saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 18/07/2006

S. Atan hidup selesa hasil muzik

JIKA pada tahun 1950-an kehidupan sebagai pemuzik kadangkala dipandang rendah oleh masyarakat, hari ini kerjaya tersebut menjanjikan pendapatan yang lumayan jika seseorang itu pandai berjimat.

Begitulah juga dengan komposer S. Atan setelah 30 tahun menceburi bidang penciptaan lagu. Beliau bukan sahaja boleh berbangga kerana khidmatnya masih diperlukan, malah yang lebih penting beliau dan keluarga boleh hidup selesa hasil daripada pendapatannya itu.

Hasil daripada duit mencipta lagu beliau bukan sahaja memiliki rumah dua tingkat malah tiga orang anak lelakinya yang masih belajar mempunyai kenderaan sendiri yang dibeli hasil duit kerjaya seninya.

Anak sulungnya, Rozdi, 19, mempunyai kereta Kancil dan sebuah motosikal. Sementara Rozainie, 18, mempunyai kereta Satria dan Razairie yang masih menuntut dalam tingkatan empat sudah memiliki motosikal sendiri.

S. Atan yang kini cuti sakit selama dua bulan setelah diserang angin ahmar baru-baru ini berkata:

“Sejak dulu sampai sekarang tersemat di hati saya untuk bekerja mencari rezeki yang halal bagi membahagiakan isteri dan anak-anak.

“Sebab itu setiap sen yang saya peroleh daripada mencipta lagu, menerbit album ataupun bertindak sebagai konduktor sesebuah orkestra dalam sesebuah show, saya tidak pernah terfikir untuk membazirkannya.

“Bagi saya, kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan saya. Sebagai suami dan ayah adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memenuhi keperluan mereka.

“Walaupun baru-baru ini saya diserang angin ahmar, syukur alhamdulillah saya semakin sembuh. Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya saya sentiasa diberi kesihatan demi keluarga saya kerana mereka adalah ilham dan dunia saya,” cerita S. Atan ketika ditemui di kediamannya di Taman Bukit Kajang, Kajang, Selangor.

S. Atan atau nama asalnya Hashim Said, 57, cukup sinonim dengan lagu-lagu Melayu Deli yang diperjuangkan sehingga hari ini. Beliau berasal dari Singapura.

Walaupun kini beliau tidak terikat dengan syarikat rakaman tetapi kredibilitinya dalam bidang penciptaan bukan sahaja mencuri hati para peminat seni tanah air, malah beliau juga berjaya menarik perhatian Majlis Bandaran Shah Alam.

Sejak lima tahun lalu, S. Atan yang telah mencipta 700 lagu – yang kebanyakan lagunya dinyanyikan oleh Sharifah Aini, Sudirman, Noorkumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid – bertugas sebagai Ketua Muzik di MBSA.

Walaupun tugasnya berlainan daripada sebelum ini tetapi S. Atan tetap seronok kerana ia tidak lari daripada bakat dan minatnya.

“MBSA ada kombo mereka sendiri. Tugas saya membimbing kombo ini yang mempunyai 21 orang pemuzik. Latihan memang diadakan setiap hari kerana MBSA juga ada projek dan show mereka sendiri,” cerita S. Atan.

Sebelum bekerja dengan MBSA, S. Atan pernah bekerja dengan syarikat rakaman EMI sebagai penerbit bermula pada tahun 1972.

Bagaimanapun, setelah 13 tahun bersama EMI, S. Atan berhenti untuk berhijrah ke syarikat rakaman Irama Malaysia selama dua tahun.

Tetapi jiwa seninya yang tidak mahu terikat dengan mana-mana syarikat akhirnya membuatkan S. Atan membawa haluan sendiri sebagai komposer dan penerbit album bebas.

Kini setelah 30 tahun hidup sebagai komposer, S. Atan yang merupakan ayah kepada lima orang anak – Rozdi, 19, Rozainie, 18, Rozairie, 16, Rozaimie, 12 dan Norhafieza, 8, – hasil perkahwinannya dengan Norizan Yeob, 42, boleh tersenyum lega kerana dapat hidup mewah hasil daripada usaha dan kerjayanya itu.

Pepatah Melayu ada mengatakan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, begitulah dengan dua orang anak S. Atan. Rozdi dan Rozainie, misalnya, memilih bidang seni sebagai kerjaya pada masa depan.

Bagaimanapun, bagi memastikan perjalanan seni mereka teratur tanpa halangan, kedua-duanya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Akademi Seni Kebangsaan yang akan memulakan pengajiannya tidak lama lagi.

“Saya tidak pernah menghalang atau menggalakkan mereka dalam bidang muzik. Tetapi kalau dah memang berbakat dan itu minat mereka, saya tidak menghalang.

“Tetapi keadaan kehidupan hari ini berbeza dengan dulu. Saya mahu mereka menjadi seorang pemuzik yang benar-benar bertauliah dan boleh dibawa ke tepi dan ke tengah.

“Apabila mereka menyuarakan hasrat untuk belajar muzik di ASK saya bersyukur sangat dan saya akan cuba memenuhi keperluan mereka sepanjang pengajian selama tiga tahun,” kata S. Atan.

S. Atan berlakon dalam The Red Kebaya

Mungkin ramai yang terkejut bila diberitahu S. Atan dan semua ahli keluarganya pernah berlakon dalam filem The Red Kebaya terbitan L’agenda Production.

Babak yang melibatkan S. Atan dan keluarganya telah dirakamkan pada September lalu di sebuah rumah di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, malah filem itu turut menampilkan S. Atan sebagai pemuzik di sebuah kelab malam.

Selain S. Atan dan keluarganya, turut berlakon dalam filem ini ialah Vanidah Imran dan Farah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.