saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 30/07/2006

Kesaksian Wangi

SEJARAH pada lapis apa sekalipun masih merupakan spekulasi, kata pengarah filem yang dihormati, U-Wei Saari.

Apabila sumber sejarah itu sendiri sarat berbaur dengan mitos dan legenda dan selebihnya tidak seratus peratus bersifat sejarah tetapi lebih cenderung tergolong dalam kelompok sastera tradisi, kata-kata yang dipegang oleh U-Wei itu tampak lebih meyakinkan.

Kata-kata itulah yang menjadi antara pendorong kepada U-Wei untuk menyingkap sejarah lama dan memberikan satu tafsiran baru yang kontemporari.

“Sejarah itu tidak pernah mati. Ia mesti kita baca dan tafsir lagi, baca dan tafsir lagi. Kita jangan lupa itu,” katanya.

Dalam remang cahaya Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka di Menara DBP yang baru itu malam Rabu lalu, kami duduk berbual tentang masa lampau dan hubung kaitnya dengan masa kini, dan tentang teater Wangi Jadi Saksi (WJS) arahannya.

WJS adalah satu tafsiran semula U-Wei terhadap episod pertarungan di antara dua pahlawan Melayu, Hang Tuah dan Hang Jebat seperti yang tercatat dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

Siapa yang tidak tahu kisah tentang dua beradik yang mewakili dua pemikiran dan dua rasa yang cukup kuat mempengaruhi jiwa dan semangat orang Melayu sejak zamanberzaman itu?

Kita tahu ceritanya. Tuah difitnah bermukah dengan dayang istana lalu dihukum bunuh oleh Sultan tanpa usul periksa. Bendahara yang sangat panjang akalnya tidak menyempurnakan titah Sultan. Tuah dihantarnya bersembunyi ke Hulu Melaka.

Kita semua tahu ceritanya selepas itu. Jebat bersuka ria di istana dan kemudiannya menderhaka kepada Sultan. Tidak seorang pun pembesar yang dihantar dapat meredakan marah Jebat kepada Sultan yang katanya, menzalimi Tuah.

Kita tahu juga apa yang berlaku kemudian. Apabila diberitahu oleh Bendahara tentang Tuah yang masih hidup, Sultan mengampunkan Laksamana itu. Dijemputnya dia dari Hulu Melaka dan dititah membunuh Jebat.

Apa yang kita tahu berlaku selepas itu tidak sama dengan apa yang mahu diceritakan oleh U-Wei melalui teaternya ini.

U-Wei mengingatkan betapa Tuah dan Jebat itu bukan lagi sahabat seperguruan tetapi dek akrabnya hubungan itu penaka sudah menjadi saudara.

“Hubungan mereka berdua lebih kompleks daripada yang kita bayangkan,” katanya.

Hubungan akrab seolah-olah sedarah sedaging itulah yang membangkitkan banyak tanda soal kepada U-Wei.

Bagaimanakah lagaknya dua beradik yang lama terpisah kerana disangkakan mati apabila berjumpa? Apabila bertemu, apakah yang mereka bualkan? Apakah mereka bertarung tanpa henti selama berhari-hari?

Kenapa Jebat mengamuk? Apakah dia mengamuk sebelum bertikam dengan Tuah, atau selepas cedera parah ditikam? Apakah Tuah bersifat saudara yang melebihi sahabat apabila menurut hikayat membuka bengkung pada Jebat sehingga terburai isi perutnya?

“Ada banyak soalan,” kata U-Wei dengan wajah penuh tersenyum.

U-Wei cuba merungkaikan soalan-soalan itu melalui WJS – dan dalam melakukannya secara tidak langsung melontarkan lebih banyak soalan.

Kebenaran

Melalui imbas kembali dan imbas masa depan, WJS bergerak melalui kisah yang diceritakan dari sorot mata dayang istana, Dang Wangi yang menjadi saksi mata pertemuan terakhir dua pahlawan itu.

“Wangi meluahkan isi hatinya dan mempertahankan apa yang diyakininya sebagai kebenaran,” kata Vanidah Imran yang diberi tanggungjawab memainkan watak isteri Jebat itu.

WJS membariskan pelakon teater handalan yang teruji dan pelakon harapan yang mewakili generasi pemain teater masa kini, sesuai dengan gaya U-Wei yang selama ini hanya bekerja dengan pelakon-pelakon yang terbaik.

Khalid Salleh tampil sebagai Patih Kerma Wijaya dan Rahim Razali sebagai Bendahara. Khir Rahman yang sebelum ini ditonton sebagai teraju dalam M The Opera di Istana Budaya, Mac lalu memegang peranan sebagai Hang Tuah. Lulusan teater Akademi Seni Kebangsaan, Sobri Anuar naik ke pentas sebagai Hang Jebat dengan Sofi Jikan sebagai pemain understudy. Mereka dibantu oleh Sabri Yunus yang bertindak sebagai Masa yang menjadi tukang cerita.

Teater ini diterbitkan oleh leBrocquy Fraser, syarikat penerbitan filem yang U-Wei merupakan salah seorang rakan kongsinya.

Ditanya kenapa meluaskan profil kepada bidang teater, penerbitnya, Julia Fraser cepat menjawab: “Skripnya yang sangat menarik, yang menampilkan cara baru untuk menyampaikan cerita yang semua orang sudah tahu.“

Tetapi bukan cara persembahannya melalui imbas kembali dan imbas masa depan itu yang menjadi tarikan WJS sebenarnya. Menariknya WJS ialah kerana ia cuba meruntuhkan kefahaman lama tentang sesuatu yang kita rasa kita tahu tetapi sebenarnya tidak semuanya kita tahu.

“Saya suka cerita ini kerana ia memanusiakan watak-watak yang kononnya kita kenal selama ini, yang kita bayangkan sebagai pahlawan,’’ kata Sobri.

Tetapi U-Wei tidak hanya membayangkan sisi lain hidup dua pahlawan, yang sehebat mana pun mereka masih tetap manusia yang ada perasaan.

“U-Wei mahu mengupas perangai orang Melayu dengan mengisi lompong-lompong yang ditinggalkan dalam teks sejarah itu,” kata Khir.

WJS sebenarnya dikembangkan daripada teater Saksi yang dipentaskan di Stor Teater DBP lebih kurang tiga tahun lalu.

Teater itu dikerjakan secara usaha sama di antara empat pemainnya – Adlin Aman Ramlie, Melissa Saila, Rosdeen Suboh dan Khir sendiri yang menggelarkan diri mereka sebagai Sekutu Teater Indi-Melayu, bersama Aida Redza dan dibantu oleh U-Wei yang menulis dialog-dialognya dari Singapura – yang dihantarnya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.

Tetapi ada perbezaan yang cukup ketara di antara dua produksi itu. Selain naskhahnya yang lebih kemas dan pengarahan yang lebih teliti, rekaan pentas di antara kedua-duanya juga tidak sama.

WJS dihantar melalui rekaan pentas yang cukup minimal – dua aras lantai dengan bingkai pintu dan tingkap yang boleh ditarik masuk dan keluar.

Lantai kosong dua tingkat itu pada satu ketika menjadi Istana Melaka tempat tinggal Hang Jebat bersama Wangi dan pada ketika yang lain menjadi rumah Patih Kerma Wijaya.

Pada suatu ketika yang lain pula, lantai kosong itu menjadi ruang tempat Masa – pembawa cerita yang tidak berkepentingan dan berpengaruh – mengalir sebagai saksi mata dan perakam peristiwa.

Set yang cukup minimal itu direka oleh Desmond Crowe, orang kreatif yang terlibat di sebalik rekaan produksi filem Alexander dan siri televisyen, Band of Brothers yang cukup spektakular itu

“Teater ini adalah peluang kepada saya untuk mengerjakan sesuatu yang segar dan baru,” katanya.

“Selepas agak lama terlibat dalam projek yang besar yang menuntut segala-galanya dibuat dengan begitu terperinci, saya cukup gembira dapat mengerjakan sesuatu yang mudah seperti ini.”

Tetapi Desmond cepat menegaskan bahawa mereka set yang ringkas yang dikikis perinciannya sehingga tinggal sisi-sisi yang asas sahaja bukanlah sesuatu yang serta-merta mudah.

Eksperimental

Dia mendekati WJS dengan saling bertukar fikiran bersama U-Wei yang katanya, jelas dari awal mahukan satu rekaan yang abstrak untuk disesuaikan dengan kisah yang berbaur mitos dan legenda itu.

Sementara itu, persembahan muzik secara langsung yang mengiringi WJS disusun oleh Yohanes Subowo, pensyarah di Institut Seni Indonesia di Yogyakarta, Indonesia.

“Saya tidak menggunakan gamelan itu secara tradisi. Apa yang penting ialah bunyi yang ditampilkan itu boleh membentuk suasana,” katanya.

Melihatkan konsep U-Wei yang eksperimental “dengan dialog sangat simbolis yang mempunyai pengertian yang luas”, Subowo ikut menyusun muziknya secara eksperimental.

“Konsep U-Wei ini sangat dalam,” katanya.

Mentafsir teks lama, membaca masa kini

PENONTON masuk mengambil tempat di dalam panggung yang bergema dengan alunan irama gamelan. Di atas layar putih yang terbentang di depan pentas tertera tulisan jawi lama yang memetik sebahagian daripada cerita dalam episod pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat.

Lampu padam tanda persembahan akan bermula. Gamelan bertingkah dalam overture yang riuh dan kemudiannya disambut pula dengan petikan gambus yang syahdu. Lampu di hujung pentas menyala; Patih Kerma Wijaya duduk menghadap berbicara dengan Bendahara.

Selepas perbualan yang pendek tentang “orang di Hulu Melaka” yang sekarang mahu dipanggil balik untuk membersihkan arang yang terconteng di muka Sultan, layar putih itu perlahan-lahan mula terangkat.

U-Wei Saari membuka pementasan teater Wangi Jadi Saksi (WJS) dengan menghantar pesan yang cukup jelas – mari kita singkap teks lama dan membaca cerita yang baru tentang Tuah dan Jebat.

Tersurat

WJS adalah tafsiran U-Wei mengenai satu kisah yang begitu penting kepada orang Melayu, yang selama ini difahami sebagaimana yang tersurat dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu (dengan pertarungannya bukan lagi Hang Tuah dengan Hang Jebat tetapi Hang Kasturi).

Tuah dan Jebat mewakili dua kem pemikiran orang Melayu tentang konsep wira dan keperwiraan, tentang setia dan kesetiaan serta tentang adil dan keadilan. Dua pahlawan terbilang pada zaman Kesultanan Melaka yang masyhur lebih kurang 700 tahun lalu itu menjadi watak dan semangat yang tidak boleh dipisahkan daripada psiki orang Melayu.

Dalam memberikan tafsiran baru itu, U-Wei telah menulis satu teks yang baru. Dia meruntuhkan kenyataan yang sudah diterima sehitam-hitam dan seputih-putihnya tentang kisah dua pahlawan bagai bersaudara itu, dan melontarkan satu kemungkinan baru.

U-Wei bertolak daripada satu tanda tanya: Apakah yang barangkali berlaku, selain daripada apa yang dihikayatkan dalam teks lama Melayu itu?

Siapakah sebenarnya ditentang oleh Jebat? Siapakah pula yang mahu dibela oleh Tuah? Kenapa Tuah difitnah, dan kenapa Jebat mengamuk?

Soalan-soalan yang melahirkan WJS inilah juga yang barangkali tinggal terapung dalam kepala penonton kemudiannya nanti.

WJS melanjutkan usaha mentafsir episod yang cukup mempengaruhi pemikiran politik Melayu itu. Selepas Matinya Seorang Pahlawan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang dan Titah Tuanku oleh Othman Zainuddin di pentas, dan sebelum itu Hang Tuah arahan Phani Majumdar dan Jebat (Hussein Haniff) dalam filem, U-Wei muncul dengan WJS yang sama sekali asing tetapi segar.

Selain memberikan ruang kepada watak-watak lain untuk bercerita mengenai Tuah dan Jebat, U-Wei memberikan suara kepada wanita yang selama ini seperti kata Patih Kerma Wijaya “duduknya di dapur”.

Dang Wangi menjadi saksi mata sekali gus penyimpan rahsia kepada peristiwa besar itu. Rahsia itu terlalu membebankannya sebagai seorang dayang istana. Rahsia itu meronta-ronta minta dibebaskan, agar dunia tahu dan kenal kepada kebenaran.

Oleh itu, WJS bukan lagi satu pertembungan di antara Tuah dan Jebat tetapi adalah gelanggang perbahasan di antara Dang Wangi dan Patih Kerma Wijaya – dua watak sampingan yang sekarang diberikan tempat yang lebih utama.

Mereka bercakap tentang kebenaran dan maruah – antara kebenaran yang mahu diangkat dan kebenaran yang hendak dibungkamkan; maruah untuk siapa, dan untuk apa?

Selepas teater Melayu secara tidak sengaja diberikan imej yang salah – bahawa ia lebih bersifat hiburan melalui pementasan yang berbentuk muzikal, WJS muncul sebagai sebuah drama pentas yang sewajarnya.

WJS muncul sebagai cermin besar tempat kita melihat letak duduk diri sendiri dalam realiti masa kini. U-Wei tentunya tidak mungkin bersusah payah menyelongkar dan meruntuhkan teks lama hanya untuk suka-suka.

Kitalah yang harus cuba memahami tafsiran baru yang terselak di sebalik teks lama itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.