saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 13/03/2006

Stesen TV belum sekata dalam menjayakan ASA


AZNIL NAWAWI sempat bergurau dengan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sambil diperhatikan oleh Zainuddin Maidin ketika asa2005 berlangsung di Kuala Lumpur malam kelmarin.



TIDAK dinafikan Anugerah Seri Angkasa 2005 (ASA2005) yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam kelmarin meriah dan berprestij.

Sebanyak 10 stesen penyiaran tempatan iaitu RTM, TV3, Astro, ntv7, 8TV, Best 104, Star fm, AMP, Cats fm dan IKIM fm sepakat menjadikan ASA2005 sebagai tapak untuk mempertandingkan kreativiti tenaga kerja dan hasil penerbitan masing-masing.

Karyawan RTM menguasai 34 daripada 60 kategori yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, kesepakatan itu belum dijelmakan sepenuhnya apabila ada di kalangan stesen penyiaran terbabit seolah-olah mementingkan diri sendiri.

Perkara itu dapat dilihat apabila tiga stesen TV iaitu TV2, Astro RIA dan TV3 diberi peranan menyiarkan ASA2005 secara langsung.

Kecelaruan timbul apabila TV2 dan TV3 menyiarkan anugerah itu mengikut cita rasa masing-masing walaupun sudah dimaklumkan Astro RIA diberi tanggungjawab sebagai hos siaran langsung program itu.

Pada malam pertama ASA2005 disiarkan pada 10 Mac lalu, misalnya, siaran langsung di TV2 dan TV3 ternyata tidak meliputi keseluruhan acara di Dewan Plenary itu seperti mana siaran langsung yang dibuat oleh Astro RIA.

Penerbit ASA2005, Khairul Mizan Shagul, 28, ketika ditanya tentang ketidakseragaman siaran langsung itu berkata:

“Sebagai hos utama menyiarkan siaran langsung ASA2005, kami telah menyediakan masa tiga minit untuk segmen iklan. Tetapi ada stesen TV yang memanjangkan siaran iklannya hingga enam minit.

Iklan

“Ini yang membuatkan siaran langsung ketiga-tiga stesen TV tidak seragam. Mereka berbuat demikian mungkin untuk memberi peluang lebih banyak iklan ‘masuk’. Ini kerana iklan adalah salah satu sumber pendapatan mereka.

“Walaupun iklan itu menjejaskan keseragaman siaran langsung program itu, tetapi kami tidak boleh buat apa-apa kerana itu adalah hak setiap stesen TV.”

Dalam siaran langsung pada malam pertama ASA2005, TV2 telah memberi tanggungjawab kepada Sharifah Shahirah menemu bual para pemenang di belakang pentas.

Sorotan yang diberikan itu mengambil masa hingga penonton ketinggalan menyaksikan penyiaran acara seterusnya di atas pentas utama ASA2005.

Dalam erti kata yang mudah, penonton TV2 pada malam itu telah ketinggalan menyaksikan penyampaian beberapa anugerah kerana tayangan iklan.

Malah, terdengar khabar angin mengatakan ada stesen penyiaran yang memboikot pencalonan bagi kategori tertentu yang kononnya didominasi oleh sebuah stesen penyiaran.

Akibatnya, bagi kategori tersebut, tiada pencalonan yang datang daripada stesen TV berkenaan.

Dalam isu tersebut, Pengerusi Juri ASA2005, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim berkata, ada sebab tiada pencalonan daripada stesen TV lain bagi beberapa kategori yang dipertandingkan.

“Antaranya kelewatan stesen TV itu menghantar pencalonan, pencalonan tidak sampai dan juga pencalonan yang tidak memenuhi kriteria para juri.

“Proses penjurian bermula dari 17 Januari hingga 17 Februari tetapi ada pencalonan yang diterima selepas daripada tarikh tersebut,” katanya.

Selain itu, pihak yang diberi tanggungjawab menyediakan senarai anugerah dan susunan penerima anugerah ASA2005 juga tidak mengemaskini senarai calon serta penerimanya.

Kesannya ramai yang tidak tahu daripada mana munculnya anugerah Pelakon TV Paling Versatil yang dimenangi oleh Rosyam Nor.

Kategori Rancangan Kanak-Kanak TV Terbaik dan Anugerah Pengulas TV Terbaik juga menimbulkan tanda tanya apabila pemenang bagi kategori itu tidak disebutkan secara terbuka pada kedua-dua malam anugerah itu. Tetapi akhirnya barulah ramai yang tahu bahawa kedua-dua kategori itu tiada pemenang.

Menyentuh soal promosi pula, hebahan untuk menguar-uarkan anugerah itu tidak dilakukan secara menyeluruh sejak dari awal.

Apa yang menghairankan, ada stesen TV yang sanggup berhabis-habisan membuat promosi untuk memperkenalkan sesuatu program terbitan masing-masing tetapi mereka tidak pula sanggup melakukan perkara yang sama terhadap ASA2005.

Padahal anugerah yang menawarkan tajaan hadiah RM515,000 itu diwujudkan adalah untuk mengangkat martabat warga kerja serta hasil penerbitan mereka juga.

Peningkatan jumlah pencalonan ASA2005 daripada 46 pencalonan pada tahun lalu kepada 60 pencalonan pada tahun ini belum bermakna anugerah itu sudah matang penganjurannya.

Sebaliknya, setiap stesen penyiaran yang mengambil bahagian dalam ASA2005 seharusnya tahu peranan masing-masing dan memberi komitmen yang bukan sahaja jitu tetapi dengan rela hati.

ASA diadakan cuma setahun sekali. Kalau benar sekalipun wujud persaingan di kalangan stesen penyiaran, bersainglah semula selepas penganjuran anugerah itu benar-benar tamat dan dilangsungkan dengan jaya.

Tetamu kehormat pada acara ASA2005 ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.

Komen pemenang ASA2005

Wan Hanafi Su

“Ini adalah kali pertama saya memenangi anugerah ini. Sepuluh tahun lalu saya pernah menang anugerah Pelakon Pembantu Drama TV Terbaik menerusi drama Percintaan.

“Saya rasa watak saya sebagai bapa dan pengayuh beca dalam drama Anak Pengayuh Beca meninggalkan kesan dan diterima penonton walaupun itu adalah kali pertama saya mengayuh beca semata-mata untuk melakonkan watak dalam drama itu.”

Rosyam Nor

“Sebenarnya saya tidak tahu apa kriteria yang digunakan oleh juri untuk anugerah ini.

“Mungkin selain berlakon, saya juga mengacarakan rancangan hiburan dan menjadi penerbit drama. Itulah sahaja kelebihan pada diri saya.”

Rosli Mohd. Nordin

“Liputan tentang sumbangan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dalam misi membantu mangsa gempa bumi di Pakistan ternyata membawa tuah hingga membolehkan saya muncul Wartawan TV Terbaik.

“Antara liputan yang sempat saya buat adalah kisah seorang ibu yang terpaksa melahirkan bayinya pada saat getir dalam kem pelarian yang tidak mempunyai kemudahan asas.

“Saya bersyukur kerana ini adalah kemenangan pertama saya selepas lima tahun bertugas sebagai wartawan penyiaran RTM.”

Azizah Mahzan

“Saya tidak jangka memenangi anugerah ini kerana saingan saya semuanya hebat terutama Fauziah Nawi dan Azean Irdawaty.

“Saya anggap Fauziah dan Azean seperti cikgu saya dan mereka banyak membantu dan memberi semangat kepada saya.

“Bagi saya, tidak ada yang kalah atau menang, semua calon adalah hebat.”

Mohd. Anis Kamal

“Saya memang terkejut. Selama ini saya tidak pernah dicalonkan dalam mana-mana anugerah.

“Rasa macam terpukau bila nama saya diumumkan.”

Jurey Latiff

“Saya memang terkejut tetapi berasa amat berbangga dengan kemenangan ini

“Terima kasih ini ditujukan kepada Astro atas kepercayaan yang diberikan.

“Kemenangan ini cukup bermakna kerana Hari-Hari Terakhir Seorang Wanita merupakan drama arahan pertama saya.

“Drama Anak Penarik Beca merupakan arahan kedua saya.”

Safura

“Alhamdulillah. Kemenangan ini adalah rezeki anak-anak, suami dan keluarga.

“Bagi saya, watak dalam drama Hari-Hari Terakhir Seorang Wanita sangat mencabar. Ini kerana banyak karakter yang perlu saya lakonkan dari zaman budak sekolah, isteri yang dijual oleh suami kepada seorang rakan dan menjadi seorang pelacur dan seterusnya wanita yang sedang menunggu ajal.”

Aznil Nawawi

“Saya tidak menyangka kemenangan ini. Bagi saya, Linda Onn adalah pilihan utama berdasarkan bakatnya yang semakin bagus.

“Mungkin rezeki saya lagi tahun ini. Tahun lepas, saya dinilai oleh penonton atas tiket AF3 sebagai pengacara TV sahaja.

“Tetapi tahun ini, program Macam Macam Aznil turut mencapai kejayaan yang sama.”

Rostam Zulkhairi

“Ini kali pertama saya dicalonkan untuk ASA. Saya rasa kemenangan saya itu kerana kekuatan program [email protected] yang saya kendalikan.

“Syukur program Ramli Sarip Special yang saya kendalikan menarik minat juri. Mungkin tidak banyak segmen rock yang disiarkan di radio, kerana itu ia menjadi tumpuan.

“Saya bukan sahaja seronok mengendalikan segmen itu tetapi ia juga mendapat sambutan ramai peminat muzik rock.”

Tan Sri Dol Ramli

“Saya rasa sungguh terharu kerana anugerah ini dianjurkan oleh stesen-stesen penyiaran kerajaan dan swasta yang biasanya saling bersaing. Saya sebak menerima anugerah ini selepas sekian lama bersara, apatah lagi ramai kawan-kawan seperjuangan saya kini sudah tiada lagi.”

Astro menang anugerah paling mahal

SELEPAS RTM, Astro merupakan stesen penyiaran kedua terbanyak menggondol anugerah pada ASA2005 iaitu sembilan anugerah.

Walaupun baru 10 tahun beroperasi tetapi stesen TV itu membuktikan bahawa mereka juga mampu menyajikan program-program bermutu dan menambat hati para penonton.

Menurut Ketua Program Melayu Astro, Rozina Aziz, kejayaan bermakna itu adalah hasil inisiatif warga kerja Astro yang cuba menampilkan kelainan menerusi program-program terbitannya.

“Kami cuba menampilkan konsep yang berbeza dalam setiap program yang kami terbitkan. Contohnya program Macam-Macam Aznil yang disiarkan melalui Astro RIA.

“Terbukti program itu membuahkan hasil apabila ia memenangi satu anugerah pada ASA2005,” katanya ketika ditemui selepas ASA2005 berakhir.

Memeranjatkan, Astro juga berjaya meraih anugerah paling mahal apabila drama siarannya, Hari-Hari Terakhir Seorang Wanita, terpilih sebagai Drama Terbaik dan layak menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan trofi.

Jelas Rozina, Astro amat menitikberatkan mutu sesebuah drama yang dibekalkan oleh sesebuah produksi sebelum ia ditayangkan di stesen tersebut.

“Drama Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan terbitan World Evolution Brain (M) Sdn. Bhd. sarat dengan mesej dan nilai kemanusiaan.

“Drama itu mendapat sambutan penonton sewaktu ia ditayangkan. Juri juga tertarik dengan drama itu dan tidak hairanlah ia memenangi kategori itu dalam ASA2005,” ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.