saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 19/04/2006

Misi XX-Ray beri peluang kepada pelakon baru


Aziz M. Osman (belakang, dua dari kiri) dan isterinya Nur Aliah Lee bersama barisan pelakon Misi XX-Ray.



MENGANGKAT judul filem menjadi siri televisyen bukanlah trend baru. Senario itu telah lama berlaku. Langkah itu lazimnya mendapat sambutan penonton. Contohnya drama bersiri Sembilu dan Bara yang diangkat oleh pengarah Datuk Yusof Haslam daripada layar perak ke layar kaca TV.

Kini Aziz M.Osman pula mengikut jejak langkah Yusof. Aziz yang sinonim dengan filem XX-Ray (1992) dan XX-Ray II (1995) telah menjadikan filem tersebut sebagai drama bersiri Misi XX-Ray yang diterbitkan oleh Ace Motion Sdn. Bhd..

Misi XX-Ray yang mula disiarkan semalam (18 April) di TV3 pada pukul 9 malam menerusi slot Lestary adalah kesinambungan daripada telefilem Misi XX-Ray yang telah disiarkan menerusi slot Cerekarama pada 15 April lalu.

Menurut Aziz, telefilem yang disiarkan itu adalah siri pengenalan untuk drama bersiri tersebut.

“Episod pengenalan saya buat tahun lalu selepas saya menghantar kertas cadangan pada pertengahan tahun lalu. Telefilem yang disiarkan itu adalah episod pengenalan. Sekarang saya sedang buat penggambaran untuk episod mingguan,’’ katanya yang telah menghasilkan tujuh episod Misi XX-Ray sejak tiga minggu lalu.

Kata Aziz, biarpun masih menggunakan perkataan XX-Ray, namun jalan cerita yang ditonjolkan dalam drama itu adalah berbeza dengan filem yang pernah dihasilkan.

Malah untuk drama bersiri itu, Aziz sanggup menanggung risiko kerana menampilkan wajah-wajah baru sebagai pelakon utama.

Antara pelakon tetap drama bersiri itu ialah Syed Kamaruzaman Syed Mahmood, Raja Farah Raja Aziz, Mohd. Qazem Atim, Farah Putri Mulyani Jasman Nada, Abdul Munir Awang, Kamarozaman Yusoff dan Ramli Harun.

Selain pelakon baru, tekanan lain yang dihadapi untuk menghasilkan drama sebanyak 13 episod itu adalah memastikan produk tersebut lebih disukai daripada filem.

“Bukan saya tidak boleh ambil pelakon popular tapi sebelum menghasilkan drama ini, saya telah buat kajian di kalangan penonton.

“Ternyata penonton ingin melihat wajah baru dan sebab itulah saya berani mengetengahkan orang baru. Saya percaya mereka bakal menjadi pelakon pelapis pada masa akan datang,’’ katanya penuh yakin.

Aziz berani melakukan eksperimen itu kerana percubaannya menonjolkan pelakon baru dalam drama Puteri mendapat kejayaan.

Lagipun, kata Aziz, Misi XX-Ray yang menjurus kepada romantik sains fiksyen disasarkan kepada penonton kanak-

kanak dan remaja dari usia tujuh hingga 21 tahun.

Kesan khas

Tambahnya, untuk drama tersebut dia juga menggunakan teknik kesan khas dengan menggunakan kaedah Teknologi Komputer Grafik (CGI) yang dilakukan oleh rakyat tempatan.

“Saya tidak menggunakan kos yang besar untuk kesan khas. Sebaliknya kos tersebut banyak disalurkan untuk perisian komputer,’’ katanya yang cuba memberi kelainan dan kesegaran pada drama tersebut dengan cara tersendiri.

Selain itu, jelasnya, biarpun drama tersebut berbentuk sains fiksyen namun dia perlu menonjolkan realiti agar dapat diterima oleh penonton.

Katanya, penonton sudah tahu menilai antara realiti dan fantasi. Sehubungan itu adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menghasilkan cerita sains fiksyen yang menampakkan kebenaran.

Di samping itu nilai komersial seperti hubungan cinta tiga segi antara Arill, Eyza dan Daniel turut ditonjolkan bagi mewarnai jalan cerita drama tersebut.

Untuk drama tersebut, Aziz bukan sekadar mengarah malah dia bertanggungjawab menghasilkan skripnya.

“Setakat ini saya tidak menggunakan skrip orang lain kerana saya belum dapat menemui penulis skrip yang mampu membuat skrip mengikut kehendak saya,’’ katanya.

Sementara itu, Farah Putri Mulyani Jasman Nada, 20, yang memegang watak Eyza berkata, kesempatan berlakon di bawah arahan Aziz merupakan satu peluang keemasan.

Dia yang pernah mengacara rancangan Kecil-Kecil Cili Padi (RTM1), Kembara Jelajah Utara (RTM2) dan Sepetang Bersama (TV3) berkata sebelum ini dia tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon.

“Saya menyertai uji bakat untuk Misi XX-Ray pun lewat. Saya cuba juga dan malamnya saya dapat keputusan. Esoknya saya dipanggil ke TV3,’’ katanya yang meminati lakonan Charlize Theron dan Nasha Aziz.

Farah Putri tidak menghadapi masalah berlakon dengan pelakon lain kerana sebagai orang baru mereka sering bantu-membantu.

Raja Farah, 18, yang sebelum ini muncul dalam filem Salon berkata, watak Marini yang dibawanya dalam drama itu adalah seorang gadis penggoda.

Raja Farah yang kini menjadi penyampai radio Red 104 secara kontrak sejak Disember lalu berkata, Misi XX-Ray banyak memberinya pengalaman baru.

“Saya seronok berlakon di bawah arahan Aziz M. Osman dan pada waktu yang sama berpeluang menimba pengalaman,’’ katanya yang meminati lakonan Ogy Datuk Ahmad Daud .

Misi XX-Ray berkisar tentang Arill (Syed Kamaruzaman Syed Mahmood) dan dua rakannya, Eyza dan Jali (Abdul Munir Awang) mencari Amir (seorang mahasiswa yang pulih setelah lama menjadi halimunan) untuk mencungkil rahsia penawar halimunan.

Ejen perisik Mid dan Mud pula membantu memberikan maklumat rahsia pada Arill untuk mempermudahkan pencariannya, tetapi bekas teman lelaki Eyza, Daniel (Mohd. Qazem Atim) berusaha mencungkil rahsia Arill dan cuba menggagalkan misinya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.