerima filem-filem lakonan saya serta lagu-lagu nyanyian saya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.