saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 25/07/2006

Amy terkenang makan mee segera


Amy.



DALAM persada muzik tempatan, Amy merupakan satu-satunya penyanyi rock yang paling senior dan masih aktif menyanyi sehingga kini.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan penyanyi berusia 48 tahun ini juga sudah boleh dikategorikan sebagai penyanyi rock legenda.

Pembabitan Amy dalam bidang nyanyian bukan baru. Ia sudah bermula sejak tahun 1978 lagi biarpun beliau hanya serius menjadikan nyanyian sebagai karier pada 1981.

Sepanjang 25 tahun bergelar penyanyi, anak kelahiran Johor Bahru ini telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis.

Kejayaan yang dikecapinya hari ini tidak datang secara menggolek, sebaliknya ia memerlukan pengorbanan serta kesabaran yang tinggi.

Amy tidak pernah melupakan keperitan yang dilaluinya suatu ketika dulu semata-mata untuk mengejar cita-cita sebagai penyanyi rock yang berjaya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Meniti Titian Usang ini antaranya pernah menyambung hidup hanya dengan makan mee segera.

“Peristiwa itu berlaku tiga hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1981. Ketika itu saya menumpang kereta seorang kawan untuk balik ke kampung menyambut raya.

“Tetapi saya batalkan niat tersebut dan suruh kawan saya itu berhentikan keretanya di depan Hospital Universiti, Petaling Jaya.

“Saya kemudian naik bas mini dan balik ke bilik sewa saya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur kerana tidak ada duit untuk balik kampung.

“Kawan saya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan itu terus balik ke kampungnya di Ipoh dengan keretanya itu,” kata Amy ketika ditemui selepas sesi fotografi di Studio Utusan Melayu, Kuala Lumpur pagi semalam.

Sesampainya di rumah, Amy berbuka puasa hanya dengan menjamah semangkuk mee segera dan dua hari kemudian menyambut hari raya sendirian.

Jelas Amy, keputusan tidak mahu pulang beraya di kampung dibuat kerana ketika itu dia sedang kesempitan wang selepas beberapa bulan berhijrah ke Kuala Lumpur bersama Search.

“Ketika itu saya memang rasa sangat sedih sampai menitiskan air mata. Itu adalah kali pertama saya tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung. Takkanlah saya hendak balik beraya di kampung dengan tidak ada duit.

“Pada masa yang sama, kawan-kawan saya yang lain macam Yazit (pemain dram Search) telah balik terlebih dahulu ke kampung untuk beraya.

“Rupa-rupanya pada pagi raya itu Yazit ke rumah emak saya di Johor Bahru dan dia terkejut apabila mendapati saya tidak balik ke kampung.

“Selepas Yazid balik ke Kuala Lumpur dia terus jumpa saya dan memberitahu emak saya menangis kerana saya tidak balik kampung,” ujar Amy.

Jual bunga

Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi A. Rahman, kesusahan hidup merantau di Kuala Lumpur tidak menghalangnya untuk berjuang bersama Search.

Penyanyi yang bersuara nyaring dan halus ini tabah melalui cabaran yang mendatang dan tidak bergantung kepada bidang nyanyian semata-mata.

Sebagai pendatang baru dalam bidang muzik, undangan mengadakan persembahan bersama Search tidak datang sepanjang masa.

Di ibu kota yang mencabar itu, anak bongsu daripada dua beradik ini telah melakukan pelbagai pekerjaan untuk menampung kehidupan sehariannya.

Amy, misalnya, pernah membantu rakannya menjual bunga di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada awal tahun 1980-an.

“Saya tolong kawan saya jual bunga tanpa mendapat gaji tetapi sebagai balasannya dia belanja saya makan nasi bungkus setiap hari.

“Kebetulan ketika itu bulan puasa, jadi setiap kali berbuka puasa dapatlah saya makan percuma. Saya terpaksa lakukan kerja itu kerana ketika itu Search tidak ada job.

“Selepas kontrak Search bermain di Kelab Red Rooster, Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur tamat, kami masing-masing cari kerja sendiri,” katanya.

Jelas Amy, walaupun pada peringkat awal penghijrahannya ke Kuala Lumpur dia merasai keperitan dan penderitaan tetapi ia sedikit pun tidak melemahkan semangatnya.

Sebaliknya, beliau tabah dan tetap berpegang teguh dengan kemahuan serta cita-cita mahu menjadi penyanyi rock yang dikagumi ramai.

“Ketika itu hidup saya memang susah. Makan tidak menentu, biasanya makan sekali sehari. Tetapi saya tidak pernah putus asa.

“Saya bersyukur kerana Allah memberi saya kesabaran. Walaupun susah tetapi saya tetap tidak mahu balik kampung.

“Ini kerana saya tetap berpegang kepada prinsip saya yang asal iaitu mahu berdikari dan mencari kejayaan sendiri tanpa mengharapkan bantuan keluarga,” jelasnya.

Prinsip itu tersemat di hati penyanyi yang kini digelar ikon rock itu sewaktu dia mula-mula mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1981.

Jelas Amy, dia bertekad untuk mengubah nasib dirinya selain memenuhi impian menjadi penyanyi rock yang berjaya walaupun ia bukanlah satu keputusan yang mudah.

“Sehari sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur saya tidak dapat tidur. Semalaman saya memikirkan sama ada keputusan yang akan saya ambil itu betul ataupun sebaliknya.

“Akhirnya saya mengambil keputusan nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi penyanyi apatah lagi Yazit dan Hillary (gitaris) sudah berhijrah lebih dulu berhijrah sebelum saya,” cerita Amy.

Kerja buruh kasar

Liku-liku perjalanan hidup Amy dalam mengejar cita-citanya bukanlah berakar umbi di Kuala Lumpur tetapi ia sudah tercetus di Johor Bahru lagi.

Beliau memulakan langkah pertama kariernya selepas tamat persekolahan dengan bekerja sebagai buruh kasar.

Selepas menamatkan zaman persekolahannya pada tahun 1975, Amy mencuba nasib sebagai buruh kasar membuat bangunan di sekitar Johor Bahru.

“Itu adalah kerja pertama yang saya lakukan. Pengalaman itu sukar untuk saya lupakan kerana kerja sebagai pekerja kontrak agak berat dan gajinya pula hanya RM7 sehari.

“Saya cuma boleh bertahan selama tiga bulan dan selepas itu saya ambil kursus mengimpal di Pusat Latihan Belia Johor Bahru selama setahun.

“Selepas habis belajar saya dapat kerja sebagai pengimpal besi di kilang Tampoi Engineering selama dua tahun dengan gaji RM35 sehari.

“Ketika itu saya sudah pun mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian dengan menyanyi di khemah-khemah orang kahwin bersama kumpulan pertama saya iaitu The Seconds Traffic Jam,” ujar Amy.

Kumpulan itu merupakan kumpulan pertama yang disertainya dan ia dianggotai oleh Yazit (dram), Man (bass) dan Hillary (gitar).

Walaupun ketika itu Amy sudah berjinak-jinak menyanyi tetapi penyanyi yang kini menetap di Kajang, Selangor itu sering bertukar-tukar pekerjaan.

Selain itu, beliau juga pernah bekerja sebagai despatch (budak penghantar surat) dan pembaik piano di Yamaha Music School di Johor Bahru.

“Saya bertukar-tukar kerja kerana mahu mencari pengalaman dan merasa bagaimana kerja di pejabat.

“Saya pernah bekerja sebagai despatch pada tahun 1978 dengan berbekalkan sebuah motosikal jenis Yamaha 125 cc pemberian arwah ayah saya.

“Saya cuma sempat bekerja sebagai despatch selama kira-kira lapan bulan sebelum menjadi tuner piano di Yamaha,” katanya.

Sewaktu bekerja di Yamaha, semangat Amy untuk aktif dalam bidang nyanyian semakin membara dengan tertubuhnya kumpulannya yang baru, Titanic.

Kumpulan Titanic yang ketika itu dianggotai oleh Awang BPR (gitaris), Tono (dram), Syed (bassis) dan Yus (keyboard) menjadi titik tolak kepadanya untuk bergerak lebih aktif dalam bidang nyanyian.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.