saya nak baca ..

LAPORAN KHAS


ARKIB : 11/05/2006

Kongres Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman


RIUH rendah perkhabaran dari selatan Semenanjung bahawa Kongres Melayu yang pertama bakal diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bermula 1 hingga 4 Mac 1946 yang sekali gus menjadikannya satu berita panas tersebar luas ke seluruh bumi Selangor.

Kedatangan pemimpin Melayu tersohor, Datuk Onn Jaafar sememangnya amat dinanti-nantikan oleh penduduk Selangor terutamanya di sekitar Kampung Baru yang tidak habis-habis memperkatakan mengenai kehadiran beliau di surau-surau, masjid-masjid, kelab-kelab dan rumah masing-masing.

Rasa teruja ingin menatap wajah Onn ketika itu begitu membuak-buak, sekali gus mahu mendengar syarahannya terutama sekali mengenai tentangan terhadap penubuhan Malayan Union.

Selain pemimpin tersebut, penduduk Selangor juga diberitahu pemimpin-pemimpin Melayu dari seluruh Semenanjung juga akan berkampung di situ bagi menubuhkan satu persatuan untuk menentang Malayan Union.

Khabar itu terus membakar semangat penduduk-penduduk Selangor dan pada masa yang sama mereka juga amat merasa bangga kerana Kongres Melayu yang pertama itu diadakan di negeri tersebut - lebih-lebih lagi diadakan di Kampung Baru di mana seratus peratus penghuninya terdiri daripada orang Melayu. Akhirnya kongres bersejarah tersebut dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah pada 1 Mac di bangunan yang terletak di antara Jalan Datuk Abdul Razak di utara, Jalan Raja Abdullah di barat dan Jalan Dewan Sultan Sulaiman (asalnya Jalan Stony) di selatan itu.

Mengingatkan

Dalam titah ucapannya, baginda mengingatkan peserta-peserta kongres bahawa apa jua keputusan yang diambil dalam persidangan itu - masalah agama jangan ditinggalkan. Baginda mengingatkan aspek keagamaan jangan diketepikan dalam sebarang bentuk perjuangan.

Onn pula dalam ucapannya di kongres tersebut antara lain berkata: ``Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang menghadap merbahaya dengan bersatu hati.'' Dalam perhimpunan berkenaan Selangor selaku tuan rumah telah diwakili oleh 15 pertubuhan Melayu dengan keanggotaan seramai 33 orang. Antara pertubuhan tersebut ialah Pertubuhan Melayu Selangor, Pergerakan Kebangsaan Melayu Selangor, Ikatan Setia Kampung Baru, Penang Peranakan Club, Dewan Perniagaan Melayu Malaya, Persatuan Penghulu-Penghulu Selangor dan Persekutuan Guru-Guru Melayu selangor.

Di Kelab Sultan Sulaiman inilah lahirnya cadangan dan saranan dari peserta-peserta kongres supaya ditubuh sebuah pertubuhan tunggal yang boleh dianggotai oleh seluruh orang Melayu tidak kira dari mana pun asal mereka.

Hasil daripada pertubuhan dan pertubuhan Melayu di negeri-negeri lain telah melahirkan UMNO dengan rasminya pada 12 Mei 1946 di Johor Bahru. Persatuan-persatuan Melayu di setiap negeri termasuk Selangor telah ditukarkan kepada UMNO dan wadah perjuangan mereka untuk menuntut kemerdekaan. Meskipun UMNO telah ditubuhkan pada 11 Mei 1946 namun penubuhan UMNO di peringkat negeri tidak berjalan serentak.

Di Selangor beberapa pemimpin Melayu telah mengambil inisiatif sendiri menubuhkan UMNO peringkat bahagian di tempat masing-masing selepas peristiwa bersejarah di Istana Besar Johor Bahru itu.

Bagaimanapun, UMNO Selangor secara rasminya ditubuhkan pada 14 Februari 1953 di Dewan Masyarakat Jalan Hamzah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Penubuhan UMNO Selangor ini telah disaksikan oleh Setiausaha Agung UMNO pada ketika itu Yasin Abdul Rahman dan Ketua Penerangan UMNO, Syed Jaafar Albar.

Tujuh UMNO bahagian telah ditubuhkan menganggotai UMNO Selangor iaitu Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Langat, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor.

Ketika itu dinamakan ia Jawatankuasa UMNO Selangor yang dipimpin oleh Allahyarham Aziz Ishak iaitu salah seorang pengasas UMNO. Gerakan politik Selangor selepas tarikh itu adalah seiring dengan pergolakan yang berlaku di negeri-negeri lain tetapi Selangor mempunyai kelebihan kerana berada dekat kedudukan Kuala Lumpur yang menjadi pusat tumpuan gerakan politik dan pentadbiran Taah Melayu.

UMNO Selangor melalui UMNO Kuala Lumpur kemudiannya menjadi negeri pertama membuat perikatan dengan MCA dan bertanding dalam Pilihan Raya Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1951.

Persetujuan UMNO-MCA bukanlah satu prinsip parti tetapi sebagai strategi untuk kemenangan dalam pilihan raya sahaja di mana formula itu telah membawa kemenangan besar bagi UMNO.

Formula ini kemudiannya ditingkatkan di peringkat kebangsaan di mana formula Parti Perikatan dicipta dan UMNO Selangorlah yang memainkan peranan penting dalam pembentukan formula tersebut.

UMNO Selangor yang dipimpin oleh Aziz Ishak juga telah menuntut kerajaan British supaya menerima pemimpin UMNO menduduki Federal Legislative Council dan seterusnya menuntut diadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1955.

Sejak penubuhan UMNO Selangor hinggalah ke hari ini UMNO Selangor telah dipimpin oleh lapan orang pemimpin yang telah banyak membuat jasa dengan kepimpinan yang tetap dikenang dalam sejarah perkembangan UMNO Selangor.

Bermula dengan Aziz Ishak pada tahun 1953, UMNO Selangor kemudian dipimpin oleh Allahyarham Datuk Abu Bakar Baginda pada tahun 1959 selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang pertama.

Selepas pilihan raya 1964, Datuk Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ke-2, memimpin UMNO Selangor. Harun pernah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO telah memimpin Selangor selama 12 tahun iaitu sehingga beliau meletakkan jawatan pada tahun 1976.

Kesinambungan pimpinan UMNO Selangor diteruskan oleh Datuk Hormat Rafei apabila dilantik mengambil alih sebagai Menteri Besar Selangor ke-3. Pelantikan beliau dibuat oleh Allahyarham Tun Hussein Onn yang juga memangku jawatan Presiden UMNO setelah kembalinya Allahyarham Tun Abdul Razak Husein ke rahmatullah pada tahun 1976.

Selepas pilihan raya umum 1982, Setiausaha UMNO Selangor untuk tempoh 1964-1977, Datuk Ahmad Razali Mohd. Ali meneruskan memimpin UMNO Selangor walaupun tidak menjawat jawatan Menteri Besar sehingga tahun 1987.

Selepas perhimpunan Agung UMNO 1987, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Menteri Besar yang ke-5 dilantik pula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang ke-6.

Muhammad telah memimpin UMNO Selangor selama 10 tahun juga merupakan Naib Presiden UMNO sejak 1993. Beliau akhirnya melepaskan jawatan tersebut kerana menghadapi perbicaraan mahkamah di Brisbane, Australia dan tidak mahu masalah yang dihadapinya menjejaskan nama baik parti UMNO.

Kepimpinan UMNO Selangor selepas itu diteruskan oleh Datuk Seri Abu Hassan Omar yang diberi mandat oleh Presiden UMNO sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO selangor yang ke-7. Selaku seorang bekas pentadbir awam dan menteri Kerajaan Persekutuan yang berpengalaman, kepimpinan beliau memang dinanti-nantikan oleh seluruh warga Selangor apabila UMNO sedang mengorak langkah menghadapi cabaran alaf baru.

Bagaimanapun pada tahun 2000, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, Tanjung Karang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menggantikan Abu Hassan, yang berusia 60 tahun pada ketika itu yang meletakkan jawatannnya di atas sebab-sebab kesihatan dan keluarga. Mohamad Khir mencatatkan sejarah apabila dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang paling muda iaitu dalam usia 35 tahun.

Bagaimanapun, pada masa itu jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dipegang oleh Muhammad.

Mohamad Khir kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 24 Januari 2002.

Di bawah kepimpinan Mohamad Khir, Selangor telah diisytiharkan sebagai negeri maju mendahului negeri-negeri lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:27
Maghrib 7:01
Isyak 8:15



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.