saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/03/2006

KLfm radio orang kota


PENYAMPAI-PENYAMPAI muda KLfm, dari kiri Nik Aida, Norizan, Julia dan Pool.


DI KALANGAN pendengar-pendengar radio di ibu kota, stesen radio KLfm 97.2fm yang menggunakan tagline Rentak Interaktif Kota sentiasa menjadi pilihan mereka.

Stesen itu yang asalnya menggunakan nama Radio Malaysia Ibukota (RMIK) sejak beroperasi pada 5 November 1973 bukan sahaja menyajikan lagu-lagu hits malah secara tidak langsung turut melaksanakan tanggungjawab sosial kepada pendengar.

Stesen radio itu yang hanya mempunyai tenaga kerja seramai 18 orang, termasuk Pengarah Stesen KLfm, Tengku Idris Tengku Din, mampu memuaskan hati banyak pihak.

Antara penyampai KLfm ialah Azizah Sulaiman, Fauziah Zakaria, V. Preimah, Azlan Omar, Manan Selamat dan Lokman Abd. Rahman.

Menurut Tengku Idris, memandangkan KLfm bernaung di bawah payung Radio Televisyen Malaysia (RTM), maka apa sahaja program yang disiar perlu mengutamakan kepentingan pendengar.

Justeru, KLfm yang merupakan pelopor stesen interaktif di tanah air sering mengutamakan informasi untuk pendengar terutama tentang kesesakan di sekitar ibu kota dan lembah Klang.

“Penyiar kami sering mendapat info daripada pendengar tentang kesesakan yang berlaku sama ada menerusi telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS). Info yang diberi memudahkan pendengar untuk mencari jalan alternatif lain,’’ jelas Tengku Idris.

Malah, katanya, adalah menjadi satu tanggungjawab KLfm untuk mengimbangi keperluan komuniti Kuala Lumpur tanpa mengabaikan faktor komersial.

Bagi memastikan KLfm berupaya melaksanakan kedua-dua peranan tersebut dengan berkesan, stesen radio itu selesa menggunakan pendekatan menjalin persahabatan di kalangan pendengar menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Hubungan persahabatan yang dibina menerusi alam siber itu berteraskan tanggungjawab, keikhlasan dan kejujuran tanpa mengira batas usia atau agama.

“Tidak dinafikan ada juga stesen lain yang menggunakan pendekatan seperti KLfm, tapi apa yang pasti kami adalah pelopor.

“Selain itu kami sentiasa peka akan kehendak pendengar. Menerusi penggunaan ICT, pendengar KLfm boleh berinteraksi dengan penyiar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), khidmat pesanan multimedia (MMS) dan laman web,’’ kata Tengku Idris menceritakan tentang kelebihan stesen radio tersebut.

Program interaktif KLfm membawa kepada tertubuhnya Kelab Sahabat KLfm di kalangan pendengarnya pada April 2004. Sehingga kini belum ada mana-mana kelab stesen radio yang mampu mencabar KLfm yang telah menarik keahlian sehingga 97,200 (jumlah yang dicatat berdasarkan pendaftaran sehingga pukul 1.14 petang semalam).

Keahlian anggota Kelab Sahabat KLfm terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan kaum termasuk pendengar Cina dan India.

“Selalunya bila seorang daripada pendengar menyertai Kelab Sahabat KLfm, dia turut membawa ahli keluarganya yang lain. Konsep itu membuatkan anggota Kelab Sahabat kian bertambah dari semasa ke semasa,’’ kata Tengku Idris.

Malah pihak KLfm turut memberi dorongan kepada anggota kelab itu untuk menambah ahli.

Keistimewaan Kelab Sahabat ada banyak. Ia bukan sekadar memberi peluang kepada pendengar untuk mengenali antara satu sama lain. kelab itu umpama sebuah keluarga.

Biarpun ahli-ahlinya tidak pernah bertemu dan hanya mengenali nama samaran, namun mereka sering mengamalkan sikap tolong-menolong.

“Pernah seorang ahli Sahabat mengalami kerosakan kereta di bahu jalan dan bila dia menghubungi stesen radio KLfm dalam tempoh yang singkat sahabat lain datang membantu.

“Itulah yang sering diamalkan oleh ahli KLfm iaitu bantu-membantu,’’

katanya yang mengagumi sikap prihatin ahli-ahli Kelab Sahabat KLfm.

Kadangkala jika ada seorang ahli kelab itu mengadakan kenduri kahwin, anggota Sahabat yang lain ringan tangan menolong menghulurkan tenaga.

Malah kebanyakan aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Sahabat KLfm sering diadakan oleh ahli-ahli sendiri dengan alasan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama ahli. Antara aktiviti yang pernah dianjurkan oleh Kelab Sahabat ialah majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Keakraban anggota Kelab Sahabat KLfm telah mendorong ahli-ahlinya untuk menubuhkan satu lagi kelompok kecil.Pecahan anggota Sahabat itu dikenali sebagai kumpulan Kerabat. Konsep penubuhan kumpulan Kerabat itu bertujuan untuk memberi peluang kepada Sahabat yang mempunyai persamaan sesama mereka.

Persamaan itu boleh dalam bentuk hobi, tempat tinggal, tempat bekerja dan apa sahaja yang difikirkan boleh memberikan identiti untuk mudah dikenali oleh penyiar dan juga Sahabat KLfm yang lain.

Menurut Tengku Idris, setiap masa pihaknya sering memikirkan kelainan yang boleh ditonjolkan. Terbaru KLfm telah memperkenalkan satu lagi kemudahan terkini untuk keselesaan pendengar.

Teknik yang baru diperkenalkan dalam rancangan Info ICT dinamakan Podcasting. Kemudahan Podcasting memberikan peluang kepada pendengar untuk menerima rakaman siaran segmen tertentu yang disiarkan di KLfm terus kepada komputer dan seterusnya ke alat pemain MP3.

Kemudahan Podcasting yang diperkenalkan di KLfm merupakan satu lagi saluran tambahan untuk membolehkan pendengar menerima maklumat dan hebahan pada masa dan waktu yang difikirkan sesuai.

Berbanding stesen-stesen radio lain, KLfm tidak pernah membataskan irama lagu yang disiarkan. Apa sahaja lagu yang digemari pendengar, penyiar KLfm sedaya upaya memenuhi kehendak mereka.

“Bagi saya muzik adalah universal dan tidak terbatas pada kelas tertentu. Kalau ada orang melabelkan muzik dangdut sebagai kelas bawahan, mereka berfikiran sempit.

“Sebagai stesen radio, kita perlu menyiarkan lagu-lagu kesukaan ramai dan bukannya lagu mengikut kehendak sendiri. Penyiaran lagu pelbagai bahasa atau rentak secara tidak langsung mampu menarik perhatian ramai pendengar,’’ jelas Tengku Idris.

Kebanyakan lagu yang disiarkan di stesen radio tersebut juga disiarkan penuh tanpa memotong mana-mana bahagian.

Selain itu, sebagai stesen tempatan, KLfm lebih mengutamakan karya muzik tempatan berbanding lagu-lagu luar. Justeru, KLfm tidak pernah menganjurkan carta untuk lagu-lagu dari luar negara.

“Kalau kita asyik mengagungkan lagu luar, apa nak jadi dengan nasib artis tempatan. Bagi KLfm, walaupun kami menyiarkan lagu luar tapi peratusnya rendah berbanding lagu-lagu tempatan,’’ katanya yang sering memberi kebebasan kepada penyiar untuk mengendalikan program masing-

masing mengikut gaya tersendiri.

Fakta KLfm

* Ditubuhkan pada 5 November 1973 dengan tujuan untuk menyesuaikan pendengar radio dengan penubuhan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan.

* DJ yang popular sewaktu era Radio Malaysia Ibukota (RMIK) ialah Zainal Din Zainal, Kamal Hassan dan Mohd. Noor Amin (Noramin) yang popular dengan rancangan Mosyi-Mosyi.

* Pada tahun 1993, RMIK bertukar nama kepada Radio Tiga Ibukota (R3IK) menerusi gelombang FM97.2 mhz.

* Pada tahun 1994, R3IK yang membuat liputan tragedi tanah runtuh Highland Tower telah memulakan siaran selama 24 jam tanpa henti selama tujuh hari bertujuan memberi

maklumat dan laporan terperinci mengenai kejadian tersebut.

* R3IK sekali lagi ditukar nama kepada Radio KL (RKL) pada 15 Mac 1996.

* Pada 31 Ogos 1998, RKL dikenali sebagai Radio Malaysia Kuala Lumpur (RMKL).

* Pada 1 April 2001 RMKL telah menambahkan siaran daripada 18 jam kepada 24 jam sehari.

* Nama RKML kemudian ditukar kepada KLfm pada 1 April 2005 sempena penjenamaan semula RTM.

Mahu jadi sahabat KLfm?

SETIAP hari pasti ada sahaja pendengar yang tertarik untuk mendaftar sebagai Sahabat KLfm. Untuk menyertai Sahabat KLfm mudah sahaja, anda perlu

taip KLFM jarak DAFTAR jarak

NAMA hantar ke 32728

* Pastikan anda memasukkan nama sahabat yang mudah disebut, sedap didengar, maksud yang baik dan tidak menggunakan nama produk.

Memohon Stiker Sahabat

Sila taip KLFM jarak STIKER jarak NO. AHLI jarak NAMA SAHABAT jarak ALAMAT POS hantar 32728

Chat Bersama Sahabat

Sila taip KLFM jarak CHAT jarak NAMA SAHABAT / NO. AHLI jarak MESEJ hantar 32728

KLFM SMS Manual

Maklumat umum

Setiap arahan atau maklumat yang diletakkan di antara simbol < dan > merupakan satu pembolehubah. Maklumat di dalamnya boleh berubah mengikut pangkalan data dalam sistem.

Setiap perkataan berhuruf besar dan menggunakan huruf besar adalah SMS yang ditaip pada telefon bimbit.

Setiap ayat yang telah diitalikkan adalah SMS yang diterima oleh pengguna setelah menggunakan sistem SMS KLFM-DAPAT.

SMS mesej/maklumat yang dihantar ke KLFM dicaj 15 sen (Telcos) dan dicaj 50 sen (DAPAT) sekiranya mendapat maklum balas dengan kod caj.

SMS IOD - Maklumat yang diperlukan - 50 sen.

SMS DAFTAR - RM1.00

SMS STIKER SAHABAT - RM 1.00.

SMS CHAT - 50 sen

Muat Turun Nada Dering - RM2.50 mono; RM3.00 poly

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.