saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 18/07/2006

‘Sesungguhnya aku reda’


Noor Muha Aziz.



PERJALANAN hidup setiap insan telah ditentukan oleh Allah s.w.t.. Setiap ujian yang datang telah disusun mengikut kehendak-Nya jua. Namun tidak semua insan berpeluang menikmati keindahan hidup seperti mana yang mereka ingini.

Suka duka menjadi rintangan dalam memenuhi kehidupan yang panjang berliku. Sering kali kepayahan yang ditanggung mereka yang diuji menggugat kesabaran, namun kepada Allah mereka berserah!

Begitulah ibaratnya perjalanan anak muda ini. Biarpun kehidupannya penuh dengan penderitaan dan kesakitan, namun itu tidak pernah dijadikan alasan memencilkan diri.

Segala-galanya terlalu perit buat Noor Muha Aziz, 26. Namun dia tidak pernah meminta belas ihsan orang lain dan tidak pernah meratapi takdir yang menimpanya. Keinginannya sekadar dia mendapat layanan yang sama seperti insan normal lain.

Biarpun menderita pelbagai jenis penyakit dan pasrah dengan ‘nikmat hidup’nya yang ditarik satu persatu, Noor Muha tidak pernah kesal. Dia juga tidak pernah membataskan dirinya untuk terus memperguna dan mendalami ilmu yang ada.

Melalui seorang teman, saya bertemu dengan Noor Muha di kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini. Melihatkan dia berkerusi roda saya tidak pernah membayangkan anak muda bersemangat waja dan peramah ini mengalami cacat penglihatan ketika keadaannya separuh lumpuh dari aras pinggang ke bawah.

Suara riang dan sikapnya yang mesra menyentuh hati saya. Paling mengusik hati apabila dalam teraba-raba dia masih mampu menghidangkan makanan yang dimasak sendiri untuk menjamu saya dan jurugambar.

“Saya memang gemar memasak,” katanya sambil mengambil cawan dari dalam almari.

Gerak lakunya yang cergas tidak menampakkan kecacatannya. Malah kerusi rodanya langsung tidak terlanggar perabot dan peralatan di dalam rumah tersebut.

Rasa kagum saya semakin bertambah semasa kami berbual. Beberapa kali Noor Muha membacakan surah-surah al-Quran dan potongan hadis apabila membincangkan sesuatu topik dan fokus.

Beberapa kali juga Nor Muha menjelaskan beberapa petikan kata-kata orang ternama yang tidak sedikit ilmunya untuk rujukan ketika mengemukakan bukti atas setiap cerita yang terluah dari bibirnya.

Lalu berkatalah hati saya, biarpun matanya tidak dapat melihat, tetapi hatinya amat terang. Dia membaca melalui mata hatinya, anugerah Tuhan yang tertinggi untuknya sebagai penawar kepada kesengsaraan hidupnya.

“Saya memang gemar membaca. Selalunya saya ada orang yang membacakannya kepada saya, tidak pun melalui pendengaran. Saya juga rajin mentelaah menggunakan komputer peribadi khas untuk orang seperti saya,” katanya.

Rasa bangga saya terhadap anak muda ini bertambah apabila dimaklumkan yang dia sedang dalam proses menyiapkan sebuah buku berjudul Salasilah Kesultanan Melayu Seluruh Nusantara. Manuskripnya sudah hampir siap dan bakal dibukukan tidak lama lagi.

Tidak cukup dengan itu, Noor Muha juga mengendalikan skim insurans bagi kemudahan orang-orang miskin, OKU dan mereka yang bernasib malang untuk membantu mereka dari segi kewangan apabila terjadi kejadian yang tidak diingini.

Seiring menyiapkan manuskrip berkenaan, Noor Muha juga hampir menyelesaikan sebuah lagi buku rujukan iaitu Direktori Raja-Raja Melayu.

Pada saya, manusia sempurna juga tidak punya cita-cita sepertinya, namun Noor Muha yang mengakui sangat gemar membaca kitab-kitab lama melakukan semua ini untuk menebarkan pengetahuan yang ada pada dirinya kepada generasi muda.

Jika diizinkan Tuhan, dalam masa terdekat ini Noor Muha juga kemungkinan mengadakan satu pameran yang menjurus kepada keunikan Salasilah Raja-Raja Melayu yang bakal diadakan di Pahang.

Tidak suka bergantung kepada orang untuk menguruskan kehidupan, anak muda ini turut menjadi Pengurus Acara (Event Management) Pekida Pro Event Management.

“Alhamdulillah, setakat ini dengan bantuan rakan-rakan saya dapat melakukan apa sahaja yang diperlukan oleh pelanggan yang percaya dengan kebolehan yang ada pada diri saya,” katanya.

Menjadi tutor

Ilmu yang dimiliki tidak dibiarkan begitu sahaja. Noor Muha turut mencurahnya kepada mereka yang memerlukan dengan menjadi tutor kelas tambahan bahasa Inggeris dan matematik di sebuah pusat ilmu di Cheras, Kuala Lumpur. Noor Muha juga sebelum ini pernah menjadi guru sandaran.

Siapakah anak muda yang bernama Noor Muha ini?

Noor Muha yang berasal dari Kuantan merupakan anak kesebelas daripada 12 adik-beradik (termasuk adik-beradik tiri).

Ketika kecil, diari kehidupan Noor Muha dipenuhi dengan rawatan dan makan ubat-ubatan kerana dia sentiasa sakit. Biarpun sentiasa mengalami pelbagai penyakit, Noor Muha tetap aktif dalam kegiatan perkumpulan dan ‘nakal’ sebagai anak lelaki.

Ketika di bangku sekolah, dia merupakan pelajar yang sangat cemerlang dan seterusnya meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Sains, Dungun, Terengganu ketika dalam tingkatan tiga.

Ketika ini nasib tidak menyebelahinya, apabila ketumbuhan yang dideritainya di tekak melarat sehingga ke perut. Pergerakannya mula terganggu.

Pada umur 16 tahun, Noor Muha menjadi lumpuh separuh badan akibat tulang belakang beralih tetapi nasibnya baik kerana menerusi kaedah perubatan terkini akhirnya dia mampu berjalan semula dengan menggunakan tongkat.

Dalam tempoh ini, hidupnya sentiasa bergantung kepada ubat. Pun begitu dia masih mampu ke sekolah dan seterusnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Nasib menyebelahinya apabila dia berjaya memperoleh sembilan agregat dalam SPM dan berjaya memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang.

“Secara tiba-tiba saya mengalami lelah yang kronik dan tulang belakang saya teralih semula pada semester pertama menyebabkan saya lumpuh dan pembelajaran saya terganggu.

“Atas semangat yang kuat, pada tahun 2000 hingga 2002, saya boleh berjalan semula (dengan alat bantuan berjalan). Sayangnya ketumbuhan semakin melarat. Kesan radiasi turut menyebabkan mata saya menjadi rabun,’’ katanya.

Tamat pengajian, Noor Muha bertugas sebagai Pembantu Penyelidik di Muzium Negeri Pahang dan menyewa rumah di Pekan bagi memudahkannya berulang-alik ke muzium itu.

Pada tahun 2004, Noor Muha mengalami sakit kepala yang teruk sehingga menyebabkan dia pengsan selama dua jam.

“Apabila saya sedar, saya dapati saya sudah tidak dapat melihat lagi. Kesan ketumbuhan itu juga menyebabkan sebelah tangan saya tidak boleh bergerak dan sebelah telinga menjadi pekak sehingga kini,” katanya.

Enggan menyusahkan sesiapa, Noor Muha mengambil keputusan untuk hidup sendiri di Kuala Lumpur, jauh daripada keluarga. Sudah tentu sepanjang hidup sendiri, pelbagai kepahitan hidup dilalui. Sudahlah jauh daripada keluarga, kekasih hati juga menjauhkan diri sedangkan tarikh perkahwinan yang bakal berlangsung September ini masih terawang-awang.

Bak perumpamaan bagai lilin menerangi kegelapan, rela terbakar diri untuk menerangi orang lain, itulah prinsip hidup Noor Muha sekarang. Selagi hidup dan boleh berfikir Noor Muha akan teruskan hidup dan mencurah ilmu yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukan.

Semangat juang Noor Muha untuk meneruskan kehidupan akan terus menyala selagi Tuhan masih mengizinkan dia hidup di bumi ini. Jika sampai saatnya dia dijemput pulang, dia reda dengan ketentuan Tuhan. Sementara menunggu saat itu, Noor Muha pasrah dan mengharapkan setiap hari dia dapat berbakti kepada mereka yang memerlukan!

Saya melangkah meninggalkan rumah Noor Muha dengan rasa sebak di dada. Sebagai ibu saya kagum dengan ketabahannya terpisah daripada keluarga dan hidup sendiri dalam serba kekurangan. Doa saya semoga Allah melindungi Noor Muha.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat Noor Muha untuk mengendalikan sebarang majlis, sila hubunginya di talian 019-250 4833.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.