saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 29/03/2006

Sekolah Islam Adni ingin lahirkan insan kamil


Bilik darjah Sekolah Islam Adni yang selesa dan berhawa dingin mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.


DALAM memperkatakan pendidikan awal anak-anak dari perspektif Islam, Imam Al-Ghazali menulis: “Kanak-kanak merupakan amanah dan tanggungjawab orang tuanya, jiwanya yang suci murni merupakan permata mahal yang bersahaja dan bebas daripada ukiran dan gambaran dan ia boleh menerima setiap ukiran dan cenderung kepada apa yang diterapkan kepadanya.”

Imam Ghazali menekankan bahawa sebagai ibu bapa kita perlu melakukan satu pelaburan dan pendidikan anak-anak merupakan pelaburan yang paling besar.

Memandangkan kepentingan pendidikan, pelbagai program prasekolah telah dijalankan di Malaysia menggunakan model tradisional atau akademik. Ada juga yang menggunakan Model Froebel, Montessori, Piaget, Head Start, Perkembangan Menyeluruh, Kurikulum Terbuka dan Campuran dan banyak lagi.

Namun, antara kecenderungan yang semakin ketara pada hari ini adalah ramai ibu bapa semakin mempunyai kesedaran agar anak-anak mereka mendapat pendidikan agama di peringkat tadika.

Mereka percaya pendidikan prasekolah itu akan menjadi satu asas yang kuat untuk kehidupan anak-anak mereka kelak.

Sekolah Islam Adni yang terletak di Taman Seri Ukay, Ampang ditubuhkan pada 1997 bagi menyahut cabaran ini.

Ia dibina dengan penuh kepayahan dan keperitan kerana terpaksa membayar sewa premis rumah kedai sebanyak RM9,000 sebulan walaupun hanya mempunyai 12 orang pelajar ketika itu dengan tenaga pengajar seramai tiga orang.

Daripada merangkak dan bertatih, kini dengan nisbah 1 guru bagi setiap 10 pelajar, Sekolah Islam Adni telah pun mempunyai pelajar seramai 700 orang. Ia menjadi tadika pilihan ibu bapa Islam di kawasan Hulu Klang tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

Sekolah itu juga menerima anak-anak warga asing termasuk dari Bangladesh, Australia, United Kingdom, Jepun, Indonesia, Sudan, Somalia, Mesir, China, Filipina, Kanada, Amerika Syarikat dan Turki.

Sekolah Islam Adni ini bukanlah sebuah sekolah bertaraf antarabangsa yang lazim.

“Para pelajar warga asing di sini hanya 10 peratus daripada keseluruhan pelajar. Tetapi itulah yang menarik mengenai sekolah ini. Ia seperti sebuah melting pot bagi semua warganya untuk saling mengenali budaya masing-masing. Yang menyatukan mereka ialah bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab sebagai medium bahasa pengajaran di sekolah ini.

“Orientasi Sekolah Islam Adni mengikut piawaian antarabangsa. Kami menggunakan pelbagai pendekatan di samping menempatkan jumlah pelajar yang kecil bagi satu-satu kelas,” kata Pengetuanya, Hasni Muhammad.

Sekolah Islam Adni juga mempunyai guru-guru yang memenuhi syarat role model untuk dicontohi para pelajar.

Hasni Muhammad yang merupakan Pengarah Urusan Adni Consultancy Sdn. Bhd., syarikat yang menguruskan Sekolah Islam Adni, merupakan seorang yang tidak sahaja berwibawa dalam dunia korporat tetapi juga komited untuk berdakwah melalui bidang pendidikan.

Sekolah itu kini mempunyai 90 orang staf akademik.

“Matlamat sekolah ini begitu jelas. Kami ingin melahirkan khalifah-khalifah di bumi Allah tanpa mengira jantina,” kata Hasni yang menyifatkan Malaysia yang aman dan makmur memberikan petanda bahawa matlamat tersebut boleh dicapai.

Hasni berkata, kejayaan seorang pelajar kini tidak boleh dinilai pada keputusan peperiksaan semata-mata.

“Budaya ilmu yang ditekankan oleh Islam ialah ilmu yang diamalkan bagi memartabatkan lagi sahsiah dan peribadi pelajar dan menyediakan mereka dengan kebolehan, kemahiran, bakat dan ketrampilan lain.

“Ini kerana seorang manusia yang cemerlang dalam peperiksaan kemungkinan besar hanya menguasai maklumat, tidak ilmu. Mungkin banyak potensi lain dalam diri mereka tidak dikembangkan,” katanya.

Sekolah Islam Adni menyediakan suasana pembelajaran yang holistik dan bersepadu. Di situ keperluan akademik diseimbangi atau diintegrasikan dengan penghayatan al-Quran dan hadis serta penglibatan aktif para pelajar dalam pelbagai aktiviti kecergasan.

“Ini termasuklah mengadakan kelas al-Quran dan hadis, sembahyang berjemaah, mendirikan solat Hajat dan Tahajud (Qiamulaill), kem-kem motivasi dan kepimpinan.

“Para pelajar bukan sahaja wajib mengambil kelas berenang dan mempertahankan diri malah melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum seperti memanah dan menunggang kuda yang turut disarankan oleh Rasulullah s.a.w.,” Hasni.

Di bawah satu bumbung, Sekolah Islam Adni yang ditempatkan dalam bangunan empat tingkat itu bagaikan sebuah keluarga besar. Para pelajar diasuh untuk mempunyai hubungan yang baik dan rapat antara satu sama lain atas nama persaudaraan sesama Islam.

Di sekolah itu terdapat kehadiran kanak-kanak daripada semuda usia bayi, empat, lima dan enam tahun selain pelajar-pelajar peringkat sekolah rendah dan menengah. Kehadiran mereka begitu menceriakan suasana.

Sekolah itu turut menyediakan Pusat Jagaan Harian bagi kanak-kanak. Peringkat prasekolah dimulakan dari kanak-kanak semuda usia empat tahun.

Kemudahan-kemudahan lain termasuklah 20 buah bilik darjah, makmal Matematik, lobi, pejabat, dewan makan, surau, makmal Sains, makmal Kemahiran Hidup, makmal Komputer, perpustakaan dan bilik audio visual, pangsapuri Kelab Ibu, dua dewan perhimpunan dan ruang untuk kelas tambahan.

Kondusif

Sekolah Islam Adni mempunyai suasana bilik darjah yang selesa dan berhawa dingin bagi mewujudkan pembelajaran yang lebih kondusif dengan bilangan pelajar maksimum hanya 25 pelajar bagi setiap satu kelas. Sistem kelas terapung atau floating class dijalankan untuk mempelbagaikan suasana pembelajaran.

Namun selaras dengan perkembangan semasa, sekolah itu mendapati wujud keperluan untuk membina sebuah dewan serba guna bagi memenuhi pelbagai kegiatan.

Dewan yang dianggarkan bernilai RM2 juta itu dicadangkan pembinaannya di halaman sekolah bagi menempatkan kemudahan dewan orang ramai, gimnasium dan laman letak kereta.

Projek itu, kata Hasni, tidak sahaja bagi memenuhi keperluan sekolah. Ia merupakan sumbangan pihak sekolah kepada masyarakat sekitar Taman Seri Ukay.

“Jiran sekolah dan masyarakat luar boleh memanfaatkan penggunaan dewan dan kemudahan ini termasuk untuk mengadakan majlis-majlis keraian.

“Walaupun kami disifatkan sebagai sekolah swasta tetapi kami mahu lebih dekat lagi dengan masyarakat dan turut menyumbangkan sesuatu kepada komuniti,” kata Hasni yang menyifatkan Sekolah Islam Adni turut mempunyai peranan dalam masyarakat selain berfungsi sebagai institusi pendidikan.

Pihak sekolah itu berharap dewan itu dapat didirikan melalui sumbangan derma orang ramai. Ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengumpul ‘saham’ akhirat.

“Lazimnya orang ramai lebih mudah mendermakan wang dan harta untuk tujuan pembinaan masjid. Tetapi dengan fungsi yang sama seperti masjid, dewan ini diharapkan dapat memberikan banyak manfaat kepada orang ramai,” kata Hasni.

Bagi tujuan itu, Sekolah Islam Adni akan mengadakan Majlis Makan Malam Amal untuk mengutip derma bagi pembinaan dewan sekolah itu yang akan diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 15 Mei ini.

“Tetamu program itu yang ingin membuat sumbangan akan diraikan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk nyanyian penyanyi Yassin dan Kumpulan Brothers. Para pelajar Sekolah Islam Adni sendiri akan mempersembahkan pementasan Sharing the Secrets of Life,” katanya.

Dengan matlamatnya yang jelas, Sekolah Islam Adni tidak dinafikan berupaya melahirkan insan-insan yang kamil lagi genius. Berdasarkan keputusan akademik sekolah itu sama ada Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kebanyakan mereka juga adalah antara pelajar-pelajar terbaik negara.

“Tidak sekadar itu, pelajar-pelajar sekolah ini juga meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan GCE (O level) bagi melayakkan mereka mengikuti pengajian di universiti luar negara pada usia muda,” kata Hasni.

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh menghubungi Sekolah Islam Adni di talian 03-4252 5810, 03-4252 5811 atau Nusantara Gems di talian 03-4252 6803.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.