saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 08/12/2005

Orang Maran hargai Siti Nurhaliza


ISTERI Timbalan Menteri Besar Pahang, Datin Norihan Mohamed (dua dari kiri) memakaikan mahkota penganugerahan Srikandi Seni kepada Siti Nurhaliza Taruddin di Dewan Orang Ramai Pekan Tajau, Maran baru-baru ini.


SEPULUH tahun Siti Nurhaliza Taruddin terbabit dalam dunia hiburan tanah air. Sepanjang tempoh itu sudah 120 anugerah seni dan penghargaan berprestij diterimanya baik di peringkat antarabangsa mahupun tempatan.

Baru-baru ini, satu lagi anugerah diterimanya... Anugerah Srikandi Seni daripada UMNO Bahagian Maran, Pahang.

Dibandingkan Anugerah Srikandi Seni dengan 120 lagi anugerah lain yang dimenanginya sebelum ini, apalah sangat nilai Anugerah Srikandi Seni. Bagaikan langit dengan bumi.

Namun penyanyi Siti Nurhaliza tidak pernah menolak penghargaan yang diberikan kepadanya walaupun nilainya tidak sebesar mana.

Anugerah terbaru itu hanya merupakan penghargaan di peringkat daerah. Tetapi bagi Siti, ia satu penghormatan yang tinggi dan sangat berharga.

"Siti berasa bangga kerana anugerah ini datang daripada peminat dan penduduk di tempat kelahiran Siti. Anugerah ini sungguh bererti dan ia adalah satu nostalgia yang sentiasa tersemat di hati Siti,'' katanya.

Penyanyi tersohor negara itu memang menjadi kebanggaan masyarakat daerah Maran kerana dia di lahirkan di Berek Polis Kampung Awah, Maran dan pengiktirafan itu membuktikan mereka berbangga di atas kejayaan terbilang Siti mengharumkan nama Pahang dan Malaysia.

Bagi penduduk Maran, keunikan watak Siti yang tidak mudah melatah akibat glamor atau pujian menjadi teladan kepada peminat supaya hidup bersederhana dalam kerjaya dan pergaulan.

Kejayaan Siti dalam bidang seni dan kini terbabit dalam perniagaan perlu diteladani kerana sikapnya yang cekal, bekerja kuat dan tidak mudah lupa daratan adalah resipi kejayaannya selama ini.

Lebih 7,000 peminat Siti Nurhaliza membanjiri Dataran UMNO Pekan Tajau untuk melihat dari dekat penyanyi nombor satu negara itu menerima anugerah berkenaan.

Kehadiran sebegitu ramai penduduk Maran yang memberikan sokongan membuktikan popularitinya tidak luntur seperti tanggapan sesetengah pihak kononnya zaman Siti kini sudah di penghujung.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Siti juga berharap kerajaan negeri turut memberi pengiktirafan yang serupa kepada individu lain yang cemerlang dalam bidang masing-masing seperti sukan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Ada pihak berpendapat pengakuan Siti baru-baru ini tentang kesediaannya bergelar isteri akan menjejaskan popularitinya. Namun bagi Siti, dia tidak bimbangkan hal itu kerana yakin peminat kini sudah bijak untuk menilai antara bakat dan glamor.

"Siti yakin Siti akan terus diterima walaupun sudah bergelar isteri asalkan Siti terus dapat melahirkan album yang berkualiti dan memenuhi cita rasa peminat seni hari ini.

"Selagi peminat dapat menerima kehadiran Siti, selagi itulah Siti akan terus menyanyi dan menerbitkan album,'' katanya.

Selepas kejayaan mengadakan konsert di Albert Hall, London, Siti akan mengadakan persembahan di Australia pada bulan April tahun depan.

"Tapi sebelum itu, pada bulan ini Siti akan masuk studio dan berulang alik ke Indonesia bagi menghasilkan sebuah album baru dengan lagu-lagu yang bakal dicipta oleh penggubah Aubery Suwito, Melly Goeslaw, Glenn Fredly dan Aerin Mutawai serta beberapa pengubah lain,'' kata Siti.

Banyak pemerhati menganggap kemunculan juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi mengugat populariti Siti Nurhaliza.

Namun, kata Siti, dia menerima kehadiran bintang AF3 itu dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai satu persaingan sihat bagi merancakkan lagi perkembangan dunia seni tanah air.

Kemunculan Mawi tidak dilihat sebagai satu halangan yang boleh menutup 'periuk nasinya' setelah 10 tahun mengungguli pentas hiburan tanah air.

"Siti akui Mawi seorang penyanyi baru yang hebat, mempunyai 'aura' yang tersendiri dan memiliki bakat semula jadi dalam bidang seni. Bagi Siti kehadiran Mawi kena pada masanya.

"Ini kerana peminat seni tanah air dahagakan kehadiran seorang penyanyi lelaki yang berwibawa dan berbakat selepas era M. Nasir dan Jamal Abdillah,'' kata Siti Nurhaliza semasa ditemui selepas menerima Anugerah Srikandi Seni daripada UMNO Bahagian Maran.

Tambahnya, "Kemunculan Mawi sangat dinanti-nantikan dan tepat pada masanya. Bagi Siti, Mawi mampu memeriahkan lagi perkembangan hiburan tanah air.''

Sebelum ini tercetus kontroversi apabila Siti Nurhaliza bergambar dengan Mawi. Ada pihak menuduh Siti yang sebelum ini enggan bergambar dengan artis-artis lelaki cuba menumpang populariti Mawi.

Menjawab tuduhan itu, kata Siti, dia tidak pernah mengubah pendiriannya itu semata-mata untuk menumpang populariti.

"Mungkin ramai yang terkeliru. Mengelak bergambar dengan artis lelaki itu maksud Siti dalam sesi fotografi yang diatur untuk hiasan muka depan atau kulit majalah hiburan dan juga poster.

"Tapi dengan Mawi, Siti bergambar semasa kami bertemu pada satu pertunjukan pentas ketika kami sama-sama diundang menyanyi. Itu bukan sesi fotografi yang telah diatur,'' kata Siti menjawab kekeliruan peminat mengenai pendiriannya itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.