saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 08/07/2006

Gothik Malam Edan Search lebih ‘keras’


Dari kiri, Edrie, Loloq, Nasir, Yazit dan Hilary pada majlis pradengar album Search di Petaling Jaya baru-baru ini.



MENDENGAR lagu-lagu daripada album terbaru Search, Gothik Malam Edan, anda tidak akan temui lagu-lagu ala Fantasia Bulan Madu, Rozana atau Isabella.

Ini kerana kebanyakan lagu dalam album kesepuluh Search itu yang berada di pasaran sejak semalam (7 Julai 2006) lebih menjurus kepada melodi ‘keras’.

Menurut pemain dram kumpulan itu, Yazit Ahmad, 44, Search kali ini cuba melakukan anjakan dari segi muzik yang sering dipersembahkan sebelum ini.

“Setelah 25 tahun dalam bidang ini, Search mahu tampilkan kelainan. Kalau tampil dengan gaya yang sama sahaja nanti peminat-peminat bosan. Jadi untuk album ini kami memilih lagu-lagu berkonsep ceria.

“Tiada lagi lagu rock yang ‘mellow’ seperti dulu. Namun kami tetap tidak lupa menampilkan lagu yang ada identiti Search tapi dipersembahkan dengan gaya yang lebih rancak.

“Lagu Lara Tari Pencinta atau Menawan Raga dalam album baru ini, misalnya, masih ada mirip Fantasia Bulan Madu dan Isabella, tapi dinyanyikan dengan melodi yang lebih rancak,’’ jelas Yazit pada majlis pradengar album Gothik Malam Edan di Studio King, Petaling Jaya, Rabu lalu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah penerbit album, Edrie Hashim, penulis lirik Loloq serta anggota Search yang lain iaitu Nasir dan Hilary. Sementara penyanyi utama Search, Amy tidak dapat hadir kerana demam.

Menurut Yazit, album yang dibuat dalam tempoh dua bulan itu biarpun dihasilkan dalam keadaan tergesa-gesa namun soal kualiti tetap diutamakan.

Malah Yazit menganggap ini adalah album terbaik yang pernah Search hasilkan tanpa dua anggota asal, Din dan Kid.

“Kami perlu tampil juga dengan album baru ini sebagai pengganti album Empire Garden yang tidak dapat kami edarkan seperti yang telah kami rancangkan sebelum ini. Sebenarnya rancangan untuk terbitkan album Gothik Malam Edan ini telah lama dibuat, cuma bila berlaku masalah pada penerbitan Empire Garden, album Gothik Malam Edan terpaksa diterbitkan lebih awal,” jelasnya.

Lagipun, kata Yazit, album yang dihasilkan atas kekecewaan sebab album Empire Garden gagal berada di pasaran juga sebagai hadiah kepada peminat setia kumpulan tersebut.

Mengenai pemilihan Edrie sebagai penerbit, kata Yazit, Search tidak pernah menganggap jarak usia sebagai penghalang untuk bekerjasama dengan komposer tersebut.

Sebaliknya, Search amat berpuas hati dengan hasil kerja penerbit muda itu yang sebelum ini menghangatkan nama Awie menerusi lagu ciptaannya, Iris.

Bagi Edrie, dia tidak menghadapi sebarang masalah bekerjasama dengan anggota Search kerana secara peribadi dia meminati kumpulan tersebut sejak dulu.

“Sebenarnya sebelum tampil dengan album konsep terbaru ini kami telah berbincang dan membayangkan impak yang bakal diterima jika dibuat perubahan. Namun setelah berfikir panjang, kami sepakat menghasilkan apa yang tercatat dalam album ini kerana sudah tiba waktunya Search melakukan perubahan. Malah lagu-lagu dalam album ini melambangkan pemikiran Search terhadap muzik yang mereka lalui,’’ kata Edrie.

Kelainan

Salah satu lagu yang melambangkan Search benar-benar inginkan kelainan ialah Memoria Anna ciptaan Edrie dan lirik oleh Loloq.

Lagu tersebut dipersembahkan dengan gaya dramatik.

Kata Edrie, terpulang pada pendengar untuk membuat penilaian terhadap lagu tersebut.

“Sebenarnya lagu itu akan membuat pendengar berfikir apa yang terjadi kepada si Anna. Pelbagai persepsi boleh dibuat. Memasukkan unsur drama dalam lagu adalah kelainan yang cuba ditonjolkan. Saya harap lagu itu dapat memberi nafas baru kepada dunia rock tempatan,’’ katanya.

Selain Edrie, Search masih lagi berkolaborasi dengan komposer M. Nasir menerusi lagu Ying dan Yang, Menawan Raga dan Penjaga Rahsia.

Seorang lagi komposer yang menyumbangkan karyanya ialah Baim, bekas anggota kumpulan Ada Band dari Indonesia untuk lagu Ampun.

Lagu tersebut, menurut Edrie, sudah lama dia dapat daripada Baim.

“Rasanya sudah dua tahun lagu itu diberikan oleh Baim untuk Amy. Disebabkan tidak berkesempatan (merakamkannya) sebelum ini, jadi lagu Ampun dimuatkan dalam album ini,’’ terang Edrie.

Menerusi album ini juga peminat-peminat Search berpeluang mendengar lenggok terbaru Amy. Kali ini cara tarikan suara Amy berbeza daripada dulu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.