saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 16/01/2006

Jejambat MRR2 tak selamat -- Kontraktor dilantik masih belum mulakan kerja-kerja pembaikan


KEADAAN jejambat di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang dikatakan masih tidak selamat digunakan sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan yang melalui - di atas dan di bawahnya - di Kepong, Kuala Lumpur, semalam. - Gambar AZLI AHAD.



KUALA LUMPUR 15 Jan. - Jejambat retak di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong di sini, yang ditutup tiga bulan dan dibuka semula November lalu, masih tidak selamat digunakan - ia berhayun kuat dan dipercayai berada di tahap akhir toleransinya.

Utusan Malaysia yang menerima maklumat penting itu diberitahu, lebuh raya bertingkat itu boleh runtuh jika kerja-kerja membaiki keretakan strukturnya (31 daripada 33 tiang dan palangnya retak) tidak dilakukan segera.

Maklumat sulit teknikal yang diperoleh mendedahkan, runtuhan boleh berlaku apabila tahap rekahan yang sedang membesar (expansion) itu mencecah pada kadar 0.4 peratus.

Pada masa ini, tahap merekahnya berada pada kadar 0.2 peratus. Proses merekah itu melebar pada kadar 0.1 peratus setahun.

Ini bermakna, jangka hayat jejambat itu hanya boleh bertahan dua tahun lagi.

Menurut pakar pembinaan jambatan kepada Utusan Malaysia, tempoh setahun ini merupakan tempoh yang ``penuh dengan risiko jika kerja-kerja pembetulan tidak dilakukan segera. Tahap risikonya meningkat dari sehari ke sehari.

``Jejambat itu perlu ditutup sehinggalah kerja-kerja itu dijalankan. Apa yang berlaku sekarang beban kenderaan yang berada di laluan itu, terutama ketika waktu puncak sungguh berbahaya kepada jejambat itu. Jejambat itu berhayun. Saya sendiri takut apabila berada di atasnya, kita akan rasa pening,'' kata sumber teknikal itu yang tidak mahu didedahkan identitinya.

Bagi membuktikan apakah dakwaan itu benar, Utusan Malaysia menjalankan tinjauan dan didapati terdapat hayunan kuat di atasnya.

Walaupun pakar pembinaan jambatan itu memberitahu, hayunan itu adalah normal dan boleh berlaku, tetapi bagi MRR2 katanya terdapat ``elemen yang amat meragukan.

``Kekuatan besi di dalam strukturnya telah lemah (yield) kerana besi semakin memanjang. Ini mengakibatkan kekuatan simpanan (reserve) pada besi itu sudah berkurangan,'' katanya yang menerangkan secara teknikal kedudukan jejambat itu.

Keretakan pada jejambat sejauh 1.7 kilometer itu telah menimbulkan kontroversi tahun lalu sehingga memaksa ia ditutup pada 8 Ogos. Ekoran itu satu kumpulan pakar perunding yang menjalankan kajian keretakan itu, Halcrow Group Limited dari United Kingdom dilantik bagi mengkaji kedudukan jejambat tersebut selama sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad yang diberi taklimat oleh pakar perunding itu turut mengakui bahawa keretakan itu memang serius dan jejambat itu hanya mempunyai hayat selama dua tahun lagi.

Bagaimanapun atas ``sebab-sebab yang tidak diketahui'' Halcrow kemudian mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Shahrir itu.

Malah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu juga telah mengeluarkan kenyataan mengatakan ``keretakan yang berlaku pada jejambat itu disebabkan oleh keretakan kecil akibat takungan air di dalam konkrit''.

Akhirnya, jejantas enam lorong dua hala itu buka semula empat lorong kepada pengguna jalan raya kira-kira pukul 3 petang 12 November lalu. Bagaimanapun ia hanya dihadkan kepada kenderaan ringan sahaja.

Kementerian Kerja Raya menjanjikan kerja-kerja pembaikan membabitkan kos RM20 juta akan siap pada Jun tahun ini.

Malangnya, janji kementerian itu dijangka tidak dapat dipenuhi.

Ini kerana, sumber kementerian memberitahu: ``Pihak kontraktor - Bumi Hiway (M) Sdn. Bhd. - masih gagal memulakan kerja.''

Bak kata pepatah ``retak menunggu belah,'' apakah semua pihak mahu menunggu sehingga jejantas gergasi enam laluan itu runtuh dulu baru mahu bertindak?

Tidak boleh dibayangkan sekiranya tragedi ini berlaku, kerana jumlah pergerakan manusia di atas atau di bawah jejambat itu sungguh tinggi pada hari-hari bekerja.

Utusan Malaysia memulakan penyiasatan ini setelah menerima aduan daripada orang ramai yang mendakwa berlaku goyangan yang kuat di atas jejambat di MRR2 itu semasa berlakunya kesesakan lalu lintas.

Malah, Utusan Malaysia turut dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak mereka telah menerima banyak aduan mengenai fenomena goyangan tersebut.

Seorang pemandu yang berulang alik ke tempat kerjanya di Kepong dari Setapak setiap hari, Mohd Noor Sarip, 41, membuat pengakuan ini.

``Pada bulan lalu semasa saya terperangkap akibat kesesakan trafik di atas jejambat itu, saya dapat merasakan goyangannya terlalu kuat. Saya kata, sudah macam ini. Kalau jejambat ini runtuh habislah.

``Saya rasa sungguh tidak yakin pada ketika itu.''

Seorang lagi pemandu, Zulkarnain Hassan, 39, yang juga sering berulang alik menggunakan lebuh raya itu memberitahu, beliau dapat merasakan lebuh raya bertingkat itu bergoyang semasa kenderaannya beratur panjang ketika berlaku kesesakan lalu lintas di atasnya.

``Saya rasa goyangnya, ke kiri dan ke kanan. Saya ingat ia perkara biasa,'' kata beliau yang bertugas sebagai juruteknik kanan di sebuah syarikat.

Menurut satu sumber kerajaan pula, rekahan itu semakin besar akibat kerosakan pada konkritnya yang dikenali sebagai Delay Ettringite Formation (DEF). Ia berlaku apabila air meresap ke dalam rekahan itu dan merosakkan konkrit tersebut.

``Ini adalah satu fenomena serius. Apa yang berlaku ialah masalah pada reka bentuk jejambat tersebut sehingga mengakibatkan berlaku rekahan yang amat teruk itu,'' katanya.

MRR2, Fasa 1 sepanjang 35.5 kilometer itu dibina bagi memendekkan jarak perjalanan dua hala antara bahagian utara, timur dan selatan ibu negara. Lebuh raya itu dibahagikan kepada 12 pakej pembinaan.

Kerosakan teruk pada tiang-tiang jejantas itu berlaku di pakej 11 sejauh 1.7 kilometer bermula dari Kepong Indah hingga Lebuh Raya Damansara-Puchong.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:18
Asar 4:44
Maghrib 7:27
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.