saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/01/2006

Nur Amalina tulis resipi kejayaan


Musim persekolahan baru dan pengajian semester baru universiti baru saja bermula. Tentu saja dengan tahun baru, semua pelajar dan mahasiswa bersemangat untuk melakukan sesuatu yang terbaik buat diri mereka berbekalkan semangat dan azam yang serba baru dan melupakan kekurangan dan kelemahan yang telah dilalui.

Untuk berjaya tentu sekali memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh, namun sering terjadi juga usaha yang serius perlu diiringi dengan sistem dan kaedah belajar yang terancang dan sistematik.

Ungkapan study smart (cerdik belajar) sering berkumandang menunjukkan bahawa cara belajar pun mesti melalui proses sedemikian. Ada pelajar yang berusaha sungguh-sungguh tetapi hasil belum memuaskan dan ada pelajar yang study smart serta menggabungkan usaha serius mampu mendapatkan keputusan cemerlang.

Ini menunjukkan perlu ada cara-cara dan kaedah yang wajar atau kaedah yang pernah terbukti berjaya perlu dipelajari untuk mengubah cara-cara `lama' yang pernah dipraktikkan. Tidak hairanlah, berbagai `gaya belajar' diperkenalkan di pasaran seperti `peta minda', pembelajaran cepat dan sebagainya.

Beriringan dengan perkembangan ini, pelbagai jenis buku `gaya belajar' turut membanjiri pasaran, misalnya, Quantum Learning (2001); Emotional Intelligence (1995); How to Study (1993).

Salah satu buku bertema gaya belajar yang ada di pasaran ialah Bimbingan Menara Gading (2005), edisi kedua yang diselenggarakan oleh Abdul Razaq Ahmad dan Norzaini Azman dan diterbitkan oleh Yayasan Istana AbdulAziz. Buku ini menghimpunkan pelbagai `nasihat' dan panduan gaya belajar daripada pakar-pakar motivasi dan pendidikan tempatan seperti Dr. Mohd Fadzillah Kamsah, Dr. Rohaty Mohd. Majzub, Dr. Ramlee Mustapha.

Namun, paling menarik sekali, ia memuatkan tulisan Nur Amalina Che Bakri yang berkisah tentang pengalamannya belajar sehingga berjaya menjadi Pelajar Terbaik SPM 2004.

Melalui tulisannya bertajuk Berkongsi Pengalaman Belajar Bersama Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2004, Nur Amalina bercerita tentang caranya belajar, saat-saat menghadapi ujian dan peperiksaan, menguasai bahasa Inggeris.

Menurut Amalina, cara belajarnya amat mudah dengan memberi tumpuan sepenuhnya pada pembelajaran di kelas dan selalu bertanya kepada guru. ``Rasa segan dan malu bertanya tidak patut ada dalam diri seseorang sekiranya mahu berjaya,'' kata Nur Amalina. ``Apabila subjek-subjek sudah difahami, buat nota ringkas dalam bentuk rajah atau peta minda untuk memudahkan ingatan. Manakala bagi subjek-subjek berbentuk fakta seperti sejarah, nota dibuat dalam bentuk kata kunci,'' tulis Nur Amalina.

Nur Amalina seterusnya menulis bagaimana beliau membahagikan masa dengan kegiatan kokurikulum serta penglibatannya dalam persatuan di sekolah. Dia percaya setiap penglibatan itu perlu dilakukan dengan sepenuh hati dan bukan sekadar untuk mendapatkan sijil.

Dalam dirinya terdapat semangat berjuang yang tidak pernah mengalah dan mesti berjaya dalam apa yang diceburi. Ibunya menggalakkan beliau menjadi yang terbaik antara yang terbaik.

Pernah suatu ketika penulis bertanya pada Nur Amalina semasa menjadi hakim Anugerah Nilam (Nadi Ilmu Amalan Membaca) dan Tokoh Pembaca Kebangsaan 2004.

``Mengapa sanggup menyusahkan diri dengan mengambil tujuh belas subjek?'' Nur Amalina menjawab dengan penuh yakin dan mengesankan hati penulis: ``Saya ingin menjadi pelajar Melayu pertama untuk mendapat 17A dan memecahkan rekod pelajar yang sebelum ini mendapat 16A.''

Dan kata-kata ini telah pun dikotakannya. Nur Amalina percaya sesuatu kejayaan itu bermula daripada angan-angan dan ia berpegang pada kata-kata Walt Disney, ``If you can dream it, you can do it.''

Memang dalam diri Nur Amalina terpancar semangat keyakinan yang luar biasa untuk mencapai kecemerlangan. Ibunya sering menceritakan kepadanya tentang kecemerlangan universiti-universiti terkemuka di dunia seperti Universiti Harvard, Universiti Cambridge dan ini telah mempengaruhinya. Malah impian itu telah pun dibuktikannya.

Sejak kecil lagi, Nur Amalina telah pun terdedah pada bahan bacaan, malah ketika berusia tujuh bulan, ibunya telah pun membeli set-set buku walaupun ketika itu masih belum pandai membaca. Dan ketika berusia 4 tahun, ibunya telah membeli lebih banyak bahan bacaan memandangkan kecenderungan luar biasanya terhadap buku.

Tidak hairanlah Nur Amalina akhirnya memenangi Anugerah Nilam 2004 dan menjadi Tokoh Pembaca Kebangsaan Pertama sejak diperkenalkan pada tahun 2003 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tulisan Nur Amalina dalam Bimbingan Menara Gading memang memberi inspirasi bahkan gaya penulisannya bersahaja, memikat dan sering mengutip kata-kata motivasi daripada tokoh-tokoh ternama dunia menunjukkan Nur Amalina memang telah pun menjangka kejayaan demi kejayaan yang akan dicapainya dan terkesan di akhir tulisannya bahawa beliau adalah seorang pembaca yang luar biasa.

- SHAHAROM TM SULAIMAN ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.