saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 04/04/2006

Nur Fazura tabah hadapi gosip dan tohmahan


Nur Fazura serasi berlakon dengan Zul Yahya kerana mereka boleh bertolak ansur.



BIAR seribu badai melanda Nur Fazura Sharifuddin, 23, tidak pernah gentar untuk mengharunginya. Bagi Nur Fazura atau lebih senang dengan panggilan Fazura, kemelut yang menimpa dirinya adalah sebahagian daripada asam garam kehidupan dunia artis.

Meskipun dia tidak goyah melalui senario tersebut namun sebagai insan biasa ada ketikanya hati Fazura turut tercalar mendengar cerita yang tidak benar tentang dirinya.

Kata Fazura, sebagai artis dia juga inginkan kehidupan seperti orang lain dan bukan semua perkara berkaitan dirinya boleh dijadikan tatapan ramai.

“Saya tidak kisah kalau nak tulis cerita tentang karier. Masalahnya saya sering jadi mangsa keadaan. Perkara yang saya tidak buat kata saya buat. Bila saya nafikan orang tetap tuduh saya.

“Pada saya biar seribu tohmahan dilontarkan saya tetap tabah. Kenapa saya mesti takut kalau saya berada di pihak benar. Sebab itulah saya tidak pernah mengurung diri di rumah,’ ’katanya penuh makna.

Fazura yang sibuk menjalani latihan teater Suzana @60 di Istana Budaya itu berkata, orang sering mengkaitkannya dengan perkara buruk. Justeru itu sehingga kini setiap pergerakannya menjadi perhatian ramai.

Sebelum ini, Fazura Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia ke 17 melalui filem Bicara Hati telah menggemparkan dunia hiburan bila dia dituduh mendatangkan kecederaan terhadap seorang suri rumah, Geraldine Mariana Wong, 30, di sebuah pusat hiburan. Kes tersebut akan dibicarakan pada 26 dan 27 April ini.

Belum reda kes itu, timbul pula cerita Fazura ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di ibu kota. Ekoran cerita itu, Fazura terpaksa mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan kedudukan sebenar.

Namun sebagai seorang yang berfikiran positif, Fazura yang turut muncul dalam filem Qaisy & Laila tidak mahu menjadikan masalah yang menimpa dirinya sebagai tembok untuk dia bergaul dengan masyarakat.

Dia yang tabah dan tidak mudah melatah dengan tuduhan tidak berasas itu berharap, cerita-cerita sensasi tentang dirinya dihentikan.

Kata Fazura, dia mampu melalui semua tohmahan tapi kasihan keluarganya yang terkena tempias tersebut. Apa pun Fazura tetap bersyukur kerana keluarga sentiasa berdiri di belakangnya.

“Saya hairan kenapa saya sering menjadi mangsa keadaan. Biarpun begitu, saya tetap bersyukur kerana setiap kali kemelut melanda rezeki saya dalam bidang seni tidak pernah surut,’’ katanya yang memegang watak Suzana dalam teater arahan Lokman Ghani itu.

Saya tidak seksi

Tidak kenal maka tidak cinta. Itulah gambaran yang dapat diberikan kepada Nur Fazura. Bila sudah mengenali Fazura pasti ada hati yang akan “jatuh cinta” dengannya.

Ini kerana Fazura bukan sahaja berperangai “gila-gila” liuk lentuk badannya penuh gaya memikat. Justeru itulah tidak hairan kenapa ramai lelaki mudah jatuh cinta padanya.

Lagipun Fazura mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Tidak kering gusi bila berbual dengannya.

Mungkin kerana sikap manjanya itu ramai lelaki yang salah anggap.

“Kadang-kadang saya naik rimas kerana mendapat panggilan daripada orang yang tidak dikenali. Dari mana mereka dapat nombor saya pun tak tahu.

“Tidak dinafikan ada juga sesetengah lelaki yang cuba menggoda, tapi sedaya upaya saya akan menolak dengan cara baik. Masalahnya bila kita menolak mereka anggap sombong. Serba salah jadinya,’’ jelas Fazura yang sering diganggu dengan panggilan tidak diduga sejak setahun lalu.

Kata Fazura, dia tidak pernah merasakan yang dirinya seorang penggoda kerana apa yang ditonjol adalah dirinya yang sebenar.

Jelasnya, kalau orang menganggap dirinya seksi atau penggoda terpulang pada persepsi masing-masing.

“Saya tidak pernah cuba membentuk diri menjadi seksi atau penggoda. Apa yang anda lihat adalah diri saya yang sebenar. Saya tidak suka hipokrit. Malangnya bila saya bersikap telus, orang salah anggap dan saya hilang privacy,’’ katanya yang tidak gemar membaca cerita tentang dirinya di dada akhbar atau di laman web.

Bercakap mengenai hilang privacy, Fazura berkata sejak setahun lalu ke mana sahaja dia pergi bukan sekadar menjadi perhatian, malah fotonya sering dirakam tanpa izin.

Sekarang ini Fazura juga sibuk turun ke Singapura dua kali sebulan untuk menjalani rakaman program MTV Juice.

Sakit badan belajar menari

Fazura adalah di antara artis yang bertuah kerana dia ditawar berlakon teater [email protected] tanpa perlu menjalani uji bakat. Kata Fazura, setelah mendapat tawaran tersebut dia terus terima kerana [email protected] merupakan teater pertama lakonannya.

“Bodohlah kalau saya menolak tawaran itu. Orang lain lama menunggu peluang begitu, saya pula umpama bulan jatuh ke riba. Lagipun berlakon [email protected] adalah satu cabaran kepada saya yang pertama kali berlakon pentas,

“Untuk teater ini saya perlu berlakon, menyanyi dan menari dalam satu masa. Ini merupakan sesuatu yang baru kepada saya,’’ katanya yang telah berlatih teater tersebut sejak tiga minggu lalu.

Dia yang memegang watak Suzana perlu belajar menari kerana teater yang bakal dipentaskan pada 7 hingga 9 April ini berkisar tentang dunia hiburan zaman pop yeh yeh dan irama ago-ago.

Kata Fazura, biarpun pertama kali berpasangan dengan Zul Yahya namun dia tidak menghadapi masalah kerana saling bertolak ansur.

“Saya boleh bekerjasama dengan Zul. Mula-mula belajar menari itu biasalah, ada yang terpelecok. Tapi bila sudah dua tiga kali buat latihan, masalah itu boleh diatasi.

“Bagi saya paling susah untuk menari twist, sampai sakit pingganglah. Saya harap pada hari persembahan nanti, semuanya berjalan lancar,’’ katanya yang akan memperdengarkan dua lagu, Bahagialah Hendaknya dan Alam Seni.

Zul ada asas menari

Lain pula halnya dengan pasangan Fazura, Zulkifli Yahya, 36, atau mesra dengan panggilan Zul. Kata Zul, dulu dia pernah menjadi penari sambilan untuk persembahan di kelab selama setahun.

Berbekalkan pengalaman itulah Zul cuba terapkan kebolehannya itu pada watak A. Mamud yang dibawanya.

Dia yang perlu menyanyi lagu Suzana dan Zunika untuk teater tersebut mengaku tidak menghadapi masalah untuk menyanyi.

“Selama ini memang saya suka menyanyi. Untuk teater ini saya mendapat bimbingan daripada Nasir P.Ramlee yang bertindak sebagai pengarah muzik.

“Lagu Suzana perlu berhati-hati sikit sebab nadanya tinggi. Saya yakin dengan latihan yang dibuat setiap hari, saya dapat menyanyi lagu itu dengan baik bila hari persembahan nanti,’’ katanya penuh semangat.

Teater [email protected] bukanlah lakonan pentas pertamanya. Sebelum ini, dia pernah muncul dalam teater Merdeka Merdeka, Muzikal 23250, Tragedi Bukit Kepong, Tanah dan Uda Dan Dara.

Menyentuh mengenai watak A. Mamud, Zul berkata teater ini menonjolkan jalan cerita yang mudah kerana yang ingin diketengahkan adalah penghargaan kepada penyanyi 60-an.

Zul yang memang meminati irama 60-an itu berkata, dia pernah berlakon drama di bawah arahan Lokman sebelum ini. Justeru itu antara mereka tidak ada masalah, malah sering berkongsi idea untuk memantapkan lagi lakonan tersebut.

Kata Zul, watak A. Mamud yang dipegang sama dengan karakter dirinya iaitu seorang yang ceria.

“Selain ceria, A. Mamud juga seorang romantik seperti saya... ha... ha... ha. Saya tidak ada masalah berlakon dengan Fazura. Dia seorang pelakon yang berbakat dan bijak,’’ kata Zul tentang pasangan lakonannya itu.

Zul yang sibuk menguruskan kedai makannya, Kafe Zul Yahya D’13, di Shah Alam berkata demi [email protected], dia terpaksa menolak dua tawaran berlakon drama.

Bagaimanapun Zul tidak kisah kerana baginya berlakon teater lebih memberi kepuasan. Tambahan pula bila beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya.

Teater hargai angkatan 60-an

Teater [email protected], arahan Lokman Ghani merupakan produksi pertama Istana Budaya bagi tahun ini.

Memandangkan dekad 60-an adalah tahun-tahun awal Malaysia mencapai kemerdekaan, tentu ia memberikan kesan nostalgia yang tersendiri kepada rakyat tempatan yang hidup di zaman tersebut.

Justeru itu Istana Budaya terpanggil untuk mengimbau kembali kenangan lalu dan yang paling penting, produksi itu ingin menghargai dan mengangkat penyanyi-penyanyi 60-an di ruang yang sewajarnya.

Menurut Ketua Pengarah, Istana Budaya, Azhar Abu Bakar, sumbangan penyanyi 60-an di awal kemerdekaan tidak boleh diabaikan begitu sahaja.

Justeru itulah dipentaskan cerita dan lagu yang turut mengundang barisan penyanyi era tersebut untuk mengembalikan kenangan silam.

Antara bintang-bintang 60-an yang bakal mengadakan persembahan ialah A.Halim (Kisah Dan Tauladan), Datuk A.Rahman Hassan & Nirwana (Tak Mengapa), A.Rahman Onn (Cincin Emas), Adnan Othman (Bersyukur), Ahmad Jais (Bunga Ku Puja Dipetik Orang), Datin Azizah Muhamad (Syurga Idaman), Fatimah M.Amin (Teruna), Jefrydin (Termenung), Kassim Selamat (La Obe), L.Ramlie (Dara Pujaan), M.Ishak (Yale-Yale), S.Mariam (Hasrat Hati), S.Roha (Janji) dan Zam-Zam (Setahun Tak Jumpa Sesaat Tak Lupa).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.