saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/07/2006

Pecahkan monopoli kilang gula?

PELBAGAI faktor dikenal pasti menyumbang kepada masalah kekurangan bekalan gula negara yang berlaku sejak awal tahun ini seperti yang didedahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Shafie Apdal pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, puncanya ialah kilang yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana kekurangan bahan mentah akibat cuaca tidak menentu, permintaan sektor industri yang semakin meningkat, penyeludupan dan sikap pengguna yang panik.

Mengikut statistik KPDNHEP, jumlah pengeluaran gula bagi keempat-empat kilang gula tempatan adalah 1.2 juta metrik tan dan permintaan pengguna berjumlah hampir 1 juta metrik tan. Ini bermakna ada lebihan bekalan sebanyak hampir 200,000 metrik tan.

Tetapi jika bekalan gula dikatakan mencukupi, mengapa begitu sukar orang ramai untuk membelinya? Malah tiga syarikat pengendali pasar raya besar mendakwa sejak Mac lalu kilang gula mula mengurangkan bekalan gula pasir tanpa memberi sebarang alasan.

Pengeluaran gula negara kini dikuasai oleh empat kilang iaitu Malayan Sugar Manufacturing (MSM), Prai, Pulau Pinang; Central Sugar Refinery (CSR), Shah Alam, Selangor; Gula Padang Terap (GPT) di Padang Terap, Kedah dan Kilang Gula Felda Perlis (KGFP), Chuping, Perlis.

Krisis bekalan gula juga membingungkan banyak pihak – pengguna menyalahkan peniaga, kononnya mereka menyorok bekalan, sebaliknya peniaga pula mendakwa mereka sukar mendapat bekalan daripada pemborong dan pembekal.

Soalannya dari mana pemborong dan pembekal mendapatkan bekalan gula?

Laporan tiga dari empat kilang gula dikatakan enggan memproses sebahagian besar gula mentah yang diperoleh menerusi kontrak jangka panjang (KJP) menjadi gula pasir bagaikan memberi petanda punca kemelut bekalan gula sekarang.

Pemantauan KPDNHEP mendapati, tiga pengilang gula itu lebih mengutamakan pengeluaran bagi tujuan eksport daripada menjual di pasaran tempatan untuk meraih keuntungan tinggi.

Ini kerana harga gula di luar negara lebih tinggi iaitu AS$509.74 (RM1,835) satu tan berbanding AS$342.36 (RM1,232) di pasaran tempatan. Harga bahan mentah untuk memproses gula di pasaran antarabangsa kini AS$398.20 (RM1,433.50) setan berbanding AS$215 (RM774) yang diperoleh pengilang tempatan menerusi KJP.

Dua kilang terbabit pula enggan mengimport lebih banyak gula mentah dari pasaran bebas kerana kosnya lebih tinggi daripada yang mereka peroleh menerusi KJP.

Sebaliknya bahan mentah diperoleh menerusi KJP pula digunakan untuk memenuhi permintaan eksport sehingga pasaran tempatan kekurangan bekalan.

Masalah kekurangan bekalan gula di pasaran tempatan dijangka berterusan selagi pengilang lebih mengutamakan pengeluaran untuk eksport bagi mengaut keuntungan. Kepada orang ramai, perbuatan pekilang berkenaan menggambarkan mereka lebih mengejar keuntungan tanpa mempedulikan kepayahan masyarakat.

Mereka tidak sedar perbuatan mereka bagaikan sabotaj kepada banyak industri pemakanan tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penjaja kuih-muih dan warung minuman yang bergantung kepada penggunaan gula.

Sudah sampai masanya isu ini tidak dipandang remeh. Jika pengilang berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawab memenuhi keperluan bekalan gula negara, kerajaan berhak mengkaji semula monopoli pengeluaran bahan itu kepada empat kilang berkenaan.

Keengganan kilang untuk memproses bahan mentah gula untuk pasaran tempatan menyebabkan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman menggesa kerajaan menggubal peraturan yang mengutamakan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

“Kerajaan harus tegas dan jika perlu tarik lesen. Kepentingan dan keperluan gula tempatan perlu didahulukan,” kata beliau.

Menurut beliau, sudah banyak kerajaan bertolak ansur dengan pekilang gula. Mereka perlu mengutamakan pengeluaran gula pasaran tempatan berbanding dengan produk untuk eksport.

“Kita tidak mahu rakyat mempersoalkan apa rasionalnya kerajaan memberi kekayaan gula kepada empat kilang itu sahaja. Sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula kebijaksanaan tersebut,” katanya.

Selain itu Dr. Maamor mencadangkan KPDNHEP dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bekerjasama mengaudit semua kilang gula bagi memastikan pengeluaran dan pengedaran hariannya tepat sebagaimana dilaporkan dalam penyata stok ke ibu pejabat.

Beliau juga menggesa dibuat pemantauan sama ada bekalan yang dihantar sampai dengan kuantiti yang mencukupi sebagaimana dalam invois dengan menempatkan pegawai penguat kuasa di kilang, pengedar dan pemborong utama.

Kementerian itu diminta bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa yang lain di sempadan-sempadan negara. Ini kerana krisis bekalan gula masih gagal diatasi menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap sejauh mana keberkesanan kawalan pihak berkuasa.

Pengilang, pengedar dan pemborong yang tidak keterlaluan dianggap sebagai dalang krisis nasional ini perlu disiasat operasinya dan diambil tindakan tegas. Ini kerana, amaran yang dikeluarkan selama ini pun mereka tidak mengendahkannya.

Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menggesa kerajaan mencari satu formula berkesan bagi menangani isu pembekalan gula negara sekarang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berpendapat sekiranya senario pembekalan gula negara merugikan rakyat maka kerajaan perlu mengkaji semula monopoli pengeluaran gula oleh kilang sedia ada.

“Mereka tidak boleh mengetepikan keperluan gula tempatan. Kepentingan rakyat perlu diutamakan. Perbuatan sesetengah kilang yang mengeksport gula adalah tidak sihat dan memperlihatkan kredibiliti mereka yang lebih mengejar kepentingan keuntungan semata-mata,” jelas Rahim kepada Mingguan Malaysia.

Beliau menyeru kerajaan mencari formula bagi menyelesaikan isu gula ini. Jika perlu, katanya, monopoli empat kilang gula ini dipecah-pecahkan kepada pekilang atau pembekal lain agar pengeluaran gula dibuat secara kartel. Dengan cara ini ia dapat menyeimbangkan pasaran gula negara.

Jika pengilang berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawab menangani kekurangan bekalan, kerajaan wajar mengeluarkan lesen kepada pemain-pemain baru dalam industri gula terutama usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang selama ini menyokong pembangunan ekonomi negara.

Kerajaan perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak lain yang berkelayakan dan berkeupayaan untuk memikul tanggungjawab membantu mengatasi krisis gula ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.