saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 27/03/2006

APM 2006 masih didominasi artis Indonesia

SEBELUM keputusan Anugerah Planet Muzik 2006 (APM 2006) diumumkan, ramai yang dapat menjangka bahawa kemenangan pasti banyak berpihak kepada artis dari Indonesia. Ini kerana sejak dulu lagi artis republik tersebut sering membolot kemenangan dalam kategori terbaik manakala anugerah popular pula sering menjadi milik artis Malaysia.

AMP 2006 yang berlangsung di Max Pavillion, Singapore Expo, Singapura, Jumaat lalu membuktikan sejarah berulang lagi.

Enam daripada lapan anugerah untuk kategori terbaik menjadi milik artis Indonesia seperti Artis Baru Terbaik (Ello), Kumpulan Baru Terbaik (Maliq & D’Essentials), Artis Lelaki Terbaik (Marcell), Duo/Kumpulan Terbaik (Peterpan), Lagu Terbaik (Dealova dendangan Once) dan Album Terbaik (Senyawa - Chrisye).

Sementara artis Malaysia pula hanya mampu meraih kemenangan dalam kategori Artis Wanita Terbaik (Jaclyn Victor) dan Artis Baru Terbaik (Nikki). Kedua-dua mereka adalah bintang yang dicungkil daripada pertandingan realiti program Malaysian Idol.

Sebelum ini artis Malaysia yang pernah memenangi kategori berprestij itu ialah Vince dan Dia Fadilla untuk anugerah Artis Baru Lelaki dan Wanita Terbaik pada tahun lalu. Siti Nurhaliza juga pernah dinobatkan sebagai Artis Wanita Terbaik pada APM 2004.

Kalau dilihat secara rambang, artis-artis Indonesia masih menguasai kategori terbaik berbanding Malaysia yang hanya juara untuk kategori popular.

Keputusan bagi kategori popular ditentukan oleh peminat yang membuat pemilihan berdasarkan borang yang terdapat dalam majalah hiburan di negara masing-masing. Selain itu para peminat juga boleh melayari laman web untuk membuat undian.

Lagu popular Aduh Saliha dendangan Mawi, ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Loloq berjaya dipilih sebagai Lagu Paling Popular tahun ini.

Anugerah yang diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat seni di Malaysia, Indonesia dan Singapura itu sejak dulu hingga kini dilihat tidak menawarkan banyak perubahan.

Biarpun pemenang sudah diketahui, namun ada juga yang berpendapat penganjur Mediacorp Radio Warna 94.2 FM dan Ria 89.7 FM dengan kerjasama Beyond DBB Malaysia seolah-olah telah mempunyai pemenang sendiri kerana ada beberapa keputusan yang difikirkan tidak munasabah.

Persoalan itu timbul kerana bagi kategori Artis Lelaki Paling Popular sepatutnya pemenangnya Mawi dan bagi Lagu Paling Popular ramai yang berpendapat Mungkin Nanti atau Ada Apa Denganmu dendangan Peterpan lebih layak.

Masalahnya, kalau diberi pada Mawi, nanti negara penganjur tidak ada pemenang langsung melainkan bagi kategori Singapura sahaja.

Justeru Mawi perlu menang biarpun sekadar lagu popular. Padahal lagu Aduh Saliha hanya popular di Malaysia dan Singapura berbanding lagu dendangan Peterpan yang popular di tiga negara.

Mungkin disebabkan faktor remeh-temeh itulah maka kebanyakan syarikat rakaman Malaysia kurang bersemangat untuk menghantar penyertaan ke APM 2006.

Persembahan kurang menarik

Dari segi persembahan artis-artis yang menjayakan APM 2006, dilihat ada yang kurang menyerlah disebabkan muzik lebih kuat daripada suara penyanyi.

Namun gabungan Mawi dan Taufik Batisah yang mendendangkan lagu Gadis Melayu membuatkan penonton teruja kerana lagu tersebut sedang popular di Singapura dan Malaysia ketika ini.

Bagaimanapun, penampilan Ello yang dipilih sebagai Artis Lelaki Baru Terbaik tidak mampu menghangatkan suasana. Begitu juga dengan persembahan kumpulan Gigi yang sekadar penyeri pentas.

Sementara gabungan Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Rossa dan Marcell yang mendendangkan lagu seperti Bukan Lagi Rahsia dan Kalbu kembali membuat penonton teruja.

Lain-lain artis yang turut mengadakan persembahan pada APM 2006 ialah M.Nasir, Nurul, Ajai, Ferhad, Jaclyn Victor, Ratu, Sharifah Zarina, Syed Amir, Adam dan Vince.

Anugerah Planet Muzik dikendalikan oleh Aznil Nawawi (Malaysia), Adi Rahman dan Fiza Othman (Singapura) dan Nirina Zubir (Indonesia).

APA KATA PEMENANG?

Siti Nurhaliza

“Alhamdulillah sebab memberi peluang kepada Siti untuk berada di pentas ini lagi. Terima kasih kepada peminat-peminat yang masih menaruh kepercayaan pada bakat Siti. Kemenangan ini untuk semua yang berdiri di belakang Siti dan anugerah ini mendekatkan Siti dengan peminat-peminat.”

Jaclyn Victor

“Kemenangan ini amat mengejutkan. Saya datang ke sini hanya untuk menghiburkan anda semua dan pencalonan saya untuk tiga kategori sudah merupakan satu kejayaan. Tapi bila diumumkan sebagai pemenang untuk Artis Wanita Terbaik, saya benar-benar terkejut.’’

Nikki

“Saya betul-betul terkejut dengan kemenangan ini. Kemenangan ini membuktikan bahawa peminat-peminat mengiktiraf kehadiran saya dalam bidang ini menerusi album Maharani.’’

Mawi

“Saya tak sangka sebab kategori ini mempertandingkan nama-nama terkenal. Terima kasih pada M.Nasir dan Loloq kerana memberikan lagu terbaik untuk saya.’’

M. Nasir

“Tak sangka mereka akan pilih lagu Aduh Saliha yang berentak Melayu Arab ini sebagai pilihan.”

Taufik Batisah

“Saya benar-benar tak sangka sebab saya ingatkan Mawi yang akan jadi pilihan. Lagipun nama-nama yang dipertandingkan dalam kategori ini memang hebat. Kehadiran saya sekadar untuk menggembirakan peminat.

Kemenangan ini menjadi platform untuk saya melangkah ke luar. Saya memang ditawarkan buat album di Malaysia tapi sedang dipertimbangkan. Setakat ini saya sudah ada album Inggeris.”

Peterpan

“Kemenangan ini bukanlah sepenuhnya. Kami harap kemenangan ini akan memberi semangat kepada Peterpan untuk memberi balasan setimpal kepada peminat.”

Loloq

“Saya harap anugerah ini mampu memberi lesen besar kepada saya untuk terus berkarya dan menghasilkan lirik yang lebih mencabar.’’

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.