saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/05/2006

Malang Lelaki Komunis Terakhir


ADA isu lain sebenarnya yang lebih besar yang tersembunyi di sebalik kontroversi pengharaman dokumentari Lelaki Komunis Terakhir arahan Amir Muhammad yang dilarang tayangannya sejak 5 Mei lalu.

Ia bukan tentang kandungan filem itu yang pembikinannya terilham daripada buku Alias Chin Peng: My Side of History, biografi bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu hasil wawancara dengan Ian Ward dan Norma Miraflor yang terbit pada tahun 2003.

Isu besar yang ternampak daripada pelbagai kenyataan yang dibuat mengenai pengharaman itu menjurus kepada psiki dan realiti masyarakat negara ini yang dikatakan sedang bergerak matang dalam tempoh hampir 50 tahun merdeka.

Adalah sesuatu yang sangat ironi apabila buku itu bebas dijual di serata kedai buku di seluruh negara – dan laris, tetapi dokumentari yang mengangkat fakta-fakta daripada buku itu diharamkan pula.

Kalau orang mengatakan bahawa filem yang ditayangkan dan ditonton pada suatu masa yang tertentu boleh menyesatkan pemikiran dan pemahaman masyarakat, bagaimana pula dengan buku yang boleh disimpan, dibaca berulang-ulang atau dipinjamkan kepada kawan-kawan?

Jadi, ada apa sebenarnya dengan Lelaki Komunis Terakhir?

Tajuknya saja memang sudah membuatkan orang tersentak. Dari satu sisi, ia membayangkan bahawa dokumentari ini adalah satu penghormatan kepada Chin Peng dan pergerakan komunisme di negara ini.

Tetapi dokumentari 90 minit itu bukan mengenai Chin Peng dan komunisme sebaliknya adalah tentang kita sebagai rakyat di negara ini yang bernama Malaysia – tentang kepelbagaian budayanya, tentang semangat dan jiwanya dan tentang psikologinya.

Lelaki Komunis Terakhir menghimpunkan siri temu bual Amir dengan rakyat Malaysia daripada pelbagai keturunan dan latar belakang yang tinggal di bandar-bandar yang pernah mempunyai kaitan dengan perjalanan hidup Chin Peng.

Ia turut memuatkan siri wawancara dengan beberapa orang bekas anggota PKM yang sekarang menetap di selatan Thailand, sejak parti gerila itu dibubarkan selepas Perjanjian Damai 1988.

Ada sesuatu yang sangat menarik tentang wawancara-wawancara itu.

Amir memilih untuk menemu bual kumpulan subaltern – golongan yang terpinggir dalam masyarakat – yang dalam wacana teori pasca kolonialisme dilihat merupakan antara bahagian penting yang sungguhpun minoriti tetapi memberikan identiti kepada kelompok majoritinya.

Dalam pembikinannya, Amir membuat lebih kurang 80 temu bual dengan orang kecil yang tidak mewakili mana-mana badan rasmi yang bercerita tentang diri mereka sendiri dan tentang kerja mereka sehari-hari, tentang masa lalu yang menjadi kenangan dan masa depan yang disangkutkan harapan.

Daripada siri wawancara dengan penjual cendol, pemilik kedai basikal, pengutip hasil hutan, penjual petai dan tuan punya kilang arang, kita belajar banyak perkara tentang negara ini dan budaya masyarakatnya.

Siri wawancara itu kemudiannya diatur di antara pernyataan fakta mengenai perjalanan hidup Chin Peng yang disampaikan melalui teks di tengah-tengah skrin.

Tidak ada apa-apa yang baru tentang fakta itu, semuanya ada dalam buku sejarah dan pengetahuan umum – daripada hidup Chin Peng semasa kecilnya, perkenalannya dengan komunisme dan penglibatannya dengan gerakan bersenjata sehinggalah kepada Rundingan Baling 1955 dan keinginannya untuk pulang ke tanah air.

Kalau kita membandingkan dokumentari separa muzikal ini dengan bentuk dokumentari yang lazim ditonton di National Geographic Channel atau Discovery Channel, kesan pertama yang ternampak ialah betapa Lelaki Komunis Terakhir ini cukup amatur dan kucar-kacir pembikinannya.

Dokumentari ini penuh dengan kecacatan baik dari segi suntingan, penggambaran sampailah kepada rakaman bunyi. Tetapi Amir memilih gaya amatur itu secara sedar dan dalam melakukannya, dia meminjam gaya Brecht, teknik teater yang diperkenalkan oleh pengarang drama Jerman, Bertolt Brecht.

Kenapa? Pertama, untuk memberikan kesan keterasingan yang secara sengaja mahu menjarakkan emosi penonton dengan apa yang dipersembahkan di hadapannya.

Amir sengaja mengganggu penonton dengan teks dan visual yang tidak selari dan cacat bagi meningkatkan keupayaan merenung diri sendiri secara rasional dan kritikal.

Pengarah Iran, Abbas Kiarostami adalah antara orang yang banyak menggunakan gaya Brecht dalam filem-filemnya apabila misalnya krew dan pengarah melanggar frem masuk ke dalam cerita.

Kedua, Amir sengaja memilih gaya yang tidak profesional kerana Chin Peng dan PKM yang menjadi landasan untuk dia bercerita tentang Malaysia hari ini itu sendiri adalah sebuah gerakan yang amatur dan huru-hara.

Kematangan

Dalam hal itu, Lelaki Komunis Terakhir ini adalah sebuah filem dokumentari yang dibikin dengan ilmu bantu yang agak luas, daripada teori pasca kolonialisme sampailah kepada teori lakon teater Brecht.

Tetapi kalau orang mencari Chin Peng dan pesan ideologinya, dia tentunya akan berjumpa dengan Chin Peng dan ideologinya, dan tidak hal-hal lain yang menarik dalam dokumentari itu.

Ada sesetengah orang yang mungkin melihat kenyataan beberapa bekas anggota PKM yang dipaparkan dalam Lelaki Komunis Terakhir adalah satu cubaan untuk mengagungkan komunisme dan memutarbelitkan sejarah negara.

Tetapi secara jujurnya apakah sebuah filem sekecil ini boleh memberikan gugatan yang besar kepada masyarakat, ketika negara ini sudah hampir 50 tahun merdeka dan ketika rakyatnya dikatakan bergerak menuju kematangan? Apakah kematangan itu nanti akan datang tiba-tiba pada 1 Januari 2020?

Ketakutan apakah sebenarnya yang mengganggu kita sehingga kita langsung tidak berani untuk berhadapan dengan sejarah?

Kita tidak dapat memadamkan sejarah yang mencatatkan kekejaman komunis tetapi adalah sesuatu yang barangkali tidak adil sekiranya sejarah dibekukan dalam belenggu masa sehingga langsung tidak boleh disebut, sehingga Chin Peng menjadi tidak ubah seperti Lord Voldermort dalam novel Harry Potter.

Adalah sesuatu yang agak malang juga kalau sekiranya kita yakin Lelaki Komunis Terakhir boleh menggugat kesetiaan rakyat kepada negara hanya kerana ia menyentuh subjek yang tabu.

Adalah sesuatu yang juga sangat malang kalau kita percaya Lelaki Komunis Terakhir adalah usaha untuk menyebarkan komunisme ketika ideologi itu sudah tidak lagi ada pengaruhnya di dunia, dan ketika rakyat sudah hampir 50 tahun selesa dan merdeka dalam sistem sedia ada.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.