saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 31/01/2006

BULI BALIK LUCU DAN TRAGIS

Buli Balik adalah sekuel kepada filem pertama arahan Afdlin Shauki, Buli. Filem Buli bukan sahaja mendapat sambutan yang cukup baik di pasaran, malah filem itu telah memenangkan Afdlin sebagai pengarah dan penulis skrip terbaik di Festival Filem Malaysia.

Filem Baik Punya Cilok, filem kedua karya dan arahan Afdlin juga mendapat sambutan yang hangat di pasaran dan hingga hari ini filem itu masih ditayangkan di pawagam.

Kejayaan kedua-dua buah filem itu meletakkan Afdlin pada kedudukan yang baik di kalangan penonton filem di Malaysia. Namanya dikenal bukan sahaja sebagai pelakon yang baik tetapi juga pengarah yang mempunyai keupayaan tersendiri.

Tetapi yang lebih penting daripada itu ialah stail dan konsep komedi yang dihasilkan oleh Afdlin dalam ketiga-tiga buah filem tersebut. Komedi dalam filem-filem Afdlin terletak pada keupayaan watak-wataknya dan situasi yang mengikat watak-wataknya yang tidak membina kelucuan daripada kebodohan masing-masing.

Dalam Buli Balik, yang merupakan sekuel daripada filem Buli dengan mengekalkan watak-watak utamanya, Afdlin telah mengubah situasi dan perwatakan dalam sekuel filem itu. Bagi sebuah sekuel, langkah Afdlin itu merupakan tindakan bijak kerana sebuah sekuel bukan bermakna mesti bergerak di atas landasan yang lama, mengulang cerita lama dengan hanya memberikan efek dan kosmetik yang baru. Sebuah sekuel yang baik akan membawa penonton kepada situasi baru, perubahan kepada watak tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan nilai dan semangat filem asal.

Dalam filem Buli yang pertama, Nordin (dilakonkan oleh Afdlin) menjadi mangsa buli oleh Roy atau Masron (dilakonkan oleh Hans Isaac) kerana keyakinan dirinya yang rendah ekoran keadaan fizikal dirinya yang gemuk. Nordin dibuli sungguhpun dia mempunyai keistimewaan dalam menguasai teknologi perisian komputer, iaitu kemahiran yang tidak ada pada Roy.

Nordin dan Roy adalah dua sahabat yang sudah lama rapat sejak dari bangku sekolah lagi. Dalam Buli Balik, situasi watak-watak ini berubah. Nordin (masih dilakonkan oleh Afdlin) telah mempunyai keyakinan diri yang tinggi setelah menjadi rakan niaga kepada Tan Sri Michael (Patrick Teoh) dalam syarikat perisian komputer Michaelsoft dan menjadi terkenal kerana menang pertandingan kuiz televisyen realiti Siapa Salah Kena Karan.

Hal ini telah meningkatkan keegoan Nordin. Sebaliknya Roy (masih dilakonkan oleh Hans Isaac) yang dulunya pembuli Nordin telah mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya yang telah menyebabkannya hilang ingatan.

Roy yang hilang ingatan dan lemah kembali bersama Nordin yang berusaha membantu memulihkan ingatannya. Tetapi di sebalik usaha tersebut, Roy yang lemah menjadi mangsa buli Nordin dan Syam (Ako Mustapha), teman pembantu Nordin.

Mereka ini adalah bekas mangsa buli Roy yang mengambil kesempatan daripada kelemahan Roy untuk membalas dendam.

Buli Balik dibina atas keseimbangan antara elemen komedi dan unsur dramatik yang kuat. Malah watak-watak dalam Buli Balik adalah watak-watak yang tragis, yang mempunyai sejarah silam yang penuh kekecewaan. Nordin pada zaman kanak-

kanaknya adalah mangsa buli dan dipermainkan oleh rakan-rakannya disebabkan keadaan fizikal

dirinya. Roy berubah menjadi pembuli disebabkan sering menjadi mangsa deraan keras oleh bapanya (Ahmad Tarmimi Siregar). Bagaimanapun, di sebalik Nordin yang telah mempunyai keegoan dan keyakinan diri yang tinggi dalam kerjayanya, Nordin tetap mempunyai kelemahan yang nyata iaitu dia tidak dapat meluahkan perasaannya yang sebenar terhadap Dr. Ika (Nasha Aziz) yang telah berjaya memberikan terapi psikologi kepada Nordin.

Slapstik

Kekuatan naratif Buli Balik adalah pada keupayaan Afdlin mengolah naratif Buli Balik dengan menyuntik elemen kelucuan pada adegan-adegan yang sebenarnya dramatik dan tidak membiarkan unsur kelucuan tersebut menjadi adegan lucu yang slapstik. Malah dalam dialog-dialog bersahaja Afdlin dan dalam kelucuannya sering terselit falsafah hidup yang cukup bermakna. Di sini kelebihan dan kebijaksanaan yang membezakan Afdlin dengan pengarah filem Melayu lain.

Afdlin menyuntik elemen kelucuan dalam dialog-dialognya secara bersahaja yang telah menjadi trademarknya. Lihat sahaja pada naratif latar dalam adegan pembukaan atau ketika interaksi dialognya dengan watak-watak lain.

Malah kekuatan dialog dan kelucuannya terserlah ketika adegan sesi terapi oleh Dr. Kam (Harith Iskandar) yang menjadikan adegan tersebut begitu melucukan.

Sungguhpun terdapat adegan yang kelihatan slap-stik seperti adegan klip Tan Sri Michael menyanyi di tepi pantai, tetapi ia terkawal dan penuh sindiran. Dan antara adegan yang cukup diingati dan sebenarnya menyedihkan adalah adegan Nordin menghadap cermin dan melihat semula kekacauan dalam fikirannya yang bercelaru.

Filem itu berakhir dengan adegan yang tragis tetapi babak itu sebenarnya melengkapkan sebuah komedi tragedi seperti Buli Balik. Sebenarnya dalam drama komedi, watak-wataknya sering menjalani kehidupan yang tragis, sepi dan cuba memahami diri mereka. Inilah sebenarnya yang dialami oleh Nordin dan Roy. Mereka mempunyai kelemahan diri dan hidup dalam traumanya tersendiri.

Tetapi penonton melihat dunia dan kepedihan hidup mereka itu sebagai kelucuan yang sebenarnya juga satu simpati. Akhirnya antara kelucuan dan kesedihan sudah tiada perbezaannya dalam filem itu. Setelah penonton dihidangkan dengan adegan-

adegan yang dramatik dan melucukan, adegan tragis yang menamatkan jalan cerita menjadi kemuncak penceritaannya. Keupayaan Afdlin menjalin elemen melodrama dan kelucuan menjadikan naratif filem itu cukup berkesan.

Bagaimanapun, Buli Balik bukanlah tidak mempunyai kelemahannya. Adegan-adegan imbas kembali zaman kanak-kanak di sekolah yang diulang-ulang untuk mewajarkan adegan buli dan adegan pemuda kampung yang pernah dibuli oleh Roy membalas dendam barangkali tidak perlu. Malah adegan yang melibatkan watak Rudy (AC Mizal) agak kabur pada peringkat awal. Tetapi kemunculan Ramlah Ram nyata cukup menarik dan pakaiannya dengan ukiran hati di dada mengingatkan kita pada Ramlah Ram dalam satu rancangan muzik di televisyen lama dahulu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.