saya nak baca ..

LAPORAN KHAS


ARKIB : 11/05/2006

Saberkas pelopori penubuhan UMNO Kedah


KEDAH melahirkan ramai tokoh besar dalam perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan.

Paling utama ialah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang mendapat gelaran `Bapa Kemerdekaan' atas usaha gigih beliau mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

Tokoh-tokoh lain yang tidak kurang hebatnya dalam tinta sejarah penentangan penjajahan Inggeris ialah Tan Sri Mohd. Khir Johari, Tan Sri Mohamad Jamil Binjal, Datuk Senu Abdul Rahman, Tan Sri Azahari Md. Taib, Datuk Khalid Abdullah dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tokoh wanita yang turut berperanan meniup api penentangan terhadap Inggeris di bumi jelapang padi itu ialah Balkis Abdullah dan Kamaliah Salleh.

Kewujudan semangat nasionalisme di kalangan Melayu Kedah bermula sebelum penjajahan Jepun lagi iaitu ketika negeri tersebut berada di bawah pemerintahan Inggeris dan Siam.

Namun penentangan terhadap kedua-dua kuasa penjajah itu kurang tersusun dan tidak dilakukan secara bersepadu sebelum terbentuknya UMNO.

Dengan slogan ``Asia Untuk Orang Asia'', kemasukan Jepun ke Kedah mempertingkatkan lagi semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu di negeri tersebut.

Apatah lagi Kedah merupakan negeri paling awal menerima kemasukan Jepun selepas Siam memberi laluan kepada tentera negara matahari terbit itu memasuki utara Semenanjung Tanah Melayu negeri itu melalui Singgora pada tahun 1941.

Bagaimanapun, pada 18 Oktober 1943, Jepun tewas kepada Tentera Berikat pimpinan Amerika Syarikat yang menyebabkan kuasa Asia itu menyerahkan semula negeri-negeri di utara Semenanjung iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam.

Bermula daripada detik penyerahan semula Kedah kepada Siam, tertubuhlah sebuah pertubuhan Melayu tempatan yang dikenali sebagai Saberkas atau nama penuhnya Syarikat Bekerjasama Am Saiburi.

Saiburi merupakan nama Kedah yang diberikan oleh Siam ketika menjajah negeri tersebut.

Pada asalnya, penubuhan Saberkas lebih tertumpu untuk memajukan bangsa Melayu dalam bidang perekonomian bagi menandingi kaum lain terutama Cina dilihat mula menguasai ekonomi di bandar Alor Star.

Menurut sejarawan tempatan, Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, haluan Saberkas mula berubah dan cenderung kepada politik selepas Siam menyerahkan Kedah kepada Inggeris yang datang semula ke Tanah Melayu dengan membawa gagasan Malayan Union pada tahun 1946.

Dengan berlakunya angin perubahan itu, kata beliau, nama penuh Saberkas turut ditukar kepada ``Sayang Akan Bangsa Ertinya Reda Korban Apa Segala''.

Pemimpin yang bertanggungjawab menaikkan semangat ahli-ahli Saberkas untuk menentang gagasan Malayan Union itu ialah Mohamad Jamil Binjal.

``Boleh dikatakan gerakan penentangan agenda Inggeris itu ditunjangi oleh Saberkas sebelum muncul beberapa parti politik Melayu lain di Kedah,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Alor Star baru-baru ini.

Selepas Saberkas, muncul pula Kesatuan Melayu Kedah (KMK) dan Persatuan Ulama Kedah yang mempunyai dasar perjuangan yang sama iaitu mengusir penjajah Inggeris dari bumi Kedah, jelasnya.

KMK ketika itu dipimpin oleh Mohd. Rejab Darus yang berasal dari Kampung Limbong Kapal, Alor Star.

``Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar sehinggakan pemimpin itu pernah bermalam di rumah Mohd. Rejab ketika berkunjung di Kedah,'' katanya.

Oleh kerana mempunyai dasar perjuangan yang sama, Wan Shamsuddin memberitahu, Saberkas bergabung dengan KMK dalam menentang cadangan Inggeris untuk menubuhkan Malayan Union yang bakal merenggut kepentingan penduduk pribumi dan kuasa raja-raja Melayu itu.

Menerusi gerakan kedua-dua parti itu juga, terpancar ketokohan Dr. Mahathir yang menerajui Angkatan Pemuda Melayu Kedah iaitu sayap kepada Saberkas.

Dr. Mahathir yang ketika itu menjalankan perniagaan di Pekan Rabu, Alor Star, bertindak sebagai penggerak kepada kebangkitan golongan muda untuk menentang Malayan Union.

Turut sama Dr. Mahathir ialah bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Syed Ahmad Shahabuddin dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tun Mohd. Zahir Ismail.

Dr. Mahathir dan rakan-rakannya menggunakan pelbagai pendekatan untuk menaikkan semangat orang Melayu ketika itu untuk menentang Malayan Union.

Membantah

Antaranya mengedarkan poster dan risalah kepada orang Melayu di sekitar bandar Alor Star supaya menghadiri perhimpunan raksasa membantah Malayan Union yang diadakan di Padang Court (kini merupakan dataran di hadapan Masjid Zahir dan Balai Besar di Alor Star).

``Bapa Dr. Mahathir iaitu Mohamad Iskandar yang bertugas sebagai Pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid turut memberi perangsang termasuk membantu melukis poster dan kain rentang yang dicap dengan menggunakan ubi keledek,'' katanya.

Kampung Seberang Perak ketika itu, menurut Wan Shamsuddin, merupakan berhimpunnya para pejuang Melayu Kedah apabila hampir semua gerakan bermula dari kawasan itu.

Ini kerana kebanyakan pemimpin Melayu termasuk Dr. Mahathir menetap di kampung tersebut.

Kemuncak penentangan terhadap Malayan Union ialah pada 19 Januari 1946 apabila lebih 50,000 orang Melayu Kedah keluar beramai-ramai mengadakan perhimpunan raksasa yang mendesak Malayan Union dihapuskan di Padang Court.

``Tidak pernah lagi dalam sejarah Kedah orang Melayu dapat dihimpunkan dengan sebegitu ramai dengan satu tujuan iaitu menentang Malayan Union,'' katanya.

Selepas perhimpunan itu dapat diadakan dengan jayanya, Saberkas dan KMK bersama lebih 30 pertubuhan politik Melayu di seluruh Tanah Melayu bertemu di Johor Bahru dengan satu cita-cita iaitu menubuhkan sebuah parti yang mewakili kaum Melayu di seluruh negara Pada 11 Mei 1946.

Saberkas dan KMK masing-masing diwakili oleh ketua mereka iaitu Tunku Abdul Rahman dan Mohd. Rejab yang menurunkan tanda tangan menyokong penubuhan UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

``Dengan tertubuhnya UMNO, kedua-dua pertubuhan Melayu itu dimansuhkan dan menjadi UMNO Kedah yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman,'' katanya.

Selepas tidak ada respons daripada Inggeris berikutan perhimpunan raksasa pada 19 Jnauri itu, orang Melayu Kedah sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan di tempat yang sama pada 30 Mei 1946.

Perhimpunan kali ini dikatakan lebih hebat dan berbeza apabila orang-orang Melayu Kedah tidak lagi mewakili pertubuhan-pertubuhan masing-masing sebaliknya berada di bawah satu parti iaitu UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman.

``Antara yang paling lantang menyuarakan bantahan pada perhimpunan itu ialah Melayu Mohd. Khir, Senu, Kamaliah dan Balkis,'' jelasnya sambil menambah Onn Jaafar turut hadir dan berucap pada akhir perhimpunan tersebut.

Antara kata-kata semangat yang dihamburkan oleh Onn Jaafar pada perhimpunan itu ialah: ``Orang Melayu Kedah adalah sebagai perintis jalan kepada perhimpunan penentangan Malayan Union di Tanah Melayu''.

Tunjuk perasaan itu berakhir dengan penyerahan memorandum bantahan terhadap Malayan Union kepada dua wakil yang dihantar oleh Inggeris untuk melihat maklum balas penduduk Kedah terhadap cadangan tersebut.

Perjuangan orang Melayu Kedah yang berpayung di bawah UMNO turut mendapat restu daripada Sultan Kedah ketika itu iaitu Almarhum Sultan Badlishah apabila menderma sebanyak RM2,000 untuk melicinkan gerakan parti itu.

Penentangan UMNO akhirnya berhasil apabila Inggeris terpaksa akur dengan kehendak orang Melayu lalu menghapuskan cadangan penubuhan Malayan Union pada 1948.

Kejayaan menghapuskan Malayan Union di Kedah bukan sahaja ditonjolkan daripada kekuatan dalam negeri bahkan digerakkan oleh anak-anak tempatan yang menuntut di luar negara.

Salah seorang anak watan Kedah yang bergiat aktif menanam kebencian kepada penjajah Inggeris ialah Abdul Hamid Abdullah yang menuntut dalam bidang kejuruteraan di London.

``Beliau banyak menulis dalam akhbar di London yang mengkritik dasar Malayan Union,'' katanya.

Peranan wartawan di Kedah juga tidak boleh dikesampingkan dalam membuka minda orang Melayu terhadap keburukan dasar Malayan Union.

Antara wartawan yang paling aktif ialah Ayub Abdullah daripada akhbar Majlis yang banyak mengkritik Malayan Union yang mahu menghapuskan kuasa raja.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.