saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 20/03/2006

[email protected]’60 produk asli Istana Budaya


LOKMAN memerhatikan Nur Fazura berlatih tarian pada sesi latihan.


PEMENTASAN teater muzikal [email protected]’60 di Istana Budaya selama tiga hari bermula 7 April ini bakal mengimbau gelora kenangan era 1960-an melalui irama lagu yang mempersonakan.

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas merupakan imej lagu-lagu 1960-an yang tetap melekat dalam hati peminat seni sehingga hari ini.

[email protected]’60 berkisar tentang kisah cinta anak muda pada zaman awal kemerdekaan tanah air dengan gabungan lagu-lagu popular 1960-an bersama kombinasi seni lakon dan tari.

[email protected]’60 merupakan produk asli seratus peratus oleh Istana Budaya yang bertujuan menghargai artis-artis 1960-an.

“Teater ini melibatkan tenaga kerja kementerian di samping tidak melupakan nilai komersial dengan mengundang pelakon-pelakon tanah air,” kata pengarahnya, Lokman Ghani.

Menjanjikan kelainan, barisan nama-nama baru yang masih muda akan muncul buat pertama kalinya beraksi di pentas teater.

Lokman yang bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan di Istana Budaya berkata, adunan wajah baru Nur Fazura, Zul Yahya, Siti Elizad dan Roy Azman itu bakal memainkan peranan memantapkan pementasan itu.

Menurut Lokman, pengalaman mereka di layar TV dan perak menjadi kepada aset pementasan itu.

“Kita mencari pelakon utama yang boleh jual teater ini. Bagi saya, Fazura dan Zul mempunyai nilai komersial untuk menarik penonton ke Istana Budaya.

“Fazura dipilih kerana dia boleh berlakon dan menari dengan baik, manakala nyanyiannya boleh dibentuk kerana dia tahu tempo sesebuah lagu.

“Zul pula sesuai dengan kriteria watak A. Mahmud, kartun yang popular mengenai zaman 1960-an. Jangan terkejut kerana Zul boleh menari dengan baik. Roy Azman pun bagus kerana dia senang dibentuk untuk menari.

“Siti Elizad pula kena banyak latihan menari tetapi tentang lakonan tiada masalah,” jelas Lokman panjang lebar sambil memuji komitmen tinggi para pelakonnya.

Namun, kata Lokman, tumpuan penonton pasti terletak kepada bintang-bintang undangan penyanyi 1960-an.

Apa yang menarik jelasnya, penyanyi 1960-an akan berinteraksi bersama penonton ketika pementasan itu berlangsung kelak.

“Ia memerlukan penyanyi 1960-an menyanyi mengikut jalan cerita ini di mana mereka seolah-olah beraksi di sebuah fun fair,” terang Lokman.

Ditanya tentang kesukaran mendapatkan bintang 1960-an, Lokman yang juga pelakon drama TV berkata, pihak Istana Budaya bertuah kerana mempunyai senarai nama artis Malaysia dan Singapura yang masih aktif menyanyi sehingga hari ini.

“Pemilihan mereka berdasarkan jalan cerita. Kemudian pihak kami memilih penyanyi dan seterusnya lagu-lagu popular yang sesuai pada era itu.

“Dalam pementasan ini, sebanyak 24 lagu popular 1960-an yang akan dipersembahkan,” tambah Lokman yang giat menekankan aspek tarian dan lakonan para pelakon.

Lokman juga berkongsi perasaannya ketika mula menerima tawaran mengarahkan [email protected]’60.

Katanya, ia merupakan satu beban yang cukup berat.

“Tetapi saya yakin dapat melaksanakan amanah itu. Saya pernah merasai zaman 1960-an dan melalui suasananya.

“Apa yang penting saya mesti serahkan era 1960-an kepada penonton yang hadir. Itulah tugas saya yang paling besar,” tegas Lokman.

Kewibawaan Lokman dalam dunia pengarahan teater bukanlah baru setahun dua kerana hasil arahannya sentiasa menjadi dan sering mendapat pujian ramai.

Antara teater yang pernah diarahkan beliau ialah Bukit Kepong, Hantu-Hantu Yang Ku Kenali dan Mimpi Tuanku.

Tetapi Lokman menjelaskan dia tidak pernah berasa terbeban dengan kejayaan Puteri Gunung Ledang the Muzikal (PGLtM) baru-baru.

Ujarnya, kejayaan sesebuah teater dinilai oleh khalayak kerana hasil kerja seni sukar untuk diramalkan.

“Macam PGLtM, pada mulanya ramai tidak menyangka ia akan mencetuskan satu fenomena hebat. Selepas ini, masyarakat akan meletakkan PGLtM sebagai kayu ukur kejayaan teater di Malaysia,” tambah Lokman.

Lokman yakin kekuatan [email protected]’60 terletak kepada suasana set 1960-an, kostum dan muzik yang akan dipersembahkan melalui kisah benar berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui.

Beliau berharap anak-anak muda dapat hadir meluangkan masa menonton teater itu kerana ia menceritakan era gemilang yang terus diperkatakan dari zaman ke zaman.

“Rugi kalau tak datang. Peluang datang hanya sekali,” ujarnya. Katanya, antara rahsia untuk kekal berasa muda adalah mendengar lagu-lagu 1960-an.

Lokman menyasarkan matlamat agar karyanya dapat memberi kepuasan kepada penonton.

Apa yang menarik tentang [email protected]’60?

* Idea Pengarah Istana Budaya, Azhar Abu Bakar.

* Malam Gala akan berlangsung pada 7 April 2006 dalam suasana tahun 1960-an. Semua artis 1960-an akan dijemput sebagai tanda penghargaan. Mereka akan berjalan di atas karpet merah pada malam itu.

* Penonton yang hadir digalakkan berpakaian era 1960-an. Hadiah misteri disediakan untuk pakaian terbaik pada setiap malam.

* Suasana ruang legar Istana Budaya akan berubah wajah dengan suasana 1960-an termasuk pelbagai pameran.

* Tenaga produksi pementasan ini melibatkan hampir 80 orang.

* Fazura akan menyanyikan dua lagu iaitu Lamunan Seni dan Teruna selain menari.

* Zul Yahya, Roy Azman dan Siti Elizad akan menunjukkan bakat menari buat kali pertama.

* Teater ini melibatkan penggunaan lima buah vespa dan tiga kereta mini.

* Kostum pakaian direka oleh pereka Istana Budaya, Subaidah Sual melalui gabungan idea artis-artis 1960-an.

* Pada tahun 1985 Konsert Himpunan 60-an pernah dipersembahkan di Stadium Merdeka.

* Pertama kali teater muzikal irama 1960-an dipentaskan di Istana Budaya

* Brainstorming mencari idea pementasan dilakukan di Melaka dan Port Dickson.

* Latihan awal dimulakan pada Februari lalu.

Tarikh Persembahan

* 7 hingga 9 April 2006

Masa Persembahan

* 8.30 malam (7, 8 dan 9 April 2006)

* 3.00 petang (8 April 2006)

Harga Tiket

* (Persembahan 8.30 malam)

RM20, RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150. (Diskaun 20% untuk pelajar, kanak-kanak berumur enam tahun ke atas, warga emas berumur 55 tahun ke atas dan orang kurang upaya)

* (Persembahan 3.00 petang)

Diskaun 20% untuk semua kategori tiket

Tempat Persembahan

* Panggung Sari, Istana Budaya

Tenaga Kreatif Utama Produksi

* Lokman Ghani - Pengarah Persembahan

* Irwan Ismadi Shahrim - Pengarah Artistik

* Nasir P. Ramle - Pengarah Muzik

* Rahimidin - Penulis Skrip

Pelakon Utama

*Fazura (Suzana)

* Zul Yahya (A.Mahmud)

* Roy Azman (Jeffry)

* Siti Elizad (Zunika)

* Abon (Juruhebah Fun-fair)

* Azie Erma (Normah)

Band Pengiring

* Istamuzika

* Delima

* Nirwana

Undangan Khas Bintang-Bintang 1960-an dan Senarai Lagu

* A. Halim - Kisah dan Tauladan

* A. Rahman Hassan & Nirwana - Tak Mengapa

* A. Rahman Onn - Cincin Emas

* Adnan Osman - Bersyukur

* Ahmad Jais - Bunga Ku Puja Dipetik Orang

* Azizah Muhamad - Syurga Idaman

* Fatimah M. Amin - Teruna

* Jefrydin - Termenung

* Kassim Selamat - La Obe

* L. Ramlee - Dara Pujaan

* M.Ishak - Yale-Yale

* S. Mariam - Hasrat Hati

* S. Roha - Janji

* Zam Zam - Setahun Tak Jumpa Sesaat Tak Lupa

Durasi persembahan

* Dua jam

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.