saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 11/07/2006

Mati otak alasan cabut sistem sokongan hayat


IBU Ramli (bukan nama sebenar) sudah terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta sejak 10 hari lalu. Doktor mengesahkan ibunya koma kesan daripada hentakan yang kuat akibat dilanggar sebuah kereta.

Dia hanya bernafas dengan bergantung kepada sistem sokongan hayat.

Memandangkan, sudah hampir dua minggu ibunya ditempatkan di ICU, doktor menasihati Ramli agar membawa ibunya pulang ke rumah kerana harapan untuk sembuh amat tipis. Dengan berat hati, Ramli terpaksa mengambil keputusan kerana dia sudah tidak sanggup lagi melihat keadaan ibunya begitu dan menanggung kos perubatan yang semakin meningkat.

Tetapi keputusan tersebut ditentang ahli keluarga yang lain. Mujur ayahnya bersetuju dengan keputusan yang dibuat. Selang beberapa hari, ibunya meninggal dunia di hadapan semua ahli keluarga.

Kes di atas menunjukkan beberapa konflik sekiranya kes mati otak atau dalam istilah perubatan dipanggil koma tidak mendapat penjelasan sewajarnya daripada pakar perubatan. Tidak dinafikan setiap ahli keluarga seboleh-bolehnya tidak mahu berdepan dengan kematian orang disayangi tetapi ia sudah lumrah kehidupan.

Dekan Pascasiswazah, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamed, berkata, isu yang berkait dengan kes kematian otak selalunya membabitkan kos rawatan, tenaga kerja dan keutamaan kepada pesakit yang memerlukan sistem sokongan hayat.

Jelas beliau, isu tersebut telah menimbulkan pertikaian di kalangan ahli perubatan dan ulama tentang siapakah yang berhak mendapat sistem sokongan hayat. Di samping itu juga, doktor yang membuat keputusan menarik semula sistem tersebut, adakah dikatakan menyebabkan kematian pesakit dan ‘membunuh’ satu nyawa? Sedangkan ayat al-Quran menyatakan membunuh satu nyawa umpama membunuh semua manusia.

“Tetapi apa yang kita lihat dalam isu ini, ia lebih berkait dengan tanggungjawab seorang doktor. Wang bukan lagi keutamaan. Saya pasti tidak ada doktor yang sanggup mempermainkan perkara ini kerana ia berhubung dengan hidup dan mati seseorang,” ujar beliau yang juga Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM).

Dalam situasi tertentu, apabila doktor membuat keputusan untuk mencabut sistem sokongan hayat, kebiasaannya ahli keluarga dinasihati supaya membawa balik pesakit ke rumah. Tempoh masa hidup selepas sistem dicabut bergantung kepada keadaan. Ada yang mengambil masa lima hingga 10 minit dan ada juga berhari-hari.

Latiff menjelaskan, para doktor dan ulama mendefinisikan kematian otak sebagai sempadan antara hidup dan mati. Sekiranya telah berlaku kematian otak, secara teknikalnya, pesakit telah meninggal dunia. Dijelaskan, dari sudut agama bahawa, apabila berlaku koma, roh sudah keluar daripada badan. Bagaimanapun, persoalannya, adakah kemungkinan sel-sel masih hidup tetapi roh sudah tiada di badan?

Dalam hal ini, ulama membuat kesimpulan dengan berdasarkan kepada hadis yang menyatakan, “Sesungguhnya manusia mula dicipta dalam rahim 40 hari dalam keadaan nutfah dan kemudiannya berubah bentuk menjadi alaqah selama 40 hari dan berubah dan membentuk mudghah selama 40 hari dan kemudiannya ditiupkan roh.”

Tempoh 120 hari sel hidup terbentuk tetapi roh belum ditiupkan. Selepas 120 hari, jasad yang hidup akan ditiupkan roh. Sekiranya dalam pembentukan sel-sel manusia, berlaku jasad tanpa roh, tidak mustahil akan berlaku jasad tanpa roh selepas mati. Jasad hanya didapati hidup dan bernafas dengan adanya sistem sokongan hayat, sedangkan hakikatnya, roh sudah terpisah daripada badan.

Sejak 1980-an, banyak perbincangan dan pertemuan antara pakar perubatan dan ahli agama berhubung isu kematian otak dan saat berlakunya kematian secara teknikal dan rohani.

“Dari sudut perundangan negara, kematian otak tidak bercanggah dengan syariat. Apabila dua pakar perubatan membuat pemeriksaan dan keputusannya disahkan pesakit mengalami kematian otak dan tidak mempunyai peluang untuk hidup, maka tidak salah di sisi undang-undang negara kita untuk mencabut sistem sokongan hayat.

“Kalau saya terpaksa berhadapan dengan situasi demikian dan ia membabitkan orang yang dikasihi, saya bersetuju dengan pendapat doktor kerana ia selari dengan tuntutan agama agar mayat segera disempurnakan iaitu dimandi, dikafan, disembahyang dan kemudiannya dikebumikan. Melainkan ada ilmu baru dalam dunia perubatan yang boleh memulihkan pesakit mati otak. Setakat ini ijtihad ulama adalah berdasarkan al-Quran dan sunah,” kata beliau.

Para ulama turut membuat keputusan mati otak dengan berdasarkan qias iaitu mengambil apa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. dan mengaplikasikan dengan zaman sekarang. Sebagai contoh, dalam satu peperangan jihad pada zaman Rasulullah s.a.w., salah seorang sahabat Baginda cedera parah apabila perutnya terkena libasan pedang yang tajam dan hampir terburai. Kemudahan perubatan pada masa itu pula amat terhad. Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan itu, para sahabat telah memutuskan untuk mengagihkan harta pusaka kerana keadaan sahabat mereka yang tidak mungkin mempunyai peluang untuk hidup.

“Berdasarkan qias ini, pesakit sudah dikira mati. Kalau hidup sekali pun, ia suatu keajaiban. Sehingga kini dalam era perubatan moden, hampir mustahil, seseorang yang mengalami kematian otak boleh hidup semula,” jelas beliau lagi.

Apa yang turut menimbulkan tanda tanya ialah kenapa perlunya doktor menarik balik sistem tersebut dan menasihati keluarga agar membawa balik pesakit ke rumah. Ini menyebabkan ada waris yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak hospital.

Dalam hal tersebut, banyak perkara perlu diambil kira. Paling utama, dalam kes membabitkan kematian otak, pesakit sebenarnya sudah disahkan meninggal dunia tetapi hanya bernafas dengan adanya sistem sokongan hayat. Islam tidak menggalakkan orang yang masih hidup menyeksa mayat dan perlu dipercepatkan urusan pengkebumian.

Selain itu, keperluan bilik dan peralatan ICU di kebanyakan hospital kerajaan dan swasta amat terhad. Mungkin, seorang pesakit yang sudah tiada harapan untuk hidup ditarik semula sistem sokongan hayat, akan memberi peluang kepada pesakit lain yang bukan membabitkan kes mati otak dan mempunyai harapan untuk sembuh. Di samping itu, perbelanjaan rawatan ICU di hospital swasta amat tinggi dan boleh mencecah ratusan ringgit tetapi akhirnya meninggal dunia.

Pesakit yang diisytihar mati otak dan kebetulan dikenalpasti bersetuju untuk menjadi penderma organ, ia perlu disegerakan kerana boleh membantu menyelamatkan nyawa orang yang hidup dan memerlukan organ baru. Dari segi undang-undang, perbuatan ini tidak salah kerana sememangnya mereka sudah disahkan meninggal dunia.

“Saya mengakui bahawa ada orang yang sanggup memperuntukan duit yang banyak bagi memastikan ahli keluarganya hidup semula. Tetapi setelah banyak wang dihabiskan, selepas sebulan misalnya pesakit meninggal dunia. Dalam satu aspek lain, Islam menggalakkan kita membuat keputusan yang cepat kerana tidak mahu menyeksa orang yang telah mati,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihak hospital tidak memaksa pihak keluarga atau waris mencabut sistem sokongan hayat sebaliknya doktor akan menerangkan dengan jelas keputusan tersebut berdasarkan kepada hukum syarak.

Punca koma

1. Trauma secara langsung merosakkan otak.

2. Bekalan darah ke otak tidak mencukupi dan menyebabkan strok dan sebahagian otak mati.

3. Pengambilan terlalu banyak toksin yang didapati daripada ubat-ubatan, dadah dan racun. Misalnya, pengambilan dadah, syabu atau morfin akan bertindak pada otak dan sebabkan sebahagiannya rosak atau cedera dan sel-sel otak mati. Begitu juga dengan mengambil terlalu banyak bahan kimia seperti pil ekstasi juga menjadi punca otak bermasalah.

4. Jangkitan pada otak seperti Japanese Encephalitis (JE) dan meningitis.

5. Sel-sel kanser yang menular ke sebahagian otak.

Elemen sistem sokongan hayat apabila berlaku koma

1. Untuk membekalkan zat dan makanan.

2. Untuk menjaga kebersihan pesakit, jururawat akan mandi dan bersihkan badan pesakit.

3. Jaga sistem perkumuhan dengan memasukkan tiub untuk membolehkan pesakit membuang air kecil. Ini termasuk membersihkan air liur dan hingus yang terdapat dalam mulut dan hidung pesakit.

4. Akibat lama terbaring, pesakit berkemungkinan mengalami jangkitan pada kulit seperti ulser dan bernanah. Jururawat perlu memberikan suntikan antibiotik. Setiap jam, badan pesakit akan diterbalikkan ke kiri dan ke kanan. Ada sesetengah kes, tilam diisi dengan air yang dipanggil ripple bed supaya tidak pressure point pada tempat-tempat tertentu.

5. Pesakit yang tidak boleh bernafas sendiri memerlukan alat bantuan pernafasan. Ini adalah kes koma yang lebih serius.

- Semua punca di atas boleh menyebabkan seseorang koma dan tidak sedarkan diri. Organ utama seperti pernafasan, pertuturan, penglihatan, pendengaran dan deria rasa tidak berfungsi. Pesakit hanya terbaring di katil dalam keadaan tidak sedar yang dipanggil koma.

- Kebiasaannya, bahagian otak yang mengawal semua fungsi terutama pernafasan dan degupan jantung terletak di pangkal otak (brain stem). Sekiranya pangkal otak mengalami kerosakan serius, maka pesakit memerlukan sistem sokongan hayat.

- Dalam keadaan tersebut, untuk kekalkan mereka hidup, sistem sokongan hayat digunakan. Kaedahnya dengan mencucuk air ke dalam badan atau tiub dalam hidung. Nasogastric feeding membekalkan makanan dan minuman dari hidung turun ke perut atau melalui intravernus (salurkan makanan melalui vena).

Antara kes kematian membabitkan koma

- Arau, 14 Mac 2006: Selepas 32 hari berada dalam keadaan koma dan terlantar di hospital akibat dipukul dengan senduk nasi kayu oleh rakan setugasnya, Amali Johari, 19, akhirnya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.30 malam. Amali yang merupakan pembantu kantin di asrama pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar selepas dimasukkan ke hospital itu pada 11 Februari lalu.

- Melaka, 8 Oktober 2005: Nor Asmad Ismail meninggal dunia di Hospital Melaka dipercayai akibat dipukul bekas suaminya dengan senjata tumpul setelah koma tiga hari. Pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kegagalan fungsi otak akibat pukulan kuat.

- Pulau Pinang, 29 Jun 2005: Asrin Mohsin, 18, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang setelah koma sejak 25 Jun. Mangsa yang dibelasah sekumpulan lelaki dengan topi keledar dan objek keras mengalami pecah tengkorak kepala selain cedera parah di muka dan anggota badan dalam kejadian di Persiaran Gurney.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.