saya nak baca ..

POLIS & TENTERA


ARKIB : 29/06/2006

Pasukan catur PDRM dianggotai pemain berbakat

Tugas sebagai pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang sering dihambat masa sehingga menyebabkan mereka mengurangkan dan melupakan terus aktiviti masa senggang yang sering dilakukan sebelum menyertai pasukan itu.

Jika sebelum menyertai PDRM aktiviti seperti bermain bola sepak, bola baling, bola jaring, bola keranjang, mendaki gunung, bermain badminton, catur, dam dan sebagainya merupakan rutin harian atau mingguan mereka, tetapi setelah melangkahkan kaki ke dalam pasukan itu semua terpaksa dilupakan buat sementara.

Namun begitu, menyertai PDRM bukanlah satu pengakhiran kepada semua aktiviti tersebut.

Walaupun masa sering mencemburui mereka, namun bagi sesetengah individu yang sudah lama melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti itu, masa yang terhad digunakan sebaik mungkin.

Bagi mereka, ia seperti nadi dan tidak lengkap hidup jika mereka tidak melakukannya.

Bagi segelintir individu yang tidak mahu menyertai PDRM kerana menganggap ia penghalang kepada minat mereka, buang jauh-jauh pemikiran itu kerana pasukan polis tidak pernah menghalang malah memberi sokongan penuh dan padu kepada kakitangannya yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan riadah.

Ini dapat dibuktikan dengan penglibatan pasukan PDRM dalam pelbagai kejohanan sukan di dalam dan luar negara.

Peluang yang diberi PDRM kepada kakitangannya telah digunakan sebaik mungkin. Kesibukan tugas seharian tidak pernah menghalang mereka melakar kejayaan cemerlang dalam aktiviti yang diceburi.

Terkini, kejayaan pasukan catur PDRM muncul naib johan kumpulan B pada Kejohanan Majlis Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) yang bermula dari 16 hingga 18 Jun lalu seharusnya dibanggakan.

Walaupun sekadar menjadi naib johan, usaha dan kejayaan yang mereka raih harus diberi perhatian dan tidak perlu disangkal.

Ini kerana pasukan catur PDRM yang dianggotai oleh Sarjan Ismail Ahmad, Asisten Supritendan Chan Soon Lim, Lans Koperal Azmi Ishak, Konstabel Hisyam Ismail, Inspektor Pelatih Mohd. Azan Saranon dan Musa Jamil bukan calang-calang pasukan.

Anggota-anggotanya berpengalaman luas dalam catur dan selalu menjuarai pelbagai kejohanan yang disertai malah pernah mewakili negara dan negeri masing-masing.

Pencapaian itu amat membanggakan bagi pasukan polis. Kejayaan memperoleh tempat kedua tidak perlu dipersoalkan kerana mereka hanya mempunyai masa yang suntuk untuk berlatih.

Prestasi

Menurut Ismail selaku ketua pasukan catur PDRM, walaupun kesuntukan masa berlatih disebabkan tuntutan kerja, prestasi yang ditunjukkan ahli-ahli pasukan amat memberangsangkan.

“Kami mempunyai waktu yang amat terhad disebabkan ahli-ahli pasukan bertugas di pelbagai negeri.

“Kesempatan yang ada untuk berlatih hanya beberapa hari sebelum pertandingan bermula,” kata Ismail yang pernah menjuarai Kejohanan Catur Polis Dunia 2003.

Menyingkap penglibatan awal ahli-ahli pasukan catur PDRM dalam permainan itu, hampir kesemuanya mempunyai cerita tersendiri.

Bagi Ismail yang bertugas di Batalion 4, Pasukan Gerak Am (PGA), Cheras, permainan catur adalah makanan hariannya.

Beliau yang berbelas tahun menyertai permainan catur telah memenangi pelbagai kejohanan yang dianjurkan di dalam dan luar negara.

Antara kejohanan yang disertainya ialah Terbuka Indonesia 1997, Chess Olimpiad Elista 1998, Individu Jonal Tehran 1998, Juara Master Melayu 1999, Chess Olimpiad Turki 2000, Naib Johan Kebangsaan 2001, Terbuka Asian-Brunei, Chess Olimpiad Slovenia 2002, Sukan SEA 2003, Juara Selangor, Juara Team Merdeka, Juara Dunia Polis di Sepanyol 2003, juara dua kejohanan di Amerika Syarikat pada tahun 2004 dan juga jurulatih Sukan SEA 2005.

“Kejayaan dan pengalaman yang diperoleh ketika menyertai pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara merupakan kenangan manis bagi saya,” ujarnya.

Lebih membanggakan Ismail apabila anaknya, Hisyam dan anak didiknya, Mohd. Azan turut menyertai pasukan catur PDRM pada pertandingan kali ini.

Hisyam yang bertugas di Mess Maktab PDRM Cheras, Kuala Lumpur mengikut jejak langkah ayahnya dengan menyertai pelbagai kejohanan catur sejak kecil lagi.

Kejohanan yang pernah disertainya ialah Age Group Kebangsaan (naib johan), mewakili Malaysia dan Selangor selama enam tahun berturut-turut, Kejohanan Merdeka Terbuka, MAKSAK, dan Piala Ketua Polis Negara 2006.

“Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh ayah saya dalam setiap kejohanan catur yang disertainya menjadi pembakar semangat buat saya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Azan yang kini mengikuti Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak Kuala Lumpur berkata, minat terhadap catur bermula apabila kakak sulungnya yang terlebih dahulu bergiat aktif dalam permainan itu memperkenalkannya kepada beliau ketika dia masih belajar di sekolah rendah.

“Dialah yang mengajar saya dan adik-beradik yang lain tentang sukan ini.

“Atas tunjuk ajar dan dorongan kedua ibu bapa, kami adik-beradik mula bergiat aktif,” terangnya.

Anak ketiga daripada lima orang adik-beradik itu memberitahu, selain belajar sendiri dia dan dua orang kakak serta adiknya pernah mendapat tunjuk ajar daripada Ismail.

“Ismail pernah menjadi jurulatih kami. Kini walaupun kami tidak lagi berlatih di bawah beliau, panggilan cikgu tetap melekat padanya,” kata Mohd. Azan.

Setelah hampir 18 tahun menceburi permainan catur, Mohd. Azan telah menyertai dan menjuarai pelbagai kejohanan.

Antaranya beliau pernah mewakili Malaysia dan Kuala Lumpur selama enam tahun berturut-turut, menjuarai papan terbaik Majlis Sukan-Sukan Sekolah Malaysia 1995, Kejohanan MAKSAK, Piala Ketua Polis Negara, Pertandingan Catur Tertutup Kebangsaan, mewakili Universiti Teknologi Mara dalam Majlis Sukan Universiti Malaysia dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM.

Seorang lagi ahli pasukan catur PDRM yang agak pendiam ialah Azmi yang kini bertugas di Balai Polis Kampung Rapat, Perak.

Beliau yang telah bertahun-tahun bermain catur mewakili Perak dalam kejohanan Catur Merdeka pada tahun 1997, 1998 dan 2004.

Selain itu beliau juga pernah menyertai Kejohanan Tertutup Kebangsaan 1999, MAKSAK 2001, 2002, 2003, 2004, 2006, Piala Ketua Polis Negara dan menjuarai Terbuka Jemputan Balai Polis Kampung Rapat.

“Pasukan catur PDRM amat bertuah kerana pihak pengurusan amat memahami dan sentiasa memberi kelonggaran kepada kami jika ada sebarang pertandingan yang disertai,” ujarnya.

Bagi satu-satunya peserta bukan Melayu dalam pasukan catur PDRM, Soon Lim, penyertaannya dalam pertandingan catur adalah atas galakan Azmi.

“Saya dah lama berhenti menyertai pertandingan catur kerana agak sibuk dengan tugas seharian.

Minat

“Tetapi setelah bertemu dengan Azmi dan dia sering mengajak saya bermain catur, minat itu datang semula,” ujarnya.

Beliau yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak memberitahu, antara kejohanan yang masih diingatinya ialah Kejohanan Merdeka Terbuka, MAKSAK, Piala Ketua Polis Negara dan pelbagai lagi pertandingan.

“Saya dah lama tinggalkan permainan ini dan tak berapa ingat pertandingan yang pernah disertai sebelum ini,” terangnya.

Walaupun lima daripada enam pemain PDRM merupakan anggota polis, namun kehadiran seorang kakitangan awam yang berkhidmat dengan PDRM tidak dipinggirkan.

Ini jelas dapat dilihat ketika mereka berinteraksi antara satu sama lain.

Terpancar kemesraan di antara mereka dan tidak wujud jurang pangkat dalam pergaulan.

Kehadiran Musa yang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di FRU, Johor Bahru dianggap sebagai pelengkap kubu kuat pasukan catur itu.

Beliau pernah menyertai Persatuan Catur Melayu Malaysia (PCMM), mewakili Kontinjen Perak, Selangor, Bukit Aman, Johor, Piala Ketua Polis Negara, Piala Kementerian Dalam Negeri dan MAKSAK.

“Peluang menyertai pasukan catur PDRM adalah penghormatan buat saya.

“Jelas tidak wujud jurang antara kami,” katanya.

Sementara itu, menurut Ismail, keenam-enam ahli pasukan itu sebelum menyertai pasukan catur PDRM terlebih dahulu mewakili kontinjen masing-masing bagi Piala Ketua Polis Negara dan pernah berentap sesama sendiri.

Ekoran daripada kejayaan menunjukkan prestasi yang baik ketika pertandingan itu, mereka diserap sebagai satu pasukan dan seterusnya berganding bahu mengharumkan nama PDRM.

“Walaupun pernah berentap sesama sendiri ketika berlawan bagi merebut Piala KPN, kami tetap serasi.

“Ini kerana kami berada di bawah satu payung walaupun berlainan kontinjen dan ia bukan alasan untuk tidak bekerjasama,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.