saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/05/2006

“Saya nak berdakwah dan berniaga’’ - Nazrey

BENARKAH dia sudah mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada Raihan dan dunia nyanyian? Sejujurnya saya adalah antara pencinta kehebatan suara yang dimiliki oleh lelakinya. Lewat Imam Mutiara saya mula berkenalan dan bercinta dengan suaranya yang merdu dan mendayu-dayu. Kala dia bersama teman-teman berjaya menawan dunia, hati saya berdetik sarat dengan rasa bangga yang menggunung.

Namun baru-baru ini berita sedih hadir, Nazrey khabarnya sudah meninggalkan Raihan. Saya berharap agar ia hanya satu gosip atau kontroversi, tetapi rupa-rupanya ia adalah kenyataan. Raihan tidak pernah bergolak, mungkin sesuai dengan imej baik-baik dan lagu-lagu bermesej kemanusiaan yang diperjuangkan. Tetapi siapa sangka, lain cerita di belakang pengetahuan kita.

“Memang saya tidak lagi bersama Raihan,’’ katanya dalam temu bual saya dengannya petang Khamis lalu. Ketika itu dia sedang menanti penerbangan untuk ke Sabah atas urusan dakwah. Di sini saya panjatkan doa dan kesyukuran atas jalan yang dipilih oleh Nazrey. Itu adalah pilihannya sebagai hamba Allah yang sayang dan cintakan agamanya. Biarlah kita menghormati pilihannya.

Nazrey apa khabar dan macam mana kehidupan sekarang?

Alhamdulillah. Sihat macam dulu-dulu juga. Sekarang saya mulakan bisnes sendiri. Saya jual Gamat Coffee, kolostrum susu awal lembu, madu minda dan jus kurma di bawah label Ar-Raihan Food Industries.

Apa jawatan Nazrey di dalam syarikat berkenaan?

Syarikat ni beribu pejabat di Kuala Lumpur dan saya sebagai Pengarah Urusan. Ditubuhkan semenjak April lalu, harap-harap dengan sokongan semua boleh bertahan.

Dari seorang penyanyi nasyid ke ahli perniagaan, selain wang apa yang Nazrey cari?

Sebenarnya saya memang minat dalam bidang bisnes. Rasulullah pun ada bersabda, dalam berniaga ada 99 keuntungan. Cuma kadang-kadang kita mampu atau tidak hendak buat bisnes. Saya mula dengan kecil-kecilan saja. Sebenarnya saya buat ini semua bukan untuk tinggalkan bidang nyanyian.

Maksudnya?

Saya akan teruskan bidang nyanyian. Cuma pendapatan melalui cara berniaga ini saya perlukan untuk kerja-kerja dakwah saya. Kalau tak ada duit susah juga untuk berdakwah. Dengan membuka bisnes ini maknanya kami cuba membangunkan ekonomi. Mudahan dengan sokongan semua peminat dan orang yang kenal saya, bisnes saya menjadi. Saya tetap akan melahirkan lagu-lagu juga tetapi dalam masa yang sama saya dapat berdakwah di mana saja yang saya hendak.

Dalam aktiviti dakwah itu di manakah tempat yang menjadi tumpuan Nazrey?

Sekarang saya banyak beri tumpuan di Sabah dengan bekerjasama dengan Al-Kahfi Group dan Yayasan Mualaf Sabah. Ia adalah platform untuk kerja-kerja dakwah. Saya dengan beberapa kawan-kawan masing-masing ada tugas untuk menggerakkan dakwah ini.

Secara total sudah tiga bulan saya sepenuh masa dengan aktiviti dakwah ini. Sejak saya sebut hendak berpisah dengan Raihan, saya sudah sibuk dengan kerja-kerja ini.

Jadi apakah sebab sebenar Nazrey ambil keputusan keluar Raihan?

Saya fikir sudah sepuluh tahun lebih dengan Raihan. Saya sudah beri kerjasama dengan baik bersama kawan-kawan. Tetapi untuk buat kerja dakwah masa tak menentu di samping protokolnya juga tidak menentu. Kerja dakwah hanya bergantung kepada kesanggupan diri masing-masing. Kita kena turun padang ke kampung-kampung dan nikmati kemudahan ala kadar saja. Atas sebab ini saya tak boleh hendak bawa kawan-kawan lain bersama. Mereka lebih mahu meneruskan hiburan secara sepenuh masa, teruskanlah dan saya kena hormati. Saya sudah nekad hendak buat kerja ekonomi dan dakwah ini. Maka terpaksalah berpisah dengan Raihan. Tapi hubungan tetap baik, kalau ada penganjur hendak saya bersama Raihan saya akan pergi kalau masa saya tidak sibuk.

Apakah Nazrey sudah fikir dengan semasak-masaknya?

Memang saya sudah nekad. Sebelum ini saya banyak terganggu untuk buat kerja amal. Kerja amal orang tak boleh bayar kita ikut harga yang kita tetapkan. Bayaran menyanyi RM8,000 misalnya, tetapi untuk berdakwah tak macam itu. Jadi bergantung kepada kehendak dan kesanggupan masing-masing. Kesanggupan kitakan berbeza-beza. Saya tahu Raihan perlu terus survive. Tetapi saya hendak buat ini pun untuk tujuan yang baik. Hanya tawakal kepada Tuhan.

Sejak bila Nazrey berfikir untuk tinggalkan Raihan? Adakah sudah lama?

Sejak hujung tahun 2005 dan awal 2006. Mula atur langkah. Cari kawan-kawan aktivis dakwah. Awal 2006 sudah mula. Dakwah ini juga macam hidayah yang datang kepada kita. Tak semua orang sanggup hendak buat kerja-kerja macam ini. Ada yang buat dakwah tetapi hendak ikut waktu kerja macam di pejabat. Tetapi mereka tetap juga kerja dakwah cuma kesanggupannya berbeza.

Apakah ini yang dinamakan pengorbanan Nazrey demi kerana agama dan bangsa?

Pengorbanan? Ramai lagi orang yang lebih hebat pengorbanannya daripada saya. Tetapi ini adalah satu benda yang baik untuk saya buat.

Tapikan dengan Raihan juga katanya perjuangan untuk agama?

Betul. Tetapi sebagai penyanyi yang total kita hanya boleh bekerjasama dengan orang yang mampu membayar jumlah wang tertentu. Banyak orang yang tak mampu tetapi rindukan kita, mahu bertemu dengan kita. Tetapi mereka ini tidak mampu bayar. Jadi kalau kita rasa kita sudah ada rezeki dan tanggungjawab sudah lepas, orang tak bayar pun tak apa kita boleh buat. Ada orang hanya boleh sediakan tempat, tak mampu bagi duit untuk undang saya. Hanya dengan kesanggupan saja kita boleh buat dalam keadaan itu. Kalau bukan daripada hati kita, tak boleh pergilah sebab tak ada duit yang disediakan. Saya teruskan juga dunia nyanyian yang selama ini saya perjuangkan tetapi untuk golongan yang seperti ini yang kurang mampu. Sebab itu saya perlukan sokongan umat Islam lain. Sumber ini adalah sokongan untuk buat kerja dakwah. Ada rezeki lebih kita sumbang kepada anak yatim, rumah kebajikan. Kalau tak buat macam ini, sampai bila pun tak boleh buat. Orang yang tak mampu macam mana?

Apakah yang membataskan perjuangan kepada agama ketika dalam Raihan?

Masa membataskan. Penumpuan kepada kumpulan itu sendiri membataskan kerja-kerja dakwah secara terus macam ini. Kita pergi berdakwah ke sesuatu tempat mengikut kemampuan orang. Bayangkan tiket kapal terbang saja berapa orang kena bayar? RM10,000 untuk tiket kapal terbang, kan membazir tu?

Tidak mudah membina nama Raihan hingga dikenali di rantau Asia, tetapi di akhirnya Nazrey menarik diri. Bukankah ia sesuatu yang merugikan anda?

Itulah dari segi logiknya. Tapi saya yakin kalau Raihan bergerak dengan ikhlas dan hati baik, benda itu tak akan hilang. Saya pun bila-bila masa akan bekerjasama dengan mereka. Lainlah kalau lepas saya tak ada, mereka hilangkan diri mungkin saya akan bangunkan semula kumpulan itu. Tetapi saya percaya mereka akan teruskan perjuangan macam biasa juga.

Pengunduran anggota kumpulan popular biasanya akan dikaitkan dengan perselisihan faham, apakah benar Nazrey dan Raihan juga berhadapan dengan hal yang sama?

Kita ini bukan wali. Perselisihan faham semua orang akan lalui. Tapi itu bukan masalah besar. Kalaulah manusia tak ada perselisihan itu sudah mengalahkan malaikat namanya. (ketawa)

Tanpa Nazrey, bagaimana Raihan akan terus berjuang?

Selagi mereka buat dan bergerak sebagai satu kumpulan, Raihan akan terus ada.

Berbelas tahun bersama apakah kenangan paling pahit bersama Raihan?

Rasa-rasanya tak ada yang pahit kecuali satu - pemergian arwah ke rahmatullah (salah seorang anggota Raihan, Azhari meninggal dunia pada bulan September 2001). Yang lain tak adalah.

Kenangan paling manis dengan Raihan?

Bila buat persembahan yang dihadiri Putera Charles di England. Malah masa Queen Elizabeth datang ke Malaysia, baginda ingin bertemu dengan Raihan. Rasa-rasanya itu kenangan paling manis.

Apa ucapan yang ingin Nazrey sampaikan kepada rakan-rakan Raihan lain?

Teruskanlah usaha memperjuangkan hiburan Islam. Semoga kelurusan hati kita kepada Allah ada nilai dalam segala amalan kita itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.