saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 18/06/2006

Cinta baru Fasha Sandha


Fasha Sandha.



FASHA Sandha, pelakon muda popular masa ini sudah melalui pelbagai fasa dalam hidup. Di sini, gadis cantik dari Pulau Mutiara itu kembali bercerita tentang tuahnya dalam karier seni yang semakin menjulang dan tentang perkembangan terbaru dalam hidupnya.

Filem baru, drama baru, rumah baru dan tidak ketinggalan cinta baru yang mula berputik.

- Kekecewaan dan harapan anak seni

SAYA selalu ingat lakonan Azean Irdawati dalam Anak Wayang iaitu drama menyentuh perasaan tentang suka duka orang seni. Dunia seni yang dianggap penuh gemerlapan itu juga bersulam luka dan duka.

Bukan namanya kehidupan jika cabaran tidak datang menduga. Fasha pernah melalui fasa itu, terduga dengan pelbagai cabaran tetapi dia bertuah kerana semua berlalu tanpa mencalarkan sedikit pun popularitinya.

“Saya tahu hidup anak seni tidak akan terlepas daripada pelbagai fitnah atau khabar buruk. Gosip tidak sepatutnya disalahtafsirkan.

“Tetapi saya selalu ingat diri dan percaya jika saya tidak bersalah, saya tidak perlu risau apa-apa pun,” luahnya merujuk kepada banyak gosip liar yang melingkari karier seninya sejak kebelakangan ini.

Menyentuh tentang gosip yang sering mengaitkan dirinya dengan pelakon lelaki yang menjadi pasangan di drama mahupun filem, kata Fasha, ia adalah di luar jangkaan.

Fasha mengakui bahawa dirinya seorang yang cukup peramah dan suka berkawan dengan sesiapa saja. Barangkali sikap peramah itu yang disalahtafsirkan.

“Memang pening juga kerana setiap kali saya muncul dengan drama dan filem terbaru, saya akan digosipkan dengan pasangan saya itu. Tetapi saya tidak terlalu memikirkan hal tersebut dan tidak mahu mudah melatah,” komen Fasha yang menjelaskan kematangannya sebagai anak seni.

Sebagai orang seni, kata Fasha, dia sudah bersedia melalui perkara seperti itu sejak empat tahun dulu lagi ketika dia mula menceburi dunia lakonan.

Dia juga tidak ingin berlebihan mengeluh kerana bidang yang sama juga menjanjikan kehidupan lebih baik hari ini yang dinamakan kemasyhuran dan populariti. Jika dibandingkan Fasha dulu dan sekarang tentunya Fasha hari ini sudah cukup popular.

“Saya sudah membuat pilihan dan ingin meneruskan karier ini dengan lebih cemerlang,” itu harapan Fasha.

- Rezeki bertambah

SEPERTI yang dapat kita saksikan di dalam beberapa lakonannya, pesona Fasha, 22, sering menyerlah. Mudah benar dia disayangi peminat lewat lakonan seperti drama Natasha.

Senyum menawan, pandangan mata yang kuyu, dia gemar menggoda peminat. Bukan sesuatu yang menghairankan jika Fasha sering menjadi pilihan banyak penerbit drama mahupun filem.

Dalam perkembangan terbaru, Fasha kini tampil dalam drama bersiri terbaru di Astro Ria, Mentari Jingga. Gandingan terbaru Fasha dengan Rusdi Ramli itu sempat mengundang gosip kononnya, dia dan pelakon itu menjalinkan hubungan intim.

Kelak Fasha akan terbang ke New Zealand untuk penggambaran drama bersiri terbaru, Gerimis Salju. Gerimis Salju garapan terbaru Ahmad Idham akan menjalani penggambaran selama tiga minggu di negara kiwi itu.

“Tentu homesick saya nanti. Tidak pernah saya berlama-lama di luar negara dan berjauhan daripada keluarga macam ni,” keluhnya. Jika tiada aral melintang kata Fasha, dia bersama pelakon serta produksi drama tersebut akan terbang ke New Zealand pada 25 Jun ini.

Pada masa yang sama empat filem Fasha kini menanti tayangan selewat-lewatnya hujung tahun ini. Nana Tanjung, Gong, Cicakman dan Cinta adalah pertaruhan terbaru gadis cantik itu di layar perak.

“Alhamdulillah dengan rezeki ini kerana tawaran memang tidak pernah putus. Dari satu lokasi bersambung ke satu lokasi,” katanya yang akan kembali dengan Natasha musim terbaru kelak.

- Kerja keras kumpul wang

FASHA tentunya berbesar hati kerana hasil kerja keras dalam dunia lakonan selama lebih empat tahun itu memberikan hasil pendapatan yang lumayan. Namun sebagai anak muda yang sentiasa beringat terutama tentang masa depan, sumber itu adalah pelaburan masa depannya.

Jauh sekali untuknya berjoli tetapi menabung dengan cara bijak. Pada usia semuda itu, Fasha sudah berhasil membeli sebuah rumah untuk dia dan keluarganya di Ampang.

Rumah yang sudah siap untuk didiami dan kini dalam proses pengubahsuaian itu kelak akan dihuni Fasha bersama ahli keluarganya.

“Sudah lama menantikan saat-saat ini bila mama dan adik-beradik yang lain dapat tinggal bersama saya di sini.

“Tentu suasananya lebih seronok kerana lepas kerja akan pulang kepada keluarga sendiri,” katanya dengan nada penuh keceriaan.

Selain berlakon, Fasha turut aktif dalam dunia modeling dan sering menjadi pilihan banyak produk.

Kata Fasha, selagi termampu dan dengan peluang yang ada dia akan terus bekerja keras demi masa depan.

- Bakal novelis

APABILA bercerita tentang cinta baru dalam hidupnya, penulisan novel menjadi perbualan. Dalam diam-diam, Fasha akan menjadi novelis.

Hobinya yang suka berkhayal dan berimaginasi nyata berbaloi. Novel pertama Fasha yang bertajuk Sumpahan Fasha itu bakal diterbitkan oleh KRU.

Kata Fasha, dia memang sudah lama bercita-cita untuk menulis novel dan kini impiannya terlaksana.

“Saya mengajukan idea tentang novel tersebut kepada KRU tidak lama dulu dan tidak menyangka pula mereka akan bersetuju menerbitkan novel ini,” katanya.

Untuk novel tersebut Fasha juga bekerjasama dengan penulis skrip filem Cicakman, Meor Shariman.

“Dia yang mendraf semua idea saya. Ini adalah peringkat permulaan kerana saya memang tidak mempunyai latar dalam bidang penulisan novel. Apa yang ada cuma idea saja. Mungkin satu hari nanti saya akan hasilkan sendiri sepenuhnya,” kata Fasha. Walaupun bertajuk Sumpahan Fasha, namun ceritanya tidak ada kena-mengena dengan diri atau kehidupan sebenarnya.

“Ini bukan kisah saya cuma mengambil nama saya saja,” tambahnya. Fasha melihat kolaborasinya bersama KRU itu adalah sesuatu yang positif dan dengan optimis yakin novel tersebut bakal meraih perhatian. Apatah lagi ia dibikin istimewa untuk peminatnya.

“Ini barangkali hadiah saya kepada peminat yang selama ini memberi sokongan tidak henti-henti kepada saya sehingga saya berjaya hari ini,” jelas Fasha.

Novel tersebut kata Fasha, akan berada di pasaran selewat-lewatnya awal bulan depan. Kisahnya adalah tentang seorang gadis yang mendapat firasat tentang sesuatu setelah putus cinta.

- Ketepikan cinta

GADIS yang secantik itu juga rupa-rupanya kurang bernasib baik dalam percintaan. Fasha mengakui cinta yang dibina selama empat tahun kini hancur berderai.

Walaupun perit melaluinya tatkala cinta yang diharap berakhir ke jenjang pelamin tidak kesampaian namun saat-saat berduka dan kecewa itu sudah pun berlalu.

Tanpa menjelaskan alasan di sebalik perpisahan itu kerana enggan mengungkit apa-apa, kata Fasha, dia sudah pun melupakan segala-galanya.

“Kami berpisah dengan baik dan saya tidak pun bermusuhan dengan siapa. Saya anggap memang kami tiada jodoh,” katanya. Kini sudah lebih tiga bulan Fasha kembali bersendirian tetapi itu tidak bererti dia terdesak untuk mendapatkan pasangan baru.

Kata Fasha, dia mengetepikan cinta bukan kerana terluka tetapi sekadar berhati-hati dan ingin menumpukan perhatian terhadap karier lakonannya terlebih dahulu.

“Pada masa ini karier datang dulu sebelum cinta,” katanya. Apa pun jauh di sudut hatinya, Fasha tetap mengidamkan teman yang sehati dan sejiwa.

Barangkali seorang lelaki yang benar-benar memahami dirinya dan kariernya sebagai anak seni yang sentiasa sibuk di lokasi.

“Ada kalanya saya terlalu sibuk dari satu lokasi ke lokasi lain. Saya perlukan seseorang yang memahami situasi itu,” katanya.

- Peminat jual nama di Internet

PADA kesempatan yang sama, Fasha turut meluahkan kekesalan dengan sikap sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual namanya.

Insiden bermula dalam sebuah laman web apabila pihak tersebut sengaja menyamar sebagai dirinya untuk mencari kenalan di ruang maya itu.

“Dia menggunakan gambar saya dan menjadi diri saya. Saya cuma menyedari perkara tersebut apabila rakan artis dan peminat bertanyakan hal sebenar, kenapa saya mencari kenalan di laman web tersebut?

“Bila masuk ke situ baru saya tahu ada yang menggunakan nama saya untuk mendapat kawan. Memang ia tidak membawa apa-apa masalah kepada saya pada masa ini tetapi bimbang nanti pihak berkaitan akan menggunakan nama saya untuk perkara yang tidak elok pula,” katanya.

Fasha tidak mahu menuduh sesiapa walau bagaimanapun sangat berharap agar pihak tersebut menghentikan perbuatan yang tidak berfaedah seperti itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.