saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 19/12/2005

Perkahwinan Juliana Banos rapatkan hubungan lama keluarga


JULIANA di bilik pengantin di Villa Mutiara, Johor Bahru.



MAJLIS pertunangan, pernikahan, persandingan dan menyambut menantu telah pun selamat diadakan buat pasangan pengantin baru Juliana Azman Banos, 26, dan Mokhtar Ahmad, 32.Pasangan suami isteri itu telah dinikahkan pada 16 Disember di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru dengan berwalikan hakim kerana bapa kandung Juliana berada di Perancis dan tidak dapat hadir pada hari bersejarah dalam hidup anak perempuannya itu.

Namun begitu, dari jauh, ayah kandung penyanyi dan pelakon itu merestui pernikahan anaknya dan pasti mendoakan Juliana dan Mokhtar dapat hidup bahagia sebagai suami isteri.

Mokhtar, anak sulung pasangan Ramlah Mohamed dan suaminya, Ahmad Kemin, merupakan Pengarah Urusan Mutiara Motors Sdn. Bhd. Beliau sebenarnya bekerja dalam empayar perniagaan milik bapanya.

Sebut sahaja nama Ahmad Kemin, masyarakat di Johor Bahru rata-rata mengenali beliau kerana kejayaannya dalam perniagaan mengimport kereta mewah, pengurusan resort dan motorsport.

Perkahwinan Juliana dengan Mokhtar, anak hartawan Johor, sebenarnya telah merapatkan lagi hubungan antara dua keluarga yang sebelum ini sudah saling mengenali. Ibu bapa Juliana dan ibu bapa Mokhtar adalah kawan lama.

Sambut rakan media

Juliana menyediakan sebuah bas untuk rakan media dari Kuala Lumpur datang ke Johor Bahru menyaksikan detik bersejarahnya bertukar status menjadi seorang isteri.

Tidak cukup dengan itu, ketibaan para wartawan dan jurufoto dari Kuala Lumpur pada 15 Disember pada pukul 8.30 malam di Hotel Grand Bluewave Johor Bahru itu disambut sendiri oleh Juliana dengan ditemani kakaknya, Lina.

Juliana yang lebih mesra dengan panggilan Jun ingin memastikan urusan penginapan rakan-rakan media selama dua hari itu berjalan lancar. Itulah keprihatinan Jun walaupun dia ketika itu dia sepatutnya berada di rumah bersiap sedia untuk majlis akad nikah pada esok pagi.

Selepas berpuas hati dengan urusan penginapan itu, barulah Jun bergegas pulang ke rumah ibunya, Tijah Ibrahim, di Johor Bahru untuk diinaikan.

Air mata di Masjid Abu Bakar

Pada 16 Disember, seawal pagi, bertempat di rumah ibu dan bapa mentua Jun di Kampung Melayu Johor Bahru, rombongan Juliana tiba membawa bersama sembilan dulang hantaran untuk diserahkan kepada pihak lelaki.

Di mahligai milik pasangan usahawan Ramlah dan Ahmad itu, dulang-dulang itu ditukar dan Juliana menerima tujuh dulang hantaran daripada Mokhtar termasuk duit hantaran berjumlah RM77,888.77.

Setelah selesai, barulah rombongan kedua-dua pihak berarak menuju ke Masjid Abu Bakar untuk acara pertunangan dan sekali gus majlis akad nikah.

Senafas dan sekali lafaz, dalam suara yang lancar dan jelas Mokhtar menyambut akad daripada jurunikah, Datuk Imam Mahad. Dan sahlah dirinya menjadi suami Jun.

Pada ketika itu, air mata mengalir di pipi Jun, ibunya dan dua orang kakaknya, Lina dan Wani. Mungkin mereka bersyukur dan gembira kerana acara akad nikah berjalan lancar.

Setelah Mokhtar membacakan lafaz taklik, giliran Jun pula membaca ikrar perkahwinan. Ketika itu Jun tidak dapat menahan sebak dan sekali lagi air mata kesyukurannya berderai.

Bersanding di Hotel Hyatt

Selepas upacara pernikahan, pada sebelah malamnya pula diadakan majlis persandingan bagi meraikan kedua-dua mempelai di Dewan Utama Hotel Hyatt Johor Bahru.

Lima jam setengah selepas dinikahkan, hujan turun membasahi bumi Johor Bahru seolah-olah menyambut pasangan pengantin baru yang bakal melayari alam rumah tangga itu. Hujan lebat itu hanya berhenti sebelum pukul 6 petang.

Ketika jam hampir pukul 9 malam, Jun dan suami tiba di hadapan pintu masuk dewan hotel itu. Pasangan raja sehari itu diarak dengan paluan kompang menuju ke pelamin yang direka Unique Bridal.

Sama cantik, sama padan. Jun memakai baju kurung moden daripada kain jenis renda Perancis dan Mokhtar memakai Baju Betawi. Kedua-dua pakaian itu direka oleh Butik Haron dari Singapura.

Warna tema pilihan Jun, warna merah jambu, menghiasi pelamin dan baju persandingan mereka.

Upacara menepung tawar dan merenjis kedua-dua mempelai dimulakan oleh Tengku Abu Bakar Almarhum Tengku Abdul Rahman dan isteri, Gusti Raden Ayu Retno Mangku Nogoro Lapan, Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan, Mufti Johor, Datuk Noh Gadut dan ibu bapa kedua-dua mempelai.

Selesai upacara merenjis dan tepung tawar, kedua-dua mempelai dipersilakan ke meja utama untuk makan beradap bersama isteri Almarhum Tengku Bendahara Johor, Tengku Hajah Syariah Almarhum Tengku Abdul Rahman.

Majlis persandingan dimeriahkan dengan tarian zapin daripada murid-murid Sekolah Sri Melati Johor Bahru dan nyanyian ghazal daripada kumpulan Ghazal Remaja Seri Putra Kluang, Johor.

Kemunculan penyanyi undangan dari Indonesia, Harvey Malaiholo, turut menghiburkan 700 tetamu yang memenuhi dewan utama hotel itu.

Kemuncak kepada majlis persandingan, Juliana dan Mokhtar memotong kek perkahwinan mereka. Beberapa saat sebelum upacara memotong kek berlangsung, ditayangkan klip video zaman kanak-kanak Jun dan Mokhtar.

Ketika itu, lagu istimewa ciptaan Jun khas buat suami berjudul Cinta Selamanya dimainkan.

Untuk acara memotong kek, Jun memakai gaun labuh berwarna perak bermanik-manik ala zaman Yunani dan Mokhtar pula mengenakan jaket moden berwarna putih dan vest warna perak bermanik-manik.

Majlis persandingan berakhir sekitar pukul 10.30 malam.

Kos pakaian pengantin

Pereka pakaian nikah, persandingan dan bertandang Jun-Mokhtar, Haron dari Haron Butik berkata, "Tiada bajet yang khusus ditetapkan oleh Jun dan suaminya untuk pakaian-pakaian itu. Tetapi Jun adalah seorang yang boleh dipercayai apabila berurusan dengannya.''

Bagaimanapun, daripada gambaran yang diberikan Haron, dapat dijangkakan secara keseluruhan anggaran kos pakaian itu ialah sekitar RM46,000, tidak termasuk tambahan aksesori.

Bagaikan puteri di Villa Mutiara

Selesai majlis pada 16 Disember, pada keesokan harinya pula diadakan majlis menyambut menantu di rumah ibu dan bapa mentua Jun, Villa Mutiara, di Kampung Melayu, Johor Bahru.

Majlis dihadiri lebih 2,000 tetamu terdiri daripada orang-orang kampung dan kaum keluarga Jun dari Jerantut, Pahang.

Jun dan Mokhtar memakai songket berwarna emas. Rambut Jun disanggul lintang seperti seorang puteri. Mokhtar pula yang bertanjak dan keris tersisip di pinggang kelihatan seperti seorang anak raja.

Pengantin baru terus dibawa ke meja utama untuk upacara makan beradap bersama keluarga terdekat.

Nasi briyani gam, rendang, ayam masak merah, acar buah dan dal disajikan sepanjang majlis selain kuih baulu, buah-buahan dan kek.

Selesai makan beradap, Jun dan Mokhtar memotong pulut kuning tiga tingkat sebagai menyerikan majlis. Ini diikuti dengan upacara memotong kek perkahwinan.

Seiring ucapan tahniah, Jun dan Mokhtar terus-terusan melayan dan bergambar dengan orang-orang kampung serta peminat Jun yang turut hadir pada majlis itu.

Melihat gelagat kedua-dua pengantin baru itu, teringat kata-kata Jun, "Perkahwinan saya dengan Mokhtar turut membawa erti penyatuan dua buah keluarga. Jun kini mempunyai sebuah keluarga yang besar."

Satu lagi majlis persandingan Juliana dan Mokhtar akan diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses Kuala Lumpur pada 23 Disember ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.