saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 02/04/2006

Planet jatuh di APM 2006


AZNIL (kiri) bersama rakan pengacara dari Singapura.


SEBAGAI mengikut rutin tahunan, Anugerah Planet Muzik 2006 (APM 2006) dijayakan lagi. Max Pavilion, Singapore Expo, Singapura menjadi lokasi pilihan menjayakan malam menyampaikan anugerah tersebut.

Anugerah pertama, Artis Lelaki Baru Terbaik dimenangi oleh Ello dari Indonesia menerusi album sulungnya yang berjudul Ello. Bising suasana apabila planet sebagai simbul anugerah itu jatuh semasa Ello begitu teruja menerimanya.

Malam anugerah yang mempertandingkan mutu dan populariti penyanyi tiga negara itu dimulai dengan anugerah yang planetnya jatuh. Ada apa dengan planet itu?

Planet yang sudah berusia enam tahun itu jatuh kerana tidak digenggam kuat oleh tangan yang menjulang anugerah berkonsep kristal yang menjadi kebanggaan penerima.

Planet jatuh. Itulah gambaran yang boleh dibuat mengenai perjalanan APM 2006. Genggaman yang mungkin cuba menonjolkan keseragaman muzik dan keakraban hubungan ketiga-tiga negara tidak ketara kekuatannya. Pihak penganjur, Media Corp. Singapura mengakui pencalonan yang merosot. Malah mereka juga sedar banyak lagi album yang mungkin mencabar sekiranya dicalonkan.

“Kami sedar banyak lagi album dari Malaysia misalnya yang baik namun ia tidak dicalonkan kepada kami. Anugerah kali ini menilai album yang dihantar pencalonannya oleh syarikat rakaman.

“Kami harap syarikat rakaman menyertai APM dengan menghantar penyertaan. Kami membuka penyertaan kepada semua,“ kata jurucakap Media Corp., Zakiah Halim.

Tidak banyak yang berubah pada APM kali keenam ini. Pengisian acara juga mengikut acuan awal. Selepas barisan artis mengadakan persembahan, pemenang akan naik ke pentas menerima anugerah masing-masing.

Kehangatan yang diharapkan pada penganjur yang memiliki enam tahun pengalaman nampaknya tidak ketara. Pentasnya juga seumpama pentas sebuah konsert. Mungkin sengaja atau terlupa, tidak ada sebarang tanda untuk mengatakan sesebuah persembahan sedang berlangsung di APM kalau melihat gambar yang dirakam.

Mengapa? Kerana tiada tanda yang menggambarkan ia adalah majlis tersebut. Pentasnya ringkas sahaja dengan berlatarbelakangkan barisan pemuzik.

Kehangatan yang diharapkan juga tidak sampai. Macam ada sesuatu kekurangan semasa duduk menontonnya di dalam dewan walaupun dihiburkan oleh penyanyi terkenal dan terbaik di ketiga-tiga negara.

Antara gandingan yang mungkin dijadikan kemuncak ialah nyanyian lagu Kangen oleh Siti Nurhaliza, Rossa, Marcell dan Anuar Zain. Persembahan mereka memang menarik. Lebih menarik kalau kualiti sistem bunyi ditingkatkan.

Turut muncul mengadakan persembahan ialah Vince, kumpulan V.E, Ahli Fiqir, Gigi, Eka Mairina, Adam, Nikki, M. Nasir, Mawi, Taufik Batisah, Ello, Salma, Sharifah Zarina, Nurul dan Ajai, kumpulan Ratu, Ferhad, Syed Azmer, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah dan Tam Spider.

Sebagaimana kelaziman, APM membuka peluang kepada peminat untuk bersama-sama memeriahkan acara. Hanya empat barisan hadapan sahaja jemputan dan artis, ruang selebihnya dipenuhi oleh peminat.

Riuh-rendah sorakan peminat kedengaran setiap kali nama calon kegemaran disebut. Malah apabila majlis berehat untuk laluan iklan, peminat meluru ke depan untuk merakam gambar artis. Ada juga yang mengajak artis bergambar bersama.

Walaupun nampak kelemahan, namun apa sahaja majlis anugerah ada sumbangannya. APM juga ada peranannya. Sama ada ia sebuah majlis berprestij atau tidak, pemenangnya pasti mengukir senyuman lebar.

Mereka boleh menambah satu lagi koleksi anugerah. Semacam menjadi satu penyakit pula apabila harga seseorang artis naik apabila menang anugerah.

Sebab itulah ada yang menghasilkan album dengan harapan menang anugerah. Apabila menang, mereka boleh bergerak dengan pantas dalam bidang muzik, walaupun mutu nyanyian mereka sebenarnya tidaklah terlalu meningkat.

Itulah salah satu sumbangan APM dan mana-mana juga majlis anugerah kepada industri muzik. Apabila semakin banyak majlis anugerah, semakin naiklah harga seseorang artis.

Malaysia dan empat anugerah

Calon Malaysia hanya membawa pulang empat anugerah sahaja kali ini. Dua anugerah terbaik dan dua lagi anugerah popular yang berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) peminat dan undian majalah hiburan di ketiga-tiga negara.

Siti Nurhaliza masih ungguli kategori Penyanyi Wanita Paling Popular sejak diperkenalkan enam tahun lalu. Siti menang lagi. Kali ini mengetepikan pencabar popular lain antaranya Kris- dayanti, Rossa, Shanty, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura, Misha Omar dan banyak lagi.

Di sebalik pelbagai gosip termasuk kisah cintanya yang terbongkar, Siti membuktikan peminat masih menyukainya. Kedudukan Siti sebagai artis wanita popular belum goyah.

“Siti bersyukur kerana peminat masih percaya bakat Siti. Siti yakin kalau kita buat yang terbaik dengan ikhlas, Tuhan akan memberi rezeki,“ kata Siti semasa menerima anugerah.

Satu lagi anugerah popular dibawa pulang oleh Mawi menerusi anugerah Lagu Paling Popular, apa lagi kalau bukan lagu aduh Saliha.

Jaclyn Victor menewaskan empat calon Indonesia iaitu Audy, Krisdayanti, Rossa dan Titi DJ. Ternyata Jaclyn nampak terkejut dengan kemenangannya.

“Saya datang ke sini dengan fikiran untuk menyanyi sahaja, tak terfikir langsung untuk menang anugerah. Namun apabila terima anugerah ini saya sangat berbangga. Ia sesuatu yang berharga. Saya ingin berterima kasih kepada pemimat di Malaysia, Singapura dan Indonesia... kalau ada,“ kata Jaclyn.

Seorang lagi penyanyi Malaysia yang membawa pulang anugerah ialah Nikki melalui kategori Artis Wanita Baru Terbaik. Bolehlah Nikki buat ubat kerana namanya tidak sangkut di Anugerah Industri Muzik (AIM) di Malaysia.

?‘Amboi sedapnya menembak’ – Siti

APM juga jadi medan gosip apabila kisah Siti Nurhaliza yang mengakui hatinya sudah dimiliki dijadikan bahan senda. Pengacara Aznil Nawawi dan Adi Rahman mengusik Siti dengan mengatakan mereka ialah Datuk A.

Hadirin menyambut dengan ketawa kerana mereka pasti mengikuti perkembangan cerita itu. Apabila naik ke pentas untuk menyampaikan anugerah Artis Wanita Terbaik, Siti sekali lagi dipersendakan oleh pasangannya ketika menyampaikan anugerah.

“Ada orang kata saya kelihatan macam datuk hari ini,“ kata pasangannya dari Media Corp.

Siti hanya tersenyum dan enggan mengulasnya. Usikan itu ibarat satu bisikan biasa yang tidak diminatinya.

“Amboi sedapnya menembak...“ kata Siti lalu meneruskan tugasnya menyampaikan anugerah.

Trofi Taufik Batisah untuk ibu

Juara pertama Singapore Idol, Taufik Batisah mengatasi Mawi untuk trofi Artis Lelaki Paling Popular. Semasa berucap ketika menerima anugerah Taufik mengatakan trofi itu untuk dihias di bilik ibunya.

“Saya ingin meletakkan trofi ini di dalam bilik ibu sebagai ucapan terima kasih di atas jasanya membesarkan saya, saya mahu dia bangga dengan kejayaan saya.

“Kami pernah hidup susah. Saya mahu membahagiakan ibu yang pernah bersusah payah membesarkan saya sebagai seorang ibu tunggal. Saya bukan dari keluarga kaya,“ kata Taufik.

Dalam perkembangan lain beliau juga bersedia berhijrah ke Kuala Lumpur sekiranya kerjaya seni memerlukannya melakukan sedemikian selepas ini. Setelah popular di negaranya, Taufik juga ingin dikenali di Malaysia.

Ayat power Loloq dihargai

Penulis lirik Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis dipilih menerima Anugerah Khas APM 2006. Anugerah khas tersebut bukanlah anugerah untuk karyawan veteran sebaliknya diberikan kepada penerima yang masih aktif.

Ia dinilai berdasarkan sumbangan besar yang diberikan oleh penerima di dalam industri muzik. Loloq banyak menulis lirik lagu popular yang dinyanyikan oleh artis ternama termasuk M. Nasir, Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Spider dan banyak lagi.

Mengimbas kejayaannya, Loloq berkata, dia teringat pesan seorang kawan supaya menggunakan ayat power kalau mahu hidup. Kata-kata itu terus dipegangnya sehingga sekarang.

Malah beliau menyerapkan pesan itu di dalam kerjayanya sebagai penulis lirik. Ayat-ayat power dijadikan bahan dalam penulisannya sehingga beliau berjaya. Rakan-rakan yang bekerjasama dengannya juga akui kuasa lirik Loloq.

“Saya anggap anugerah ini satu sumbangan yang segar di dalam perjalanan saya,“ kata Loloq semasa menerima anugerah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.