saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 08/05/2006

Hala tuju stesen-stesen TV Media Prima


BARISAN peneraju stesen TV Media Prima Berhad. Dari kiri Bukhari Che Muda, Anthony Firdauz Bujang, Amrin Awaluddin, Farid Ridzuan dan Ahmad Izham Omar.



Media Prima Berhad kini merupakan rangkaian televisyen gergasi tempatan yang mendominasi saluran-saluran TV tidak berbayar (terestrial) di negara ini.

Empat stesen TV terestrial yang berada di bawah naungan syarikat tersebut ialah TV3, 8TV, ntv7 dan terbaru, TV9.

Penyatuan empat saluran TV di bawah satu bumbung itu dilihat mampu melebarkan lagi pengaruh Media Prima Berhad dalam dunia penyiaran tempatan melalui misinya iaitu bersatu untuk bersaing dalam dunia penyiaran tempatan.

Apatah lagi setiap stesen TV itu diterajui oleh individu-individu berkarisma yang dilihat berkeupayaan dalam melaksanakan misi dan tugas masing-masing.

Datuk Farid Ridzuan, misalnya, selain bertanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad juga melaksanakan tugas yang sama di TV3.

Selain itu, 8TV, ntv7 dan TV9 masing-masing diterajui oleh Ahmad Izham Omar, Amrin Awaluddin dan Bukhari Che Muda.

Meskipun berada di bawah satu organisasi tetapi setiap saluran TV itu mempunyai hala tuju dan sasaran penonton yang berbeza.

Setiap stesen TV Media Prima itu juga dilihat tetap bersaing antara satu sama lain dalam usaha mencapai matlamat perniagaan Media Prima.

Apakah perancangan dan matlamat keempat-empat peneraju stesen TV tersebut? Ikuti pandangan mereka dalam satu temu bual dengan Mega baru-baru ini.

DATUK FARID RIDZUAN - Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan TV3

“INI adalah satu penggabungan untuk bersatu mencapai matlamat menawan penonton yang semakin hari semakin sofistikated.”

Itulah penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Farid Ridzuan, mengenai gabungan empat stesen TV tersebut di bawah satu bumbung.

Farid, 45, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TV3, berkata, posisi dan matlamat setiap stesen itu adalah jelas.

TV3 sebagai stesen TV induk Media Prima kekal sebagai sebuah stesen mass market yang menyediakan program-program terbaik untuk semua rakyat Malaysia.

8TV pula bertindak sebagai sebuah stesen untuk golongan muda urban, menyasarkan komuniti Cina manakala ntv7 diposisikan semula sebagai sebuah rangkaian untuk golongan urban matang dan TV9 digerakkan sebagai stesen sub-urban dengan tumpuan utama kepada masyarakat Melayu.

“Dengan adanya sasaran audiens masing-masing seperti itu kami sebenarnya memperluaskan lagi khalayak penonton kami.

“Di samping itu, penyatuan ini juga membolehkan kami menawarkan pelanggan kami iaitu para pengiklan untuk memilih rangkaian terbaik bagi mereka menyasarkan golongan pengguna masing-masing secara lebih efektif.

“Ia juga dapat mengurangkan kos dari segi operasi sekali gus menjana pendapatan selain meluaskan empayar kami ke luar negara,” tambah beliau.

Farid, bagaimanapun, menolak tanggapan bahawa penyatuan seperti itu menyebabkan setiap stesen TV terpaksa bersaing sesama sendiri terutama dalam meningkatkan bilangan penonton.

Sebaliknya, tegas Farid, melalui pergabungan itu, mereka boleh merancang dan mengatur program masing-masing bagi mengelakkan duplikasi atau pertindihan.

Malah, beliau percaya kepada persaingan sihat dalam usaha menyajikan program-program bermutu sama ada bagi penerbitan sendiri mahupun rancangan luar negara kepada penonton di negara ini.

“Kalau dulu kami bersaing hingga menyebabkan penonton berpecah tetapi dengan penggabungan ini, ia melengkapi antara satu sama lain sama ada program mahupun sasaran penonton,” jelas Farid.

Dalam usaha mengelakkan duplikasi, kata Farid, satu jawatankuasa yang diketuai oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Abdul Rahman Ahmad bertanggungjawab menilai produk yang bakal disiar atau diterbitkan oleh setiap stesen terbabit.

Biarpun menjadi rangkaian televisyen percuma tempatan yang terbesar, Farid menegaskan, pihaknya tidak merasakan ia satu monopoli.

“Ini kerana lebih 50 atau 60 saluran ditawarkan oleh industri penyiaran di Malaysia termasuk stesen TV berbayar dan jumlah itu sentiasa meningkat apabila ‘orang baru’ memasuki pasaran.

“Cuma sebagai sebuah platform media yang komprehensif, Media Prima Berhad menawarkan pelbagai saluran lain untuk penonton dan pengiklan,” jelas Farid.

Medium-medium itu – elektronik, media cetak dan radio – yang berada di bawah bumbung Media Prima Berhad memberi nilai tambah kepada pihaknya.

“Dengan adanya radio, misalnya, kita boleh mempromosikan program-program TV mengikut pecahan audiens. Contohnya, Hot FM untuk golongan yang menonton TV3 dan TV9 manakala FlyFM pula golongan penonton 8TV dan ntv7.

“Melalui medium-medium itu, kami boleh memberikan penyelesaian dua hala kepada para pengiklan,” jelas beliau.

Farid juga menegaskan, pihaknya sentiasa melihat persaingan dalam industri penyiaran sebagai sesuatu yang positif terutama dalam mempertingkatkan lagi kredibiliti rangkaian televisyen itu di negara ini.

“Perubahan dan cabaran ini akan menjadi pemangkin kepada kami untuk memastikan orang ramai terus menonton saluran TV Media Prima.

“Mengapa takut bersaing sedangkan perkara paling utama yang akan dinilai oleh khalayak adalah bagaimana persembahan sesebuah stesen TV itu dan apakah tawaran kita kepada mereka,” tambah beliau.

ANTHONY FIRDAUZ BUJANG - Pengarah Operasi TV3

SEJAK penubuhannya 22 tahun lepas, TV3 menjadi stesen swasta pertama di negara ini yang berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai peneraju utama industri penyiaran televisyen.

Ia berjaya mendekati lebih 20 juta penonton sebulan dengan menyajikan pelbagai program yang bukan sahaja menarik tetapi, lebih penting, dekat dengan jiwa setiap rakyat Malaysia.

Mementingkan penyiaran program yang berkualiti lagi berinovasi, kebanyakan rancangannya meliputi drama, hiburan dan dokumentari yang berjaya menawan hati rakyat.

Dengan 65 peratus siaran terdiri daripada rancangan tempatan dan 35 peratus merupakan program luar negara, ia juga mendapat tempat di hati golongan bukan Melayu khususnya menerusi program berita seperti Buletin Utama dan program berbentuk majalah.

Berdiri megah sebagai sebuah organisasi media elektronik yang terunggul, TV3 tidak mahu mendabik dada mendakwa stesen itu yang terbaik pada mata khalayak.

Menyedari fungsi media elektronik yang turut menyumbang sebagai salah satu sumber hiburan kepada masyarakat, stesen itu dilihat telah memperluaskan tanggungjawab sosialnya.

Pengarah Operasinya, Anthony Firdauz Bujang, 47, berkata, TV3 menjadi jambatan untuk menghubungkan masyarakat Malaysia dengan dunia luar.

“Program stesen ini memfokuskan hiburan untuk seisi keluarga dengan penumpuan kepada semua khalayak,” jelasnya.

Kata Anthony, program berita Buletin Utama, misalnya, sentiasa membawa isu semasa yang bersesuaian dengan kehendak rakyat.

Beberapa program lain turut menaikkan nama stesen itu termasuk program berbentuk realiti Bersamamu serta program berkonsep majalah iaitu 999 dan Majalah Tiga.

AMRIN AWALUDDIN - Ketua Pegawai Eksekutif ntv7

MEMULAKAN siarannya pada 7 April 1998, ntv7 yang kini berada di bawah pemilikan Media Prima Berhad diposisikan semula sebagai sebuah stesen yang menyediakan satu escapism kepada penggemarnya.

Ia bersesuaian dengan sasaran penonton stesen ini iaitu golongan urban matang yang sentiasa mahukan program yang lebih ringan dan menghiburkan.

Kebanyakan isi kandungan rancangannya kini penuh dengan sumber pengetahuan dan interaksi, kompak dan ringkas.

Menumpukan kepada penonton berusia 25 tahun ke atas, pembaharuan ini nyata meningkatkan kadar jumlah penontonnya yang sebelum ini agak mendatar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amrin Awaluddin, 38, berkata, sejak dilancarkan semula, kadar jumlah penonton ntv7 meningkat daripada enam peratus kepada 12 peratus dalam tempoh empat bulan.

Dalam usaha meningkatkan minat khalayak kepada stesen itu, pihaknya kini berusaha memantapkan lagi program-program yang disiarkan.

Stesen ntv7 juga menyediakan beberapa rancangan baru termasuk program Wakenabeb dan Thursday Nite Live yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Sesuai dengan khalayak kami, program-program yang disiarkan juga biasanya mampu mencabar minda.

“Selain berhibur, penonton juga mahukan pengetahuan dan kami menyediakan program-program seumpama itu bagi memenuhi cita rasa mereka.

“Beberapa program tempatan seperti Seekers menjadi antara program yang mempunyai jumlah penonton yang tinggi selain program luar seperti drama bersiri CSI,” jelas Amrin.

Amrin memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari Universit of Hull, England.

Beliau menyertai Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) pada akhir 1999 sebagai Pembantu Khas kepada presiden syarikat berkenaan sebelum menyertai Putra Capital Bhd. pada awal tahun 2001 sebagai Ketua Pegawai Operasi.

Beliau kemudian menyertai TV3 sebagai Ketua Pegawai Kewangan stesen televisyen itu pada November 2001.

Kata Amrin, beberapa segmen terutama program berbentuk berita seperti Edisi Siasat diberi sentuhan dan konsep baru.

Malah, segmen beritanya, Edisi 7, juga mengalami perubahan dengan memaparkan berita yang lebih ringkas tetapi padat, jelasnya.

Stesen itu juga sedang merancang beberapa penerbitan program baru bagi memenuhi selera para penonton ntv7.

Pihaknya juga akan melancarkan beberapa program baru tidak lama lagi termasuk slot Festival yang dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun ini.

“Kita juga baru sahaja menerbitkan sebuah rancangan berjudul Breakfast Show yang disiarkan dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi pada setiap hari.

“Program dua jam itu penuh dengan interaksi dan kebanyakan segmennya melibatkan gaya hidup urban,” jelasnya.

AHMAD IZHAM OMAR - Ketua Pegawai Operasi 8TV

WALAUPUN baru dua tahun bersiaran tetapi 8TV mempunyai hala tuju dan konsep rancangan-rancangannya yang tersendiri.

Justeru, tidak hairanlah stesen TV itu berjaya menarik ramai penonton termasuk para pengiklan untuk menaja program-program mereka.

Rancangan realiti TV One In A Million, misalnya, mendapat tajaan hadiah wang tunai RM1 juta kepada pemenangnya.

Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar, 36, berkata, kepercayaan penaja timbul kerana sambutan program Malaysian Idol yang pernah mereka terbitkan tahun lalu.

“Visi 8TV adalah jelas iaitu kami hanya menyajikan apa yang penonton mahu. 8TV juga sentiasa berubah dalam menyiarkan program-program yang bermutu. Ini kerana pemikiran dan cita rasa para penonton sentiasa berubah-ubah,” katanya.

Bagi mencapai impian itu, 8TV banyak memberi peluang kepada generasi muda sebagai tenaga penting di belakang tabir operasinya.

Kata Izham, generasi baru lebih relevan dengan kebanyakan program terbitan 8TV yang mengutamakan penonton golongan muda.

Purata umur tenaga kerja yang terbabit dalam program-program terbitan 8TV berusia 24 tahun. Kumpulan pekerja pada usia itu lebih relevan dengan pasaran semasa.

8TV memberi peluang kepada para pemuzik underground menunjukkan bakat mereka menerusi program Home Grown.

“Walaupun saya ketua di 8TV tetapi kalau ada idea staf saya yang lebih bagus, walaupun orang itu lebih muda daripada saya, keutamaan akan saya berikan kepada idea-idea mereka,” ujarnya.

Lantaran itu, 8TV banyak menghasilkan program-program bermutu yang bukan sahaja diterima oleh para penonton tempatan tetapi juga stesen-stesen TV luar negara.

Program terbitan 8TV berjudul Step Forward, misalnya, berjaya dijual ke stesen TV Singapura, Media Corp., yang tertarik dengan kelainan program tersebut.

Jika TV9 mengutamakan penonton Melayu, 8TV pula membahagikan sasarannya kepada kaum Cina dan Melayu.

Kecenderungan itu dapat dilihat apabila 8TV banyak menyiarkan program-program berbahasa Cina dari pukul 2 petang hingga 9.30 malam.

Sementara itu, dari pukul 9.30 malam hingga 3 pagi pula ia lebih menyasarkan penonton Melayu dan lain-lain kaum.

Selain memberi keutamaan kepada golongan muda, 8TV juga lebih cenderung menampilkan program-program yang kreatif.

“Kami dapati filem Gol & Gincu merupakan sebuah karya yang bermutu. Sebab itu kami akan menjadikan filem itu sebagai drama bersiri tidak lama lagi.

“Sayang rasanya apabila filem itu berakhir begitu sahaja,” kata Izham yang mempunyai ijazah sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Suffolk University, Boston, Amerika Syarikat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.