saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 14/01/2006

Buli Balik Afdlin dedikasikan untuk ibu


AFDLIN Shauki (depan empat dari kiri) bersama para pelakon dan tenaga kerja Buli Balik selepas pratonton filem itu di Petaling Jaya kelmarin.


AFDLIN Shauki boleh menarik nafas lega apabila filem Buli Balik arahan dan lakonannya yang selesai menjalani penggambaran pada Februari lalu akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia mulai 26 Januari ini.

Pemenang anugerah Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-17 ini puas hati kerana Buli Balik kembali ke layar perak setelah kejayaan filem Buli yang merupakan filem pertama arahannya. Filem itu mengaut kutipan tiket RM1.9 juta pada 2004.

Afdlin, 35, juga bersyukur apabila ibunya, Fadzilah Jelani, 56, berada dalam keadaan sihat pada saat dia berdebar-debar menanti tarikh tayangan filem terbarunya itu.

Menurut bapa kepada dua orang anak perempuan ini, ibunya pernah diserang penyakit angin ahmar pada Mei lalu selepas tiga bulan Buli Balik selesai penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Port Dickson.

Bagaimanapun, atas semangat yang kuat ibu kepada 10 orang anak itu berjaya melawan penyakit tersebut dan akhirnya sembuh setelah menjalani rawatan selama enam bulan.

Justeru, Afdlin mendedikasikan Buli Balik yang menelan kos pembikinan RM1.5 juta itu kepada ibunya yang banyak berkorban dan percaya dengan bakatnya dalam dunia lakonan.

“Mak telah memelihara saya dan dia banyak berkorban untuk saya. Bagi saya, dia seorang pejuang yang hebat. Dia berjaya melawan balik penyakitnya itu.

“Filem Buli Balik ini antara lain membawa mesej supaya kita menentang sesuatu yang membuli kita. Begitu juga dengan mak saya.

“Dalam hal ini, mak saya sudah pun melawan semula penyakit yang ditanggungnya selama ini,” katanya sewaktu ditemui selepas pratonton Buli Balik di Bandar Utama, Petaling Jaya kelmarin.

Kata Afdlin, dia juga kini boleh tersenyum lebar apabila ibu yang amat dikasihinya itu melangsungkan perkahwinan yang kedua pada Oktober tahun lalu selepas berbelas tahun hidup sebagai ibu tunggal.

“Mak dan bapa saya bercerai sewaktu saya berusia belasan tahun. Sejak saat itu, saya tinggal dengan mak saya. Dia memahami dan percaya dengan bakat yang saya miliki dalam bidang lakonan,” ujar anak sulung daripada 10 beradik ini.

Selain mengarah, berlakon dan menulis lakon layar Buli Balik yang diterbitkan oleh Grand Brilliance Sdn. Bhd., Afdlin bersama syarikatnya, Vision Works Sdn. Bhd., juga melabur dan menerbitkan filem itu bersama Tall Order Production Sdn. Bhd. dan Nasha Aziz.

Jelas Afdlin, dia telah melabur sebanyak 20 peratus daripada kos pembikinan filem itu bersama Hans Isaac dan Nasha yang turut berlakon dalam Buli Balik.

“Grand Brilliance Sdn. Bhd. melabur sebanyak 50 peratus, Nasha Aziz (10 peratus), Hans Isaac melalui syarikatnya Tall Order Production Sdn. Bhd. (20 peratus) dan selebihnya daripada modal saya,” katanya.

Hans Isaac ketika ditemui pada majlis itu berharap pelaburan yang dilakukannya dalam penerbitan Buli Balik akan membawa pulangan yang lumayan.

“Sebelum ini saya mendapat bayaran daripada berlakon. Kali ini saya bukan sahaja berlakon tetapi turut mengeluarkan duit. Maknanya komitmen saya terhadap filem ini juga semakin bertambah,” ujar Hans.

Sementara itu, Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn. Bhd., Ahmad Puad Onah berkata, penerbitan filem hasil usaha sama empat pihak itu pasti akan membuahkan hasil.

“Para penonton yang pernah menonton Buli tentunya tertunggu-tunggu tayangan Buli Balik. Saya harap filem ini akan mendapat sambutan ramai memandangkan hari tayangannya jatuh pada cuti Tahun Baru Cina, Hari Wilayah Persekutuan dan Awal Muharam,” katanya dalam nada positif.

Selain Afdlin, Hans Isaac dan Nasha, filem ini turut dibintangi oleh AC Mizal yang melakonkan watak Rudy, Ako Mustapha (Shaff), Umie Aida (Dr. Selina), Syanie (Farah) dan Patrick Teoh (Tan Sri Michael).

Buli Balik merupakan sekuel filem Buli yang mempunyai gaya komedinya yang tersendiri. Ia dijangka mampu membuatkan pawagam riuh-rendah dengan derai tawa para penonton.

Filem ini mengisahkan tentang Nordin (lakonan Afdlin) yang bertemu semula dengan Roy (Hans Isaac) selepas enam bulan kawannya itu terbabit dalam satu kemalangan jalan raya yang dahsyat.

Nordin tidak menyangka Roy yang sering membulinya sejak kecil masih hidup dan menghadapi masalah hilang ingatan ekoran tragedi tersebut.

Namun atas rasa simpati Nordin telah membawa Roy pulang ke rumahnya. Selain membantu memulihkan ingatan Roy, Nordin juga berpeluang untuk membalas perbuatan jahat kawan lamanya itu.

Adakah Nordin tergamak melakukannya? Saksikan sendiri Buli Balik di pawagam kelak.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.