saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 16/03/2006

Pelakon Opah kini penerbit filem


KHATIJAH bersama dua daripada tiga anaknya, Rizal (depan) dan Bab (belakang) yang sentiasa berdiri teguh bersamanya.


BIARPUN drama bersiri Opah sudah 15 tahun berakhir namun hingga kini drama terbitan RTM itu tetap menjadi bualan penonton. Masih ramai yang mengingati watak-watak seperti Opah, Jenab, Osman dan Joyah yang ditampilkan dalam drama itu.

Khatijah Abu Hassan, 58, adalah antara pemegang watak utama dalam drama yang mula diterbitkan pada 1982 itu. Sebagai Jenab, kakak kepada Osman lakonan Razali Buyong dalam drama itu, kemunculan Khatijah memang sering dinanti-nantikan.

Jelas Khatijah atau lebih senang membahasakan diri sebagai Kak Jah, “Memang tidak dinafikan Kak Jah popular kerana Opah tapi selain drama itu, banyak drama lain yang Kak Jah lakonkan. Entahlah nampaknya watak Jenab itu juga yang lebih diingati penonton.’’

Khatijah yang berasal dari Singapura berkata, sejak akhir-akhir ini dia jarang berlakon. Kali terakhir dia muncul ialah pada tahun lalu dalam filem Bilut yang diterbitkan oleh syarikatnya, Mega Wajasinar Sdn. Bhd..

Filem yang turut menampilkan Jericho Rosales itu akan memulakan tayangannya kepada umum pada 27 Julai ini. Tapi sebelum itu, tayangan perdananya akan diadakan pada 7 Julai ini.

Bilut umpama anak emas kepada Khatijah kerana ia merupakan projek besar yang diterimanya daripada Felda.

“Bukan mudah mendapat kepercayaan pihak Felda. Sebab itulah Kak Jah amat menitikberatkan pembikinan filem ini,’’ katanya.

Kemunculannya dalam filem itu, kata Kak Jah, cuma secara kebetulan kerana sewaktu penggambaran dilakukan di Brussel, Belgium, pengarahnya Badaruddin (Bade) memerlukan seorang pelakon untuk watak datin.

“Kebetulan waktu itu hanya Kak Jah saja perempuan yang berada di situ. Mahu tidak mahu, kenalah juga ikut arahan Bade.

“Seingat Kak Jah drama terakhir yang Kak Jah berlakon ialah Semarak Sinar, itupun dua tahun lalu. Sebenarnya Kak Jah tidak pernah pencen berlakon, cuma tidak ada peluang.

“Mungkin pengarah ingat bila Kak Jah sudah jadi produser tentu tidak ada masa untuk berlakon. Sebenarnya kalau ada watak yang sesuai Kak Jah tidak akan menolak,’’ katanya.

Kerjaya sebagai produser sebenarnya sudah dimulakan oleh Khatijah sejak 1990. Waktu itu Khatijah bergerak di atas nama syarikat Channel Nine Sdn. Bhd..

Menerusi syarikat tersebut banyak drama telah diterbitkan. Antara yang mendapat perhatian ramai ialah Gigolo, Terasing, Terusan Wan Mat Saman dan Pendekar Kundur yang diterbitkan sebanyak 32 episod.

“Dulu Kak Jah memang suka terbitkan drama berunsur purba. Sekarang ini pun Kak Jah tengah merancang untuk terbitkan semula drama genre purba selepas Bilut ditayangkan,’’ katanya yang sejak tiga tahun lalu lebih selesa bergerak sebagai produser menggunakan syarikat Mega Wajasinar.

Menyingkap semula pembabitannya sebagai produser, Khatijah berkata, semuanya bermula sejak dia bercerai dengan bekas suaminya, pelakon Aziz Singah pada 25 Julai 1990. Perkahwinannya dengan Aziz pada 28 Oktober 1967 itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Rizal, Bob Singah dan Muhamad Ruzaley.

Jelasnya, dia perlu mencari pendapatan tetap selain berlakon bagi meneruskan kehidupan ketika itu.

Bersama seorang rakan kongsi, Mathias Rhodin dari Sweden, dia menubuhkan syarikat penerbitannya, Channel Nine.

Sebenarnya, kata Khatijah, pada awal pembabitannya dalam bidang seni lakon, dia sudah menyimpan azam untuk menjadi penerbit namun peluang berlakon yang lebih menonjol ketika itu.

Semasa di Singapura, dia sudah aktif berlakon dengan kumpulan Teater Sembawang. Sebagai ahli teater, dia berkemampuan menari dan menyanyi.

Ketika usianya 18 tahun, dia menjalani uji suara untuk drama terbitan radio Singapura. Waktu itulah dia bertemu Aziz Singah yang turut serta menjalani uji suara itu. Setahun kemudian mereka mendirikan rumah tangga.

“Sempatlah Kak Jah berlakon drama radio dengan dramatis Jorah Ahmad yang popular waktu itu. Pada 1969 Kak Jah berpindah ke Kuala Lumpur. Kemudian pada 1971, Kak Jah mula bekerja di RTM hingga 1985.

“Tugas Kak Jah di RTM waktu tu sebagai dubbers dan kalau ada apa-apa acara hiburan, Kak Jah yang akan mengajar tarian,’’ ceritanya panjang lebar.

Bermula dari RTM juga dia berjinak dengan drama televisyen. Antara drama yang pernah dilakonkannya ialah Atap Genting Atap Rumbia dan Kau Yang Amat Ku Sayang yang melayakkannya dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa.

Kini selain daripada menceburi bidang penerbitan, Khatijah juga bertindak sebagai pengurusan acara dan pihaknya sering bekerjasama dengan Agensi Dadah Kebangsaan menganjurkan persembahan pentas di ceruk kampung menjayakan kempen antidadah.

Terbaru pihaknya bertanggungjawab merealisasikan impian peminat-peminat Jericho untuk melihat pelakon tersebut mengadakan persembahan pentas menerusi Jericho’s Jeans Live In Concert di Stadium Tertutup Nilai.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.