saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/07/2006

Bukan sekadar kejar untung


Mohd. Hassan Marican.


Mukadimah
ORANG ramai pastinya memberikan reaksi yang sinis ketika mendengar pengumuman syarikat minyak kebangsaan, Petroliam Nasional Bhd., (Petronas) mencatat keuntungan kasar kumpulan yang tertinggi sejak ditubuhkan berjumlah RM70.2 bilion bagi tahun kewangan lalu kerana hanya baru empat bulan harga runcit petrol, diesel serta gas petroleum cecair (LPG) dinaikkan sebanyak 30 sen.

Tidakkah patut keuntungan Petronas itu – yang tentunya meningkat akibat kenaikan harga minyak dunia – digunakan untuk menampung subsidi petrol, diesel dan LPG, seterusnya membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat?

Bagi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican, syarikat itu telah menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin dengan mengembalikan semula keuntungannya kepada kerajaan.

“Kami bukannya simpan semua. Daripada seringgit untung kami, kami pulangkan balik tujuh kupang enam duit (76 sen) kepada kerajaan. Tinggal dua kupang empat duit (24 sen) saja nak kami pakai untuk melabur dan melabur semula,” katanya dalam loghat Kedah.

Dalam pertemuan dengan Pengarang Ekonomi, Mowardi Mahmud dan Penolong Pengarang Ekonomi, Mohd. Asuki Abas di Tingkat 81, Menara 1, di Menara Berkembar Petronas Khamis lalu, Mohd. Hassan menegaskan Petronas juga membuat sumbangan yang amat besar kepada pembinaan negara dengan membangunkan modal insan melalui penekanan kepada pendidikan, bagi menunaikan tanggungjawab sosialnya.

Mohd. Hassan menghabiskan masa selama hampir dua jam untuk melahirkan pandangannya mengenai pelbagai perkara, dari peranan Petronas, subsidi, industri minyak dan gas dunia sehinggalah kepada perubahan gaya hidup yang dibawa oleh kemajuan ekonomi serantau.

MINGGUAN: Tahniah Tan Sri, Petronas sekali lagi memperoleh keuntungan tertinggi dalam sejarah penubuhannya.

MOHD. HASSAN: Itu semua untuk faedah anak cucu kita pada masa akan datang.

Jadi sekarang ni, banyaklah duit Petronas?

MOHD. HASSAN: Kita untung besar tetapi dipulangkan balik kepada kerajaan. Apa yang dibuat oleh kerajaan (dengan duit itu), terpulanglah. Bagi tahun ini (kewangan berakhir 31 Mac 2006), kami pulangkan balik sebanyak RM41.7 bilion dalam bentuk royalti, dividen, cukai dan duti import, jumlah terbesar dalam sejarah Petronas.

Hasil daripada setiap ringgit yang kami untung, kami pulangkan balik 76 sen kepada kerajaan. Dan sejak 32 tahun lalu, kami sudah pulangkan balik sebanyak RM287 bilion kepada kerajaan. Dalam tempoh lima tahun lalu, jumlah bayaran balik itu meningkat 28.1 peratus.

Benarkah hasil keuntungan itu diserahkan semula kepada kerajaan?

MOHD. HASSAN: Kami bukan buat duit simpan semua. Kerajaan adalah pemegang saham Petronas. Betullah Petronas rakyat punya (sebab itu) kita beri balik kepada rakyat tetapi melalui kerajaan.

Apa yang Petronas buat dengan keuntungannya?

MOHD. HASSAN: Kita (Petronas) amat menitikberatkan kepada pendidikan. Tahun lepas sahaja sejumlah RM497 juta dibelanjakan untuk pendidikan termasuk memberi biasiswa. Kita ada universiti, Universiti Teknologi Petronas, yang meskipun sebuah institusi pengajian tinggi swasta tetapi mengenakan yuran yang sangat murah.

Apa yang dibelanjakan itu (RM497 juta) hanyalah kos untuk mengurus sahaja, tidak termasuk buat universiti dan peralatan.

Sejak Petronas ditubuhkan, seramai 16,900 telah diberikan biasiswa di peringkat universiti dan 11,800 biasiswa untuk budak-budak kurang kemampuan di sekolah menengah. Kita juga menaja pelatih di banyak pusat latihan termasuk pusat latihan Akademi Laut Malaysia (Alam) di Melaka dan juga di Institut Teknologi Petronas, Batu Rakit, Terengganu.

Nampaknya Petronas menjadi pertubuhan terbesar di negara ini selain kerajaan menyumbang kepada pembangunan pendidikan. Apa rasionalnya?

MOHD. HASSAN: Melabur dalam pendidikan tidak merugikan. Sebagai contoh, kita ada program latihan kimpalan peringkat tinggi 6G dengan Institut Kemahiran Mara (IKM) sejak tahun 1992 yang mana budak-budak tidak lulus SPM dilatih dan sijil kepakaran tinggi ini menjadikan mereka laku di seluruh dunia. Tapi cerita macam ni, orang tak seronok nak tulis sebab tak glamor. Tumpuan kita dalam tanggungjawab sosial adalah pendidikan dan ia akan tetap dikekalkan, kerana itu kami terus mempunyai bekalan pekerja (Petronas) yang baik. Setengahnya kita ambil, selebihnya kita lepaskan masuk dalam pasaran kerja.

Adakah ini bermakna Petronas perlu membuat untung, untuk menyumbang semula kepada pendidikan negara?

MOHD. HASSAN: Bukan Petronas sahaja yang untung tetapi juga negara. Mereka yang ditaja ada merata-rata. Kita juga telah taja lebih 600 doktor dan serah mereka kepada kementerian. Kita juga ada biasiswa untuk doktor membuat bidang-bidang pengkhususan tertentu.

Kalau melihat kepada tahap yang dilakukan, Petronas berfungsi seperti sebuah kerajaan mini?

MOHD. HASSAN: Awak pertimbangkanlah. Kami adalah satu-satunya pertubuhan komersial di negara ini yang mempunyai naib presiden bagi pendidikan yang melibatkan pelbagai peringkat daripada IKM hinggalah universiti dan sebagainya. Jika kita mahu melabur sejumlah besar wang seperti itu, kami perlu ada komitmen penuh. Kita mempunyai penasihat pelajar di luar negara seperti London, Australia dan Washington. Penasihat juga menyusun program dengan syarikat luar negara untuk pelajar tajaan kami menimba ilmu ketika mereka sedang cuti belajar

Ini semua dari kocek Petronas?

MOHD. HASSAN: Ini semua kita gunakan duit daripada keuntungan kita selepas ditolak sumbangan balik kepada kerajaan. Bagi setiap seringgit (keuntungan), kita ada 24 sen. Hanya duit inilah yang kita labur balik dan melabur semula untuk mendapatkan hasil dan keuntungan baru. Kita amat serius mengenainya dan komited sepenuhnya. Kalau kita bercakap pasal modal insan, perkara ni dah lama jadi tumpuan kami, sebab itu kami mampu jadi seperti yang ada sekarang ini. Pendidikan di Petronas berlaku secara berterusan. Kita menghantar kakitangan sambung belajar dan mengikuti latihan berdasarkan bidang mereka selepas lima tahun supaya kepakaran mereka seiring dengan masa.

Apa lagi yang dilakukan Petronas dalam memenuhi tanggungjawab sosial?

MOHD. HASSAN: Salah satunya ialah membiayai penyelidikan kanser yang dilakukan oleh saintis tempatan di Subang Jaya yang menunjukkan perkembangan menggalakkan. Banyak duit yang terlibat.

Kita juga ada program dengan Pemadam, berjuta-juta ringgit juga setiap tahun termasuk mengadakan program kesedaran.

Pada masa yang sama kita juga membantu Yayasan AIDS, sukan Malaysia dan juga Persatuan Bola Keranjang Malaysia.

Petronas juga ada membina masjid, merata-rata, dengan yang paling dekat di KLCC (Kuala Lumpur City Centre) ini. Begitu juga di Kertih, Terengganu; Kidurong di Sarawak dan Tangga Batu, Melaka. Yang terbaru akan kita serahkan kepada kariah Tronoh, Perak pada 14 Julai ini.

Apa peranan Petronas dalam masa depan pendidikan dan mungkinkah ia menambah bilangan universitinya?

MOHD. HASSAN: Kita akan meneruskannya. Kita dah ada satu universiti. Sebelum ini kita hanya ada pengajian ijazah. Sekarang dah ada program lepasan ijazah, sarjana. Kita akan tingkatkan lagi sehingga program doktor falsafah. Kita rasa satu universiti dah cukup sebenarnya. Kita (negara) tidak kurang universiti tetapi kandungannya yang penting. Kita juga telah dan akan terus bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia untuk menyemak semula struktur pembelajaran supaya lepasan yang dikeluarkan memenuhi keperluan yang terdapat dalam pasaran. Kami juga aktif dalam membantu banyak pihak lain dalam dunia pendidikan dalam cara yang dapat kami bantu, supaya hasil yang dikeluarkan memberikan manfaat.

Dalam hal ini, wajarkah Petronas dilihat sebagai angsa emas kerana sumbangan yang diberikannya kepada negara?

MOHD. HASSAN: Jangan kata angsa emas, nanti kena sembelih (ketawa). Kami telah mendidik syarikat Malaysia dan usahawan menjadi lebih cekap serta mempunyai keupayaan yang tinggi dalam sektor minyak dan gas agar mereka keluar dan bersaing dalam pasaran sejagat. Hari ini, dalam aktiviti huluan, lebih 80 peratus daripada kegiatan dilaksanakan oleh syarikat tempatan yang para pekerjanya juga rakyat tempatan. Kadang-kadang dalam industri ini, dalam peringkat mana pun, kita kena lihat dari segi jangka panjang dan komitmen. Ada sebuah syarikat bumiputera di Kuantan, Pahang yang mengeluarkan peralatan untuk kegunaan syarikat kontraktor besar asing di luar negara. Syarikat ini berada dalam senarai syarikat dunia kerana berkeupayaan dan berdaya saing. Kita pun tumpang seronok. Lagipun, syarikat ini merupakan antara beberapa buah syarikat yang berterima kasih kepada Petronas. Ini adalah sebahagian sumbangan kami kepada pembangunan negara, selain pelaburan yang kami keluarkan untuk membina kemudahan, bangunan dan loji. Kami juga membawa masuk pelaburan langsung asing. Satu lagi contoh ialah landasan kereta api dari Kertih ke Kuantan yang kami bina, ia bukan sekadar membawa barang perantara ke loji dan untuk eksport tetapi juga demi keselamatan jalan raya. Tanpanya, 3,500 buah lori sehari akan menggunakan jalan raya di sana. Selain itu, jalan juga tidak rosak. Melalui kemudahan sebegini, pelabur akan datang.

Jika lagi banyak Petronas untung, lebih banyak lagikah sumbangan dapat diberikan kepada bidang pendidikan?

MOHD. HASSAN: Dalam RMK-3 hingga RMK-8, sejumlah 50 peratus daripada pembiayaannya datang daripada Petronas. Bukanlah kita nak membanggakan diri, tetapi bayangkan kalau negara tidak mempunyai minyak. Kalau ada minyak pun tapi tidak diurus dengan baik, kita akan menjadi seperti negara jiran (yang gagal memanfaatkan sebaiknya sumber asli itu). Begitu juga dengan RMK-9. Sumbangan Petronas sampai RM100 bilion, kira-kira separuh daripada peruntukan.

Berapa lama lagi simpanan minyak ini mampu bertahan?

MOHD. HASSAN: Segala-galanya berbalik kepada pendidikan. Melaluinya, kita boleh memajukan teknologi dan menerap teknologi yang bukan hanya untuk mencari rizab-rizab baru tetapi juga mengeluarkan lebih banyak daripada apa yang kita ada pada hari ini. Kalau dengan teknologi dahulu, kita hanya boleh mengeluarkan 25 peratus daripada simpanan minyak dalam perut bumi, hari ini teknologi mampu meningkatkan jumlahnya kepada 35 peratus. Kami menyasarkan 45 peratus berdasarkan cara baru melakukannya termasuk keadah baru dalam penerokaan minyak dan juga pelaburan dalam sumber manusia. Sebab itulah kami tumpukan pendidikan.

Kalau macam tu, dengan teknologi baru berapa banyak lagi rizab negara yang ada?

MOHD. HASSAN: Berdasarkan jumlah pengeluaran semasa, jangka hayat rizab minyak di Malaysia ada selama 20 tahun dan gas asli selama 34 tahun lagi. Teknologi membolehkan kita menerokai peluang mendapatkan sumber baru. Kalau 15 belas tahun lalu, kita jangka rizab yang ada hanyalah 15 tahun sahaja lagi. Teknologi baru membolehkan kita pergi jauh ke dalam perut bumi untuk mendapatkan minyak.

Bagaimana operasi Petronas di luar negara?

MOHD. HASSAN: Pada masa ini, sejumlah 27 peratus operasi pengeluaran kami adalah di luar negara dan rizab kami pula sebanyak 23 peratus. Selain itu keadaan ini juga menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai kemampuan untuk bekerja di luar negara. Misalnya, di pelantar minyak yang kita beroperasi di Laut Caspian, tanpa mengambil kira pemiliknya orang asing, 100 peratus pekerjanya adalah rakyat Malaysia.

Dalam industri minyak dan gas, banyak penyertaannya adalah rakyat Malaysia,

Ini semua hasil dasar kerajaan yang dahulu menetapkan syarikat-syarikat asing di Malaysia menggunakan kandungan atau rakyat tempatan. Jadi apabila, akhirnya mereka ada sekumpulan rakyat Malaysia (yang terlatih), mereka kemudiannya dibawa ke tempat lain. Ini (mereka) macam kelasi kapal, sekejap naik kapal ni, kemudian kapal lain pula. Sama juga ketika kita mula-mula memiliki kapal pengangkut gas cecair asli (LNG) pada tahun 1992. Kita telah tetapkan sasaran menjelang tahun 2000, kesemua kapten kapal LNG haruslah rakyat Malaysia. Pada tahun 1998 sasaran itu kita capai. Kini, semua kaptennya rakyat Malaysia.

Banyak yang Petronas lakukan tetapi kenapa orang ramai masih mengharapkan subsidi minyak dari Petronas?

MOHD. HASSAN: Ini semua disebabkan oleh kurang kefahaman di kalangan orang ramai. Pertama, perkara ini berkait dengan Petronas Dagangan Bhd., syarikat tersenarai, bukan Petronas, dan syarikat berkenaan membeli produknya pada harga pasaran. Kedua, Petronas Dagangan bukannya syarikat tunggal di negara ini tetapi juga ada syarikat-syarikat lain seperti Esso, Caltex dan BP. Kenapa hanya kami yang perlu beri subsidi?

Jadi tiadalah subsidi minyak?

MOHD. HASSAN: Tidak dari Petronas, dari kerajaan sahaja. Tetapi setakat mana kerajaan mampu menanggung subsidi. Kenaikan minyak telah pun menyebabkan kerajaan memberikan subsidi untuk mengekalkan harga runcit pada harga rendah. Jumlah yang terpaksa diberikan subsidi itu semakin lama semakin naik. Daripada RM41.7 bilion yang diterima kerajaan daripada Petronas, RM15.3 bilion digunakan untuk subsidi minyak yang sepatutnya boleh digunakan bagi benda lain.

Kos operasi dalam industri semakin meningkat, bagaimana pula Petronas menanganinya?

MOHD. HASSAN: Apa yang akan berlaku ialah industri akan mengkaji semula daya maju projek, sama ada dibatalkan atau ditangguhkan. Ini akhirnya boleh membawa kepada kekurangan bekalan pada masa depan. Tetapi, Petronas pula telah lama membuat kontrak jangka panjang dengan harga lama. Ini membantu kami mengimbangi kenaikan kos.Tetapi bahan-bahan binaan termasuk besi, harganya sudah naik sekarang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:27
Maghrib 7:01
Isyak 8:15



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.