saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 13/12/2005

Nancie Foo uji anak-anak cakap Melayu

MENGENALI Nancie Foo hari ini memang tidak banyak bezanya jika dibandingkan 17 tahun lalu. Wanita berketurunan Cina yang bertubuh lampai ini memang suka bercakap Melayu bila berjumpa. Walaupun sudah sembilan tahun kami tidak bertemu, Nancie Foo hari ini masih sama dengan Nancie Foo yang dikenali 17 tahun lalu.

Cuma bezanya, dulu Nancie Ratu Cantik Malaysia 1979, tetapi kini dia adalah isteri dan ibu kepada tiga anak gadis sunti iaitu Ai Dee, 13, Ai Vee, 11, dan Ai Lee, 5, hasil perkahwinannya dengan ahli perniagaan, Wong Kang Yeow.

Hampir dua jam bertemu dengan Nancie di sebuah restoran makanan segera di Cheras baru-baru ini jelas menunjukkan betapa tebalnya perasaan keibuan di hatinya.

Dalam pertemuan itu, ibu berusia lewat 40-an ini tidak jemu-jemu bercerita tentang gelagat anak-anaknya yang sedang membesar.

Siapa sangka, Nancie Foo yang suatu ketika dulu dianggap artis yang happy-go-lucky dan minat berlakon kini begitu tegas dalam soal membesarkan tiga anak gadis suntinya.

"You nak tahu, anak-anak I semua I hantar ke sekolah kebangsaan. Mereka cuma belajar di sekolah antarabangsa semasa tadika. Tetapi bila I tengok pergaulan di sana dan perkembangannya I lebih berminat anak-anak I belajar di sekolah kebangsaan.

"Mula-mula memang anak-anak I berangan nak sekolah Inggeris tetapi bila tengok I hantar ke sekolah kebangsaan mereka tidak boleh buat apa-apa. Lagipun suami I beri kebebasan kepada I untuk memilih sekolah mana anak-anak I harus belajar, " cerita Nancie mengenai dua anak gadis suntinya yang kini belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, Taman Shamelin Perkasa, Cheras.

Menurut Nancie, walaupun di kalangan kawan-kawannya yang berketurunan Cina dia digelar OCBC (Orang Cina Bukan Cina) kerana tidak tahu berbahasa Mandarin, tetapi dia tidak menyesal kesemua anak-anaknya belajar di sekolah kebangsaan.

"I mahu anak-anak I menjadi orang Malaysia sejati dan mendalami adat resam orang Melayu. Bagi I sebagai orang Malaysia mereka mesti fasih berbahasa Melayu dan tahu adat resam orang Melayu," kata Nancie.

Nancie memberitahu walaupun dia pernah menyesal kerana tidak boleh menguasai bahasa Mandarin tetapi dia tidak merasakan kekurangan kerana dia masih dapat menjalin persahabatan dengan kawan-kawannya dengan bertutur bahasa Melayu dan Inggeris.

"Kalau you dengar anak-anak I bercakap tentu you terkejut sebab bahasa Melayu mereka memang bagus berbanding bahasa Mandarin yang mereka belajar daripada datuk mereka, Wong Aun Phuii, 81, (bapa Kang Yeow) pada setiap hujung minggu.

"Bukan itu sahaja, malah setiap hari Sabtu I akan uji perbendaharaan kata bahasa Melayu mereka. I tanya dalam bahasa Inggeris dan mereka mesti jawab dalam bahasa Melayu. Kalau tidak faham I suruh mereka buka kamus Dewan Bahasa dan Pustaka," cerita Nancie sambil tersenyum membayangkan gelagat dan ragam anak-anaknya.

Malah kata Nancie, anak-anaknya lebih meminati penyanyi Melayu dan bercita-cita mahu jadi penyanyi dan pelakon.

"Tapi I warning mereka kalau nak jadi penyanyi atau pelakon mereka kena belajar betul-betul. Sebab dengan ada pelajaran sekurang-kurangnya jika sesuatu terjadi pada karier, mereka ada pilihan lain," kata Nancie.

Bila ditanya siapakah artis Malaysia yang diminati anak-anaknya, sambil tergelak Nancie berkata:

"Ai Dee minat dengan Maya Karin dan Erra Fazira sebab mereka cantik dan dia pun nak jadi pelakon. Sementara Ai Vee pula nak jadi penyanyi dan minat Misha Omar, Jaclyn Victor di samping pelakon Sharifah Amani."

Mahu kekal di belakang tabir

Sepertimana ketegasan mendidik anak-anaknya tanpa tolak ansur, begitu jugalah Nancie dalam kerjayanya. Biarpun tidak aktif sebagai pelakon namun semangat juangnya dalam bidang seni tidak pernah padam. Malah bersama rakan kongsinya, Wendy Wong, Nancie menjalankan perniagaan penerbitan di bawah syarikat Produksi Seni 2020 yang telah ditubuhkan sejak 1997.

Menyedari tanggungjawabnya pada rumah tangga dan keluarga perlu lebih diutamakan, maka tidak hairanlah kenapa Nancie tidak berminat menjadi pengarah untuk rancangan terbitan syarikatnya berbanding Wendy Wong.

"Biarlah I bergerak di belakang tabir. Biarlah Wendy buat semua itu, lagipun dia masih single dan tak ada tanggungjawab pada keluarga macam I," kata Nancie sambil ketawa.

Menurut Nancie, sebagai rakan kongsi yang tahu tanggungjawab masing-masing dia tidak pernah berasa terkilan atau kecil hati bila Wendy mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan.

Sebaliknya dia menganggap usaha rakan kongsinya itu satu perkembangan yang positif demi kebaikan syarikat penerbitan mereka.

"Tugas I di pejabat sudah memadai, apalagi jika dicampur dengan tugas mendidik anak-anak. Ketika anak-anak membesar, perhatian serius harus diberikan, tambahan pula dalam keadaan hari ini macam-macam boleh berlaku yang membuatkan I kadangkala terlalu mengongkong mereka," kata Nancie.

Selain menguruskan syarikat penerbitan, Nancie juga bertanggungjawab menguruskan kelab kepunyaan mereka iaitu Sugar Club yang terletak di Hotel Mutiara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau tidak selalu berada di sana sebaliknya ia lebih banyak dikendalikan oleh pengurus yang dilantik.

Menyentuh mengenai perancangan Produksi Seni 2020, Nancie memberitahu syarikat itu bercadang menerbitkan filem pada tahun depan.

"Jika ada skrip filem Malaysia, I dan Wendy tidak teragak-agak menerbitkan filem. Sebenarnya I cuba mencari cerita seperti Mekanik arahan Hafsham yang dianggap sebagai sebuah filem Malaysia," jelas Nancie.

Nancie yang pernah mencipta nama dalam bidang lakonan meninggalkan karier itu setelah melahirkan anak pertama, Ai Dee, pada tahun 1992.

"Kang Yeow memang tidak pernah menghalang kalau I nak berlakon tetapi memang

lumrah wanita bila sudah ada anak minat itu mula berkurangan kerana anak adalah segala-galanya," kata Nancie.

Sebelum mendapat anak, Nancie pernah muncul dalam drama episod seperti Debu-Debu Kotaraya sebagai Inspektor Suzi. Di samping itu, Nancie juga pernah berlakon dalam filem Bintang Pujaan pada tahun 1981.

Bila ditanya tentang tawaran lakonan, Nancie dengan bersahaja menjawab:

"Kalau babak sikit-sikit bolehlah, yang penting shootingnya tidak lama kerana I tidak mahu mengabaikan anak-anak."

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.