saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/04/2006

Disanjungi kawan, dihormati lawan

Di kalangan rakyat jelata Tun Ghafar Baba, 81, yang lebih dikenali dengan panggilan `Encik Ghafar' akan dikenang sebagai seorang pemimpin akar umbi yang sentiasa hampir dengan mereka.

Walaupun raut mukanya sentiasa kelihatan serius, bekas Timbalan Presiden UMNO itu mempunyai watak yang amat sederhana, mudah didampingi, seorang yang periang dan gemar menyelitkan unsur-unsur jenaka ketika berucap di hadapan rakyat.

Kesederhanaan wataknya dapat dilihat daripada keengganannya menerima sebarang pingat atau darjah kebesaran sepanjang bergerak aktif dalam politik dan kerajaan. Beliau lebih senang dengan panggilan ``Timbalan Perdana Menteri Encik Ghafar Baba''.

Beliau hanya sedia menerima anugerah yang membawa gelaran `Tun' selepas bersara sepenuhnya daripada politik.

Di kalangan rakan-rakan politik terutama sesama parti komponen Barisan Nasional, Allahyarham dikenali sebagai seorang pendamai penuh diplomasi yang berjaya merungkai banyak pertelagahan dalaman.

Malah, Allahyarham pernah mencipta sejarah politik tersendiri apabila menjadi satu-satunya orang Melayu yang diberi kepercayaan memimpin sebuah parti bukan Melayu iaitu MCA ketika parti itu dilanda krisis kepimpinan pada 1985/1986.

Ghafar yang pada masa itu Naib Presiden UMNO telah dilantik memangku jawatan Presiden MCA selama kira-kira 10 bulan apabila kerusi tertinggi parti berkenaan menjadi rebutan antara bekas presiden (Tan Sri) Neo Yee Pan dan Presiden Tan Koon Swan.

Kehadiran Allahyarham dalam menyelesaikan krisis parti itu sentiasa diingati oleh para pemimpin MCA, yang tidak pernah lupa mengunjungi Allahyarham pada setiap ulang tahun kelahirannya dan pada Hari Raya Aidilfitri.

Dalam UMNO, karisma Allahyarham sebagai tokoh penstabil kerap kali diserlahkan, dan antara yang paling sukar dilupakan ialah peristiwa beliau dipujuk mengisi kerusi Timbalan Perdana Menteri, setelah jawatan itu dikosongkan (Tan Sri) Musa Hitam pada 1985. Ketika itu Musa masih mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Tindakan Musa meletak jawatan pada ketika itu telah menimbulkan perpecahan yang hebat di dalam UMNO dengan satu pihak menyokong beliau dan satu lagi menyokong Perdana Menteri ketika itu (Tun) Dr. Mahathir Mohamad.

Kesediaan Ghafar menerima tawaran Dr. Mahathir untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri berjaya meredakan keadaan kerana anggota UMNO menghormati beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak mementingkan kuasa atau pangkat, tetapi sebaliknya sentiasa mengutamakan kepentingan parti dan negara.

Keikhlasan Ghafar sekali lagi dibuktikan apabila beliau dengan rendah diri berundur daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1993, walaupun beliau berjaya mengalahkan Musa untuk jawatan itu pada pemilihan parti 1987.

Mengulas peristiwa itu beberapa tahun kemudian, Ghafar mengakui tindakannya tidak mempertahankan jawatan itu semata-mata untuk mengelak perpecahan dalam parti dan mempertahankan kestabilan negara.

Menyusuli peristiwa itu ialah keputusan Allahyarham untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, dan kisah yang hangat diperkatakan orang ketika itu ialah tentang surat peletakan jawatannya yang ditulis di atas sekeping kertas Penerbangan Malaysia dengan pen yang dipinjam.

Allahyarham dikatakan menulis surat itu ketika berada di bilik VIP Lapangan terbang Subang untuk berlepas ke Korea Selatan bagi tugas rasmi.

Peristiwa seperti yang dialaminya pada 1987 dan 1993 itu bukanlah tidak pernah dilalui Ghafar sebelum itu. Seawal 1959 lagi beliau pernah menolak tawaran jawatan Ketua Menteri Melaka sehingga memaksa Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mengancam untuk membiarkan negeri itu tanpa Ketua Menteri. Ghafar akhirnya akur dengan kehendak Tunku dan memegang jawatan itu selama lapan tahun.

Allahyarham juga pernah meninggalkan Kabinet pimpinan Perdana Menteri Tun Hussein Onn pada 1974 dan menolak tawaran Dr. Mahathir untuk menjadi Menteri Pelajaran pada 1981.

Ghafar terkenal sebagai seorang pemimpin yang cermat ketika menjalankan tugas dan sentiasa memastikan agar beliau tidak tersalah guna kuasa sama ada dalam parti atau dalam kerajaan.

Anaknya, Asri pernah berkata bahawa semasa arwah bapanya menjadi Ketua Menteri Melaka, mereka adik-beradik tidak pernah menggunakan kereta rasmi kerajaan untuk ke sekolah bagi mengelak daripada dituduh sebagai menyalahgunakan kuasa.

Itulah di antara beberapa keistimewaan Ghafar yang sukar ditandingi oleh kebanyakan pemimpin politik yang lain.

Di kalangan kaum sebangsanya Ghafar menjadi satu ikon ``tokoh politik kampungan'' yang berjiwa Melayu tulen.

Lahir di dalam keluarga miskin dengan 10 adik-beradik, Allahyarham tidak pernah merasa segan untuk berulang kali menceritakan kepada rakyat tentang pengalaman pahit yang pernah dilaluinya, termasuk sanggup menjaja ubi kayu di sekeliling kampungnya di Melaka.

``Pada zaman kanak-kanak, saya dan adik beradik tidak pernah menikmati kemewahan hidup dan kalau adapun peluang untuk makan nasi berlauk daging, ia hanya akan berlaku dua kali setahun iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha,'' cerita Ghafar dalam beberapa siri ceramahnya setiap kali menjelang pilihan raya umum di negara ini.

Ketika usianya meningkat 14 tahun, Ghafar berusaha mencari wang saku dengan menjadi pemungut bola golf dan bola tenis untuk golongan atasan, antaranya ialah Almarhum Yang di-Pertuan Agong pertama, Tunku Abdul Rahman.

Ironinya, 20 tahun kemudian `budak caddy' itu berupaya duduk semeja dengan Tunku Abdul Rahman apabila beliau selaku Ketua Menteri Melaka menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Mengenai peristiwa itu, Allahyarham pernah berkata: ``Itulah kehidupan namanya. Kita tidak dapat jangka apa yang akan berlaku pada kita.''

Ghafar yang lulus Maktab Perguruan Sultan Idris Shah Tanjung Malim dan pernah berkhidmat sebagai guru selama 14 tahun, mengakui bahawa beliau tidak pernah menyangka karier politiknya akan mencapai tahap yang begitu tinggi selaku Timbalan Perdana Menteri.

Dilahirkan pada 18 Feb 1925 di Kuala Pilah, Ghafar mula menyertai politik sejak berusia 15 tahun dengan menganggotai Kesatuan Melayu Muda dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya pada 1948, sebelum ia diharamkan oleh British.

Allahyarham kemudian menyertai UMNO pada 1951 dan sehingga ini belum ada mana-mana tokoh politik di negara ini yang mampu mengatasi rekodnya yang berjaya mempertahankan kedudukan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri atau Anggota Parlimen selama 49 tahun berturut-turut, menerusi 11 pilihan raya umum sejak 1955 hingga 1999.

Kawasan Parlimen yang paling lama diwakilinya ialah Jasin yang dimenanginya sebanyak lima penggal berturut-turut sejak pilihan raya umum 1978. Kawasan Parlimen terakhir diwakilinya ialah Batu Berendam yang dimenanginya pada 1999.

Sebelum memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Ghafar juga pernah menyandang beberapa lagi jawatan penting parti termasuk Naib Presiden UMNO (1962 hingga 1987), Ketua Perhubungan UMNO Sabah (1991) dan Pengerusi BN Sabah (1992).

Allahyarham juga merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional dari 1974 hingga 1993.

Dalam kerajaan pula beliau pernah menyandang jawatan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Untuk beberapa ketika beliau juga pernah memangku jawatan Perdana Menteri iaitu semasa Dr. Mahathir menjalani pembedahan jantung pada 1989.

Selain kerjaya politik yang penuh warna-warni itu, Ghafar juga terkenal kerana usahanya memartabatkan ekonomi bangsa Melayu. Sebagai pengerusi Mara yang pertama pada 1967, beliau terlibat dalam mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara pada 1972 bagi menggalakkan pelajar Melayu mengikuti jurusan sains di universiti sebagai usaha menambah bilangan profesional bumiputera.

Beliau turut menjadi penggerak utama penubuhan Institut Kemahiran Mara, Yayasan Pelajaran Mara dan Institut Teknologi Mara, kini UiTM.

Dengan jasanya kepada agama, bangsa dan negara yang tidak terhitung itu, Allahyarham Abdul Ghafar Baba sudah pasti akan sentiasa dikenang sebagai seorang pemimpin sejati yang sukar dicari ganti.

- Bernama

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.