saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/01/2006

Sisa toksik: JAS jangan gagal lagi

DI KAMPUNG Sungai Gatom, Labis, Johor 300 penduduk terpaksa dipindahkan. Mereka diarah pindah kerana kampung halaman dicemari gas ammonia dari sisa toksik yang ditanam oleh pihak tidak bertanggungjawab. Apabila sampai tahap diarah berpindah, maknanya pencemaran di kampung ini mengancam nyawa manusia.

Difahamkan sisa toksik itu dibuang di kampung berkenaan lebih 1,000 tan yang dilakukan secara haram sejak enam bulan lalu. Akibatnya enam sekolah terpaksa ditutup dan situasi ini dengan sendirinya memberi gambaran tahap keseriusan gas ammonia itu.

Pembuangan sisa toksik itu bukan dilakukan oleh penduduk kampung sebaliknya oleh dua buah kilang yang dikenal pasti di Melaka. Dari satu sudut, isu sisa toksik ini menunjukkan mentaliti segelintir rakyat yang tidak prihatin dengan alam sekitar.

Sebenarnya yang lebih penting daripada insiden ini adalah kelemahan kita untuk memastikan kegiatan dalam bidang perindustrian dijalankan mengikut peraturan. Kita bukan tidak ada pihak berkuasa yang khusus mengenai alam sekitar tetapi soalnya sejauh manakah peraturannya diikuti?

Sebenarnya ini bukanlah berita sensasi. Berita ini tentang hidup mati orang yang tidak tahu apa-apa yang dilakukan oleh pihak lain di kampung halaman mereka. Walaupun mereka tidak tahu tetapi kita mempunyai pihak yang sepatutnya lebih tahu iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Bagi orang kampung apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, isu sisa toksik ini dianggap sudah selesai. Dalam kata, lain masalah yang menyelubungi hidup mereka telah berakhir.

Tetapi ia tetap meninggalkan pelbagai persoalan tentang keberkesanan pemantauan JAS selama ini. Apabila dua kilang di Melaka dengan mudah membuang sisa toksik di kampung ini dengan begitu banyak, jangan marah kalau ditanya apa yang JAS buat selama ini?

Dalam isu sisa toksik ini JAS kelihatan sangat naif kerana tidak berupaya memastikan kedua-dua kilang berkenaan melupuskan sisa toksik di tempat yang dikhaskan. Dengan mudah pihak kilang membuang bahan bahaya itu di mana saja yang mereka suka.

Apakah ini kerana pihak kilang terlalu licik atau JAS sendiri yang lemah atau tidak ambil berat perkara yang serius seperti ini? Sebagai orang luar, isu pembuangan sisa toksik yang begitu banyak tidak wajar berlaku.

Tingkah laku JAS mengundang banyak persoalan berhubung keseriusan menjaga alam sekitar. Lihatlah walaupun lebih seminggu tercetus isu gas ammonia di Kampung Gatom, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Adenan Satim dan Ketua Pengarah JAS, Datuk Rosnani Ibrahim belum lagi ``membuka mulut''.

Apakah ini memberitahu kita pencemaran gas ammonia di Kampung Gatom isu kecil bagi kementerian ini? Maka kerana itu isunya sekarang bukan lagi di Kampung Gatom ataupun 1,000 tan sisa toksik dibuang di kampung ini.

Isunya ialah penguatkuasaan untuk memastikan alam sekitar negara ini selamat belum meyakinkan. Siapa lagi yang mempunyai wibawa, kepakaran serta kuasa berhubung alam sekitar kalau bukan JAS? Lalu salahkah kalau kita semua meletakkan harapan yang tinggi kepada JAS?

Teknologi yang secanggih mana sekalipun tetap memerlukan ``dimanusiakan'' supaya alat itu boleh dimanfaatkan. Difahamkan JAS mempunyai sistem yang dikenali sebagai Sistem Penjejakan Sisa Berjadual (E-Swiss). Teknologi ini boleh memastikan sisa toksik itu tiba ke destinasi terakhir iaitu loji pelupusan di Bukit Nenas, Negeri Sembilan pada masanya.

Maknanya bila sisa toksik itu dikeluarkan dari kilang adalah dengan pengetahuan JAS. Kalau tidak, bagaimana untuk memantau sama ada sampai atau sebaliknya ke loji pelupusan? Jadual ada di tangan JAS. Kebimbangan kita ialah sekiranya penguatkuasaan tidak dipraktikkan hingga sisa toksik boleh dibuang di mana-mana saja dengan sesuka hati.

Kita lupakan dulu sikap tidak bertanggungjawab pihak kilang berkenaan. Kerana wujud sikap sedemikianlah perlunya ada JAS untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Rakyat mempersoalkan apabila keselamatan mereka seolah-olah bukan perkara pertama kepada JAS.

Insiden di Labis ini juga menambah satu lagi dalam senarai kegagalan JAS selepas penemuan 12,000 tan sisa buangan industri di Simpang Renggam. Bukan itu saja malah penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan tersebut dipercayai dibawa masuk dari Taiwan menerusi Pelabuhan Pasir Gudang dua tahun lalu.

JAS wajar memulakan tahun baru ini dengan azam baru supaya reputasi jabatan ini kembali diyakini. Banyak insiden besar sebelum ini bukan saja sangat mengecewakan malah sangat membimbangkan.

Dalam wawasan menuju negara maju berteraskan industri, peranan JAS menjadi semakin besar dan penting. Tanpa kawal selia dan melaksanakan penguatkuasaan seperti yang sewajarnya, JAS hanya akan diingat dengan kegagalan demi kegagalan.

JAS kena realistik bahawa kesedaran masyarakat termasuk industrialis terhadap peri pentingnya alam sekitar masih rendah. Maknanya JAS perlu proaktif untuk menjadi penunjuk arah ke arah sebuah negara industri yang selamat.

Kita terpaksa menerima hakikat ketika masyarakat di negara maju membincangkan isu perdagangan yang mesra alam, kita masih lagi dengan isu sisa toksik yang dibuang di merata-rata tempat. Tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mewajarkan kegagalan JAS dalam perkara yang tidak sewajarnya mereka gagal.

Mahu tidak mahu JAS wajar memberi keutamaan untuk memastikan kuasa yang ada digunakan dengan sebaiknya. Biarlah kalau penguatkuasaan itu menakutkan pelabur melabur di negara ini. Ini bukan soal untung rugi tetapi soal nyawa orang ramai.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:12
Asar 4:35
Maghrib 7:09
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.